Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah masih terus ‘menyengat’ dalam dunia dakwah sama ada melalui dunia maya dan juga pentas ceramah. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah aktif di Facebook beliau yang mempunyai pengikut lebih daripada 2 juta.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah yang sering membahasakan dirinya dengan panggilan Ustazah mengakui bahawa beliau memang kurang melibatkan diri dalam program-program di layar kaca dan juga radio. Beliau kini lebih selesa bersama cucu-cucu berumur antara 1 hingga 9 tahun.
Dicungkil tentang cabaran sepanjang berkecimpung dalam dunia kerjaya sebagai seorang penceramah, jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, cabaran datang dalam dua bentuk iaitu luaran dan dalaman.
“Antara cabaran biasa ialah tempat ceramah yang agak jauh sehingga terpaksa memandu antara dua hingga empat jam. Begitu juga cabaran yang agak berat bagi saya iaitu apabila terpaksa meninggalkan anak-anak serta cucu-cucu tiga hingga empat hari dalam sebulan.
“Namun begitu cabaran paling utama ialah Iblis dan syaitan serta manusia yang bersifat mazmumah. Ia merupakan penghalang utama seorang pendakwah selain cabaran daripada fahaman sekularisme yang telah tersebar. Fahaman ini yang dibawa oleh barat sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitmen kepada nilai-nilai agama,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Fitrah seorang wanita bergelar isteri dan ibu, amat penting mengagihkan masa antara kerjaya dan juga keluarga. Bagi diri Ustazah Nor Bahyah jika sekiranya tiada aktiviti di luar, waktu pagi sehingga tengahari beliau akan memperuntukkan masa menguruskan rumah seperti menyediakan sarapan untuk keluarga, mengemas rumah dan memasak.
“Di sebelah petang saya akan memberi tumpuan dalam kerjaya seperti menjawab persoalan daripada facebook dan e-mel, persediaan untuk ceramah dan juga menulis untuk majalah dan buku. Pada sebelah malam akan bersama keluarga tercinta.
“Hobi saya sejak dari kecil sampai sekarang ialah membaca. Masa kecil-kecil dahulu saya sanggup berada berjam-jam di perpustakaan awam semata-mata untuk membaca. Alhamdulillah setakat ini tidak ada hari yang berlalu tanpa saya membaca. Saya tidak dapat tidur tanpa membaca terlebih dahulu. Pada masa lapang saya akan menggubah bunga, bercuti, memasak dan membawa keluarga membeli belah,”jelas Ustazah Nor Bahyah yang gemar memasak tomyam, nasi daging, daging masak kicap, kari ikan merah dan sambal belacan kegemaran keluarganya.
Ads
RAHSIA KELUARGA BAHAGIA
Keakraban dan kemesraan beliau bersama keluarga agak dicemburui. Sebenarnya banyak aktiviti yang dilakukan oleh Datuk Ustazah Nor Bahyah bersama keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Sekiranya saya tidak berceramah di luar kawasan, kami akan solat berjemaah setiap hari terutama sekali waktu maghrib. Selain itu aktiviti membaca Al-Quran terutama membaca surah Yaasin pada hari Khamis malam Jumaat turut diamalkan. Ia dilanjutkan dengan mengadakan usrah keluarga yang mana saya dan Ustaz akan memberikan nasihat dan panduan kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
“Kami juga akan luangkan masa untuk bercuti bersama. Dalam setahun antara dua hingga empat kali. Di samping itu juga sentiasa makan bersama lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Resipi keluarga bahagia bagi saya ialah suami isteri dan anak anak mestilah menjadi seorang yang beriman dan bertakwa dan mempunyai sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.
“Sifat kasih sayang itu terbentuk melalui lima perkara iaitu sentiasa mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan positif, sentiasa memberi hadiah terutama pada tarikh hari kelahiran, melalui sentuhan seperti bersalam salaman, ciuman dan pelukan, sentiasa mengadakan aktiviti bersama seperti solat berjemaah, makan berjemaah dan bercuti berjemaah dan sedia berkhidmat seperti tolong-menolong antara suami isteri, ibu bapa dan anak anak,”kongsi Datuk Ustazah Nor Bahyah yang amat menekankan solat lima waktu dalam mendidik anak-anak dan cucu-cucunya.
