Thania Mohd Mustapa atau Thania memiliki semangat juang yang tinggi biar pun bisnesnya, Naturalab Beauty baru menjangkau dua tahun. Thania mengharapkan agar dapat membantu lebih ramai wanita di luar sana untuk menjana pendapatan demi meningkatkan taraf hidup.
“Beberapa tahun dalam industri automobil, namun setelah bertemu dengan seorang rakan telah membawa saya ke bisnes kecantikan. Rakan saya inilah yang banyak mengajar selok belok bisnes. Pada mulanya saya buat bisnes suplemen ini sekadar suka-suka.
Namun setelah beberapa bulan saya mula menyertai kelas-kelas bisnes termasuk kursus jangka pendek. Setelah yakin dengan kemampuan diri barulah saya betul-betul serius dalam bisnes ini. Tidak sangka akhirnya kini ia menjadi kerjaya utama saya.
Ads
Salah satu cabaran, untuk meyakinkan pelanggan tentang keberkesanan produk. Saya jadikan diri sendiri sebagai testimoni agar dapat berkongsi secara jujur tentang hasilnya. Niat saya untuk membantu wanita yang memerlukan produk ini. Secara tidak langsung dapat menjana pendapatan mereka,” bicara wanita berusia 39 tahun ini.
KAGUM
Ads
“Tidak dinafikan bahawa wanita pada hari ini mampu untuk pergi lebih jauh dalam karier mereka antaranya bisnes. Wanita hari ini lebih berdikari. Saya sendiri mengagumi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang tidak perlu kita pertikaikan lagi akan kesungguhan, kekuatan dan pengorbanannya sebagai seorang isteri dan ibu. Beliaulah contoh superwoman sejati. Kejayaan tidak diukur dari segi wang ringgit sebaliknya apa yang dicapai.
Ads
Salah satu superpower bagi seorang superwoman ialah kekuatan dalaman. Seorang wanita itu perlu tahu apa yang ada dalam dirinya untuk berjaya. Berusaha gigih dan tahu apa yang ingin dicapai barulah dia layak membawa gelaran superwoman.
Seorang wanita perlu mencari kebolehan atau minat yang ada dalam diri mereka. Sikap malu tidak akan membawa kita ke mana-mana kerana akan terus berada di zon selesa,” kongsi ibu kepada dua cahaya mata ini.Bagi Thania wanita yang hidupnya penuh dengan dugaan layak digelar superwoman kerana memiliki kekuatan luar biasa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Sasaran saya nak buka rangkaian kuih frozen di setiap negeri. Macam BubbleBee Shuib dan beli mesin pau dalam masa terdekat,” demikian impian Hazita Binti See Ramdze, 42 tahun. Menggenggam Ijazah Bachelor of Management with Honours (BIM) kini Hazita berjaya mengembangkan kerjaya beliau sebagai seorang pelabur dan peniaga.
Wanita ini pernah menjawat guru sandaran di Sekolah Menengah Senai, Johor dan bekerja di sektor kerajaan selama 19 tahun sebagai penjawat awam. Perjalanan Hazita dalam dunia perniagaan diteruskan dengan membuka kedai pakaian bayi, menerima tempahan pemasangan wallpaper, menjual makanan frozen iaitu pau segera dan karipap pelbagai perisa serta membuka restoran.
Hazita berkongsi kisah kerjayanya, “Setelah tamat SPM, saya mendapat pelbagai tawaran ke IPT tetapi disebabkan masalah kewangan saya tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat ijazah, termasuk panggilan ke Akademi TV3.
Minat yang sangat mendalam dalam bidang pengacaraan ketika itu, menyeru saya untuk menyertai pertandingan Pengacara Jemputan Nona pada tahun 1996, namun sayangnya tidak berjaya. Tetapi alhamdulilah, saya dapat juga merasai bagaimana nak jadi pengacara dan berhadapan di depan kamera dan orang ramai.
Pada masa yang sama saya telah menerima tawaran menjadi guru sandaran selama setahun lebih. Kemudian saya memegang jawatan Pembantu Tadbir di sektor kerajaan. Saya terpaksa akur dengan kata orang tua, ‘Kerja kerajaan adalah terbaik dan menjamin masa depan’. Walaupun dalam lubuk hati tidak mempunyai jiwa dalam bidang tersebut.
