Nama Rozita Ibrahim bukan lagi asing di pendengaran rakyat Malaysia. Usahawan kosmetik yang merupakan Pengasas Sendayu Tinggi dan Jamu Ratu Malaya itu kini memulakan bisnes khimar secara suka-suka.
Khimar merupakan sejenis hijab yang paling menepati syariat. Potongannya longgar dan panjang serta mampu menutupi kepala, dada, lekuk pinggang dan punggung dengan sempurna. Paling penting, pemakai khimar boleh terus membawanya bersolat tanpa perlu bertelekung.
Kalau dulu, khimar cuma hadir dalam warna-warna suram seperti hitam atau biru tua. Tapi sekarang, pelbagai inovasi telah dilahirkan, antaranya seperti yang dipakai oleh bonda Rozita iaitu dua lapis dan mempunyai perincian di bahagian muka. Khimar dari fabrik bercetak juga menjadikan ia lebih menarik dan sesuai dipakai bersama jubah polos.
Ads
Menjelang musim haji tak lama lagi, mungkin para jemaah sudah boleh mencari-cari koleksi khimar seperti yang dijual oleh bonda Rozita ni. Selain cantik, ia juga berpatutan iaitu hanya RM130 sepasang.
Pilih fabrik yang tidak melekap atau mengikut bentuk telinga, dada dan tubuh.
Elakkan fabrik spandex atau lycra yang berat.
Walaupun panjang, tapi tak bermakna harus polos tanpa hiasan. Kini terdapat banyak pilihan yang ditatah dengan Swarovski atau batu jemeki.
Kalau mengenakan khimar polos, letakkan kerongsang yang cantik sebagai penariknya.
Artis Indonesia, Oki Setiana Dewi, antara yang konsisten serta selalu tampil sopan dalam khimarnya. Aktres filem ‘Ketika Cinta Bertasbih’ itu juga turut melahirkan himpunan koleksi khimar dan jubah eksklusif di bawah label OSD.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dari sekadar berniaga ‘suka-suka’ dan mencari pendapatan sampingan akhirnya Nur Amirah Maulat Abdullah ‘jatuh cinta’ dengan dunia perniagaan. Percaya dengan rezeki dan keberkatan dalam berniaga, Amirah nekad meninggalkan kerjaya tetap demi mengejar impian bergelar usahawan. Meskipun sedar cabaran besar yang terpaksa ditempuh untuk menjadi ahli perniagaan berjaya namun ibu dua anak ini optimis menggenggam kejayaan!
Kini selepas 8 tahun berkecimpung dalam bidang bisnes, tiada istilah kesal dan putus ada dalam kamus hidup Amirah. Sebaliknya dia amat bersyukur kerana percaya dengan gerak hati dan minat untuk berniaga. Mesra menyambut panggilan penulis, Amirah dalam temu bual bersama Nona mendedahkan detik permulaan melibatkan diri dalam bisnes.
“Saya berkecimpung dalam bisnes sejak 2013 sebagai ‘side income’ dan ‘suka-suka’ sahaja. Pada waktu itu saya masih lagi bekerja di sebuah syarikat di KL. Selepas beberapa bulan bekerja dan berbisnes pada masa yang sama, minat saya dalam bisnes semakin meningkat. Jadi saya ambil keputusan berisiko untuk terus fokus dalam bidang bisnes dan ternyata ia keputusan terbaik yang pernah saya buat dalam hidup.
Sejujurnya, minat saya dalam industri tudung, kosmetik dan kecantikan telah bermula sejak di bangku persekolahan lagi. Bagi saya, salah satu kunci kejayaan berniaga adalah menghasilkan produk yang saya minat dan percaya. Bahkan itu jugalah yang menjadi pegangan saya sejak awal lagi.”
Ujar Amirah, dia turut tertarik untuk menghasilkan produk yang khusus buat kaum wanita termasuk penjagaan diri. “Idea utama untuk menghasilkan produk adalah dari minat saya dalam bidang kecantikan. Bukan saja beri inspirasi kepada saya untuk mengeluarkan produk yang berkualiti tetapi juga dapat berkongsi kelebihan produk ini bersama followers saya di luar sana. Secara tak langsung, ia turut memberi keyakinan kepada diri saya dan menjadi faktor utama saya melibatkan diri dalam bidang ini.
Menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-32 pada 29 Mac lepas, wanita kelahiran Kedah ini mampu tersenyum bangga kerana sepanjang lapan tahun berniaga dia kini merupakan Pengasas empayar Kayra Health & Beauty serta pemilik produk muslimah Bynuramirah! Pastinya, setiap produk niaga Amirah mempunyai keistimewaan tersendiri dengan harga mampu milik.
