Sejak mendirikan rumah tangga kira-kira lima bulan yang lalu, nampaknya Laudya Cynthia Bella semakin berbahagia melayari bahtera rumah tangga bersama suami tersayang, Engku Emran Engku Zainal Abidin. Meskipun sudah menginjak lima bulan usia perkahwinan bersama suami tersayang, kedua-duanya masih dalam fasa honeymoon dan ingin meluangkan lebih masa untuk bersama.
Sempat menikmati percutian bersama ke Bali pada awal tahun lalu yang dianggap sebagai percutian keluarga, Bella dan Emran turut membawa Engku Aleesya dalam percutian tersebut.
“Alhamdulillah kami sempat meluangkan masa bercuti bersama selepas masing-masing sibuk dengan urusan kerja dan sebagainya. Percutian tersebut merupakan antara momen yang kami kongsikan bersama dan peluang melakukan aktiviti-aktiviti secara bersama.
Walaupun sedang bercuti, kami masih melakukan aktiviti beriadah dan bersenam kerana ia merupakan aktiviti wajib Abang dan Bella serta Aleesya ikut serta. Maklumlah, semasa bercuti kami makan banyak, jadi kenalah bersenam!,” ujar Bella yang turut merasakan penambahan berat badan selepas berkahwin.
Jika tidak terikat dengan jadual kerja, dia dan Engku Emran bercadang untuk bercuti di dalam negara memandangkan Bella belum berkesempatan untuk bersiar-siar di luar Kuala Lumpur akibat kekangan masa. “Saya punya banyak masa lagi untuk menikmati keindahan Malaysia, Insyaallah. Saya sempat berkunjung ke Pulau Langkawi akhir tahun lalu ketika menemani abang dalam acara Ironman yang disertai oleh abang. Saya dan Aleesya datang memberikan sokongan untuk abang dalam acara tersebut. Sambil itu, sempat juga menikmati keindahan pulau lagenda tersebut biarpun dalam masa yang singkat.”
Umum pasti tertanya-tanya sejauh mana keserasian hubungan Bella dengan mantan isteri Engku Emran, Erra Fazira. Bella berkata, ternyata dia amat mengagumi ibu kepada Engku Aleesya dan menghormati Erra sebagai ibu kepada Engku Aleesya.
Bella bersama anak tirinya, Engku Aleesya
“Saya kagum melihat hubungan baik Abang dan kak Erra yang amat baik. Jadi, sangat mudah untuk saya rapat dengan mama Aleesya. Saya tidak ingin menjadi figura ibu tiri untuk Aleesya kerana dia sudah pun mempunyai seorang ibu yang terbaik untuk dirinya. Jadi, saya lebih selesa meletakkan diri sebagai sahabat buat anak manja ini. Kami sering keep in touch mengenai apa sahaja. Malah, kami sering berzumba bersama! Saya bersyukur kehadiran saya sebagai sahabat Aleesya dan saudara buat Kak Erra.”
Ads
Menjadi isteri dan ibu ‘segera’ kepada cahaya mata tunggal Engku Emran hasil perkahwinan terdahulu, Engku Aleesya, Bella ternyata bijak membawa dirinya bukan sahaja sebagai isteri, malah ‘bersahabat baik’ dengan Engku Aleesya.
Ketika ditanya mengenai perbezaan paling ketara yang dirasai selepas mendirikan rumah tangga, Bella mengakui kehidupannya kini lebih bermakna dengan kehadiran seorang lelaki bergelar suami. “Alhamdulillah, ‘Abang (panggilan Bella untuk Engku Emran) berbahasa Indonesia ketika di rumah. Mungkin abang tidak mahu saya merasa terasing. Tetapi, setiap hari, saya juga semakin mahir berbahasa Melayu apabila bergaul dengan rakan-rakan di sini,” ceritanya yang cuba mempelajari dialek bahasa Melayu seharian.
BELAJAR MEMASAK
Memasak antara tugas utama wanita sebaik sahaja mendirikan rumah tangga. Sebagai wanita, Bella juga tidak terkecuali menyediakan hidangan untuk suami tersayang setiap kali berada di Kuala Lumpur. Ujar Bella, dia banyak mempelajari menu kegemaran suami tersayang melalui ibu mentua dan youtube.
Ads
“Sejak berumah tangga, saya belajar memasak untuk abang. Abang tidak cerewet dan dia merupakan suami yang tidak banyak kerenah. Itu yang menggembirakan saya. “Saya belajar memasak untuk abang dan selalu membuat kopi kegemarannya dan menyiapkan hidangan seperti buah untuknya,” ungkap Bella yang gemarkan menu seperti nasi lemak dan minuman kopi.
