Secara amnya, kanser payudara boleh menyerang wanita berusia di antara 30 hingga 75 tahun. Tapi kebanyakan kes yang diterima, mereka yang berusia bawah 50 tahun lebih berisiko tinggi. Ada juga yang mula menghidap kanser payudara seawal usia 20 tahun. Memang tidak dinafikan faktor usia mempengaruhi penyakit ini tetapi penyumbang terbesar adalah genetik.
Menurut Dr Azura Abas yang pernah berkhidmat di Jabatan Pembedahan Awam Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Bahagian Perut dan Usus sekitar tiga tahun lepas mengakui telah beberapa kali terlibat menjalankan operasi pembedahan pesakit kanser nombor satu wanita ini.
“Ramai juga yang masih tak tahu bahawa racun serangga turut menjadi punca kepada kanser payudara. Biasanya racun serangga ini terlekat pada sayur-sayuran dan jika tidak dibasuh bersih, ia boleh menjejaskan kesihatan. Begitu juga pendedahan keterlaluan terhadap hormon estrogen di kalangan wanita yang dalam fasa menopaus. Pengambilan lebihan hormon ini sebagai terapi golongan menopaus supaya emosi mereka tenang dan stabil meningkatkan lagi risiko kanser payudara. Termasuklah ibu-ibu yang tak menyusukan bayi.
Apabila menyusukan bayi, ia akan mengurangkan kecenderungan kanser payudara. Sama seperti ibu hamil kerana kandungan hormon estrogen dalam badan wanita waktu itu terhenti seketika dan membuatkan sistem badan dapat berehat. Jadi, mereka terhindar daripada risiko kanser tersebut.”
Menceritakan pengalamannya sepanjang bertugas di HSNZ, terbit reaksi kecewa pada wajah doktor berusia 31 tahun ini apabila mengetahui rata-rata wanita Malaysia masih kurang pendedahan terhadap kanser dan pemeriksaan payudara sendiri di rumah. Akibatnya, ramai pesakit yang datang ke hospital dalam keadaan agak melarat dengan saiz ketulan sebesar 4 sentimeter.
“Bayangkan 1 sentimeter pun cukup membahayakan, ini pula 4 sentimeter. Sangat bahaya kalau ketulan sudah membentuk sebesar ini. Kajian yang dibuat pakar perubatan di Malaysia juga mendapati sebahagian besar pesakit yang disahkan menghidap kanser payudara ambil masa lama untuk dapatkan rawatan.
Sampai tiga bulan baru hendak datang dan sukar untuk diubati sebab sel kanser sudah merebak ke bahagian lain. Tambahan pula, jika pesakit sudah melepasi stage 4 kami hanya mampu bagi rawatan sokongan seperti kaunseling dan ubat tahan sakit yang sesuai untuk buatkan pesakit berasa selesa,” terang Dr Azura yang kini bergelar ibu kepada seorang cahaya mata lelaki.
Prihatin terhadap pertambahan jumlah kes kanser payudara yang menyerang wanita saban tahun, dia turut menyarankan para wanita menjalani pemeriksaan seperti mamogram dan ultrasound di hospital mahupun klinik kesihatan berdekatan sebagai langkah pencegahan awal. Selain itu, amalan pemakanan sihat dan seimbang juga digalakkan terutamanya makanan yang tidak mengandungi bahan pengawet serta tidak terdedah dengan racun serangga.
“Nasihat saya, kalau ada rasa perubahan pada payudara cepat-cepat pergi ke hospital. Doktor akan lakukan pemeriksaan untuk kesan sebarang benjolan atau ketulan. Kadang-kadang rupa ketulan yang bulat dan boleh bergerak dalam payudara adalah ketumbuhan yang tak membahayakan. Tak buang pun tak apa. Yang kami risau bila ketulan itu menyerupai ciri kanser seperti keras, melekat di satu tempat saja dalam payudara, bukan berbentuk bulat dan puting payudara keluar darah mahupun nanah.”
Kredit foto: Instagram Dr Azura