“Sebenarnya saya amat berharap untuk menamakan cahaya mata saya dengan nama Carrisa. Cuma buat sementara menunggu tu, bisnes Carrisa adalah ‘bayi istimewa’ kami suami isteri,” lembut tutur pengasas Carrisa Cosmetics, Madam Zurin Zakaria saat ditanya sejarah syarikatnya.
Penyandang anugerah Nona Best Business Woman Award menerusi Nona Superwoman Award 2020 ini menjadikan suaminya, Amer Ezani Dato’ Adnan sebagai idola dan tulang belakang perniagaan.
“Kami suami isteri masih berikhtiar untuk cahaya mata, namun Dia ‘hadiahkan’ perniagaan Carrisa dahulu untuk kami bangunkan sepenuh hati.
Berkat dan restu suami tersayang, kini Carrisa sudah mempunyai tiga gedung fizikal iaitu di SACC Mall Shah Alam, Kota Damansara, dan Wangsa Maju,” tutur graduan Ijazah Pengurusan Perniagaan itu.
EMPAYAR
“Daripada pasaran fesyen, saya kembangkan Carrisa ke pasaran kosmetik pada tahun 2018. Kami berjaya lahirkan full range produk mekap merangkumi make-up kit, foundation, face powder, lip matte dan magical balm diikuti serum argan oil yang masih menjadi bestselling item Carrisa.
Ads
Tahun ini juga, kami baru mengeluarkan produk kolagen terbaru, iaitu minuman kecantikan yang diberi nama CollaShot yang amat baik untuk penjagaan kecantikan luaran dan dalaman wanita mahupun lelaki,” tutur Madam Zurin yang berusia 37 tahun.
Tambah beliau lagi, sebelum ni kerjayanya hanya membantu bisnes suami sebagai Quantity Surveyor Consultant. Kalau dibilang, hampir 13 tahun beliau berkecimpung dalam arena pengurusan seni bina.
“Saya banyak belajar tentang bisnes daripada suami, serba-serbi ilmu pengurusan dan strategi untuk memajukan perniagaan.
Selain itu, kita sendiri pun mesti ada kualiti pemimpin dan sifat entrepreneurship yang tinggi. Macam saya, saya ni seorang yang idealistik dan positif. Kita kena cepat bertindak dan jangan cepat putus asa bila gagal,” ujarnya bersungguh-sungguh.
Ads
BERKEMBANG PESAT
Tapi selari dengan peredaran teknologi, kini pelbagai usaha giat dijalankan agar jenama Carrisa terus relevan di dunia digital. “Berniaga sekarang bukan boleh cara tradisional atau direct approach macam dulu. Saya kena lebih cekap dan mantapkan platform media sosial kami.
Platform Instagram @carrisa.boutique @carrisa.beautyhq sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa. Boleh dikatakan setiap hari. Kami juga aktif di Facebook untuk mendekati pelanggan yang kini kebanyakannya tech-savvy.
Saya sendiri pun gigih belajar ilmu digital untuk pemasaran bisnes, selain selalu memantau online content. Kami juga terima order secara online, sama ada melalui website atau Whatsapp,” cerita Zurin sambil tersenyum.
Buat masa sekarang, Carrisa bekerjasama dengan Halal Trade Development untuk menembusi pasaran luar. Kalau tidak kerana pandemik tempoh hari, mungkin kami sudah bertapak di luar negara. Tapi segala-galanya perancangan Allah, saya percaya ada hikmah dan sesuatu yang lebih baik dalam perancangan-Nya,” jawabnya positif.
Mengakhiri pertemuan kami, Zurin turut menyatakan hasrat untuk melihat jenama Carrisa Cosmetics berdiri setanding jenama kosmetik tempatan lain yang sudah berjaya. Antaranya Alha Alfa dan NRC milik Nuex Rosli. Faktor kualiti dan kepuasan pelanggan menjadi keutamaan Zurin dalam memastikan hasrat tersebut tercapai, selain giat memantapkan jenama Carrisa di pasaran melalui reputasinya yang cemerlang.