Melihatkan kesibukan jadual harian beliau nescaya pasti terdetik dibenak fikiran, bagaimana pendakwah wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan senyuman ini mengekalkan stamina. Tidak lokek berkongsi rahsia, antara elemen penting ialah mendapatkan tidur yang mencukupi enam hingga lapan jam sehari.
Ads
“Saya juga menjaga makan dan minum supaya berat badan tidak bertambah. Di samping itu juga saya sentiasa melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh seperti menyapu sampah, berjalan-jalan dan bersenam,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Sebelum menutup kalam, sempat ditanya pendapat beliau tentang peranan wanita sebagai nadi pembangunan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, wanita perlu sentiasa menjadikan dirinya teladan yang boleh dicontohi anak-anak dalam segala hal yang dilakukan di dalam urusan rumah tangga.
“Wanita juga berperanan sebagai penolong dan teman hidup pasangannya di kala suka dan duka. Melayani suami merupakan kewajipan sebagai seorang isteri. Isteri juga adalah teman untuk berbincang sebelum sesuatu keputusan diambil oleh suami sebagai ketua rumahtangga. Sebagai isteri mungkin pendapat kadang-kala berbeza tetapi apabila keputusan sudah dibuat oleh suami, isteri harus menyokong keputusan tersebut. Ini kerana di dalam sebuah kapal hanya ada seorang nakhoda dan begitu juga di dalam sebuah rumahtangga hanya ada satu ketua keluarga.
“Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah. Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah mengakhiri bicara.
TIP KEKALKAN KEMESRAAN DENGAN SUAMI AGAR RUMAH TANGGA BAHAGIA
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
Ads
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa sangka dalam usia 27 tahun anak jati Kota Bharu, Kelantan ini sudah pun bergelar jutawan. Kematian bapa serta dilahirkan dalam keluarga susah menjadi titik tolak kepada kebangkitan usahawan cantik ini.
Wan Nur Siti Aisyah Wan Hasan yang mesra disapa Sha Hasan ini merupakan ibu kepada seorang anak. Dia kni gigih membina legasi bisnesnya, Shalicious bersama suami tercinta, Al Hafiz Zakaria.
“Saya berasal dari keluarga susah, arwah ayah dulu peniaga jalanan hanya buka gerai tepi jalan. Kami memang hidup susah. Ayah meninggal ketika saya berumur 10 tahun.
“Bermula saat itu, ibu terpaksa bekerja demi menyara kami sekeluarga. Tak sanggup tengok kepayahan ibu, saya nekad nak ubah nasib keluarga.
“Sejak dari sekolah lagi saya suka berniaga. Apa saja rasa nak jual saya jual. Bukan saja di sekolah rendah malah sekolah menengah juga.
“Bila habis SPM saya dapat sambung belajar peringkat matrik di Negeri Sembilan dan juga universiti tapi saya pilih untuk belajar di kampung saja.
“Ikutkan keluarga tak galakkan saya berniaga sebab nak saya ada kerja tetap. Tapi saya terus berniaga sambil belajar. Sebab itulah saya pilih sambung belajar di kampung sebab dekat dengan rumah dan mudah nak berbisnes.
“Pelajaran tetap keutamaan saya sebab tak nak kecewakan harapan keluarga terutama ibu.”
“Bisnes makin lama makin berkembang sampai tak menang tangan. Mulalah saya ponteng kelas, tak sempat nak masuk kelas sebab kerap nak kena COD dan sebagainya.
“Ketika itu saya betul-betul struggle bina jenama Shalicious. Saya berusaha sungguh-sungguh sehinggalah setahun selepas itu saya dapat membina Wisma Shalicious di Kelantan.”
Kini Sha Hasan memiliki beberapa cabang bisnes lain yang membantu orang ramai khususnya warga kampung dalam menambah pendapatan mereka. Selain Malaysia, Shalicious juga telah masuk ke pasaran Indonesia secara sah.
DETIK DIUJI “Pada 2018 saya ada berpuluh-puluh orang staf, bisnes pun tengah bagus. Tiba-tiba Allah uji, saya kehilangan staf sekaligus dalam satu masa.
“Bila masuk pejabat, semua staf dah tak ada sebab berhenti secara serentak kerana telah ‘disailang’ oleh kawan sendiri yang kononnya nak membantu kita.
“Akibat terlalu tertekan, saya terpaksa berjumpa pakar psikologi. Memang betul-betul depression dan ambil masa yang lama untuk pulih. Saya juga terpaksa bergantung dengan ubat.”
