Jika dahulu ramai yang beranggapan kerjaya sebagai jurusolek ini bukan kategori profesional dan hanya dilakukan secara sambilan. Namun kini kerjaya ini semakin dipandang tinggi dan beberapa pusat pengajian awam dan swasta mula menawarkan jurusan solekan ini.

Bukan mudah membentuk kerjaya dalam bidang solekan tanpa mengharung setiap cabaran yang datang. Arda Dhia salah seorang peserta Fabulous MUA mempunyai cerita tersendiri dalam mengejar cita-citanya menjadi jurusolek yang disegani.

IKLAN

Hampir 11 tahun berkecimpung dalam bidang solekan, wanita yang mempunyai nama sebenar Razdhiatul Ardawiyah Sukor ini rupanya pernah ulang-alik dari Johor ke Kuala Lumpur dengan kerap semata-mata untuk menampung kos pendidikannya.

“Habis saja SPM saya ditawarkan bekerja dengan sebuah Bridal di Batu Pahat, Johor. Dalam masa yang sama saya telah ditawarkan untuk sambung belajar di Kuala Lumpur. Saya terpaksa ulang-alik jika dapat job dengan niat mencari duit belanja menampung perbelanjaan harian sebagai seorang pelajar walaupun masa tu upah hanya RM50 untuk satu sesi makeup,” bicara Arda yang memiliki Diploma Information Technology in Network Engineering ini.

Menyingkap kisah wanita yang berusia 29 tahun ini dalam bidang solekan, “Saya bermula sebagai artis budaya secara sambilan di Johor. Bakat dalam bidang solekan saya terserlah apabila mula bersolek sebagai penari. Kemudian saya belajar selok-belok bersolek daripada majalah dan beberapa mak andam dan akhirnya saya pula bergelar mak andam.

Selepas 6 tahun menjadi mak andam saya tukar kerja sepenuh masa jadi jurusolek di M.A.C selama dua tahun. Kemudian saya bekerja pula di butik Chanel dan akhirnya tekad berhenti kerja retail. Ini kerana saya mahu tumpukan perhatian sepenuhnya sebagai Full Time Makeup Artist di Johor supaya dekat dengan keluarga,” tutur Arda yang mampu bertahan susah senang dalam bidang ini selama 11 tahun kerana minat yang mendalam.

Nampaknya wanita yang berasal dari Johor Bahru ini begitu yakin dengan bidang kerjaya yang dipilihnya. “Mungkin pada masa dulu orang nampak bidang solekan ini sekadar cari duit sampingan dan tak boleh berkembang maju.

Tapi, beberapa tahun kebelakangan ini galakan dalam bidang solekan seperti kehadiran produk antarabangsa masuk ke Malaysia yang memerlukan makeup artist tempatan untuk bekerja di belakang tabir telah menyuntik inspirasi kami untuk terus berjaya dalam bidang solekan.

IKLAN

Makeup artist diperlukan untuk menyempurnakan model di Pentas Fesyen dan menerajui kelas-kelas yang dianjurkan syarikat antarabangsa serta membawa kami menimba ilmu sehingga ke luar negara. Peluang yang tersedia juga telah menyuntik semangat makeup artist mengambil inisiatif membuat produk kosmetik jenama sendiri,” ucap wanita kecil molek ini.

Menurut wanita yang gemar tersenyum ini, kehidupan alaf baru yang terdedah dengan pengaruh media sosial turut memberi impak positif dalam dunia solekan. “Ramai wanita dan lelaki yang berlatar belakang keluarga susah tetapi mempunyai ilmu solekan mampu menjana pendapatan dengan menjadi idola dan inspirasi di media sosial. Jadi saya percaya bidang solekan adalah platform yang terbaik untuk sesiapa pun yang nak berjaya dan hidup senang cuma sesorang itu sendiri kena bijak mengambil peluang supaya tidak ketinggalan,” katanya.

IKLAN

Arda beruntung kerana mempunyai suami yang memahami dan menyokong apa sahaja bidang yang diceburinya. “Alhamdulillah, suami sangat memahami walaupun waktu berkenalan kami agak singkat dan baru saja berkahwin selama hampir 7 bulan. Jadi bukan mudah untuk suami faham jalan kerja sebagai jurusolek ini dan menerima cara kerja isteri yang kerap berulang alik ke KL dan ke mana saja untuk mencari rezeki.

Saya bertuah dapat suami yang berfikiran terbuka dan menyokong kerjaya saya. Mula-mula kahwin dulu, bila kami berpindah ke rumah sendiri barulah dia nampak barang-barang mekap yang terlalu banyak sampai dia rasa pening nak tolong saya berkemas. Banyak juga dia bertanya tentang makeup jadi sekarang suami faham kenapa saya sanggup berhabis duit membeli produk dan kenapa saya harus mencari job selari dengan pelaburan tersebut.

Saksikan Arda Dhia dan lapan lagi peserta yang bertanding dalam Fabulous MUA Nona x FCC bagi merebut gelaran juara program realiti digital pencarian make up artist pertama di Malaysia ini. Fabulous MUA Nona x FCC bakal bersiaran menerusi platform digital Majalah Nona. Antaranya di Youtube, Facebook dan laman web rasmi Majalah Nona bermula 1 November ini, jam 8 malam. Pertandingan ini dihoskan oleh Fiza Frizzy manakala Pengarah Urusan FCC, Ili Zawani Ismail dan Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak selaku juri tetap.