Pelawak dan penyampai radio Suria FM, Shuib selamat bertunang dengan Watie Hanifah dalam majlis tertutup di kediaman usahawan itu di Shah Alam, hari ini. Berita gembira itu dikongsi Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhammad pada hantaran berbentuk video di Istagram Story (IGs), sebentar tadi.
“Assalamualaikum, Shuib ini. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.
“Hari ini 6 Mei 2023, Alhamdulillah, saya baru sahaja melangsungkan pertunangan dengan Watie.
“Saya mohon doakanlah semoga perjalanan kami dipermudahkan. Doakan yang baik-baik untuk kami.
“Doakan tau.. Selamat Hari Raya,” kata Shuib yang tampak segak mengenakan baju Melayu cekak musang warna hijau pucuk pisang dalam video itu.
Sementara itu, memetik laporan Gempak, Shuib menghadiahkan tiga dulang hantaran termasuk sirih junjung, sepasang kasut dan manisan kepada bakal isterinya itu.
Pihak wanita pula membalas lima dulang berupa kasut, manisan, sirih junjung, buah-buahan dan sampin.
Ads
Shuib dan Watie dikatakan bakal melangsungkan pernikahan pada 23 Jun akan datang.
Ads
Bulan lalu, Shuib mengesahkan bakal memperisterikam Watie selepas hampir dua tahun bergelar duda.
Shuib berkahwin dengan penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada 2011. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2 tahun.
Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan COVID-19.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Di sebalik sifat tegasnya, Tun Dr Mahathir juga sebenarnya seorang yang lucu. Selain kerap dilihat bergurau senda bersama isteri tersayang, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.. telatah Perdana Menteri Ketujuh Malaysia ini juga sering menjadi perhatian rakyat. Meskipun tanpa mengungkapkan kata-kata yang mencuit perasaan, namun mimik muka Tun M sudah cukup menggeletek hati ramai.
Terbaru, menerusi video kempen Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) sempena Aidilfitri yang menampilkan Tun M bersama Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Anthony Loke Siew Fook berjaya mencetuskan reaksi pelbagai daripada segenap lapisan masyarakat. Dengan jumlah tontonan mencecah hampir 1 juta di laman Facebook Dr Mahathir bin Mohamad, jelas terserlah sense of humour yang dimiliki pemimpin kesayangan ramai ini.
VIDEO Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri YAB PM dan Menteri Pengangkutan
Usai membicarakan fokus utama tentang keselamatan jalan raya menjelang Syawal yang bakal tiba, jenaka Tun M pada akhir babak video tersebut bersama team produksi JKJR nyata menghiburkan. Lebih-lebih lagi apabila mereka mahu bergambar bersama.
Tun M: Did you vote for me?
Team JKJR: (Ketawa) Satu lagi soalan.. ambil gambar boleh?
Tun M: (Ketawa) Seorang sekupang
Pun begitu, misi utama video kempen keselamatan ini dihasilkan adalah sebagai panduan buat orang ramai untuk pulang berhari raya di kampung halaman kelak. Malah, ia turut mengetengahkan beberapa isu berkaitan kemudahan lalu lintas dan peraturan jalan raya.
Menjelas lanjut tentang pemanduan ketika berada di jalan raya, ini pesanan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. “Kalau mengantuk semasa memandu, berhenti. Pergi je tepi jalan, berhenti, tidur. Iyalah, sesetengah orang bila dah umur macam umur saya ini, kurang tenaga.
Biasanya orang 90 tahun tu usah bawa lah… Keseronokan saya ialah membawa kereta. Tapi saya dapat bawa kereta hujung minggu saja. Itu pun ada driver di tepi.”
Sementara itu, ketika mengulas tentang pembayaran saman, ini jawapan Tun M. “Kalau kita kena saman, kita kena bayarlah. Sebabnya kita kena bayar, sebagai satu tekanan ke atas kita supaya selalu ingat bahawa apabila kita buat sesuatu yang salah dalam memandu kereta, maka kita perlu membayar saman. Tapi kalau saman boleh diskaun, saya ingat dia tak jadi amaran kepada kita.”
Ini pula penjelasan Menteri Pengangkutan. “Tujuan kerajaan bukan nak menyaman orang. Bukan nak menyusahkan orang. Umpamanya baru-baru ini saya telah mengeluarkan perintah memperingatkan semua orang yang kena tukar air bag dalam kereta yang telah recall, mereka kena tukar. Kalau mereka tak tukar, kena saman.
Bagi saya yang pentingnya apabila kita memandu untuk balik kampung dalam fikiran kita kena ingat, kita nak balik berseronok dengan keluarga. Memandu tu kena berhati-hati. Kena bersabar,” ujar YB Anthony Loke.
Jadi, sebelum berangkat ke kampung nanti ingat pesanan Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan ini. Usah terburu-buru dan sentiasa berhati-hati di jalan raya serta lakukan pemeriksaan kenderaan sebelum bertolak untuk mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam sempena Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 di Istana Negara semalam.
Keberangkatan tiba Seri Paduka, yang merupakan pengasas dan penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja, turut diiringi Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis binti Almarhum Tengku Abdul Hamid serta Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.
Kemunculan Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah ke majlis rasmi itu turut mendapat perhatian umum.
Turut hadir 400 tetamu terdiri daripada pereka fesyen tempatan dan delegasi penggiat tekstil dari 13 negara yang mengambil bahagian dalam simposium yang berlangsung sejak 25 Sept hingga Jumaat ini.
Acara malam ini turut diserikan dengan persembahan kebudayaan serta pertunjukan busana tradisional termasuk songket dan tenun Pahang. Sekumpulan kanak-kanak cilik turut mempersembahkan tarian tradisional Ketipang Payung untuk para hadirin.
Persembahan kebudayaan itu bagi memperkenal keunikan serta kepelbagaian kesenian, budaya dan etnik Malaysia kepada wakil-wakil negara luar.
Simposium itu, yang diadakan secara dwitahunan, bertujuan menghimpunkan penggiat seni tekstil ASEAN dan rantau lain untuk berkongsi maklumat mengenai keunikan masing-masing.
Simposium anjuran Yayasan Tenun Pahang Diraja itu mempamerkan keindahan tekstil Malaysia termasuk songket dan batik selain teknik pembuatan warisan Melayu seperti tekat, tenun, telepuk dan menggerus untuk dipelajari oleh masyarakat dunia.
Sempena simposium itu, 19 kertas kerja akan dibentang oleh wakil 13 negara termasuk Brunei, Indonesia, Kemboja, Kanada, India, Filipina dan Myanmar khususnya bagi membincangkan pemeliharaan seni serta kelestarian tekstil tenunan asli di rantau ASEAN.
Sumber: BERNAMA
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Beberapa hari kebelakangan ini nama Masoud Pezeshkian hangat diperkata di seluruh dunia. Beliau disifatkan seorang pemimpin berjiwa berani dan tegas mempertahan kedaulatan negaranya, Iran. Di sebalik populariti Presiden Iran ini, anak perempuannya yang sering dilihat berada di sisi iaitu Zahra Pezeshkian turut menjadi perhatian masyarakat dunia.
Kelibat Zahra yang setia menemani bapa tersayang ke majlis rasmi mahupun ketika turun padang bertemu rakyat bukan lagi perkara asing bagi penduduk Iran. Zahra Pezeshkian sentiasa tampil dengan busana hitam dan lengkap bertudung serta ‘kaya’ dengan senyuman.
Memetik laporan media News Central Asia, anak perempuan Masoud Pezeshkian ini seorang wanita bijak dan berpendidikan tinggi. Dia merupakan graduan Ijazah Sarjana Kimia dari Sharif University dan pernah berkhidmat sebagai jurutera kimia di Jam Petrochemical Complex sebelum pemerintahan kerajaan bekas pemimpin, Hassan Rouhani.
Sokongan tidak berbelah bahagi Zahra terhadap karier politik bapa meraih pujian pelbagai pihak. Dari proses pencalonan bagi kempen Pilihan Raya Presiden Iran sehinggalah bapanya dipilih sebagai presiden secara rasmi, kelibat Zahra tidak pernah jauh daripada pemimpin tersebut walau pun dia dilaporkan sudah berumah tangga.
Sebelum ini salah seorang bekas menteri Iran iaitu Massoumeh Ebtekar pernah melabelkan gelaran The First Daughter kepada Zahra kerana komitmennya menjalankan tugas yang selama ini menjadi peranan isteri kepada presiden.
Yang pasti, kesetiaan Zahra Pezeshkian terhadap bapanya yang juga Pakar Kardiologi terbit daripada rasa kasih yang menebal setelah melihat pengorbanan dan jasa pemimpin berusia 70 tahun tersebut membesarkan anak-anak selepas kematian ibu dan adik bongsu pada tahun 1993.
Difahamkan isteri Masoud Pezeshkian iaitu Dr Fatemeh Majidi yang juga Pakar Sakit Puan meninggal dunia bersama anak bongsu mereka akibat nahas jalan raya pada tahun 1993.
Meskipun sedih dengan insiden tragis itu tapi Masoud tabah harungi hari mendatang bersama tiga lagi anaknya. Dia juga memutuskan untuk tidak lagi berkahwin. Sebaliknya belajar untuk memasak dan membesarkan anak-anak iaitu seorang perempuan dan dua anak lelaki.
Dalam kesibukannya sebagai pakar bedah jantung dan tanggungjawab mengetuai Tabriz University of Medical Sciences, dia nekad menelaah buku pelajaran anak-anak agar dapat membantu mereka belajar dan menjadi tutor mereka.
Dia berusaha menjadi bapa dan ‘ibu’ terbaik untuk anak-anak dengan menyediakan masakan, beri kasih sayang sepenuhnya dan berkhidmat sebagai doktor dengan sebaik mungkin.
Ketika meneraju Tabriz University of Medical Sciences, Masoud Pezeshkian dikenali kerana usahanya memperketat pemakaian tudung di universiti. Bahkan sejak mentadbir Iran, beliau turut lantang menyuarakan isu berkaitan wanita termasuk syarat pemakaian tudung.
Pengorbanannya terbalas apabila melihat kejayaan anak-anaknya hari ini. Selain Zahra, Youssef Pezeshkian merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Fizik. Mehdi Pezeshkian juga dilaporkan graduan PhD.
Kerjaya politik Masoud Pezeshkian bermula semasa dia menyertai pentadbiran Presiden Mohammad Khatami sebagai Timbalan Menteri Kesihatan pada 1997. Dia kemudian dilantik memegang jawatan Menteri Kesihatan selama empat tahun dari 2001 hingga 2005.
Beliau seterusnya menjadi Ahli Parlimen Iran sebanyak lima kali mewakili Tabriz. Masoud Pezeshkian menyertai Pilihan Raya Presiden pada tahun 2012, 2021 dan buat kali ketiga pada 2024 dan akhirnya menjadi Presiden.
Beliau juga fasih bertutur dalam Bahasa Arab dan Inggeris.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!