ASET PERTAMA DIMILIKI “Saya memang ‘gila’ beli tanah. Kalau ada sesiapa yang nak jual tanah murah-murah di Kelantan saya akan beli. Tapi saya akan tengok dulu ikut kesesuaian dan harganya. Itulah aset paling bernilai sebab kita boleh buat macam-macam. Selain buat bisnes, boleh jana pendapatan.
“Selalunya bila berjaya capai target, saya akan membantu beberapa tahfiz serta kampung-kampung yang saya pegang untuk berikan sumbangan. Itulah reward sebenar bagi saya.”
SUAMI TULANG BELAKANG UTAMA “Terlalu banyak pengorbanan suami kerana beliau banyak membantu. Kami sama-sama usahakan bisnes ini dan pada masa sama suami pun ada bisnesnya sendiri. Dia tahu minat dan impian saya dalam bidang kecantikan terlalu besar.
“Sewaktu saya diserang depression, suamilah yang uruskan anak dan rumah. Suami tak pernah mengalah dan menyalahkan. Suami seorang yang sangat sabar dan support apa saja yang saya buat selagi ia tidak salah.
“Semasa depression, saya terpaksa makan ubat setiap kali nak tidur. Suami pastikan saya tak terlalu berfikir yang bukan-bukan. Dia jugalah yang jaga anak, siapkan makanan dan uruskan hal-hal pejabat.
“Paling sedihnya bila suami dah tak tahu nak buat apa, dia pernah bawa saya ke sebuah kampung di Kelantan sebab dia tahu saya suka berkongsi kegembiraan dengan orang lain. Di situ ada lebih 150 buah rumah dan keluarga asnaf yang memerlukan.
“Kami pergi rumah ke rumah untuk berikan bantuan. Semuanya diuruskan oleh suami. Katanya ramai lagi orang yang memerlukan saya. Sejak itu saya mula terfikir jika kita diuji dengan hebat, ramai lagi orang yang diuji lebih dari kita. Suami selalu cakap Allah SWT tak akan beri kejayaan atau kekayaan kalau bukan demi sebuah perjuangan.
“Nasihat saya bagi yang nak berjaya dalam bisnes, jangan ada banyak alasan. Kalau tak pecahkan ketakutan dan rasa malu, sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat tengok potensi diri.”
Kredit Foto: Instagram Sha Hasan
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Aktres cantik, Elfira Loy kini sedang mengerjakan umrah bersama keluarganya di kota suci Mekah. Merupakan kali pertama selebriti berusia 24 tahun ini mengerjakan umrah, pemergian El ke sana lima hari lalu diiringi doa yang baik-baik daripada para peminat dan rakan artis seperti Farah Fauzana, Bella Dally, Wani Hasrita dan Mawar Rashid.
Berdasarkan coretan El di lnstagram, perasaan sebak mula menyelubungi jiwanya sebaik menjejakkan kaki ke sini. Akui El, ia merupakan satu perasaan yang sukar digambarkan. “Terima kasih Ya Allah kerana menjemputku di sini. I feel more content, Alhamdulillah. Done my first umrah pada Khamis malam Jumaat atas izin-Nya. It’s miracle that I am able to do my umrah because I was not in ‘keadaan suci’. Berkat doa, zikir sepanjang jalan dan usaha, Allah Maha Besar, dapat juga umrah pertama diselesaikan. Sebak, terlalu sebak.”
Baik Elfira mahupun orang biasa, hati sesiapa pun pasti tersentuh apabila berada di kota suci Mekah. Lebih-lebih lagi ketika melihat Kaabah yang tersergam indah di depan mata … seolah-olah tidak mahu melepaskan pandangan meskipun sesaat.
Seperti kebanyakan umat Islam lain yang pernah berkunjung ke Mekah, tidak semua aktiviti ibadah dapat dilaksanakan dengan mudah lantaran berdepan ‘lautan’ manusia dari seluruh pelosok dunia yang berkongsi tujuan sama. Hanya jiwa yang sabar, tenang dan ikhlas mampu melakukan urusan di sini sebaik-baiknya atas keizinan Allah SWT. Dan, salah seorang yang tergolong dalam insan bertuah ini adalah El sendiri.