Walaupun Dr. Soo Wincci sepatutnya boleh tersenyum bangga melihat pencapaiannya dalam pendidikan tetapi masih terus ghairah menuntut ilmu. Memperoleh Ijazah Undang-undang (University of Reading, United Kingdom), Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Universiti Sunshine Coast, Australia) dan PhD dalam Pentadbiran Perniagaan (Open University, Malaysia) dan kini Dr. Soo Wincci sedang memburu PhD keduanya dalam jurusan Artistic Produksi di University of Polytechnic di Sepanyol.
Nama wanita yang pernah dinobatkan sebagai Miss World Malaysia 2008 ini bukan sahaja gah di persada seni tanah air malah terus melakar sejarah peribadi dalam bidang pendidikan. Dedikasi dan kredibiliti wanita tinggi lampai ini mendapat perhatian sehingga menerima pengiktirafan sewajarnya daripada Malaysia Book of Records sebagai The First Miss World Malaysia To Receive a PhD (2016), Most Number of Academic Degrees Obtained by A Beauty Queen (2019) dan Most Number of Academic Degree Obtained by a Recording Artist (2019).
Pengiktirafan dan penganuerahan diperoleh selayaknya menjadikan Dr. Soo Wincci, 35 tahun, sebagai wanita inspirasi yang wajar diteladani buat wanita lain. Berjaya meletakkan nama di senarai Malaysia Book of Record bukan suatu tugas yang mudah. Wanita yang mesra disapa sebagai Wincci ini akui terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan.
“Kali pertama melihat nama sendiri tersenarai di Malaysia Book of Record memang saya gembira dan bangga. Tapi bila tersenarai untuk kali kedua dan ketiga, benar-benar mengundang rasa sebak di hati bila teringat jerih payah menimba ilmu di negara orang. Sehingga sekarang saya sendiri tidak percaya mampu menamatkan pengajian.
Bayangkan pernah suatu ketika, duit saku saya hanya tinggal 1 Euro sahaja demi kelangsungan hidup. Saya terpaksa bekerja sebagai krew di studio pementasan di sana. Saya melakukan pelbagai kerja seperti menggulung wayar dan menyediakan pentas untuk menambah duit saku.
Jujurnya, saya pernah putus asa untuk meneruskan pengajian apabila terpaksa mengharung pelbagai dugaan terutama dari segi faktor kewangan. Tapi saya bersemangat semula apabila saya ingat kembali impian saya untuk belajar di sini. Saya terpaksa menunggu selama 10 tahun untuk belajar di Berklee College of Music di Valencia kampus Sepanyol ini.
Kolej ini merupakan impian semua ahli muzik untuk masuk belajar dan saya tidak akan sia-siakannya,” tutur Dr. Soo Wincci yang memperoleh Ijazah Sarjana (Master In Music Production, Technology & Innovation) dan Ijazah Sarjana (Post Master In Live Music Production) dari Berklee College of Music.
Dr. Soo Wincci berharap agar lebih ramai rakyat Malaysia terutama wanita akan terus menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi kerana beranggapan pendidikan itu sangat penting dalam kehidupan, “Dulu saya sering diejek ‘gila’ oleh orang di sekeliling dan ramai yang merendahkan saya dengan berkata wanita tak boleh pergi jauh.
Kata-kata begini kadang-kadang boleh mengganggu emosi saya. Tapi saya hanya bersabar dan saya kata pada diri sendiri tidak ada jalan pintas untuk berjaya, biar lambat asalkan tepat.
Bagi saya pendidikan sangat penting kepada generasi sekarang terutama wanita. Kita perlukan lebih ramai wanita untuk memperkasakan sektor pendidikan agar dapat berdikari terutama daripada segi kewangan. Justeru, kita sebagai wanita dapat menyumbang bakti dari segi tenaga intelektual kepada negara.
Hidup dalam era dunia tanpa sempadan kini, arus perkembangan terlalu cepat jadi wanita perlu melengkapi diri dengan ilmu untuk menhadapi apa juga situasi untuk meneruskan kehidupan,” terang Dr. Soo Wincci yang mahu mencipta lebih banyak rekod untuk Malaysia agar menyuntik inspirasi generasi akan datang menjadi lebih kuat dan cerdik.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Halangan PKP membataskan niat kami untuk bertemu sendiri CEO dan Pengasas K-Colly, Ladyboss Rafa. Beliau hanya mewakilkan Filya Razak atau Mcpypy, top agent K-Colly untuk menerima trofi pengiktirafan Nona Best Beauty Brand Award sempena malam Nona Superwoman Award 2020.
Berwajah putih bersih, kecantikan Mcpypy boleh diibaratkan seperti patung Barbie bergerak. Apatah lagi wanita ini bijak berfesyen dan gemar menggayakan dress yang terletak sempurna di tubuhnya. Tak sangka wanita yang bakal memasuki usia 30 tahun itu rupanya ibu kepada dua cahaya mata!
Mcpypy memulakan perniagaan dengan K-Colly sebetulnya sebelum dia berumah tangga. “Saya menjalankan bisnes yang terkenal dengan tagline Inspiring Beauty ini secara full time di rumah. Fleksibiliti itu membuatkan saya mampu berniaga sambil menguruskan keluarga sebaik mungkin,” katanya.
Keyakinan terhadap K-Colly sebenarnya terhasil sejak Mcpypy mencuba sendiri produk viral tersebut. “Kalau tengok saya sebelum ni, memang jauh berbeza dengan saya yang sekarang. Kulit gelap sejak kecil, nampak gigi je orang kata.
Jadi personally, saya puji produk-produk K-Colly sebab dah nampak sendiri keberkesanannya. Lagipun produk K-Colly Collysweet17 terkenal dengan fungsinya untuk mencantikkan secara 360 darjah terutama dalam mencerahkan, melicinkan dan melembutkan kulit.
Ia juga berupaya menghilangkan parut jerawat dan sekaligus meningkatkan keyakinan diri selepas pemakaian,” cerita Mcpypy yang turut merupakan CEO K-Colly Asia dan kini mampu menjana pendapatan lima angka.
Menggunakan strategi media sosial untuk mendekati pelanggan dan pasukan pimpinannya, Mcpypy sering ke udara di saluran Facebook Live bagi berkongsi ilmu perniagaan. “Sesi coaching juga dijalankan melalui grup WhatsApp dan Telegram. Dari situ saya dapat berkomunikasi dengan ‘anak team’ K-Colly Asia, sekaligus berbahagi-bahagi amanat Ladyboss Rafa sebagai CEO dan Pengasas produk ini,” tuturnya.
Menariknya lagi, rangkaian suplemen K-Colly terdiri pelbagai pilihan, daripada yang berkolagen hingga yang tidak mengandungi kolagen tetapi dipermajui agar senang diambil dan memberi manfaat besar kepada kesihatan pelanggan.
Tambah beliau, rasa kagum terhadap Ladyboss Rafa juga semakin bertambah sejak wanita tersebut melancarkan kilang pembuatan suplemen sendiri pada tahun lepas. “Beliau mempunyai pakej lengkap dan karakter seorang pemimpin yang hebat. Selain mementingkan kecantikan, beliau ada banyak pengetahuan tentang bidang berkaitan suplemen atau makanan kesihatan.”
KILANG PEMBUATAN SUPLEMEN
Produk pemutihan berasaskan kolagen itu mula menempa laluan mudah di pasaran sejak tercetusnya gelombang K-Drama circa 2013. Itu juga menjawab akronim K-Colly yang bermaksud ‘Korea Collagen’ dengan pelantikan selebriti Fathia Latiff sebagai duta pertama mereka.
