Bayangkan secawan aiskrim yang dilimpahi sirap gula apong asli, taburan cornflakes rangup dan boba kecil menyempurnakan hari yang panas terik. Sedapnya Mokti’s Ice Cream, patutlah jenama ini jadi fenomena di Malaysia!
Bukan aiskrim biasa, tapi aiskrim Mokti’s terus laris dan kukuh di pasaran kerana diformulasikan kemanisannya menggunakan 99% gula apong asli.
Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan PMA Rich (M) Sdn Bhd, Siti Fatimah Adnan, 31 tahun, bisnes yang dijalankan bersama suami, Pengiran Muhammad ‘Adil Bin Awang Iskanderndzulkarnein itu bukan sekadar mempertaruhkan keenakan aiskrim gula apong semata-mata bahkan beberapa produk lain.
“Sebenarnya kami juga mempunyai sijil pengesahan halal daripada JAKIM dan kelulusan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).
Yang terbaru, Mokti’s juga merupakan player artisanal gelato Muslim pertama di Malaysia yang mana mempunyai lebih 40 jenis artisanal gelato tanpa pengawet, tanpa pewarna tiruan dan tanpa perasa tiruan!
Selain itu, aiskrim Mokti’s juga pernah mendapat beberapa penganugerahan antaranya The Brandlaureate The World Best Brands (Bumiputera) 2022, The Brandlaureate The World SME’s Best Brands 2022 serta International Women’s Day Outstanding Young Woman Entrepreneur Award 2022 pada tahun lepas.” Siti Fatimah
Untuk mencapai ke tahap ini, cerita Siti Fatimah bukan semudah yang difikirkan. Terlalu banyak kenangan pahit manis pernah berlaku sepanjang beliau mengusahakan bisnes aiskrim yang diasaskan pada tahun 2020 itu.
Namun yang paling terkesan sekali adalah kenangan membuat aiskrim sendiri yang mana hampir setiap hari aiskrim buatannya terpaksa dibuang kerana resipinya tidak menjadi. Sehinggalah akhirnya membuahkan hasil berkat kegagalan yang dialami itu, aiskrim Mokti’s diterima ramai.
“Saya juga suka untuk mengimbau zaman dimana saya bersama adik berjualan di belakang bonet kereta. Masa tu kami perkenalkan aiskrim kon serendah RM1. Seronok melihat orang tua dan kanak-kanak berulang-alik beli aiskrim kerana kesedapannya.
Ads
Bagi saya aiskrim Mokti’s memberikan senyuman dan ketenangan ketika memakannya. Ia merembeskan hormon gembira dan ceria kerana rasanya yang tradisi. Kebanyakan aiskrim kami juga mengekalkan rasa Malaysia yang autentik dan boleh diterima kebanyakan peringkat umur.”
Empayar Mokti’s Ice Cream kini mencapai 93 outlet di serata Malaysia dan 6 buah kilang di Perlis. Paling membanggakan, mereka juga mengambil keputusan drastik dengan mengembangkan sayap bisnes ke Turkiye baru-baru ini.
Mokti’s Türkiye beroperasi secara rasmi di Lüleci Hendek Cad. Hacımimi Mah, Istanbul pada Mac 2023. Saksikan majlis perasmian ringkas yang diadakan ini… Membanggakan!
Ads
Tambah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Perladangan Dan Agroteknologi dari UiTM Kota Samarahan, Sarawak itu, beliau berharap agar bisnes Mokti’s terus berkembang dengan pesat dan dapat membantu peniaga-peniaga aiskrim Mokti’s memberi peluang pekerjaan kepada orang lain.
“Ya, kami baru saja membuka sebuah outlet antarabangsa di sana. Ini adalah langkah pertama kami dalam membuka peluang perniagaan antarabangsa.
Bukan kerana di Malaysia tidak memadai, tapi kami mencabar diri kami untuk berani melangkah jauh dan membawa aiskrim buatan Malaysia ini ke mata dunia.
Ads
Kita juga ada beberapa produk baru sepanjang tahun 2023. Jadi untuk peminat-peminat aiskrim bolehlah ke outlet Mokti’s berdekatan untuk mencuba.
