Niat untuk mendapatkan tubuh badan langsing bagaikan aktres Hollywood seperti Salma Hayek, Gwyneth Paltrow dan Sarah Jessica Parker rupa-rupanya tidak mustahil.
Hanya dengan menikmati jus sayuran atau buah-buahan tertentu, anda dapat menurunkan berat, merejuvenasi kulit dan melakukan detoksifikasi secara semula jadi.
Amalan diet jus bukanlah trend baru namun kerana hasilnya yang pantas, ia sentiasa popular di seluruh dunia.
Menurut Penasihat Pemakanan Sihat yang juga merupakan Pengasas My Ideal Weight di Shah Alam, Nurul Ashikin Md Nasir, diet jus merupakan sebuah program detoksifikasi di mana mereka yang melakukannya hanya mengambil jus untuk tempoh tertentu. Biasanya ia dilakukan bagi meningkatkan tahap kesihatan seseorang.
“Diet jus memberi peluang kepada sistem badan kita untuk berehat daripada melakukan aktiviti pencernaan yang banyak menggunakan tenaga. Selain pencernaan, tenaga turut disalurkan untuk aktiviti penyingkiran toksin, memperbaiki tisu dan meningkatkan penyembuhan dalaman.
Dalam masa yang sama, kita membekalkan tubuh dengan zat dan nutrien yang sihat melalui jus sayuran dan buah-buahan yang diminum.
Sifat jus yang beralkali membantu kita untuk mengimbangkan pH badan dan meneutralkan toksin yang berasid. Selain itu, seseorang yang telah melakukan jus diet juga akan menjadi lebih sensitif dan peka terhadap pengambilan makanan-makanan yang kurang sihat,” ujar Nurul Ashikin.
GOLONGAN SASARAN
- Mereka yang mahu menurunkan berat badan
- Mereka yang mahu meningkatkan kesihatan badan
- Mereka yang mempunyai sistem imunisasi yang lemah
- Mereka yang ingin mengubah gaya hidup yang lebih sihat
- Mereka yang ingin mengekalkan keremajaan (antipenuaan)
- Mereka yang mengalami masalah depresi atau stres
- Mereka yang memiliki penyakit insomnia, tekanan darah tinggi, diabetes, asma serta masalah jantung
- Mereka yang ingin berhenti daripada merokok
- Mereka yang cuba mendapatkan anak
Tiada sebarang had masa yang ditetapkan untuk pengamal diet jus. Namun bagi mereka yang masih baru, cuba ambil jus untuk tempoh sehari dahulu, seterusnya selama tiga hari dalam seminggu dan kemudian tujuh hari dalam sebulan.
Perlu diingatkan bahawa diet jus bukanlah sebuah program diet yang lengkap dan seimbang. Ia lebih kepada proses penyembuhan dan kebaikan kesihatan yang menyeluruh. Justeru pilihlah waktu yang sesuai untuk anda melakukan diet jus ini.
“Seperti yang diketahui, jus sayuran dan buah-buahan kaya dengan vitamin, mineral, enzim dan nutrien mikro yang sihat. Jus yang berkhasiat juga lebih mudah diserap ke dalam aliran darah dan tidak membebankan sistem pencernaan.
Kandungan nutrien yang tinggi akan meningkatkan kesihatan dan penyembuhan penyakit apabila penyingkiran toksin berlaku daripada tubuh badan kita.”
Tambah Nurul Ashikin, porsi jus yang disyorkan adalah 2:1 di mana sayuran perlu lebih banyak daripada buah-buahan bagi mengelakkan masalah kenaikan berat badan secara mendadak atau masalah pra-diabetes (porsi buah lebih banyak daripada sayur). Elakkan juga buah-buahan yang manis ketika melakukan diet jus.
RESIPI
- 1 biji epal hijau + 1 biji ubi bit + 1 biji sengkuang
- 1 biji epal hijau + 3 batang saderi + 1 biji ubi bit
- 1 biji tomato + 1 batang lobak merah + 1 biji epal hijau
- 3 batang saderi + 1 biji timun + 3 potong nanas
- 3 potong nanas + 1 biji ubi bit + 10 helai daun salad
PANDUAN
- Sebelum memulakan diet jus, kurangkan porsi makanan yang diambil agar sistem badan tidak terkejut.
- Begitu juga selepas diet jus berakhir. Oleh sebab saiz perut akan mengecil dan jus pencernaan akan berkurang, maka mulakan pengambilan makanan berbentuk cecair dahulu, diikuti separa pejal dan barulah pepejal sepenuhnya secara berperingkat.
- Selain daripada mengambil jus sayuran dan buah-buahan, anda juga boleh mengambil psyllium husk untuk mengawal kadar gula dalam darah atau suplemen tambahan.