
Kagum dengan kejayaan penyanyi Black Hanifah menaik taraf kehidupan. Bukan berasal dari keluarga kaya, pelantun lagu Teman Pengganti ini berusaha keras meraih kesenangan hidup sehinggalah berjaya mengumpul beberapa aset demi masa depan. Tahniah!
Baru-baru ini, nama Black kembali menjadi bualan apabila dia membuka sebuah villa peranginan di Pulau Langkawi, Kedah yang dikenali sebagai Rindu D’Villa. Khabar gembira itu dikongsikan Black sendiri di Instagram miliknya sejak Disember lepas dengan menunjukkan setiap perkembangan pembinaan villa berkenaan.
Lebih manis, dia menamakan villa itu sempena nama puteri kesayangan iaitu RIndu Dayyana. Rindu D’Villa dibina berkonsepkan Bali yang terletak di Cow Hill, Kedawang, Langkawi mengambil masa kira-kira tiga bulan.
Jelas pemilik nama Hanifah Md Hanafiah ini, idea pembinaan villa tercetus sejak Oktober tahun lalu ketika negara melalui fasa peralihan ke endemik Covid-19. Apa yang mengagumkan ialah, Rindu D’Villa dibina Black sendiri dan dibantu empat pekerja yang dibawa dari Kuala Lumpur.





Dia yang kini berusia 36 tahun berkata Rindu D’Villa sudah bersedia menerima kunjungan tetamu dan tempahan sudah mula dibuka pada bulan Mac.
Difahamkan, Black juga tidak menolak kemungkinan bakal menambah villa di sekitar lokasi tersebut pada masa depan kerana menganggap ia satu pelaburan yang baik untuk masa depan keluarga.
Saban tahun, pasti ada aset baru yang dimiliki anak seni ini. Januari tahun lalu misalnya, Black berkongsi proses ubah suai kediaman dua tingkat miliknya yang serba moden dan eksklusif.




Pada tahun 2019, dia dilaporkan menghadiahkan ibu bapanya banglo dan tiga chalet iaitu D’Sawah Chalet di Kupang, Baling, Kedah yang harganya dianggarkan mencecah RM200,000!
Black menjelaskan kediaman itu dibina atas tanah milik bapanya selepas mereka berhasrat menetap di kampung.
Black berkahwin dengan Naquia Yasirah Mohd Khairi pada 13 September 2013 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Khaleef Dayyan dan Rindu Dayyana.
“Anugerah Ini Untuk Ibu Saya” Keikhlasan Abang Viva Jadi Inspirasi, Tetamu Beri ‘Standing Ovation’ Di Nona Superhero Award!

Malam Nona Superhero Award menoktahkan pelbagai kenangan suka dukanya, malam tadi. Kemuncak majlis apabila hero banjir Malaysia, Abang Viva melangkah ke pentas bersama ibu tercinta, Norbibah Hashim untuk menerima penghargaan khas Majalah Nona.
Saat itu, semua tetamu memberikan standing ovation sebagai tanda penghormatan terhadap keikhlasan Azwan Omar!
Dari Melaka ke Hotel One World Petaling Jaya, kehadiran Abang Viva bersama ibu bapanya semalam merupakan antara detik-detik manis penerima anugerah Nona Superhero Award bersama 25 penerima anugerah utama yang lain.
Ternyata bantuan solo Abang Viva sewaktu banjir melanda pada hujung tahun lalu, menyentuh hati rakyat Malaysia.
Meskipun bukan siapa-siapa, tapi keikhlasannya membawa bot, meredah air keruh dan menyelamatkan mangsa banjir cukup menyedarkan kita bahawa tindakan pantas itu menyelamatkan banyak nyawa.