“Produk susu kambing Ladyboss adalah taruhan terbaru Ladyboss Rafa yang kini memiliki kilang pembuatan sendiri di Kedah. Pengguna tidak perlu waswas lagi kerana semua pembuatan produk K-Colly lebih teratur, terurus dan diyakini dari segala segi terutama dari segi bahan-bahan mentah, semua bahan dari sumber yang halal, tempat pembuatan yang mementingkan kebersihan dan terjaga prosesnya.
Idea penubuhan kilang ini merupakan hajat Ladyboss Rafa selepas beberapa tahun menjual produk K-Colly. Hasil penjualan ini dilaburkan untuk membina kilang yang mengambil masa tiga tahun untuk direalisasikan. Secara tidak langsung, kilang Ladyboss Rafa (NFara S Biotechnology) turut membuka peluang kepada mereka yang berhasrat untuk membuat produk buatan sendiri dengan bantuan kepakaran dari specialist R&D dari kilang tersebut.
Sebenarnya apabila berjumpa beliau, saya suka mendengar pesanan yang disampaikan. Ladyboss Rafa selalu ingatkan kami tentang tujuan berniaga adalah sebagai ibadah dan utamakan Allah SWT dalam setiap pekerjaan.
Begitu juga kalau banyak keuntungan, salurkan untuk bayar zakat terlebih dahulu. Bukankah dalam setiap rezeki kita ada rezeki orang lain?” akhiri Mcpypy bersemangat.
Nama Ladyboss Rafa menjadi fenomena ketika berkuat kuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia pada Mac lepas. Hasil keuntungan syarikatnya merekodkan pendapatan berlipat ganda apabila beliau sendiri muncul untuk mempromosikan produk, selain fasih bertutur bahasa Indonesia.
‘If you’re conscious of Allah, He will grant you sustenance from a direction you never even imagined.’ – Mufti Ismail Menk
Beliau sering dijadikan ikon serta inspirasi usahanita yang bukan saja cantik, malah pandai berniaga, rajin memberi tip membuat jualan harian kepada agen-agen dan stokis, berbahagi ilmu agama dan pengalaman bermotivasi pada saat-saat pandemik melanda. Aura Ladyboss Rafa ini juga turut membuatkan produk-produk K-Colly mendapat sambutan luar biasa di Indonesia.
Harapan Ladyboss Rafa hanya satu… Ingin menjadikan K-Colly sebagai jenama kecantikan yang bertaraf antarabangsa dan diterima baik di seluruh negara. Misi syarikat adalah untuk merealisasikan impian setiap wanita dengan menyediakan produk berkualiti tinggi yang dijamin keberkesanannya dan membuka peluang perniagaan dengan modal yang sangat rendah.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Ahmad Shahir Osman
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ujian kehidupan akan membuahkan kekuatan yang luar biasa, buat mereka yang kuat dan sabar melaluinya. Umi Sarah Binti Kamaruddin, 37 tahun, merupakan pemilik Ummi Tradisional & Spa. Pengalaman hampir 10 tahun dalam bidang urutan dan didikan ibu dalam perbidanan, beliau kini mampu tersenyum dan bersyukur dengan rezeki yang diperoleh setelah melalui pelbagai kesukaran hidup.
Setiap kali ibu tunggal ini melihat wajah empat orang anaknya, setiap kali itulah beliau menarik segala kekuatan dan semangat untuk terus berusaha mencari rezeki terbaik untuk keluarga. Umi Sarah juga memasang niat untuk membantu wanita kembali cantik, sihat luar dan dalam seperti sediakala, terutama ibu berpantang. Beliau juga akan memastikan pelanggannya supaya tidak stres, stabil dari segi emosi sewaktu berpantang sendiri, selain memastikan ibu berkerjaya dan surirumah menjaga kesihatan diri sebaiknya.