Antaranya kolaborasi dengan jenama Famous Amos untuk fasa pertama. InsyaAllah aiskrim tersebut akan berada di outlet Mokti’s sehingga hujung bulan April.” Siti Fatimah
Berbeza daripada ahli perniagaan lain yang kebanyakannya workaholic atau overthinking, Siti Fatimah bijak memainkan peranan mengikut keadaan. Kalau di rumah sebagai isteri dan ibu, kalau di kilang juga sebagai pekerja agar beliau sendiri tahu dan menghargai nilai-nilai kesusahan team Mokti’s yang bekerja.
“Bagi saya yang paling penting dalam perniagaan ini adalah kesefahaman dan bekerja dalam pasukan. Kita tidak boleh terlalu rigid atau tidak mempercayai orang lain.
Untuk berkembang dalam perniagaan mestilah ada sifat mempercayai orang lain tapi mesti juga berhati-hati. InsyaAllah bila kita gajikan pekerja, rezeki lain akan datang kepada kita.”
Mengakhiri temu bual, wanita yang merupakan penerima Nona Best Halal Ice Cream Award di acara berprestij Nona Superwoman Award 2022 lalu gemar membaca dan bermain dengan anak-anak itu terus-terang mengakui bahawa keluarga adalah penenang dan pemberi kekuatan kepadanya. Merekalah prioriti hidup Siti Fatimah dan suami tercinta.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perniagaan berasaskan makanan merupakan antara industri paling terjejas sewaktu pandemik COVID-19 menular.
Bersama pengacara selebriti yang juga pengusaha restoran Padangs On Wheel (POW), Farrah Adeeba, Nona mengupas cabaran selepas PKP ini bagi pemilik bisnes seperti beliau.
Farrah Adeeba Mohamed Ashraf, 42, merupakan bekas pengacara TV3 dan kini sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat Masters dalam jurusan undang-undang di UITM.
Perkongsian yang hebat dan benar-benar membuka mata, ayuh sama-sama support bisnes orang kita!
Nona: Hikmah PKP kepada peniaga makanan seperti Farrah? Dari sudut positif, apa yang anda rasa sekarang?
Farrah: Antara hikmah PKP ialah ia memaksa para peniaga bergerak cepat ke hadapan, khususnya melalui sistem online. Walaupun sistem talian sebelum ini sudah wujud, namun dengan kekangan COVID-19, kemahiran sistem talian ‘terpaksa’ dikuasai dengan pantas, baik sistem e-platform sedia ada mahupun sistem dalaman POW.
Banyak kolaborasi baru juga digerakkan. Sebagai contoh bersama rider dan business support group komuniti perniagaan, persatuan dan daerah. Ia juga mewujudkan satu sistem rangkaian lebih tersusun di kalangan ahli masyarakat.
Nona: Ada penambahbaikan atau menu baru yang wujud lepas dibuka semula?
Sepanjang PKP, POW lebih menumpukan kepada menu best seller kerana demand delivery pada ketika itu meningkat melangkaui kawasan Shah Alam, iaitu meliputi Ampang, Cheras, Cyberjaya dan Bangi.
Malah ada yang menempah secara all month long khususnya expatriats di sekitar Lembah Klang.
Restoran kini sudah dibuka sepenuhnya untuk walk-ins dan kini menambahkan beberapa menu baru seperti ayam masak asam, daging berlado (daging dendeng versi lembut), tempe goreng tepung, tauhu bergedil goreng serta pelbagai dessert mampu beli.
Mini katering untuk majlis skala kecil juga sudah mula pick-up selain tempahan delivery,party pack atau katering mini (perkahwinan, pertunangan, ulang tahun, aqiqah).
Nona: Ada pelajaran atau research yang Farrah buat untuk kepentingan bisnes waktu arahan duduk di rumah dulu?
Farrah: PKP adalah satu keadaan yang tidak pernah kita alami dan satu keadaan yang tidak pernah terlintas dek akal fikiran. Keadaan ini melangkaui cabaran krisis kewangan dilalui dunia sebelum ini.
