Hujung minggu ini, pasti ada di kalangan wanita yang mengambil kesempatan untuk merehatkan minda dan bercuti. Walaupun sekadar short break away, ia berkesan untuk melegakan tekanan yang dihadapi di tempat kerja.

Bagaimanapun, soal penampilan diri tidak boleh dipandang sepi. Kali ni Nona himpunkan 14 panduan lengkap untuk wajah cantik sempurna walau di mana pun destinasi pilihan anda, teman-teman dan keluarga.

IKLAN

(1) Sisihkan Bedak Alas

Menjelang hari percutian, pemakaian bedak alas sama sekali tidak digalakkan, sebaliknya cukup sekadar meratakan krim pelembap jernih yang nyaman dan mempunyai kandungan SPF mencukupi.

(2) Pelembap Wajah ‘A Must Have Item’

Malam sebelum penerbangan berlepas, pastikan wajah dioles krim pelembap sebelum terlena. Ini membantu meningkatkan paras hidrasi kulit sebelum ia terdedah kesan penghidratan dalam kabin pesawat kelak.

(3) Tekap Kulit Berminyak

Bagi mengawal masalah kulit berminyak ketika bercuti, pastikan anda membawa kertas pedap minyak (blotting papers) dan tekan ke daerah zon-T sekerap mungkin. Ia membantu mengawal kilauan tanpa mengeringkan lembapan semulajadi kulit.

(4) Air Mineral Dwifungsi

Selain dijadikan minuman, titisan air mineral juga mampu menyegarkan solekan tanpa perlu menambah pupukan bedak atau pemerah pipi. Caranya, percikkan sedikit air mineral dan oleskan krim pelembap dengan tipis.

(5) Lupakan Gincu Tahan Lama

Sapuan gincu tahan lama membuatkan bibir kering merekah tatkala bercuti. Demi mendapatkan pewarna bibir yang berkekalan, sapukan selapis gincu dan lapkan lebihannya dengan tisu. Ulangi beberapa lapis, biarkan kering dan oles pengilat bibir bertona jernih.

(6) Bawa Balm Bibir

Perubahan cuaca dan suhu persekitaran seringkali membuatkan bibir mudah pecah dan berkuping. Pastikan beg saku anda sentiasa diisi balm bibir berubat agar mudah disapu setiap kali ia kekeringan.

Bila Bercuti, Macam-Macam SKINCARE Tertinggal. Cuba Ikut 14 Panduan Ini, Gerenti TAK LUPA Dah

(7) Kilauan Glamor Di Pipi

Bercuti tidak pernah menjadi alasan yang menghalang anda tampil anggun menawan. Segarkan kompleksi kusam tidak bermaya dengan serbuk atau krim kilatan lembut dan layangkan sedikit kilauan ke atas pipi, tulang hidung dan bibir anda.

IKLAN

Anda juga boleh menggarap kombinasi krim pemerah pipi dan balm bibir untuk menambah sedikit warna dan lembapan tanpa mengeringkan kulit.

(8) Titisan Penyegar Mata

Bosan dengan perjalanan jauh, pastinya ramai memilih menonton tayangan filem atau membaca sebuah novel tebal. Kesannya, mata bertukar kemerahan, berair dan tampak tidak menarik. Sentiasa segarkan mata anda dengan titisan penyegar mata untuk merehatkannya dari keletihan.

(9) Nyahkan Kantung Mata
Perjalanan jauh sering mengakibatkan sekitar mata lebam keletihan. Untuk mengurangkannya, ambil sedikit ais hancur dan bungkus dengan sehelai kain. Dengan perlahan, tekap ke daerah mata untuk mencetus kesegaran secara automatik.

(10) Bulu Mata Bebas Maskara

Elakkan dari menyapu maskara ketika bercuti. Selain memberi peluang bulu mata untuk bernafas, anda tidak perlu bersusah payah membawa cecair penanggal solekan maskara, malah langsung tidak meninggalkan butir-butir hitam di bawah mata, lebih-lebih lagi jika anda tertidur.

IKLAN

(11) Jauhkan Tangan Daripada Wajah

Bagi meminimakan masalah jerawat ketika melancong, pakar dermatologi sering mengingatkan agar jangan menyentuh wajah anda dengan tangan. Kunjungan ke tandas, jendela di lapangan terbang, kusyen kereta api, oh… banyak sekali bakteria yang melekap-lekap di tangan. Amalkan mencuci tangan dengan sabun antibakteria terlebih dahulu, lebih-lebih lagi jika sebelum anda menyapu semula solekan.

(12) Sentiasa Bawa Pembersih Wajah

Jika hanya ada satu barangan yang boleh dibawa dari rumah, pastikan ianya pembersih wajah. Simpan sebotol tiub comel ke dalam beg saku agar mudah dibawa. Penggunaan pembersih wajah yang berlainan boleh menjejaskan keseimbangan asid kulit, seterusnya mencetuskan masalah jerawat.

(13) Produk Skincare

Jika anda bercuti ke luar negara, pastikan anda membawa barangan penjagaan wajah yang biasa bersama kerana dikhuatiri negara asing yang dilawati tidak menjual produk serupa.

Pek semula cecair syampu, losen, gel badan dan pewangi ke dalam bekas-bekas kecil mengikut jangkamasa percutian anda.

(14) Dapatkan Tidur Secukupnya

Sekiranya terasa mengantuk di dalam pesawat, pupukkan sedikit krim malam mewah ke sekitar mata dan tutupkan dengan topeng tidur. Kedua-dua tindakan ini membantu anda bangkit lebih segar dan bertenaga berbanding cara tidur biasa. Rosmah Idayu Abu Samah

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI