Perjalanan seorang pendidik bukan sekadar mengajar, menulis dan membaca, tetapi mendidik anak-anak agar menjadi insan berguna. Tanggungjawab dan amanah perlu dilaksanakan dengan sepenuh jiwa dan raga, berlandaskan keikhlasan dalam membina generasi yang terbaik. Puan Farisha Arwati binti Ahmad berusia 44 tahun, merupakan founder iSmart Eduworld.
Memiliki pusat perkembangan minda bagi kanak-kanak berkeperluan khas dan juga kanak-kanak biasa,Puan Farisha berkhidmat secara aktif dalam usaha melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan dan kemahiran.
“Di sini kami ingin membentuk generasi yang berdisiplin, berakhlak mulia, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri yang unggul. Kami mahu melahirkan pelajar yang berfikiran kritis, kreatif dan inovatif.
Pada masa yang sama kami ingin mewujudkan dan membina kesedaran ke arah penghayatan budaya ilmu yang terancang dan sistematik. Kami menyediakan pelajar berkeperluan khas dalam asas pembelajaran iaitu membaca, menulis dan mengira serta kursus asas EIP (Early Intervention Program).”
Begitu kata Puan Farisha yang memiliki Pusat Pendidikan One Stop Centre (iSmart Eduworld), Pengasas Tadika Bestari Cerdas (Berdaftar dengan KPM-Institusi Swasta), Pengasas Taska Bestari Cerdas (Berdaftar dengan JKM-Institusi Swasta), Pengasas iSmart Outdoor Equestrian (iSODE) dan merupakan Pengerusi Persatuan Autisma Perak (PAP).
“Saya mula mengajar sejak berumur 26 tahun. Jiwa pengajar telah menjadi sebahagian dalam diri saya, walaupun saya merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Undang-undang). Saya memilih dunia pendidikan untuk memenuhi impian saya memiliki dua dalam satu iaitu saham dunia dan akhirat. Malah, ibu dan suami juga menjadi sumber inspirasi yang kuat untuk menjadi guru dan pendidik.
Ads
Mengimbas kenangan lapan tahun lalu, seorang pelajar saya didapati mempunyai kecenderungan ciri-ciri autisme. Ibu bapanya menyatakan masalah ini kepada saya dan mereka telah pun ke beberapa pusat pembelajaran lain dan juga kelas terapi. Namun keluarga ini lebih yakin tentang kebolehan saya untuk menguruskan pembelajaran anaknya. Keluarga ini juga risau tentang pendidikan agama anaknya.
Daripada saat itulah saya memberi cabaran kepada diri saya dan team guru-guru untuk membantu anak-anak syurga ini. Pendekatan yang saya gunakan alhamdulillah memberi respon yang positif terhadap perkembangan yang baik untuk pembelajaran anak-anak ini,” bicara Puan Farisha yang merasakan ratio pelajar autisma yang semakin meningkat dan betapa pentingnya pembelajaran autisma untuk diberi keutamaan dalam usaha membantu anak-anak syurga ini.
“Saya sebenarnya mengajar pelbagai peringkat umur pelajar iaitu pelajar sekolah menengah, rendah, tadika serta taska dan pelajar bekeperluan khas iaitu autisma. Antara pengalaman menarik saya adalah ketika mengajar pelajar autisme yang berusia 6 tahun. Namun ibu bapanya tidak pernah mendengar anaknya memanggil nama mereka ‘Mama’ atau ‘Papa’.
Alhamdulillah selepas mengikuti pembelajaran di pusat pendidikan kami iaitu dalam program The Great Caliphs, satu hari di depan saya sewaktu ibunya datang mengambil di sekolah, anak ini tiba-tiba memanggil ibunya dengan panggilan ‘Mama’.
Ibunya terus mengalirkan air mata sebab itulah kali pertama beliau mendengar anaknya memanggil beliau. Sekarang anak pelajar ini sudah boleh membaca dan menguruskan diri,” cerita Puan Farisha dengan senyuman bermakna.
Ads
Hakikatnya sebuah kegembiraan itu sukar dibayangkan kerana cabaran dalam mengajar anak-anak istimewa ini memerlukan ilmu, kefahaman serta kesabaran yang tinggi. Situasi pelajar sentiasa tidak sama serta memerlukan diagnostik dan pendekatan yang berbeza.
“Ini mungkin cerita kecil bagi kebanyakan kita. Namun inilah realiti dalam keluarga yang mempunyai anak autisme. Mereka juga inginkan anak-anak ini boleh melakukan perkara-perkara asas dalam pembelajaran iaitu membaca, menulis dan mengira serta boleh menguruskan diri dengan baik termasuk boleh solat dengan baik.”
Siapa yang menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan selama Ini? “Suami merupakan pemangkin semangat utama saya. Beliau merupakan seorang pendidik iaitu seorang pensyarah yang mengajar di peringkat pra universiti.
Beliau memahami kerjaya saya dan sering menjadi sumber rujukan. Mengajar pelajar autisme memerlukan banyak ilmu psikologi dan kaedah pendekatan berbeza serta pelbagai. Alhamdulillah suami sering memberikan buah fikiran dan perbincangan yang membina untuk membantu.
Ads
Menguruskan pusat pendidikan juga tidak mudah disebabkan berorientasikan sosial dan pendidikan. Oleh itu suami menjadi pembakar semangat dan motivasi untuk meneruskan dan mencemerlangkan pusat pendidikan ini. Guru adalah hak masyarakat dan anak-anak pelajar ini memerlukan kita untuk membina karektar diri dan masa depan yang cemerlang untuk mereka,” jelas Puan Farisha.
Apakah cabaran-cabaran sebagai seorang peniaga sekarang dalam mengharungi pandemik COVID-19?
“Dalam keadaan sekarang, antara kekangan yang kita lalui seperti masalah kewangan oleh ibu bapa menyebabkan ada pembayaran yuran bulanan tertunda. Kos operasi setiap bulan tidak berubah namun pendapatan bulanan terjejas. Selain itu, pendekatan pembelajaran perlu disesuaikan dengan keadaan pembelajaran situasi semasa.”
Prinsip hidup yang dipegang oleh Puan Farisha, “Saya mempunyai tiga prinsip utama. Pertama, buat apa yang Allah suka, insyaallah Dia mudahkan perjalanan sebagai seorang pendidik.
Kedua, berniaga kerana Allah dulu, amalkan bersedekah selalu, alhamdulillah rezeki sentiasa ada walau dalam keadaan sukar. Terakhir sekali, ‘the Great Caliphs’, saya percaya semua pelajar mempunyai kehebatan dan kebolehan masing-masing.
Kita sebagai pendidik mesti mampu mencari ruang dalam membantu mencemerlangkan anak-anak pelajar yang perlu bimbingan dan perhatian kita sepenuhnya,” ujar Puan Farisha yang sering mengadakan aktiviti bersama masyarakat berkaitan dengan dunia pendidikan.
Bagaimana cara membahagikan masa antara kerjaya dan menguruskan keluarga? “Keluarga tetap merupakan keutamaan saya. Namun suami dan anak-anak sangat memahami kerjaya ini. Kerjaya mendidik juga saya tanamkan dalam diri anak-anak supaya mereka juga mempunyai jiwa mendidik. Kita perlu bijak menyeimbangkan masa mengikut keperluan serta keutamaan di antara keluarga dan kerjaya.
Harapan yang ingin dicapai oleh Puan Farisha di masa hadapan? “Saya impikan sebuah pusat pembelajaran yang serba lengkap dan kondusif untuk aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum. Di pusat ini juga nanti ada menyediakan keperluan yang lengkap untuk pelajar bekeperluan khas seperti pelajar autisme,” ujarnya yang sering mengamalkan makanan sunnah seperti minum 2 sudu minyak zaitun dan sedikit habbatus sauda serta madu setiap hari.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kredibiliti Dzuleira Abu Bakar menerajui syarikat berteraskan sains dan teknologi sememangnya wajar mendapat pengiktirafan. Sebagai seorang wanita korporat dengan pencapaian yang membanggakan, berkeluarga bukan suatu penghalang untuk mempunyai kerjaya dan mengurus tadbir organisasi berkapasiti besar yang menjadi nadi pembangunan negara seperti Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).
Tanpa keazaman tinggi, komited dan dinamik terhadap kerjaya, tidak mungkin Dzuleira mampu membawa MRANTI ke tahap global sehingga kini. Karakter tegas, disiplin, kreatif dan berfikiran realistik telah mendorong kejayaan Dzuleira dalam sektor korporat.
Bersandarkan kemampuan dan pengetahuan luas yang dimiliki hasil pengalaman daripada pelbagai agensi sebelum ini, Dzuleira mendapat kepercayaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menggalas tanggungjawab selaku Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI pada tahun 2021.
MRANTI ditubuhkan daripada penggabungan dua agensi di bawah MOSTI iaitu Technology Park Malaysia (TPM) dan Malaysia Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC). Penubuhannya adalah sebagai pemudah cara proses pencetusan idea hingga ke penghasilan impak melalui penciptaan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi serta inovasi.
Foto Majalah NonaFoto Majalah NonaKredit Instagram @dzuleiraKredit Instagram @dzuleira
Meskipun pada awalnya dia bercita-cita mahu menjadi seorang wartawan namun hasrat tersebut terkubur selepas Dzuleira ‘jatuh cinta’ dalam industri ini. Berkongsi pembabitannya sejak dua dekad lalu, pemimpin wanita berkaliber ini memiliki kelulusan dalam bidang perundangan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“Dah dekat 20 tahun, semuanya berlaku secara kebetulan sebab sebenarnya saya belajar undang-undang dan patut jadi peguam tapi lain pula takdirnya. Semua dah tertulis dan saya bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang. Pekerjaan pertama saya ialah di sebuah syarikat yang terlibat dalam teknologi satelit.
Baru dua bulan bekerja, saya berpeluang pergi ke Amerika Syarikat untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat penting. Waktu itu saya baru berusia 24 tahun dan dapat berjumpa dengan usahawan teknologi, Elon Musk. Ia pengalaman yang menakjubkan dan memberi inspirasi serta dorongan untuk saya memajukan diri dalam sektor pembangunan teknologi.
Bila dah masuk bidang kerjaya ini baru saya sedar inilah pekerjaan yang saya cari. Penting untuk ceburi bidang yang kita minat dan suka. Walau ia tidak mudah dan saya pernah kerja hampir 20 jam sehari, tapi saya puas.
Kerjaya ini beri peluang untuk saya lebih mengenali dunia teknologi sekaligus menambah minat dalam bidang serba canggih ini yang sangat bermanfaat bagi kelestarian alam dan masyarakat,” dedahnya yang mempunyai Ijazah Sarjana Pengurusan dan Kewangan, Universiti Malaya (UM) dan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Kredit Instagram @dzuleiraFoto Majalah NonaKredit Instagram @dzuleiraKredit Instagram @dzuleira
Selain pernah berkhidmat di syarikat teknologi kerajaan, Dzuleira juga menimba pengalaman di beberapa syarikat pelaburan ekuiti awam, korporat dan swasta. Malah, dia memiliki lebih 15 tahun pengalaman di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Berkecimpung dalam industri yang dimonopoli kaum lelaki menjadi salah satu cabaran buat Dzuleira. Menepis tanggapan stereotaip, dia melihat sama ada lelaki atau wanita kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri.
“Saya pernah berada dalam situasi perbincangan yang hanya saya seorang saja wanita. Ada masa, saya bernasib baik jika ada seorang wanita lagi turut serta. Sebaik-baiknya organisasi harus menyokong lebih ramai penglibatan wanita dalam kepimpinan syarikat.
Bekerja dengan bos lelaki atau perempuan tiada bezanya. Sepanjang karier, saya beruntung kerana mendapat kepercayaan daripada pemimpin lelaki kerana ada juga dalam kalangan mereka yang menyokong kepimpinan wanita. Saya percaya hanya kemampuan mesti diambil kira dan bukannya berdasarkan jantina.”
Kredit Instagram @dzuleiraKredit Instagram @dzuleiraKredit Instagram @dzuleira
Mengulas beberapa halangan lain yang dihadapinya, Dzuleira menambah, “Pada saya cabaran terbesar sejak berkecimpung dalam bidang ini adalah untuk meningkatkan penyertaan remaja perempuan dan wanita dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Wanita dan remaja perempuan memainkan peranan penting dalam komuniti sains dan teknologi. Penyertaan mereka harus diperkukuh. Walau bagaimana pun, sikap berat sebelah dan stereotaip jantina yang telah lama wujud menyebabkan gadis dan wanita menjauhi bidang berkaitan sains.”
Sedar penglibatan wanita dalam sektor korporat masih rendah, Dzuleira berkata selain memupuk galakan dan kesedaran daripada pihak berkaitan, sistem sokongan daripada ahli keluarga juga amat penting supaya wanita dapat terus berdaya saing.
“Pengalaman saya sendiri kalau tiada sokongan suami, ibu, ayah, mentua yang faham budaya kerja kita yang terpaksa kerja lewat malam, kerja hujung minggu atau terpaksa bertugas ke luar negara ia tentunya sukar. Wanita perlu ada support system yang kuat,” tegasnya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jika berhasrat untuk menjadi orang yang berjaya, tidak perlu tunggu untuk bertindak dan cubalah melakukan sesuatu yang bermanfaat. Jangan sesekali berfikir untuk berhenti dari apa yang telah diusahakan selama ini, kerana langkah kita sudah terlalu jauh untuk menyerah. Nor Farahiyah Kamal Bharin atau lebih dikenali sebagai Farra Fareez, 36 tahun, terus menyusun strategi dalam usaha mengembangkan sayap perniagaannya ke Indonesia.
Wanita cantik berasal dari Kelantan ini, semakin rancak membina empayarnya setelah 13 tahun berniaga.
“Saya berkahwin pada usia muda. Selepas mempunyai cahaya mata, saya mula terfikir untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat daripada hanya duduk di rumah menjaga anak sahaja. Saya sering travel ke Indonesia, membeli pakaian dan tudung untuk dijual di Malaysia.
Bermula dari situ saya mengenali satu jenama produk kecantikan popular di sana dan menyuntik semangat untuk menerokai dunia perniagaan skincare sendiri.” Farra Fareez
“Dengan modal lebih kurang RM300, saya buat sendiri sabun skincare di rumah. Saya masak dalam periuk kecil, cuba beberapa kali untuk pastikan sabun ini terhasil dengan baik.
Bayangkan saya masak, sampai berbuih satu bilik dengan sabun. Saya tidak pernah berputus asa, sehinggalah saya berpuas hati dengan keberkesanan sabun betik yang saya buat sendiri.
Suami turut membantu membelikan saya sebuah mesin untuk membuat produk sabun. Setelah belajar akhirnya saya berjaya menghasilkan sabun betik untuk penjagaan wajah yang terbaik yang kini berada di pasaran sehingga sekarang. Masih ingat, waktu itu saya buat packaging sendiri dan cuba jual kepada kenalan rapat.
Semakin hari, permintaan meningkat dan selepas dua tahun barulah saya memiliki kilang SME untuk menghasilkan produk sabun dengan menggunakan formula yang saya ciptakan sendiri.” Farra Fareez
Usaha Farra telah membuahkan hasil dan memberi kejayaan besar untuknya.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur hanya dengan produk sabun dari air tangan sendiri, perniagaan saya terus berkembang dengan menghasilkan pelbagai rangkaian produk yang lain.
Ramai yang mempercayai keberkesanan produk ini kerana ia menggunakan bahan-bahan semula jadi, seperti buah-buahan dan tiada merkuri.
Saya terus mengukuhkan strategi pemasaran di radio, televisyen dan aktif di Facebook ketika itu. Sekarang kami semakin rancak buat promosi di semua platform sosial media. Permintaan meningkat dan pejabat saya dari kecil pun telah berpindah kepada yang lebih besar.
Setelah produk saya mendapat tempat di Malaysia, saya nekad untuk meluaskan empayar perniagaan saya ini ke Indonesia. Sebelum pandemik, saya berjaya menembusi pasaran Indonesia secara legal.
Bukan mudah sebenarnya produk kecantikan untuk menembusi pasaran di sana. Tetapi sayangnya kerana pandemik menjadi kekangan besar sekaligus membataskan urusan mengeksport produk Farra Beauty ke negara tersebut.
Keadaan ini agak mengecewakan sebenarnya tetapi apa yang berlaku di luar kawalan kita. Selepas dua tahun, saya kembalikan semangat untuk tawan hati rakyat Indonesia kerana masih ada permintaan terhadap produk Farra Beauty.
Sekarang saya sedang merangka strategi pemasaran di Indonesia bersama ramai influencer dan Tik Tokers di sana. InsyaAllah, saya akan lancarkan produk ini secara besar-besaran tahun hadapan.”
Menyentuh tentang perniagaannya sebagai Co-Founder Nilofa, Farra menjelaskan,
“Sebenarnya Neelofa sepupu di sebelah suami dan ingin melakukan kerjasama perniagaan bersama dalam usaha membantu keluarga beradiknya. Bagaikan orang mengantuk disorong bantal, saya sangat gembira untuk menerima pelawaan Neelofa untuk bekerjasama dalam perniagaan F&B ketika itu memerlukan modal yang besar.
Saya dan Neelofa bekerjasama dalam melaksanakan perniagaan susu pisang yang mana produk pertama kami yang pada ketika itu. Alhamdulillah, sambutan hangat sehingga permintaan melebihi pengeluaran. Namun kami berjaya memenuhi semua permintaan tersebut dan kini Nilofa terus mengorak langkah mengeluarkan produk Nilofa Plus minuman detox.” Farra Fareez
Baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Best Natural Skincare Award, Farra Fareez ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis & Penata Gaya: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Walaupun Dr. Soo Wincci sepatutnya boleh tersenyum bangga melihat pencapaiannya dalam pendidikan tetapi masih terus ghairah menuntut ilmu. Memperoleh Ijazah Undang-undang (University of Reading, United Kingdom), Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Universiti Sunshine Coast, Australia) dan PhD dalam Pentadbiran Perniagaan (Open University, Malaysia) dan kini Dr. Soo Wincci sedang memburu PhD keduanya dalam jurusan Artistic Produksi di University of Polytechnic di Sepanyol.
Foto: Koleksi Majalah NonaFoto: Instagram @dr.soowincci
Nama wanita yang pernah dinobatkan sebagai Miss World Malaysia 2008 ini bukan sahaja gah di persada seni tanah air malah terus melakar sejarah peribadi dalam bidang pendidikan. Dedikasi dan kredibiliti wanita tinggi lampai ini mendapat perhatian sehingga menerima pengiktirafan sewajarnya daripada Malaysia Book of Records sebagai The First Miss World Malaysia To Receive a PhD (2016), Most Number of Academic Degrees Obtained by A Beauty Queen (2019) dan Most Number of Academic Degree Obtained by a Recording Artist (2019).
Foto: Instagram @dr.soowincci
Pengiktirafan dan penganuerahan diperoleh selayaknya menjadikan Dr. Soo Wincci, 35 tahun, sebagai wanita inspirasi yang wajar diteladani buat wanita lain. Berjaya meletakkan nama di senarai Malaysia Book of Record bukan suatu tugas yang mudah. Wanita yang mesra disapa sebagai Wincci ini akui terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan.
Foto: Koleksi Majalah Nona
“Kali pertama melihat nama sendiri tersenarai di Malaysia Book of Record memang saya gembira dan bangga. Tapi bila tersenarai untuk kali kedua dan ketiga, benar-benar mengundang rasa sebak di hati bila teringat jerih payah menimba ilmu di negara orang. Sehingga sekarang saya sendiri tidak percaya mampu menamatkan pengajian.
Bayangkan pernah suatu ketika, duit saku saya hanya tinggal 1 Euro sahaja demi kelangsungan hidup. Saya terpaksa bekerja sebagai krew di studio pementasan di sana. Saya melakukan pelbagai kerja seperti menggulung wayar dan menyediakan pentas untuk menambah duit saku.
Foto: Instagram @dr.soowincci
Jujurnya, saya pernah putus asa untuk meneruskan pengajian apabila terpaksa mengharung pelbagai dugaan terutama dari segi faktor kewangan. Tapi saya bersemangat semula apabila saya ingat kembali impian saya untuk belajar di sini. Saya terpaksa menunggu selama 10 tahun untuk belajar di Berklee College of Music di Valencia kampus Sepanyol ini.
Foto: Instagram @dr.soowincci
Kolej ini merupakan impian semua ahli muzik untuk masuk belajar dan saya tidak akan sia-siakannya,” tutur Dr. Soo Wincci yang memperoleh Ijazah Sarjana (Master In Music Production, Technology & Innovation) dan Ijazah Sarjana (Post Master In Live Music Production) dari Berklee College of Music.
Foto: Instagram @dr.soowincci
Dr. Soo Wincci berharap agar lebih ramai rakyat Malaysia terutama wanita akan terus menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi kerana beranggapan pendidikan itu sangat penting dalam kehidupan, “Dulu saya sering diejek ‘gila’ oleh orang di sekeliling dan ramai yang merendahkan saya dengan berkata wanita tak boleh pergi jauh.
Kata-kata begini kadang-kadang boleh mengganggu emosi saya. Tapi saya hanya bersabar dan saya kata pada diri sendiri tidak ada jalan pintas untuk berjaya, biar lambat asalkan tepat.
Foto: Instagram @dr.soowincci
Bagi saya pendidikan sangat penting kepada generasi sekarang terutama wanita. Kita perlukan lebih ramai wanita untuk memperkasakan sektor pendidikan agar dapat berdikari terutama daripada segi kewangan. Justeru, kita sebagai wanita dapat menyumbang bakti dari segi tenaga intelektual kepada negara.
Hidup dalam era dunia tanpa sempadan kini, arus perkembangan terlalu cepat jadi wanita perlu melengkapi diri dengan ilmu untuk menhadapi apa juga situasi untuk meneruskan kehidupan,” terang Dr. Soo Wincci yang mahu mencipta lebih banyak rekod untuk Malaysia agar menyuntik inspirasi generasi akan datang menjadi lebih kuat dan cerdik.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Datin Sri Muhaini Zainal Abidin menyambut ulang tahun kelahiran ke-64 dalam suasana bahagia dikelilingi anak dan cucu. Isteri kepada Dato’ Sri Ismail Sabri ini kekal tenang, lembut dan penuh kasih dalam menyokong keluarga di balik tabir.