Bella amat menyokong minat suami tersayang dalam bidang sukan seperti berbasikal dan pasangan ini menjadikan aktiviti berjogging sebagai rutin harian mereka walaupun tatkala bercuti. “Abang memang seorang sportsman yang ekstrem. Bayangkan, abang boleh berbasikal dari selepas subuh hingga jam 11 pagi dan menjelajah puluhan kilometer. Kedengaran agak ekstrem tetapi minatnya itu baik untuk kesihatan.”
“Aktiviti masa lapang kami banyak dihabiskan dengan aktiviti olahraga dan kuliner di rumah. Ada ketikanya, abang akan masuk ke dapur menemani Bella memasak.”
Bella bersama suami tercinta, Engku Emran
KEJUTAN EMRAN BUAT BELLA
Ads
Sering berpisah kerana urusan kerja pastinya membenihkan rasa rindu antara pasangan ini. Tambah Bella lagi, jika harus berjauhan atas urusan kerja, baik Engku Emran mahupun Bella menggunakan kemudahan teknologi seperti video call untuk berhubung. “Kalau Bella pulang ke Jakarta pun selalunya tidak lama. Lagipun, penerbangan Kuala umpur ke Jakarta hanya mengambil masa dua jam. Jadi, perkara ini bukan masalah buat kami,” telus Bella lagi.
Walaupun begitu, Bella amat menghargai momen istimewa yang dikongsi oleh suami tersayang bersama Engku Aleesya tatkala menyambut kepulangannya dari Korea baru-baru ini.
“Saya ke Korea menjalani penggambaran iklan selama 10 hari. Sekembalinya ke Kuala Lumpur, saya terkejut dengan sambutan yang diberikan oleh abang dan Aleesya di kediaman kami. Bayangkan, ruang kamar dipenuhi dengan belon dan ucapan welcome home dari dua insan yang amat saya sayangi. Sudah tentu saya rasa terharu disambut begitu dan terubat rasanya rindu 10 hari berjauhan dari dua insan ini,” ujar Bella yang ternyata bahagia dengan kehidupannya kini.
Bulan Februari sememangnya istimewa buat Bella kerana ia merupakan bulan kelahiran dirinya. Tahun ini, Bella bakal menginjak ke angka 30 tahun pada 24 Februari yang akan datang. Lebih istimewa, suami tersayang juga menyambut kelahiran ke 46 beberapa hari yang lalu. Tidak hairanlah mengapa Februari begitu istimewa buat Bella dengan meletakkan hastag #februarymonthoflove di Instagram miliknya. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam tempoh PKP ini ramai pekerja dan juga majikan yang terkesan kerana tidak boleh datang bekerja sekali gus operasi syarikat dihentikan sementara. Beruntung buat mereka yang boleh bekerja dari rumah (WFH) tapi tidak semua boleh melakukan kerja dari rumah. Akibatnya ramai yang menderita dipotong gaji atau diberhentikan kerja.
Sudah masanya kita berjimat cermat dan membeli barang keperluan asas sahaja. Duit yang ada simpan untuk keperluan akan datang. Tapi nak simpan kat mana pula? Bagi yang mencari-cari cara untuk menyimpan duit dengan efektif mungkin boleh aplikasi cara yang dikongsi oleh Nor Iman Nazuki @ Abang Jerung ini.
8 Jenis Tabung Ibu Bapa Perlu Ada;
1. Tabung Kecemasan
✅ Tabung kecemasan dalam 3 hingga 8 bulan dari gaji/komitmen bulanan. Simpan di tempat yang mudah dicairkan apabila memerlukan seperti ASB.
2. Tabung Bunian
✅ Konsep tabung bunian adalah force saving. Simpanan secara konsisten setiap bulan. Masuk boleh, keluar tidak boleh kecuali untuk kembangkan aset atau dah capai objektifnya seperti pelajaran anak-anak, modal beli hartanah, dan lain-lain.
3. Tabung Holding Power
✅ Ramai yang pandang ringan tabung ni terutamanya tidak nampak kesan jangka panjang kelebihan tabung ini. Tabung ini digunakan apabila berlaku ancaman kewangan terutamanya ke atas ketua keluarga. Tabung yang juga berfungsi untuk debt cancellation/income replacement/hibah apabila berlaku ancaman kewangan seperti kematian, cacat kekal dan sakit kritikal.