Tak hairanlah, tempahan produk Amirah tak putus-putus saban hari. “Pada masa ini, perniagaan berjalan seperti biasa dan bulan Jun ini saya juga telah menambah satu lagi rangkaian produk iaitu ‘Lipmatte’ yang hadir dengan 4 pilihan warna. Jualan tudung ‘bynuramirah’ juga agak memberangsangkan pada waktu PKP ini dan saya telah mengeluarkan 3 corak dengan material terbaharu.
Untuk masa ini, strategi utama saya adalah melalui media sosial memandangkan keadaan waktu PKP ini kegunaan media sosial juga meningkat. Jadi saya perlu daya kreativiti yang tinggi untuk menghasilkan content yang berkualiti tinggi.
Bercerita tentang keistimewaan produk, Kayra Health & Beauty menggunakan minyak argan sebagai ramuan utama. Seperti yang diketahui ramai bahan ini berupaya menghaluskan dan merawat kulit muka. Untuk tudung pula saya fokus kepada penghasilan tudung bawal, satin dan matte satin kerana ini merupakan pilihan tudung kegemaran dan juga tudung harian saya.
Lagipun, customer dan followers kebanyakannya penggemar cara pemakaian tudung saya dan saya rasa ia adalah peluang terbaik untuk saya hasilkan produk tudung sendiri.”
Lumrah bidang perniagaan pasti berdepan pelbagai pengalaman pahit dan manis. Ujar graduan ijazah sarjana muda kepujian pentadiran perniagaan kewangan ini, sebagai majikan dia perlu berfikiran positif dalam apa jua situasi.
“Cabaran paling besar adalah untuk sentiasa kuat mengawal emosi supaya dapat mengelakkan daripada anxiety, depression dan sebagainya kerana dunia bisnes ini memerlukan saya untuk menonjolkan peribadi yang tabah mengharungi semua cabaran di samping menjadi semangat kepada team. Saya juga perlu sentiasa tenang untuk berinteraksi dengan agen, stokis dan pelanggan.
Sejak berniaga, saya berpegang kepada 3 prinsip iaitu pertama, dalam berniaga kita hendaklah berniat kongsi dengan semua orang sekeliling dan bukan untuk diri sendiri sahaja. Kedua, berniaga perlukan keberkatan. Keberkatan yang saya maksudkan adalah dari segi kejujuran bila berniaga, hubungan dengan keluarga dan orang-orang sekeliling. Ketiga, sentiasa ringan tangan memberi tanpa mengharapkan balasan dan sentiasa selit doa untuk orang lain dalam doa harian kita.
Alhamdulillah, antara pencapaian terbesar saya ialah dapat bawa parents menunaikan ibadah umrah, melahirkan usahawan-usahawan berjaya dan menghadiahkan sebuah kereta Mercedes kepada ibu bapa saya.”
Sebelum akhiri perbulanan, ibu kepada Azkayra Malaiqa dan Asytar Malik ini turut menitipkan pesan kepada golongan wanita yang ingin menceburi dunia keusahawanan. “Dalam berniaga, kita perlu konsisten dan ‘Buat Sampai Jadi!’. Tiada kejayaan tanpa usaha dan kita perlu sentiasa bersabar. Doakan agar impian saya untuk melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dan memberi kesedaran kepada wanita bahawa mereka perlu berani dan ada pendapat sendiri dapat direalisasikan.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bulan Oktober merupakan bulan kesedaran kanser payudara. Sebagaimana yang diketahui kanser payudara ini merupakan pembunuh nombor satu kaum wanita. Ketika ini ramai wanita yang sudah mula melakukan langkah pencegahan seperti membuat pemeriksaan berkala dan pemeriksaan sendiri payudara (PSP). PSP penting untuk mengetahui sebarang perubahan pada payudara.
Isteri mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed pernah berkongsi pengalamannya sendiri berjuang melawan kanser payudara. Perkongsian wanita yang berusia 94 tahun ini melalui uacapannya sempena Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, KL Pink October 2019 di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Rupanya Tun Dr Siti Hasmah mula menyedari perubahan pada dirinya sekitar bulan Mac 2019 lagi. Kongsinya, “Apabila saya berasa tidak sedap, saya terus jumpa doktor. Dalam seminggu, doktor sahkan saya mempunyai ketumbuhan kecil namun alhamdulillah ia (ketumbuhan) kecil,” kongsi Tun Hasmah.
Tindakan yang dilakukan oleh Tun Hasmah ini bertepatan dengan saranan doktor agar tidak melengahkan masa untuk mendapatkan pandangan atau rawatan daripada mereka yang pakar jika terdapat sebarang perubahan pada diri.
Walau bagaimanapun Tun Hasmah telah merahsiakan tentang ‘perubahan dirinya’ daripada suami, Tun Mahathir. Tetapi, akhirnya memberitahu Tun Mahathir setelah mendapat keputusan biopsi.
“Apabila dia (Tun Mahathir) tahu pada hari keputusan biopsi keluar, dia tak bebel, cuma dia risau sampaikan suruh saya dibedah pada esoknya,” kongsi Tun Hasmah tentang keputusan biopsi tersebut mengesahkan ketumbuhan di payudara kirinya itu adalah kanser.
“Saya masuk wad selama empat hari selepas itu saya dibedah untuk keluarkan ketumbuhan kecil berkenaan dan keesokan harinya saya boleh keluar daripada wad dan kini saya menjadi pejuang yang berjuang untuk melawan kanser,” kongsi Tun Hasmah.
“I‘m a survivor,” kata Tun Hasmah.
Tun Hasmah turut menasihatkan setiap wanita agar sentiasa peka dengan perubahan diri serta melakukan saringan awal bagi mengenal pasti potensi kanser payudara. Setiap wanita tidak perlu malu atau takut untuk melakukan pemeriksaan kesihatan terutama pemeriksaan payudara.
*Pemakaian bra yang betul sangat penting untuk kesihatan wanita.
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Isteri Sufian Suhaimi, Rania Al Sadat selamat bersalin zuriat pertama baru-baru ini. Tak henti-henti memanjatkan rasa syukur, bayi perempuan yang diberi nama ‘SR’ ini dilahirkan pada 24 April 2026 secara normal.
Berita gembira ini pastinya mencuri perhatian peminat Sufian yang popular menerusi lagu ‘Menggenggam Bahagia’ dan ‘Di Matamu’. Bergelar bapa kandung pada usia 34 tahun, khabar tersebut dikongsikan sendiri oleh Sufian menerusi media sosial. Sufian sebelum ini memiliki seorang anak angkat lelaki bernama Faeq Razeeq.
Sufian turut meluahkan rasa syukur kerana berpeluang menemani isterinya sepanjang proses kelahiran. Pengalaman melihat sendiri isteri bersalin ternyata memberi kesan mendalam dalam hidupnya.
Bayi perempuan mereka dilahirkan secara normal dengan berat 2.71 kilogram di sebuah pusat perubatan di Serdang, Selangor.
“Saya teman dan melihat sendiri proses isteri bersalin. Satu pengalaman baharu dan ia membuatkan saya lebih menghargai isteri serta ibu. Sekarang mungkin lebih selesa, tetapi kita tak tahu keadaan ibu kita dahulu,” kongsinya.
Tambahnya, fokus utama kini tertumpu kepada penjagaan bayi yang baru lahir. Sufian turut berkongsi bahawa mereka beruntung kerana menerima sokongan penuh daripada kedua-dua belah keluarga selepas bayi dilahirkan.
Pengalaman sebagai ibu bapa pertama tentu sekali berbeza. Rasa bahagia dan panik bercampur-aduk, itulah pentingnya sokongan ibu bapa dan keluarga membantu mengurangkan tekanan serta memberi ruang kepada ibu untuk pulih sepenuhnya.
Sukanya tengok wad bersalin Rania ni, tenang dan selesa siap hiasan dekorasi belon-belon pink tanda bahagia meraikan kehadiran orang baharu.
Sah bergelar isteri Sufian pada 2 Mei 2025, Rania Al Sadat bukan sahaja dikenali sebagai isteri selebriti, tetapi juga seorang wanita berpendidikan tinggi dan berkerjaya. Menurut sumber, beliau merupakan graduan Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Dedah sumber lagi, Rania kini berkhidmat sebagai Peguam dan Peguambela Mahkamah Tinggi Malaya di firma guaman Izzat Othman & Co di Petaling Jaya. Selain itu, beliau juga aktif sebagai model dan dikenali dengan personaliti yang merendah diri.
Bukan itu sahaja, beliau juga merupakan cucu kepada Mufti pertama Kuala Lumpur, Tan Sri Dato’ Sheikh Abdul Mohsein bin Haji Salleh, yang terkenal sebagai tokoh agama berpengaruh, fasih berbahasa Arab dan Inggeris serta sering muncul dalam program keagamaan di televisyen pada zamannya.
Menurut Sufian, mereka masih dalam proses memilih nama yang sesuai untuk si comel, namun memberi bayangan nama tersebut akan bermula dengan huruf ‘SR’ iaitu gabungan nama Sufian dan Rania.
“Selepas bersalin, kami mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa. Kami masih baharu dan belum ada pengalaman menjaga bayi. Banyak perkara yang perlu kami belajar,” tuturnya dengan penuh rasa syukur.
Kehadiran bayi perempuan ini menandakan permulaan fasa baharu dalam kehidupan mereka sebagai ibu bapa, yang pastinya bertambah erat dan bahagia.
Semoga dengan kelahiran zuriat pertama ini menyerikan lagi rumah tangga Sufian dan Suhaimi. Semoga ibu dan anak cepat sihat dan Rania tenang melalui fasa berpantang. Tahniah!