Saya bertekad untuk sambung pengajian setelah berkahwin, bagi meneruskan cita-cita dan impian saya untuk mendapatkan ijazah. Dalam masa yang sama saya juga memulakan perniagaan pau frozen dan jualan ke kilang. Alhamdulilah, Allah beri saya kekuatan dan semangat untuk bekerja, belajar dan berniaga.
Ketika itu saya hanya berehat 4 jam sehari. Saya tidur dan bangkit pagi untuk bekerja. Masa saya ibarat emas, tiada masa untuk buang masa. Perniagaan saya hanya bertahan ketika itu selama 6 tahun memandangkan masalah pekerja dan jadual waktu yang sangat padat,” ujar Hazita yang melaksanakan pelbagai aktiviti perniagaan untuk berjaya.
Syukur dengan berkat kerajinan dan usaha keras, pada usia 24 tahun Hazita sudah dapat membeli rumah hasil jualan pau frozen. “Setelah berjaya mengumpul sedikit simpanan untuk modal, saya mulakan jualan kain pasang dan tudung secara sambilan, memasang wallpaper dan reka hias dalaman. Cuma mengisi hobi saya ketika itu.
Kemudian saya beralih arah ke pakaian kanak kanak secara online dan offline. Alhamdulillah, rezeki melimpah yang Allah berikan saya berjaya memiliki sebuah kedai dan dapat mengerjakan ibadah umrah bersama ibu dan keluarga tercinta. Saya juga telah menyerahkan perniagaan pakaian bayi dan kanak-kanak ini kepada anak sulung saya untuk diuruskan.
Bagi meneruskan minat saya dalam bidang perniagaan, saya terpaksa menghantar notis berhenti kerja. Saya memulakan perniagaan nasi lemak dan pelbagai masakan. MasyaAllah kedai setiap hari dipenuhi ratusan manusia dan tidak cukup meja kerusi untuk duduk.
Namun, saya diuji dengan pelbagai dugaan. ‘Langkit tidak selalu cerah, mendung bukan selamanya.’ Pengalaman dalam bidang masakan masih mentah, perniagaan terpaksa ditutup dengan masalah disiplin pekerja. Tetapi saya berpegang kepada prinsip jangan pernah putus asa, saya terus membuat jualan dari rumah. Saya mula mengikuti kelas-kelas masakan yang dikendalikan oleh Chef chef berpengalaman.
Perniagaan asam pedas ikan saya sangat laris dan mendapat tempahan setiap hari. Untuk mendapat bekalan ikan fresh ketika zaman COVID sangat sukar, tetapi saya terpaksa bertukar menu. Dengan berbekalkan ilmu dan jangan berhenti belajar mencari llmu untuk meningkatkan taraf hidup sangat penting.
Kini saya mencari peluang untuk belajar dalam bidang pelaburan saham bersama DDNK. Alhamdulilah syukur tak terduga rezeki dalam pelaburan saham sangat membuahkan hasil,” jelas Hazita sambil tersenyum.
KENANGAN
Antara kenangan yang tidak mungkin dilupakan, “Ketika baru mula berjinak-jinak jual kuih pau 15 tahun lepas, khemah saya pernah terbang ditiup angin. Bila terkenang peristiwa itu, mesti saya tersenyum sendiri.
Waktu itu saya tak pandai buat kuih, sehari semalam saya tidak tidur untuk buat pau. Esok saya cuba jual hanya dapat RM8 sahaja. Namun, berkat kesabaran saya akhirnya saya buktikan pau gebu gebas dan menjadi idaman sesiapa yang mencubanya.
Saya mula berniaga dengan modal RM20 sahaja dan jualan semakin hari meningkat, sehingga boleh mencecah 400 biji sehari. Kadang dalam tempoh satu jam sahaja sudah licin 200 biji Pau. Ini jalan cerita yang dilalui dalam perjanan hidup saya, semuanya menjadi kenangan manis selama saya bernafas di dunia ini. Saya dan anda mungkin berbeza ceritanya tetapi saya percaya dengan kesabaran dan usaha pasti di hujungnya membawa sebuah kejayaan terbaik untuk kita,” bicara Hazita.