Umi Sarah mula bercerita perjalanan kisah hidupnya sehingga ke saat ini. “Saya dibesarkan dalam dunia perniagaan semenjak kecil lagi. Ibu seorang peniaga nasi lemak, kuih-muih di hadapan rumah dan mengambil tempahan dari sekolah-sekolah. Saya dididik oleh arwah mak untuk belajar serba sedikit dunia perniagaan, belajar untuk membuat pengiraan setiap jualan yang dijual dari kos belian, kos jualan dan keuntungan yang diperoleh. Jelas semangat niaga telah lama subur dalam jiwa saya.
Namun saya tidak meneruskan aktiviti niaga setelah berkhidmat sebagai penjawat awam, selama 7 tahun selepas memperoleh sijil SPM. Selepas berkahwin dan melahirkan anak sulung, saya kembali berniaga secara sambilan. Saya bermula dengan menjual t-shirt Muslimah secara online. Ketika itu Facebook masih baru, lalu saya aktif buat jualan di mudah.my dan ke pejabat-pejabat kerajaan.
Sayangnya, tidak lama selepas itu jualan pakaian semakin kurang dapat perhatian. Saya mula buat bisnes lain dengan menjual nasi lemak ayam berpandan, mi kari di hadapan rumah. Alhamdulillah, perniagaan agak laris dengan dibantu oleh bekas suami. Dalam rancak berniaga saya hamil kali kedua, saya berhenti niaga jual makanan kerana alah dengan bau ayam,” jelas Umi Sarah.
HIDUP BERUBAH
Wanita ini cekal dan jiwa niaga terus mengalir laju dalam jasadnya. “Selepas kelahiran anak kedua, saya sudah mula berurut dan mula berminat dengan teknik urutan. Saya mula mengurut dengan orang terdekat sahaja tetapi tidak lagi serius betul-betul sebab keberanian belum cukup untuk menjadikan perkhimatan ini sebagai satu perniagaan.
Saya masih cuba berniaga dengan menjual pakaian bayi. Jualan sangat laris saya mula menjual dari FB Page, FB group bayi, mudah.my dan pejabat kerajaan. Nama Aleesa Collection mula dikenali. Meskipun tanpa ilmu perniagaan formal, saya buat mengikut kehendak diri dengan menyewa sebuah kedai kerana ramai pelanggan ingin datang secara walk-in untuk memilih produk.
Premis ketika itu di Mydin Manjoi, Ipoh dengan kadar sewa yang agak tinggi iaitu RM2,000 sebulan. Saya tetap cuba berniaga dengan harapan jualan dapat menampung kos yang ada. Sewaktu itu saya masih lagi bekerja dan jadikan perniagaan bayi ini sebagai kerja sambilan. Kedai pun dijaga oleh staff. Dari perniagaan ini, saya mula mengenali Datuk Wira Dr. Azizan Osman dan cuba memasuki kursus yang dianjurkan. Sepertinya mendapat sinar baru setelah hadir seminar Dr Azizan. Saya kenal diri, saya kenal apa itu nikmat kehidupan bukan sahaja ilmu perniagaan.
Namun perniagaan saya sekali lagi jatuh kerana kegagalan saya menguruskan staf sehingga berlaku kerugian besar. Saya agak down, bukan senang untuk kembali bangun semula. Bayangkan saya juga telah mengambil cuti tanpa gaji ketika itu. Wang pula cuma tinggal RM1 dalam simpanan!” Ketika itu, suasana seperti gelap seketika buat Umi Sarah.
Namun, usahanya tidak berhenti di situ. “Saya fikir apa lagi perniagaan yang perlu saya buat. Saya selalu urut bekas suami saya dan dia kata badan betul-betul rasa ringan, lalu saya mula terfikir untuk belajar urut supaya lebih yakin untuk lakukan perkhimatan ini sebagai satu perniagaan. Selepas belajar ilmu mengurut, saya cuba mulakan perkhidmatan mengurut dengan harga serendah RM40 urutan tradisional rumah ke rumah di kawasan Ipoh. Alhamdulillah, khidmat urut saya mula mendapat perhatian pelanggan, melalui mulut ke mulut.