“El bangun seawal 2 pagi bersama mama dengan keyakinan pada pagi ini Allah pasti permudahkan perjalanan kami untuk membuat tawaf sunat dan bersolat di dalam Hij Ismail di bawah pancur emas. Dan Alhamdulillah Ya Allah, Allah Maha Besar, Allah mendengar doa hambanya yang betul-betul ikhlas menginginkannya. Kami dapat bersolat di situ tanpa gangguan, MashaAllah kerana dikepung pak arab yang sedang bersolat juga di kanan, kiri, depan dan belakang. Kami juga dapat mencium bau batu yang sangat-sangat wangi di Rukun Yamani dan memegang selimut Kaabah.”
Beruntungnya Elfira kerana pada usia yang masih muda, dia sudah mampu mengerjakan umrah dan segala urusannya di sana dipermudahkan ilahi. Selain menitipkan kata-kata positif buat peminat, penampilan Elfira sepanjang berada di Mekah turut mendapat pujian ramai. Mengenakan jubah dan khimar dari label busananya sendiri, EL by Elfira Loy, figura ini juga dilihat kerap memakai niqab.
Difahamkan, El bakal berangkat pulang ke tanah air esok. Semoga pemergian El ke tanah suci membawa seribu satu kelebihan buat pelakon muda ini.
Sumber: Instagram Elfira Loy
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Namanya pernah berada di kemuncak industri seni suara tanah air, apabila single berjudul ‘Cinta Muka Buku’ meledak hingga menjadi siulan ramai satu ketika dahulu. Malah, mungkin ada dikalangan pembaca NONA hari ini yang masih lagi memuja figura yang juga komposer lagu yang satu ini.
Namun, tuah ayam nampak di taji, tuah manusia siapa yang tahu apabila seawal usia 29 tahun gadis kelahiran Batu Pahat, Johor ini akhirnya melebarkan sayap dan terbang begitu tinggi dalam dunia Pendidikan.
Dulu Penyanyi, Kini Najwa Latif Pensyarah Universiti!
Memetik laporan akhbar tempatan, Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif kini merupakan salah seorang tenaga pengajar di salah sebuah Universiti tempatan terkemuka di Dengkil.
Bagaimanapun, Najwa memaklumkan bahawa sepanjang menjadi tenaga pengajar di peringkat Universiti, belum ada pelajar yang pernah bertanya tentang sisi peribadinya sebagai seorang artis yang membawa jenama Najwa Latif.
Tambahnya lagi, dia enggan mencampuradukkan kerjaya sebagai seorang anak seni dan pendidik, justeru Najwa memilih untuk bersikap profesional sepanjang bergelar pendidik kepada anak bangsa.
“Saya tidak pasti sama ada mereka kenal saya atau tidak. Dalam kelas pun saya kenalkan diri sebagai Miss Najwa. Muka mereka nampak biasa sahaja.
“Tapi saya profesional sahaja, sebab baru masuk,” selorohnya.
Menerusi perkembangan sama, suri hati kepada komposer Akwa Ariffin itu juga mengesahkan bahawa sejak Oktober tahun lalu, dia merupakan salah seorang pensyarah bagi program Teaching of English as a Second Language (TESL) yang berkhidmat di Pusat Asasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dengkil.
Najwa Latif Tak Marah, Cuma Akui Sedikit Terkejut
Ketika ditanya tentang respon yang diterima sebaik mengetahui berita dirinya kembali menjadi tenaga pengajar tular, Najwa berkata beliau tidak merasa marah, hanya sedikit terkejut.
“Saya tidak tahu bagaimana orang boleh jumpa maklumat saya kembali bergelar pensyarah. Saya terkejut sahaja, tapi tidak marah, kerana apa yang tular itu memang sudah tertera di dalam portal.
“Sekarang saya mengajar di UITM tapi masih terlalu awal untuk ceritakan pengalaman susah senang. Baru jumpa pelajar sebulan, mereka terus duduki peperiksaan dan cuti.
Untuk recap, Najwa Latif adalah graduan ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) daripada Universiti Antarabangsa Unitar dan turut memiliki sarjana dalam bidang sama dari Universiti Malaya.
Kini beliau sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) TESL di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Najwa yang sebelum ini pensyarah di UNITAR telah melangsungkan perkahwinan dengan rapper dan komposer Akwa Arifin pada 11 November 2022.
Bagaimanapun, setelah dua tahun melayari bahtera rumah tangga Najwa sempat disahkan hamil sebelum mengalami keguguran cahaya mata sulung pada Disember lalu. NONA mendoakan agar suatu hari nanti rezeki menjadi seorang ibu bapa berpihak pada Najwa dan suami.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.