
Kejayaan Nor Farhatul Fairuzah Panut wajar menjadi inspirasi masyarakat. Selain berjaya membudayakan Al-Quran dan mengajak generasi mendalami kitab suci itu, Johan Qariah Majlis Tilawah Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2019 berkenaan turut melakar satu lagi pencapaian membanggakan baru-baru ini.
Farhatul Fairuzah atau mesra disapa Farha yang kini melanjutkan pengajian Sarjana dalam bidang Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima pengiktirafan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPM) pada 15 Mei lalu.
Farhatul Fairuzah Terima Anugerah
View this post on Instagram

Penganugerahan itu diberikan atas kejayaannya sebagai penuntut universiti yang dalam masa sama aktif mengusahakan perniagaan.
Berkongsi khabar gembira tersebut bersama Nona, Farha menerusi perkongsian di media sosial melahirkan rasa syukur kerana terpilih menjadi salah seorang penerima Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2025 (AKKPT 2025).
“Kejayaan tidak disangka-sangka tersenarai di dalam anugerah dalam kategori Platform Digital Graduan Terbaik di bawah syarikat Permata Wahyu Resources yang memberikan perkhidmatan kelas Quran, buku bacaan ilmiah oleh House of Quran.
Semoga dengan anugerah ini dapat menjadi pemangkin semangat untuk terus memberikan manfaat pada masyarakat. Menjadi insan yang terus istiqamah bersama dengan Al-Quran. Terima kasih KPT dan UKM atas peluang ini.”


Majlis AKKPT 2025 menghimpunkan kira-kira 600 tetamu dari pelbagai kementerian, agensi, industri dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT). Anugerah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Difahamkan Farhatul Fairuzah bakal menamatkan pengajian Sarjana Al-Quran dan Sunnah (Tarannum) di UKM dalam masa setahun.
Buku Tarannum Pertama Farhatul Fairuzah
Mengulas lanjut, isteri kepada Ilham Amri ini memberitahu dia turut akan menerbitkan buku pertama bacaan Al-Quran ‘Mudahnya Tarannum’ dalam masa terdekat.

“InshaAllah tidak lama lagi akan terbit buku terbaharu iaitu ‘Mudahnya Tarannum’ bagi seluruh masyarakat yang ingin memperindahkan lagi bacaan Al-Quran dengan mudah bersama method pembelajaran yang seronok hasil usaha menulis beberapa bulan semasa hamil.”
Farhatul Fairuzah sah bergelar isteri kepada Ilham Amri pada 14 Disember 2024. Pasangan ini kemudian menerima kehadiran cahaya mata sulung yang diberi nama Muhammad Fahim pada 2 September 2025.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