Mana tidaknya, bukan sahaja keadaan ini memberi impak kepada nilai mata wang dan prestasi ekonomi dunia, malah untuk memajukan kembali perniagaan, pergerakan para peniaga turut terjejas. Malah ada sektor perniagaan yang berhadapan dengan zero profit sepanjang PKP.
POW turut terkesan. Bayangkan Ramadan dan Syawal lah musim kami membuat jualan melalui jualan berbuka, bazar Ramadan serta katering.
Namun saya bersyukur POW terdiri daripada pasukan yang mempunyai pelbagai latar belakang ilmu serta pengalaman dalam perniagaan, pengurusan, kewangan, perundangan dan jualan. Pengalaman adalah key dan cukup penting khususnya dalam kita mencari dan mengenal pasti kaedah untuk troubleshoot dalam menangani krisis.
Dalam keadaan sebegini, paling penting ialah setiap orang harus fokus mencari jalan untuk sustain syarikat: baik dari segi mengurus costing, overhead, manpower, negosiasi mengurangkan diskaun atau flexi-payment dengan pelbagai pihak termasuk landlord dan pembekal, kolaborasi, pemasaran tersasar, kaedah atau platform jualan alternatif, target sasaran pelanggan baru dan sebagainya.
Dalam erti kata lain, penyesuaian diri dengan keadaan baru harus pantas dan terancang. Inilah yang banyak saya pelajari sepanjang PKP.
Namun apa yang banyak saya baca melalui penulisan akademik, ialah berkenaan food security yang melibatkan tiga perkara asas: negara harus serius bergerak ke arah kemampuan untuk self-sustain melalui penghasilan supply makanan asas dari dalam negara, menghasilkan bahan mentah yang mampu milik dan akhir sekali mempunyai sistem menyampaikan makanan kepada golongan paling vulnerable dalam masyarakat secara tersusun.
Dari bacaan, Malaysia masih banyak bergantung kepada import. Contoh 30% beras, 70% daging diimport. Malah import daging, didapati, ia didominasikan oleh beberapa syarikat sahaja yang menyebabkan nilai serta harga daging cukup tinggi kerana berlakunya monopoli.
Malaysia harus meningkatkan teknologi tinggi pertanian (seperti smart farming) dan penternakan kerana didapati walaupun negara banyak melabur dari segi latihan, sokongan dan subsidi kepada petani dan penternak, namun kita masih lemah dari segi R&D dalam kedua sektor ini.
Akhirnya kesemua ini ada domino effect dengan harga barangan di pasaran. Kesannya juga terpaksa pembeli tanggung. Apabila berlakunya krisis, ada kebarangkalian harga barangan akan meningkat secara mendadak.
Nona: Cara anda sebagai peniaga mensyukuri rezeki yang Allah SWT bagi?
Farrah: Sebagai umat Islam, kita harus yakin bahawa apa sahaja yang berlaku ada hikmah dan baik untuk kita. Allah juga berjanji akan menambah rezeki seseorang itu apabila dia memberi atau menginfaq kerana Allah. Justeru dalam keadaan seperti sekarang, POW tetap meneruskan aktiviti mingguan bersedekah.
Malah POW memberi subsidi sebanyak 10% – 15% untuk setiap kolaborasi bersama NGO serta orang ramai memberi packed-food kepada asnaf, orang miskin, anak yatim dan front liners. Ini sememangnya polisi yang telah kami aplikasikan sepanjang POW beroperasi sejak 2015.
Satu perkara yang amat saya syukuri, dalam keadaan yang dimana kita lihat banyak syarikat kecil mahupun besar terpaksa memberhentikan operasi, kami masih lagi mampu berdiri dan berkongsi rezeki dengan team. Itu adalah satu nikmat Allah yang jangan sekali-kali kita kufuri.
Nona: Harapan dan impian anda dalam bisnes?
Farrah: Harapan 2020 sebenarnya adalah untuk POW menambah 3 lagi cawangan. Namun dengan keadaan yang berlaku kami terpaksa menukar, menangguh dan menyesuaikan strategi perniagaan.
Namun perancangan untuk menghasilkan produk segera POW sudah berada pada peringkat R&D. Ini akan ditumpukan kepada jualan melalui pengedar dan pasar raya. InsyaAllah doakan agar POW, sebuah syarikat 100% milik Bumiputera, mampu terus kukuh dan berjaya mengembangkan sayap dalam perniagaan F&B.
Nona: Perubahan hidup yang ketara lepas PKP?
Farrah: Paling ketara ialah, PKP memaksa saya dan kita semua slow-down. Pada fasa tersebut, saya dan suami sedar ianya satu fasa yang Allah berikan untuk seketika kepada kami sebagai sebuah keluarga. Setelah hampir 18 tahun mendirikan rumah tangga, kami sudah terbiasa menghabiskan masa apabila ‘ada masa’ dan sentiasa berpegang kepada prinsip make the best of what we have.
Kami berdua terlibat dalam perniagaan. Malah kami juga sudah menjalankan syarikat guaman ‘The Law Practice of Rafique’ bersama yang menumpukan kepada litigasi (sivil dan jenayah) serta korporat sejak 14 tahun lalu.
Kami sepatutnya berpindah ke premis baru sewaktu PKP. Namun segala pengubahsuaian pejabat baru terpaksa ditangguhkan dan bermula kembali dua minggu lepas.
COVID-19 mengizinkan kami sekeluarga, anak-beranak menghabiskan masa sepuas-puasnya bersama.
Namun kini, aktiviti sudah kembali seperti sedia kala. Alhamdulillah Allah izinkan kami menikmati momen tersebut walaupun seketika.
Ditanya tentang pengurusan masa Farrah sepanjang bergelar isteri, ibu dan pengusaha POW, ini jawapan beliau.
“Paling mencabar sekarang, tentunya menguruskan pendidikan anak-anak sehingga ke hujung tahun. Tugasan ini cukup mencabar namun tidak boleh diabaikan.
Ini waktu paling kritikal untuk anak-anak di seluruh dunia. Tidak pernah dalam sejarah sejak merdeka atau Perang Dunia II, anak-anak tidak ke sekolah pada jangka waktu yang begitu panjang.
Minda dan masa anak-anak harus diisi dengan perkara yang berfaedah. Sekira tidak, ia pasti diisi dengan perkara lain. Ini satu isu yang harus kita sebagai ibu bapa ambil perhatian.
Tentang cara menguruskan masa sebagai entrepreneur, POW melantik pengurus dalam menguruskan tugasan harian. Namun segala laporan perbelanjaan, jualan serta isu berbangkit dimaklumkan kepada saya dan rakan kongsi setiap hari. Maka segala isu berbangkit day to day dapat dikenal pasti dan troubleshoot segera.”
Cara Farrah uruskan anak-anak pula? “Anak-anak saya, Muhammad dan Harith sebelum ini semuanya ke sekolah, maka saya akan uruskan tugasan bisnes pada waktu itu. Namun di dalam waktu kini (sekolah ditangguhkan) walaupun mempunyai pembantu, saya jarang sekali meninggalkan mereka bersendirian. Maka kalau ke pejabat, saya akan membawa mereka sekali.
Pengurusan masa terletak di tangan kita. Selalunya lebih banyak boleh diselesaikan apabila kita mempunyai banyak tanggung jawab berbanding waktu kurang tugasan. Pertama ialah mengenal pasti prioriti dan perlu ada time line. Kedua saya gemar menjanjikan diri reward kalau berjaya siapkan tugasan.
Reward pun bukanlah semestinya sesuatu yang luarbiasa. Ia mungkin sekadar keluar beriadah bersama anak-anak, berlari di taman atau minum kopi bersama suami sekiranya tugasan selesai,” akhirinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebut sahaja nama Rozita Che Wan atau mesra disapa Che Ta, pasti ramai yang membayangkan kejelitaan dan imej glamor isteri Zain Saidin ini.
Malah, Che Ta pernah tersenarai antara selebriti wanita tercantik tanah air, sememangnya mempunyai aura dan pesona tersendiri. Apatah lagi, dia merupakan Miss Malaysia Intercontinental 1992 yang cukup sinonim dengan kecantikan dan fesyen.
Namun, wanita jelita ini kini sudah berada di usia 51 tahun dan kian matang melalui episod kontroversi dan asam garam dunia seni, Che Ta yang sudah hampir dua dekad bergelar anak seni mengaku fokusnya kini ialah keluarga.