“Jangan pernah putus asa, saya pernah gagal dalam subjek ekonomi dan matematik tetapi di setiap kegagalan itu saya bangkit dan belajar, akhirnya saya kini menggenggam segulung ijazah. Walaupun ketika itu saya hanya ada masa 4 jam sahaja untuk diri saya untuk tidur, belajar dan berehat.
Kadang-kadang sehari semalam saya tidak tidur kerana ingin siapkan assignment. Esoknya kena bangkit bekerja dan petang sambung pula untuk membuat jualan. Usaha dan fokus, jangan patah semangat sentiasa cari peluang diri sendiri. Jangan sabotaj diri. Ignore what people say about you. Cari redha Allah dan banyakkan bersedekah,” demikianlah pengorbanan Hazita demi mengejar impian dan cita-citanya untuk berjaya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nama ratu rock negara, Ella Aminuddin yang terkenal dengan trademark manja “Ella Rasa” kini kekal unggul. Aura living legend yang manis bertudung dalam usia 50an ini ternyata masih berbisa walaupun dah 30 tahun dalam industri seni tanahair.
Rangkaian lagu-lagu terhebat Ella seperti Dua Insan Bercinta, Nuri, Gemilang, Pengemis Cinta, Layar Impian, Sembilu dan Kesal masih menjadi siulan sampai ke saat ini.
PENGUSAHA LADANG CILI
Ramai yang dah tahu Ella dan suaminya, Kapten Azhar Ghazali kini bergelar usahawan pertanian. Tak sangka, di sebalik kelincahan Ella menyanyi di pentas rupa-rupanya juga telah bergelar usahawan cili yang berjaya. Wah hebatnya!
Ella dan suami mengusahakan tanaman fertigasi cili ini sejak dua tahun lalu yang melibatkan tiga ladang berkeluasan 1.2 hektar. Benih cili yang dipilih pula pastinya yang berkualiti tinggi.
“Sebenarnya minat dalam bidang bisnes ni memang dah lama ada. Kebetulan pula saya gemar bercucuk tanam antaranya menanam cili.
Bermula dari situlah kami ambil keputusan untuk tukarkan minat itu menjadi satu perniagaan. Bukan saja mendatangkan keuntungan bahkan memberi inspirasi buat mereka yang berhasrat menceburkan diri dalam bidang pertanian.
Hasil tanaman cili kami pasarkan ke kedai-kedai runcit, restoran, pasaraya dan pertubuhan pemasaran hasil tani. Sekarang saya berpeluang memberi tumpuan secara serius terhadap bisnes.
Saya harap lebih ramai lagi golongan muda melibatkan diri dalam bidang pertanian kerana ia menjanjikan masa depan yang baik dan jaminan simpanan keselamatan makanan untuk negara.
Saya juga yakin dengan potensi perniagaan pertanian yang dapat menjana pendapatan lumayan jika dibuat dengan betul dan bersungguh-sungguh.
Bagi saya, hikmah di sebalik COVID-19 ialah menyedarkan kita agar sentiasa bersyukur dan menghargai apa yang ada di sekeliling kita.”
Ella turut berkongsi dia bakal mengeluarkan beberapa rangkaian produk kesihatan pada tahun hadapan.
PENERIMA NONA LEGEND AWARD
Karier seni Ella sebagai penyanyi bermula sekitar tahun 1985 bersama kumpulan The Boys. Ella pernah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi penyanyi tempatan pertama merakamkan album penuh di Amerika Syarikat.
Serta, bergelar penyanyi wanita pertama tempatan yang mencapai jualan album terbanyak dan sehingga kini masih tiada saingan.
“Alhamdulillah, sepanjang 30 tahun dalam industri ini banyak pengalaman yang saya perolehi. Syukur dan terima kasih atas penganugerahan ini. Satu penghargaan dan sokongan buat saya. Ini juga membuktikan segala usaha saya selama ini sentiasa menjadi perhatian.
Untuk terus kekal dalam industri dan bergelar legend sebenarnya bukan mudah. Bukan sehari dua untuk menggapainya kerana ia memerlukan masa untuk menjadi yang terbaik.
Sumber kekuatan dan inspirasi semestinya suami, ibu dan adik beradik saya. Selain itu saya juga menginspirasikan Neelofa, ratu squash negara iaitu Datuk Nicol Ann David serta Datuk Faridah Hanim (Ibu Hanim).”
Kredit Foto: Instagram @ellaaminuddins @azzharzzs
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Sebenarnya saya amat berharap untuk menamakan cahaya mata saya dengan nama Carrisa. Cuma buat sementara menunggu tu, bisnes Carrisa adalah ‘bayi istimewa’ kami suami isteri,” lembut tutur pengasas Carrisa Cosmetics, Madam Zurin Zakaria saat ditanya sejarah syarikatnya.
Penyandang anugerah Nona Best Business Woman Award menerusi Nona Superwoman Award 2020 ini menjadikan suaminya, Amer Ezani Dato’ Adnan sebagai idola dan tulang belakang perniagaan.
“Kami suami isteri masih berikhtiar untuk cahaya mata, namun Dia ‘hadiahkan’ perniagaan Carrisa dahulu untuk kami bangunkan sepenuh hati.
Berkat dan restu suami tersayang, kini Carrisa sudah mempunyai tiga gedung fizikal iaitu di SACC Mall Shah Alam, Kota Damansara, dan Wangsa Maju,” tutur graduan Ijazah Pengurusan Perniagaan itu.
EMPAYAR
“Daripada pasaran fesyen, saya kembangkan Carrisa ke pasaran kosmetik pada tahun 2018. Kami berjaya lahirkan full range produk mekap merangkumi make-up kit, foundation, face powder, lip matte dan magical balm diikuti serum argan oil yang masih menjadi bestselling item Carrisa.
Tahun ini juga, kami baru mengeluarkan produk kolagen terbaru, iaitu minuman kecantikan yang diberi nama CollaShot yang amat baik untuk penjagaan kecantikan luaran dan dalaman wanita mahupun lelaki,” tutur Madam Zurin yang berusia 37 tahun.
Tambah beliau lagi, sebelum ni kerjayanya hanya membantu bisnes suami sebagai Quantity Surveyor Consultant. Kalau dibilang, hampir 13 tahun beliau berkecimpung dalam arena pengurusan seni bina.
“Saya banyak belajar tentang bisnes daripada suami, serba-serbi ilmu pengurusan dan strategi untuk memajukan perniagaan.
Selain itu, kita sendiri pun mesti ada kualiti pemimpin dan sifat entrepreneurship yang tinggi. Macam saya, saya ni seorang yang idealistik dan positif. Kita kena cepat bertindak dan jangan cepat putus asa bila gagal,” ujarnya bersungguh-sungguh.
BERKEMBANG PESAT
Tapi selari dengan peredaran teknologi, kini pelbagai usaha giat dijalankan agar jenama Carrisa terus relevan di dunia digital. “Berniaga sekarang bukan boleh cara tradisional atau direct approach macam dulu. Saya kena lebih cekap dan mantapkan platform media sosial kami.
Platform Instagram @carrisa.boutique @carrisa.beautyhq sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa. Boleh dikatakan setiap hari. Kami juga aktif di Facebook untuk mendekati pelanggan yang kini kebanyakannya tech-savvy.
Saya sendiri pun gigih belajar ilmu digital untuk pemasaran bisnes, selain selalu memantau online content. Kami juga terima order secara online, sama ada melalui website atau Whatsapp,” cerita Zurin sambil tersenyum.
Buat masa sekarang, Carrisa bekerjasama dengan Halal Trade Development untuk menembusi pasaran luar. Kalau tidak kerana pandemik tempoh hari, mungkin kami sudah bertapak di luar negara. Tapi segala-galanya perancangan Allah, saya percaya ada hikmah dan sesuatu yang lebih baik dalam perancangan-Nya,” jawabnya positif.
Mengakhiri pertemuan kami, Zurin turut menyatakan hasrat untuk melihat jenama Carrisa Cosmetics berdiri setanding jenama kosmetik tempatan lain yang sudah berjaya. Antaranya Alha Alfa dan NRC milik Nuex Rosli. Faktor kualiti dan kepuasan pelanggan menjadi keutamaan Zurin dalam memastikan hasrat tersebut tercapai, selain giat memantapkan jenama Carrisa di pasaran melalui reputasinya yang cemerlang.