4. Tabung Perubatan
✅ Tabung Perubatan seeloknya diambil ketika anak-anak masih kecil kerana bayaran lebih murah dan risiko ditolak lebih rendah. Untuk mak ayah pun semuda mungkin. Namun utamakan tabung holding power dahulu sebelum tabung perubatan.
Kenapa? Worst case scenario seperti bila berlaku ancaman kewangan, masih ada hospital kerajaan. Namun, hutang anda siapa yang nak bayarkan? Takkan nak harapkan waris menanggung hutang yang anda tinggalkan?
5. Tabung Simpanan/Pelaburan
✅ Sifu saya pernah pesan, simpanan dan tabiat anda sekarang akan menentukan kedudukan kewangan anda 5 tahun akan datang. Dari tabung pelaburan inilah anda boleh gunakan untuk pelaburan seperti ASB, Tabung Haji, saham amanah, koperasi, saham dan pelbagai lagi.
6. Tabung Percutian
✅ Life pun kena enjoy juga kan? Bina tabung percutian untuk keluarga, special moments dan santaikan fikiran dan release tension. Ikut bajet yang ada. Cuti-cuti Malaysia pun apa salahnya kan?
7. Tabung Umrah dan Haji
✅ Tabung ni kena ada, bagi menunaikan haji berkemampuan dan umrah sekiranya belum atau nama belum dipanggil.
8. Tabung Sedekah
✅ Hidupkan untuk memberi. Insha Allah dimurahkan rezeki. Cara paling mudah sedekah masjid ketika solat jumaat ataupun tanyakan cikgu anak anda jika anda ada anak murid yang perlu dibantu. Besar pahalanya bantu anak-anak untuk belajar.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Gambar yang dimuatnaik Lisa Surihani di laman Instagram miliknya beberapa hari lalu bukan hanya menarik perhatian ramai bahkan mengundang pelbagai reaksi daripada peminat. Tenang memangku anak tersayang, Yusof Leonne yang ralit menghisap botol susu sambil dirinya tekun membaca Al-Quran nyata telah mencetus semangat kepada ramai wanita untuk membuat perkara sama. Mana tidaknya, dalam kesibukan seorang ibu melayan anak-anak dan menguruskan keluarga pun Lisa tetap mencari masa untuk mendalami kitab suci umat Islam ini.
Memandangkan sejak 18 Mac lalu rakyat Malaysia mempunyai ‘banyak masa’ di rumah kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan wabak Covid-19, Lisa bijak memanfaatkan masa yang ada dengan perkara berfaedah seperti menghafaz Al-Quran sebagai ‘santapan’ minda dan rohaninya.
Di kala negara berdepan dengan situasi wabak yang membimbangkan ini, penghayatan terhadap agama sudah pasti menjadi satu amalan yang paling dituntut. Inilah masanya untuk umat Islam mengenang kekhilafan diri dan berubah menjadi insan yang lebih baik.
Tanpa berselindung mengenai kekurangan diri yang disifatkan masih ‘mentah’ dalam menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran, kegigihan isteri Yusry Abdul Halim ini memang patut dijadikan inspirasi. “#dudukrumahchallenge kerana bacaan ku tak sempurna. But my dear sisters (the khadijahs) and friends keep encouraging. Dia galakkan. “Daripada tak buat langsung, Lisa?” Moga istiqamah.
Dengan doa, Ya Allah, rahmatilah kami dengan Al-Quran, jadikanlah ia sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan rahmat. Ya Allah, ingatlah kami pada apa yang terlupa, ajarkanlah apa yang tidak diketahui. Kurniakanlah kami dapat membacanya siang dan malam. Jadikan ia perisai kami, wahai Tuhan semesta alam.”
Sementara itu, Lisa turut menyertai kempen Malaysia Quran Time yang mula berlangsung pada 23 Mac lalu. Kempen berkenaan diadakan sehingga 31 Mac ini dan digalak dibaca di kediaman masing-masing memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan waktu ini.
Menerusi entri Lisa di Instagram, dia menzahirkan ucapan terima kasih kepada sahabatnya yang juga Pengasas PrettySuci, Tunku Kaiyisah.
Kata Lisa, “Thank you so much Kaisyah for this suggestion to us for reading the Quran together. QuranTime during Quarantine. And thank you so much sebab tak lokek kongsi what you’ve been learning in Sunnah classes as well. Sama-sama we learn.”
Pada 23 Mac lalu juga merupakan ulang tahun kelahiran Lisa yang ke-34. Lisa Surihani mendirikan rumah tangga bersama Yusry pada tanggal 23 Februari 2012. Hasil perkongsian hidup selama 8 tahun mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Yahaira Leanne yang berusia lima tahun dan Yusof Leonne berusia tiga tahun pada 23 April depan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Orangnya bukan sahaja cantik tetapi juga bergaya, bijak dan suka berdikari. Meskipun lahir dalam keluarga berada yang memiliki perniagaan berasaskan berlian dan emas permata namun Marissa Dato’ Seri Meer Sadik Habib tetap merendah diri.
Melihat personaliti Marissa yang cukup menyenangkan jelas terbukti dia mendapat asas didikan yang sempurna daripada kedua-dua ibu bapanya.
Bergelar anak dan juga pewaris legasi Habib nyata bukan satu tiket mudah untuk Marissa hidup mewah. Sebaliknya wanita yang gemar tersenyum ini mengakui dia perlu bekerja keras demi mengejar sebuah kejayaan peribadi.
Meniti usia 28 tahun, Marissa sudah tahu hala tuju hidup dan memutuskan untuk mengikut jejak langkah bapanya yang berkecimpung dalam perniagaan barangan kemas.
Empayar Habib mula diasaskan oleh datuk Marissa iaitu Datuk Haji Habib sejak lebih 60 tahun yang lalu. Bersandarkan kualiti dan harga yang ditawarkan Habib, jenama barang kemas ini sudah sinonim dan dikenali dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Mengintai latar belakang Marissa, figura berwajah manis ini sebenarnya merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda bidang perniagaan dan ekonomi dari University of Edinburgh, Scotland. Kira-kira tiga tahun lalu, Marissa telah berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang Gemologi.
Mengulas lanjut mengenai bidang yang dipelajari, Marissa berkata, “Saya melanjutkan pelajaran di Gemological Institute of America (GIA), California selama setahun yang memerlukan saya untuk mengkaji dan klasifikasikan kualiti terhadap berlian. Bidang ini juga sebenarnya memerlukan saya untuk mengenal pasti batu Ruby yang asli mahupun tiruan dan daripada mana ia wujud.”
Minat yang mendalam dalam bidang Gemologi ini membuatkan Marissa terus bersemangat meneruskan pengajian dalam lapangan yang sama seperti ayahnya, Dato’ Seri Meer Sadik Habib yang juga Pengarah Urusan Habib Jewels Sdn Bhd.
Ujarnya lagi, “Tiada paksaan daripada ayah sebab memang saya sendiri yang berminat menceburkan diri dalam bidang ini. Tak sangka, saya dan ayah sama-sama belajar bidang yang sama di pusat pengajian yang sama.
Bidang ini memang susah dan saya perlu fokus sepenuhnya dalam pelajaran. Tapi syukur sebab saya di kelilingi rakan-rakan kuliah dan keluarga yang memberi sokongan dan membuatkan proses pembelajaran jadi seronok!”
Ditanya sama ada dia menerima layanan istimewa kerana bergelar anak kepada pemilik Habib Jewels dan lahir dari keluarga yang kaya, sambil menggelengkan kepala dia berkata, “Tidak!
Sebenarnya perkara ini saya tak kongsikan dengan ramai orang. Saya berpindah ke Hong Kong selama setahun untuk bekerja di salah sebuah syarikat di sana untuk mencari pengalaman. Di samping itu juga saya tak mahu hanya terikat dengan syarikat milik keluarga.
Dalam masa sama, saya mahu belajar berdikari dan mencabar diri berada di tempat orang supaya saya boleh membawa pembaharuan kepada syarikat milik keluarga dan juga industri barangan kemas di Malaysia pada masa akan datang.
Tidak dinafikan apabila bekerja dengan keluarga, saya boleh ‘lari’ daripada sebarang masalah kerana ayah saya ialah boss.Tapi saya tidak mahu jadi seperti itu. Bekerja dengan keluarga juga merupakan satu cabaran kerana saya perlu beri contoh yang terbaik.
Apa yang paling penting dalam kehidupan ialah kena cari apa yang anda minat, yang boleh buatkan kita teruja untuk bekerja dan lakukan sesuatu pekerjaan bukan kerana paksaan. Asah bakat anda dalam apa jua bidang dan terus belajar perkara-perkara baru,” pesan Marissa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.