Usahawan Inai Che Ta dan RCW Scarves ini mengakui bahawa dia amat mengutamakan hubungan kekeluargaan dan selesa dikelilingi adik-beradik dan ahli keluarga tersayang.
“Hubungan adik-beradik memang akrab sebab kita tak banyak kawan luar, kita hanya berkawan dengan adik-beradik. Susah senang kami dari kecil, hanya ada adik-beradik je.
“Macam sekarang, I lebih suka keluar dengan adik-beradik stay dan lepak dengan mereka. Macam my mom pun duduk dengan I. Ayu je duduk jauh sedikit dengan kami, lain-lain semua duduk dekat KL. Bila weekend Ayu datang rumah, I akan ajak semua datang rumah makan-makan dan berkumpul.
“Sebab I rasa bila dah berusia ni, I macam nak kecilkan circle kawan. Tengok mana yang kawan makan kawan, kawan yang friend for benefit ke semua tu I nak avoid,” ujarnya.
Tambahnya lagi, meniti usia separuh abad, Che Ta hanya mahu menikmati kehidupan yang lebih tenang dengan mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.
“Sebab tu kalau tengok, I dah jarang lepak dengan kawan. Sekarang kehidupan I pagi mengaji, lepas Zohor baru pergi office dan balik. Sebelum Maghrib tu dah dekat rumah. Kehidupan I sekarang ni kalau orang mungkin tak nampak I dekat mana-mana, I sebenarnya sangat tenang di rumah.
“Iyalah, kita tua ni kita tak nak apa dah, kita nak kehidupan yang harmoni. Kalau boleh amal ibadat, kita tak nak tinggal. I rasa bila kita duduk dekat rumah just pergi office, I rasa waktu solat tu kita dah tak lambat, kadang-kadang (dulu) tertinggal.
“Bila umur macam ni ketenangan kita banyak di rumah dan dengan adik-adik saja,” luahnya.
Seronok tengok keakraban Che Ta dan adik-beradik. Walau masing-masing dah bekeluarga dan ada bisnes sendiri tetap meluangkan masa untuk berkumpul ramai-ramai. Kalau dah berkumpul, meriah sungguh!
Untuk rekod, Che Ta mendirikan rumah tangga dengan pelakon kacak, Zain Saidin pada 11 Disember 2013. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Aaisya Dhia Rana.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Che Ta turut mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezzra.
Tumpang gembira dengan kejayaan Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa, Nor Farhatul Fairuzah Panut baru-baru ini. Selepas bergelar usahawan muslimah dan menerbitkan single dakwah tahun lepas… tahun ini Farha kembali menyemarakkan semangat cintakan Al-Quran. Sampaikan mualaf yang juga personaliti Youtube terkenal negara itu, Daud Kim pun teruja hendak belajar tarannum dengan gadis kebanggaan Malaysia ini. Kagum!
Ketika menghubungi Farha, gadis berusia 20 tahun ini memberitahu dia dan ibunya berangkat ke Korea Selatan minggu lalu dan berada di sana selama enam hari bagi menjayakan sebuah travel log. Berkongsi momen menarik dengan masyarakat di laman media sosial, Farha turut tidak melepaskan peluang mengenali budaya Korea selain mengenakan persalinan tradisional. Dengan raut wajah Farha, ramai mengatakan gadis ini tidak ubah seperti wanita di sana.
Berkesempatan bertemu dengan Daud Kim, ada cerita menarik yang ingin dikongsikan anak kelahiran Selangor ini kepada pembaca Nona. “Bagi saya, dia seorang yang memiliki
peribadi yang sangat bagus. Ketekunan dia mempelajari Islam sangat menyentuh hati. Sepanjang pertemuan bahkan dalam kereta sekalipun dia rajin hafal surah Al-Fatihah. Katanya, dia nak tarik lebih ramai orang untuk minat Islam.”
Menerusi perkongsian di Instagram, Farha ada memuat naik video dia dan Daud Kim bertarannum surah Al-Asr. Ujar Farha lagi, selain surah tersebut ada beberapa lagi surah pendek yang dipelajari mualaf Korea berkenaan.
Ditanya perancangan Farha selepas berjaya berkongsi ilmu tarannum dengan personaliti Youtube Korea, anak perempuan Allahyarham Haji Panut dan Hajah Jaliah Haji Simin ini sudah pun merencana hala tujunya tahun ini. “Rancangan untuk tahun 2020 ini saya nak mendalami ilmu Quran dan berjumpa lebih ramai ulama. Selain mahu berkunjung ke beberapa negara lagi dengan harapan semoga lebih ramai lagi meminati Quran dan mengajak golongan anak-anak muda supaya bangkit demi Islam.”
Lebih sembilan bulan menyandang gelaran Johan Qariah termuda dalam sejarah MTHQA, Farha terus melangkah setapak ke hadapan dengan menceburi bidang perniagaan muslimah. Hujung Julai tahun lalu, anak bongsu daripada lima beradik ini telah melancarkan koleksi hijab miliknya di bawah label Farha Looks. Selaku pengasas, dia bertanggungjawab memastikan produk keluarannya berkualiti dan paling utama ialah menepati syariah.
Bangga dengan pencapaian Farha. Muda-muda lagi sudah ada wawasan dan menambah ‘bekalan’ dunia serta akhirat. Dengar khabar, tudung bawal shawl Farha Looks dah banyak
yang sold out! Di samping mengajak para muslimah menutup aurat dan berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan, Farha turut mengambil pendekatan berdakwah melalui muzik.
Ogos tahun lalu juga, single dakwah pertama Farha bertajuk ‘Bukti’ diperdengarkan kepada umum. Sudahlah pandai mengaji, punya ilmu agama, berpekerti baik, dan sekarang… bijak berniaga pula.
Masih segar lagi kenangan bertemu Farha ketika sesi fotografi bersama Nona, Mac tahun lalu. Ditemani ibu tersayang, Hajah Jaliah Haji Simin, Farha mengakui dirinya cukup dekat dengan Al-Quran dan gemar bertarannum. Ada saja masa terluang dia pasti akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci sepuas-puasnya.
“Kalau saya rasa bosan, perkara pertama yang saya buat ialah bertarannum. Tarannum ni dah jadi minat saya sejak dulu. Kiranya macam menyanyilah… cuma saya ‘nyanyi’ dengan cara saya sendiri iaitu dengan bertarannum,” ujarnya sambil tersenyum.
Mengimbas semula detik kemenangan Farhatul yang telah berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang hafaz Al-Quran, pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu ini menewaskan peserta dari Indonesia dan Thailand dengan catatan markah tertinggi iaitu 86.67 peratus. Hasil kemenangan itu, Farhatul membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70,000, piala iringan dan wang tunai RM40,000.
Kongsi Farha, “Sejak umur lima tahun lagi saya dah mula belajar tarannum. Bila masuk darjah satu pula, saya dah didedahkan menyertai pertandingan tilawah. Mak dan ayah
yang banyak mendidik saya sejak kecil lagi sebab mereka berdua bekas Qari dan Qariah. Ayah jadi Qari sekitar tahun 1990an dan kali terakhir mak bergelar Qariah pula
pada tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga peringkat kebangsaan.
Kalau diikutkan, selain suka dengar lagu-lagu Arab, tilawah juga salah satu hobi saya. Tapi buat masa ini, tujuan saya masuk tilawah adalah untuk menilai sejauh mana kualiti bacaan. Belum terfikir lagi untuk jadikannya sebagai kerjaya. Semua adik-beradik saya pernah wakil negeri dan ke peringkat kebangsaan dalam pelbagai anjuran. Memang ini adalah impian arwah ayah dan mak. Lagipun, mak adalah guru mengajar Al-Quran.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
14 Oktober 2026 melakar satu lagi sejarah buat Nona apabila buat julung-julung kalinya menganjurkan Nona Gala Awards 2026 Media Soiree. Lebih istimewa, majlis ini diadakan sempena 40 tahun penubuhan Nona yang komited meraikan dan mengangkat kisah inspirasi golongan wanita sukses di Malaysia.