Majlis yang berlangsung pada Rabu, menyaksikan sebanyak 23 kategori anugerah Nona Superhero disampaikan kepada lelaki-lelaki unggul yang menjadi pencetus revolusi Malaysia sepanjang 2021.
Diperindahkan oleh penaja utama, IDW Design & Build Sdn Bhd, majlis bermula seawal jam 7.30 malam untuk sesi karpet merah.
Suasana ruang legar Topaz Ballroom, Hotel One World Petaling Jaya bertambah elegan dengan satu sudut khas yang menampilkan konsep rekaan dalaman sentuhan IDW Design & Build Sdn Bhd yang ‘menangkap’ mata para tetamu untuk mengabadikan foto kenangan.
Laluan khas menyaksikan penampilan ramai public figures termasuk YM Tengku Datin Sri Zawyah, Puan Sri Faridah Idris, Datin Adzliana Hassan, Wak Doyok, Dr Say Shazril, Mawar Karim serta ramai usahawan berjaya negara yang menunjukkan sokongan penuh terhadap Majalah Nona.
Kehadiran tetamu utama iaitu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Haji Omar dan Puan Sri Nooraisha Farizan; Ketua Setiausaha MEDAC iaitu Dato’ Suriani Ahmad; YM Tengku Hishammudin Zaizi dan Datin Hezita Hafiz serta Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv iaitu Syamil Fahim Mohamed Fahim menambah keserian majlis.



















BERTENAGA
Bersempena ulang tahun penerbitan Majalah Nona ke-35, turut diadakan adalah acara memotong kek sebagai simbolik meraikan momen tersebut.
Ini disusuli dengan acara pelancaran apps IDW Design yang menawarkan pelbagai ciri-ciri rekaan hiasan dalaman terbaik, laksana pakar interior designer di hujung jari.


Majalah Nona membariskan lelaki-lelaki unggul yang menjadi pencetus revolusi Malaysia sepanjang 2021.
Sebagai kesinambungan Nona Superwoman Award, fenomena ini diteruskan dalam Nona Superhero Award buat julung kalinya bagi mengiktiraf kecemerlangan dan prestasi lelaki ikonik melalui 23 kategori anugerah daripada pelbagai kerjaya.
Editor Pengurusan Nona, Kiffy Razak dalam ucapan beliau berkata, majlis pengiktirafan yang diadakan buat kali pertama ini cukup bermakna kerana ia adalah tanda penghargaan wanita kepada golongan lelaki.
“Sempena ulang tahun ke-35 Majalah Nona, saya bersyukur kerana majlis pengiktirafan ini dapat juga dilaksanakan meskipun negara masih dilanda pandemik COVID-19 dan musibah banjir hujung tahun lalu.
Kami di Majalah Nona terpanggil untuk menghargai golongan lelaki-lelaki hebat yang menjadi wira sebenar sepanjang menempuh tahun 2021 yang mencabar.
Setiap individu yang diraikan pada malam ini juga adalah antara yang turut terkesan dengan ketidakstabilan ekonomi namun masih mampu bertahan dengan semangat yang kuat. Tahniah kami ucapkan.” Kiffy Razak



Dengan pematuhan SOP yang ketat, pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial sepanjang majlis berlangsung, malam pengiktirafan yang dihoskan oleh Radin Amir Effendi ini turut diserikan persembahan artis terkemuka Malaysia, Dato’ Jamal Abdillah dan Noryn Aziz.
Majlis bertemakan Glam Suit ini ditaja sepenuhnya oleh syarikat pembinaan dan reka bentuk dalaman IDW Design & Build Sdn Bhd.
Ia telah distrimkan secara langsung melalui YouTube, Facebook dan Instagram Majalah Nona bersama hashtags rasmi #nonasuperheroaward dan #nonasuperhero.
Syabas dan semoga kejayaan mereka menjadi inspirasi kepada lebih ramai orang pada tahun 2022!
SENARAI PENERIMA ANUGERAH
Nona Superhero Award
Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah
Nona Superhero Award
Azwan Omar
Nona Men’s Corporate Award
Datuk Kamarudin Meranun
Nona Men’s Social Media Influencer Award
Ariz Ramli
Nona Men’s Business Mentor Award
Datuk Wira Dr Azizan Osman
Nona Men’s Legend Award
Dato’ Jamal Abdillah
Nona Men’s Fashion Designer Award
Rizman Nordin & Ruzaini Jamil
Nona Men’s Style Icon Award
Awal Ashaari
Nona Men’s Inspiring Award
Syed Saddiq
Nona Men’s Chef Celebrity Business Award
Datuk Dr Redzuawan Ismail
Nona Men’s Celebrity Achievement Award
Dato’ Sri Eizlan Yusof
Nona Men’s Charity Award
Dato’ Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus
Nona Men’s Paralympic Award
Abdul Latif Romly
Nona Best Interior Designer Award
IDr Lokman Hakim Ahmad Subki
IDr Rabiatul Adawiyah Rasol
Nona Best Men’s Innovative Interior Designer Award
IDr Lokman Hakim Ahmad Subki
Nona Best Halal Skincare Award
Aliff Kadir & Zirra Abdullah
Nona Best Beauty Supplement Award
Muhammad Iddin Syah
Nona Best Men’s Fashion Brand Award
Muhd Hilmi Che Azman
Nona Best Business Strategies Award
Dr CK Koh
Nona Best Innovative F&B Business Award
Vincent Lua
Nona Outstanding Business Award
Hafiz Hiew
Nona Successful Young CEO Award
Safwan Ismail
Nona Best Men’s Halal Beauty Award
Mohd Faizul Rohban Ahmad
Foto: Nu Ideaktiv
Tawan Peminat Arab, Ustazah Oki Setiana Dewi Kini Pelakon Drama Komedi Popular Di Mesir

Bukan sekadar dakwahnya tawan peminat Arab, Ustazah Oki Setiana Dewi kini pelakon drama komedi di bumi Mesir.
Nama pelakon dan pendakwah Indonesia, Oki Setiana Dewi, sekali lagi menjadi sebutan apabila bulan Ramadan ini beliau membintangi sebuah drama komedi yang diterbitkan di Mesir iaitu اشغال شقة جدا.
Kejayaan ini turut menandakan langkah pertama beliau dalam menjelajahi genre baru setelah sekian lama terkenal dengan watak-watak serius dalam filem dan sinetron. Selama menetap di Mesir, pengalaman ini tentunya memberikan pelbagai warna dalam karier lakonannya, dan ia menjadi cerita yang sangat menarik untuk dikongsikan.

Bagi Oki, menerima tawaran untuk berlakon dalam drama komedi ini bukanlah satu keputusan yang mudah. Dalam salah satu hantarannya di Instagram, Oki berkongsi bahawa beliau pada awalnya merasa ragu-ragu untuk menerima tawaran tersebut.
“Pada awalnya, apabila ditawarkan untuk bermain dalam siri ini, saya rasa ragu-ragu kerana saya belum pernah terlibat dalam drama komedi (selama ini, saya selalu dapat watak yang serius),” tulisnya.
Ungkapan ini menggambarkan betapa tawaran tersebut benar-benar di luar jangkaannya, namun, rasa ingin tahu yang mendalam mendorongnya untuk mencuba sesuatu yang berbeza.

Dalam perkongsian beliau ke bumi Anbiya, wanita anak 4 ini turut berkesempatan untuk berpuasa dengan keluarganya di sana.
Diantara banyaknya pilihan masjid untuk bertarawih, Masjid Azhar selalu menjadi pilihan pertama.
.
2008 lalu saya ke masjid ini untuk sebuah film, dan kini saya benar bisa merasakan ibadah dan belajar di dalamnya.
.
Masjid Azhar menyediakan makanan berbuka puasa untuk pelajar asing. Biasanya tarawih witir dilakukan 23 rokaat yang akan selesai pada pukul 9 malam. Namun setiap selesai 8 rokaat imam akan berhenti sejak untuk memberikan waktu bagi para jemaah yang ingin pulang dan yang ingin meneruskan ibadah di rumah.
DRAMA KOMEDI
Bukan sekadar dakwahnya tawan peminat Arab, Ustazah Oki Setiana Dewi kini pelakon drama komedi di bumi Mesir.
Oki Setiana Dewi bukan hanya seorang pelakon, tetapi juga seorang pendakwah yang terkenal dengan imej yang positif dan penuh inspirasi. Sejak awal kemunculannya di dunia hiburan, beliau telah memukau penonton dengan lakonan yang mendalam, terutama dalam watak-watak serius yang membawa mesej moral dan keagamaan.
Namun, meskipun terbiasa dengan watak-watak berat, kali ini beliau memilih untuk menjelajahi dunia komedi yang penuh dengan cabaran baru.
Bukan hanya lakonannya yang menarik perhatian, tetapi latar belakang penggambaran drama ini juga memberikan dimensi tersendiri.
Drama yang sedang diusahakan ini bukanlah karya dari Indonesia, tetapi diterbitkan di Mesir. Untuk menghayati watak yang akan dilakonkan, Oki terpaksa menjalani penggambaran di Mesir, dan ini memberikan pengalaman yang sangat berharga baginya.
Dalam beberapa klip yang dikongsikan Oki di Instagram, beliau turut menunjukkan proses latihan dialog dan perbincangan yang berlangsung dengan pasukan produksi. Suasana di lokasi penggambaran yang berbeza ini tentunya memberikan pengalaman yang sangat bermakna dalam karier seni beliau.



Namun, yang paling mengejutkan adalah penerimaan drama ini di kalangan masyarakat Mesir. Menurut Oki, drama yang dilakonkan olehnya menjadi salah satu tontonan kegemaran sepanjang bulan Ramadan di sana.
Ramai pengguna media sosial turut memberikan sokongan dan penghargaan terhadap penglibatannya dalam projek ini. “Alhamdulillah, penggambaran yang dilakukan pada bulan Disember lalu sudah ditayangkan. Katanya, drama ini menjadi siri kegemaran sepanjang bulan suci Ramadhan bagi rakan-rakan di Mesir dan sekitarnya,” tulis Oki dengan penuh rasa syukur.
Melihat kejayaan ini, Oki Setiana Dewi menunjukkan kepada kita bahawa kesediaan untuk keluar dari zon selesa dan mencabar diri dalam bidang baru mampu membawa kepada pengalaman yang sangat berharga.

Dengan sokongan yang diterima, Oki kini bukan sahaja dikenali di Indonesia, tetapi juga di kalangan penonton antarabangsa. Semoga perjalanan Oki dalam dunia lakonan ini terus memberi inspirasi kepada banyak orang untuk berani mengejar impian, tidak kira cabaran yang ada.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/2-wanita-terpenting-dalam-hidup-pmx-cuit-perhatian-di-majlis-sambutan-hari-wanita-antarabangsa-2025/
Ada 3 Diploma, Kejayaan SHIMA Buka Akademi Kecantikan Di Usia 27 Tahun Cetus Inspirasi!