Saya mula bertekad untuk berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepernuhnya kepada perniagaan urutan ini. Saya terus bersemangat mencari ilmu dan mula hadir pelbagai kursus urutan, spa dan penjagaan pantang buat ibu mengandung anjuran Jabatan Pembangunan Wanita Perak dan pelbagai anjuran pihak swasta. Saya simpan sedikit demi sedkit untuk beli perkakas dan bahan spa.
Tapi panas tidak sampai ke petang. Saya jatuh sekali lagi, bekas suami ditipu oleh syarikat pelaburan dan bermula lagi fasa kesusahan kami sekeluarga. Saya dan keluarga berhijrah ke Klang untuk cuba mencari rezeki di negeri orang, walaupun saya tahu tidak semudah itu orang nak kenal servis urutan saya. Malah bagi mereka, umur saya ketika itu terlalu muda, bisakah urut! Saya hanya diam dan terus melakukan kerja saya mengurut sehingga selesai,” jelas Umi Sarah tenang.
“Saya mula marketing secara offline mengedar flyer rumah ke rumah dan edar ke setiap kereta bersama anak sulung saya. Saya anggap ini semua satu ujian, saya tidak salahkan sesiapa. Dugaan hidup saya ditambah dengan kegagalan rumah tangga, saya anggap jodoh saya setakat itu sahaja. Saya terima takdir ini dengan tenang dan tabah.
Saya down, sangat tertekan dan murung sehingga doktor menyatakan saya mengalami major derpression disorder. Tapi Allah itu Maha Penyayang, saya lulus mendapat premis di Arked MARA, Klang. Saya cuba sekali lagi meneruskan operasi spa, walapun agak kecil tapi saya gembira dapat meneruskan perniagaan spa dan pihak MARA membenarkan saya menyewa di bilik seminar MARA untuk terus mengadakan bengkel-bengkel urutan dan penjagaan pantang.
Setahun berlalu, saya membuat keputusan untuk kembali pulang ke kampung halaman saya di Ipoh, Perak. Alhamdulillah, kini saya masih meneruskan perniagaan spa, penjagaan pantang di lokasi Ipoh dan juga masih mendapat tawaran sebagai tenaga pengajar sambilan di sebuah akademi. Walaupun spa tidak dibenarkan beroperasi termasuk penjagaan pantang juga tidak dibenarkan dalam keadaan pandemik ini.
Saya bisa jadi wanita lebih kuat sekarang dengan pengalaman yang saya lalui selama ini. Perit dari manis saya banyak belajar untuk terus berusaha tanpa mengalah! Saya yakin rezeki Allah itu luas, cuma kita jangan jauhi diri dari Allah. Saya mula dapat idea menjual jus jamu asam kunyit, set pantang, set makanan pantang secara delivery dan juga mengadakan kelas ilmu berpantang secara online untuk meneruskan pencarian rezeki saya,” ujar Umi Sarah yang berharap suatu hari nanti dapat memiliki akademi sendiri dan berharap ilmu perbidanan tradisional Melayu lama ini dikenali di seluruh dunia.
“Saya pernah diuji kehilangan semuanya. Tanpa sokongan sesiapa ketika itu yang hanya kekuatan saya dari anak-anak saya. Melihat wajah mereka saya mendapat sinar setiap hari. Saya pernah diuji dengan sakit kemurungan, namun saya tetap bangun untuk teruskan kelangsungan hidup. Saya yakin rezeki Allah itu ada, kita kena selalu memohon padanya dan bersabar, pasti ada jawapan. Setiap dugaan perit itu Allah gantikan yang manis. Percayalah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!