Sitti Fatimah Janna pecah tembok ketakutan. Hasrat untuk mengubah kehidupan keluarga, berani mencuba sesuatu yang baharu dan memecahkan tembok ketakutan menjadikan Sitti Fatimah Janna seorang usahawan wanita yang berjaya dan hebat. Pemilik dan pengasas kilang kosmetik & kecantikan SFJ Manufacturing Sdn Bhd dan SFJ Beauty Sdn Bhd ini juga berharap pengalaman yang ada pada dirinya mampu menyuntik inspirasi untuk para wanita di luar sana terus mengorak langkah mencipta kejayaan.

Ads

Sitti Fatimah Janna Pecah Tembok Ketakutan

Bukan berasal daripada keluarga yang senang, tanpa disedari mendorong Sitti Fatimah tekad untuk mengubah nasib keluarga. Mengimbau seketika kenangan zaman kecilnya, wanita ini terbuka mengimbau kehidupan tinggal di rumah kayu yang agak usang.

“Saya bukanlah datang daripada keluarga yang senang. Dari kecil sudah terbiasa tinggal di rumah usang dan jika hujan terpaksa berlari mencari baldi, demi menadah air yang turun mencurah-curah melalui atap bocor. Saya juga pernah bekerja dengan gaji asas RM600 sebulan. Bapa hantar ke tempat kerja setiap hari, jangankan kata nak bagi mak ayah duit RM50 sebulan, nak bagi duit minyak pada ayah pun tak lepas!

Pernah satu hari, saya ke shopping mall teringin nak beli beg tangan. Harganya cuma RM30 tapi pada masa itu saya tak mampu dan rasa sedih sangat. Dalam hati menangis, untuk bahagiakan dan belanja diri sendiri pun susah,” ungkap Sitti Fatimah yang mula mengorak langkah dalam bidang perniagaan asbab dari kesusahan hidup yang dilaluinya.

Sitti Fatimah Janna Pecah Tembok Ketakutan, Lalui Jerih Payah Dalam Meniti Kejayaan Sebagai Usahawan Wanita

Bekerja Sambilan Selepas Waktu Bekerja

Memikirkan masa depan dengan kos sara hidup yang tinggi, pendapatan bulanan sebanyak RM600 sudah pastilah tidak mencukupi. Bagi mengatasi keadaan ini, Sitti Fatimah terpaksa berniaga secara sambilan selepas waktu bekerja.

“Memandangkan sektor pemasaran menerusi dalam talian semakin berkembang ketika itu, saya cuba berjinak-jinak menjual produk orang lain. Masa tu saya lakukan semua perkara termasuk mengiklan produk di Facebook, menjawab mesej pertanyaan, membungkus barang dan buat penghantaran ke pejabat pos. Masa saya sangat terbatas kerana saya lakukan semuanya selepas waktu kerja,” katanya.

Berkat kesungguhan Sitti Fatimah berjaya mendapat sedikit keuntungan. Pada bulan pertama, dirinya sangat gembira walaupun hanya mendapat untung sebanyak RM200. Dari situ wang yang diperolehi dikumpul sebagai modal pusingan. Apabila melihat pendapatan dari kerja sampingan semakin tinggi, Sitti Fatimah semakin bersemangat dan selepas setahun dirinya mengambil keputusan berhenti kerja dan melakukan perniagaan secara sepenuh masa.

“Sewaktu berhenti kerja saya sudah berjaya menabung sebanyak RM10,000. Pada tahun 2013 saya menjual produk homemade yang dibuat oleh mak saya. Tak sangka produk itu tular dan perniagaan kami berkembang maju. Perlahan-lahan saya keluarkan modal dan pada November 2016 membuka kedai fizikal.

Akhirnya pada 2021 saya berjaya memiliki lesen GMP dan membuka kilang OEM sendiri,” kongsi Sitti Fatimah yang melalui jerih payah dalam meniti kejayaan sebagai seorang usahawan wanita hebat dan menerima pengiktirafan sebagai kilang pertama menjadi kilang terbaik bertaraf GMP di Tawau, Sabah.

Sitti Fatimah Janna Pecah Tembok Ketakutan, Lalui Jerih Payah Dalam Meniti Kejayaan Sebagai Usahawan Wanita

Percaya Pada Rezeki

Mengendalikan empayar perniagaan bukanlah perkara mudah, Sitti Fatimah juga berhadapan dengan pelbagai cabaran. Antara yang paling sukar apabila terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM700,000.

“Adat dalam berniaga adakalanya untung dan adakalanya rugi. Produk yang kami serahkan pada klien mengalami masalah dan kami terpaksa menanggung kos kerugian yang besar. Dalam masalah ini saya bagi jaminan dengan klien akan ganti semula produk tersebut. Sejak itu saya lebih berhati-hati dalam memasarkan barangan.