Belum pun mencecah usia 30 tahun namun Nor Ashima Abdullah sudah melakar bermacam-macam pencapaian membanggakan. Bukan hanya dalam bidang akademik tetapi juga mencipta kejayaan tersendiri apabila impian mempunyai sebuah akademi kecantikan akhirnya menjadi kenyataan.
Walau sudah berjaya menggapai cita-cita tersebut, wanita kelahiran Ampang ini mengakui perjalanannya sebagai ahli perniagaan masih panjang.
Bakal meniti umur 27 tahun pada 3 Ogos depan, Nor Ashima atau mesra disapa Shima tanpa berselindung mengakui kehidupannya tidak semudah disangka. Sejak kecil, dia sudah melalui pelbagai ujian. “Dari kecil saya tak tinggal bersama keluarga kandung kerana dibesarkan oleh keluarga angkat. Merekalah yang banyak membantu saya menjadi insan lebih kuat dan bercita-cita tinggi.
Saya dibesarkan di Ampang dan bapa angkat yang saya panggil ayah ialah seorang penjual Nasi Lemak. Ayah bekerja keras mencari rezeki buat kami sekeluarga dan membiayai pelajaran saya. Kerana saya satu-satunya anak mereka, saya ditatang bagai minyak yang penuh. Walau pendapatan ayah tak seberapa tapi ayah sedaya-upaya memberi pendidikan terbaik untuk saya.
Sejak di bangku sekolah saya sudah mula meminati bidang kecantikan dan menyimpan hasrat untuk bekerja dalam industri ini. Dari situ jugalah saya pasang impian untuk ada sekolah dan pusat kecantikan sendiri. Tapi ia tidak semudah disangka kerana kami bukan dari keluarga senang dan lebih memeritkan impian saya diperkotak-katikkan oleh orang sekeliling.
Mereka anggap kerjaya dalam bidang kecantikan tidak menguntungkan dan hanya boleh dipelajari di Youtube saja tanpa perlu belajar tinggi. Kata mereka, saya hanya membuang masa dan menghabiskan wang ringgit ayah kerana mahu melanjutkan pelajaran di sekolah kecantikan di United Kingdom,” kenang Shima tatkala menceritakan kehidupan silam.
Meskipun dirundung rasa sedih namun ia tidak mematahkan semangat Shima untuk berjaya. Buktinya, dia kini tidak hanya mempunyai satu skrol pendidikan bahkan tiga diploma dalam jurusan perniagaan dan kecantikan. Usai tamat persekolahan, Shima melanjutkan pelajaran peringkat Diploma in Business Studies di Kolej University PolyTech Mara Bangi selama tiga tahun.
“Demi nak kumpul duit dan teruskan belajar, saya buat macam-macam kerja sambilan di banyak tempat. Tahun 2016, saya habis belajar Diploma dan cari duit dengan bekerja sebagai sales promoter syarikat telekomunikasi demi untuk sambung belajar dalam bidang cosmetology.
Saya juga pernah bekerja di spa dan salun kecantikan dalam masa sama ambil short course. Pada tahun 2017, saya berjaya peroleh Diploma Beauty Therapy & Aesthetic di Adonis 1st Academy of Cosmetology selain menerima Professional Certificate in Advanced Aesthetics Therapist & Beauty Consultant.
Kemudian, saya bertugas sebagai Assistant Doctor di sebuah klinik estetik sebelum akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran di UK dengan menggunakan sebahagian wang simpanan. Alhamdulillah, saya tamat belajar dan memperoleh Diploma in Beauty Educator, Level 3 in Teaching & Education PTLLS di Beauty Industry Approval, UK.”
Berbekalkan pendidikan dan pengalaman bekerja di lebih 10 klinik kecantikan, pada April 2020 Shima membuka akademi kecantikan miliknya sendiri iaitu Dolled House Cosmetology School yang mendapat pengiktirafan daripada United Kingdom. Wanita cekal ini kembali diuji apabila pandemik Covid-19 melanda negara dan merencatkan perniagaan ketika itu.
“Dolled House Cosmetology School khusus untuk wanita yang mahu mengusahakan perniagaan berasaskan kecantikan di samping mendapat kelayakan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Sepanjang ia dibuka, seramai lebih 50 orang sudah berjaya tamat pengajian dan membuka pusat kecantikan sendiri.
Berdasarkan pengalaman saya sendiri, saya percaya ‘melabur’ dalam pendidikan merupakan pelaburan yang terbaik buat semua individu. Dalam masa sama kita dapat jana pendapatan dan bantu lebih ramai orang. Saya harap dengan perkongsian kisah saya ini dapat memberi inspirasi buat ramai wanita.
Tidak hanya kepada mereka yang mahu mendalami bidang kecantikan tetapi juga buat wanita yang berada dalam lapangan kerjaya masing-masing. Usah pedulikan sindiran negatif dan caci maki orang sekeliling yang tak sependapat.
As long as you know what you’re doing and believe it. Growth your mindset, great works are perfomed, not by strength, but by perseverance. Yang penting pengakhiran cerita kita bukan pengakhiran kata-kata mereka,” akhirinya penuh semangat.