Ads

Masa tu saya percaya pada rezeki, mungkin sudah ditakdirkan bukan rezeki kami. Syukur alhamdulillah hubungan dengan pelanggan tersebut sampai sekarang masih baik. Mungkin kerana kami dapat ganti baru dan kerugian dapat diatasi. Nasib baik saya dapat pelanggan yang baik. Hingga hari ini kami masih berurusan,” luah Sitti Fatimah yang sangat menjaga hubungan baik dengan setiap kliennya.

Sebagai pemilik kilang OEM, Sitti Fatimah tidak pernah lokek ilmu dan sentiasa terbuka membantu klien dalam menyusun strategi perniagaan. “Saya akan bantu klien untuk kembangkan produk mereka. Mereka perlukan nasihat daripada orang yang berpengalaman. Jadi ilmu yang ada saya akan berikan pada mereka. Bukan itu saja, kami juga banyak bantu usahawan di Sabah dengan mengadakan kelas bisnes,” jawab Sitti Fatimah yang sangat bahagia apabila melihat kliennya mendapat jualan yang tinggi.

Sitti Fatimah juga berkongsi dalam berniaga dirinya mengamalkan sikap jujur dan berterus terang pada klien. “Satu pantang-larang yang saya amalkan, jangan sesekali berbohong pada klien. Kenalah bersikap jujur dan berterus-terang dengan mereka. Dengan sikap begini, klien akan lebih percaya pada kita. Jangan berselindung untuk selamatkan diri. Setiap ujian yang datang kita perlu tangani. Biar klien percaya pada kita.

Alhamdulillah sehingga kini saya mempunyai ramai klien yang setia dan percaya pada kami. Malah ada yang mahu berikan modal untuk kami kembangkan perniagaan di Semenanjung. Cuma buat masa ini kami masih di peringkat mengkaji,” ujar Sitti Fatimah yang mengimpikan sijil ISO bagi memantapkan SOP dalam kilang.

Berbicara tentang keluarga tercinta, Sitti Fatimah bersyukur kerana suami dan kedua ibu bapanya banyak memberi dorongan untuk berjaya. Bergelar isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata juga bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana pada masa yang sama Sitti Fatimah juga bergelar usahawan wanita.

Ads

“Saya bersyukur kerana suami banyak membantu. Pada waktu cuti saya akan habiskan masa dengan keluarga dan bawa anak berjalan-jalan. Pada hari biasa sebelum ke pejabat saya akan hantar anak-anak sendiri ke sekolah dan memasak untuk keluarga. Saya dan suami tak lepaskan tanggungjawab dan uruskan sendiri anak-anak pergi dan balik sekolah,” kata Sitti Fatimah lagi.

Berkat kejayaan yang diperolehi, Sitti Fatimah juga tidak lupa berbakti pada ibu dan ayah. “Sekarang ini perlahan-lahan saya bahagiakan mak dan ayah. Saya sudah hantar mak dan ayah mengerjakan Haji dan Umrah. Belikan kereta dan kediaman yang selesa,” kongsi Sitti Fatimah.

Selain itu, kepesatan perniagaan Sitti Fatimah juga membolehkan mereka memberi banyak peluang pekerjaan serta memiliki 40 orang pekerja. “Pekerja merupakan tulang belakang saya. Kalau dulu saya cuti, perniagaan pun terpaksa tutup. Sekarang saya sudah ada lebih 40 orang pekerja. Andai kata saya tidak ada di pejabat pun tak mengapa sebabnya mereka sudah boleh berdikari dan uruskan perniagaan saya seperti biasa,” luah Sitti Fatimah.

Ditanya tentang perasaan terpilih sebagai salah seorang penerima Nona Superwoman Award 2024, Sitti Fatimah berharap pengiktirafan yang diterima diharap dapat meningkatkan kredibiliti perniagaannya. “Jenama kami barangkali belum sebegitu popular seperti produk dan kilang OEM yang lain namun saya percaya pengiktirafan ini dapat meningkatkan kredibiliti SFJ Beauty dan SFJ Manufacturing,” akhiri Sitti Fatimah.

Sitti Fatimah Janna Pecah Tembok Ketakutan, Lalui Jerih Payah Dalam Meniti Kejayaan Sebagai Usahawan Wanita

Baca Disini : Berkilauan Bak Berlian, Tokoh Wanita Berjaya Diraikan Di Nona Superwoman Award 2024!

 

View this post on Instagram

 

A post shared by NONA (@majalahnona)

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI