Sebut tentang bazar Ramadan, selalunya ia umpama ‘pesta’ menjual makanan. Begitu meriah dengan pelbagai jenis kuih-muih, lauk-pauk dan minuman manis.
Apa pun bijaklah berbelanja, jangan lupa matlamat utama kita untuk beribadah. Kekalkan amalan pemakanan sihat sepanjang berpuasa.
Kenapa perlu makan secara sihat sepanjang bulan Ramadan?
Ini adalah penting untuk mengelakkan beberapa masalah kesihatan seperti sembelit, makanan tidak hadam, kembung perut, kandungan gula rendah dalam darah dan sebagainya. Jika masalah ini berlaku boleh mengganggu tumpuan kita yang sedang berpuasa.
MAKAN SECARA SIHAT
Makan pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang walaupun di bulan puasa.
Semua kumpulan makanan perlu diambil mengikut Piramid Makanan Malaysia iaitu nasi, roti, bijirin dan hasil bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran, ikan, ayam, daging dan kekacang, susu dan produk tenusu serta sedikit minyak, lemak, gula dan garam.
Selain itu, ambil air secukupnya sama ada dalam bentuk minuman atau sup.
Ads
HIDANGAN SIHAT BERBUKA PUASA
Rata-rata gemar berbuka puasa dengan minuman dan kuih-muih manis. Bagi mengelakkan makan secara berlebihan, ambil makanan ringkas terlebih dulu ketika berbuka puasa. Ini juga mengelakkan ketidakselesaan sistem penghadaman.
Mengikut sunnah, lebih afdal mengambil kurma sebagai makanan pertama ketika berbuka. Kurma kaya dengan tenaga dan serat.
Pengambilan makanan pedas dan berempah juga tidak digalakkan ketika berbuka puasa. Ini dikhuatiri menimbulkan ketidakselesaan perut di siang hari.
Ads
Berikut contoh cadangan menu yang bagus diambil sepanjang Ramadan:
BERBUKA
3 biji kurma, ½ cawan jus buah-buahan, 1 cawan sup sayur atau ½ cawan bubur lambuk dan 1 keping kuih.
MAKAN MALAM
1½ cawan nasi, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur dan 1 biji buah.
MAKAN LEWAT MALAM (MOREH)
Snek ringkas seperti roti, biskut, sandwich, kuih-muih, kacang atau buah-buahan.
SAHUR
Amalan bersahur penting semasa berpuasa bagi membekalkan tenaga sepanjang waktu berpuasa di siang hari.
Sebaik-baiknya, waktu bersahur setengah jam sebelum waktu imsak. Bersahur awal atau sahur sebelum tidur tidak digalakkan.
Semasa bersahur digalakkan mengambil makanan berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau oat.
Ads
Pengambilan makanan tinggi serat seperti roti tinggi serat atau roti mil penuh serta oat pula dapat mengurangkan rasa lapar. Jangan lupa mengambil buah-buahan dan air yang mencukupi ketika bersahur.
Pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi tidak digalakkan kerana boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.
Contoh makanan untuk sahur yang boleh diambil seperti berikut:
SAHUR
1½ cawan nasi, 1 ekor ikan goreng, ½ cawan sup sayur campur dan tauhu, 1 biji pisang atau 3 biji kurma, 1 gelas air kosong dan 1 gelas susu rendah lemak Atau 1 cawan bijirin sarapan dengan ½ gelas susu rendah lemak dan kismis/hirisan pisang, 2 keping roti mil penuh dengan sedikit jem, 1 gelas jus oren dan 1 gelas air kosong
Sumber: MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Di pintu masuk kafe terlakar lukisan rempah ratus bentuk bunga lawang. Lagu nostalgia retro 60an, 70 an, dan 80 an pula merdu berkumandang . Suasana tambah mempesona dengan hiasan dinding lukisan ‘Tarian rentak kehidupan’ hasil nukilan penyajak dan sasterawan terkenal Abd Ghafar Ibrahim atau Agi. Penataan cahaya yang indah serta hiasan perabut yang ditempah khas menyamankan lagi lagi suasana konsep fine dining di kafe, milik Ruhil Syafinaz Hussein. Tetapi yang lebih mengagumkan pastilah kelazatan sajian Melayu yang dihidangkan.
“Saya mahu imej sajian kampung diangkat ke tahap tinggi. Bila sebut sajian Melayu saya mahu memberi pilihan kepada pelanggan untuk menikmatinya dalam suasana selesa dan nyaman dan lari dari imej warung dan gerai di tepi jalan. Dalam masa yang sama saya mahu bila pelanggan makan di sini terasa selesa seperti makan di rumah. Masakan kami adalah dari warisan asli dan rempah buatan ibu saya sendiri.
Apabila pelanggan merasai makanan, rasa sedap sajian itu boleh mengembalikan nostalgia mereka menikmati makanan di kampung halaman sendiri. Mak buat rempah dan kami mengisar sendiri rempah kami. Gabungan rempah ratus jintan, ketumbar dan bunga lawang atau kata orang rempah empat sekawan adalah rahsia di sebalik resipi Melayu asli. Mak saya masak ikut konsep orang lama,, campak-campak dan agak-agak. Sampai sekarang pun saya masih terus belajar darinya,” kata bekas pengacara dan penerbit TV3 ini sambil memandang ke ibu tercinta Hasnah Hassan yang telah mula memasak semenjak berkahwin pada usia 15 tahun.
Menurutnya lagi kafe miliknya ini mengangkat resipi nenek moyang melalui masakan ibunya yang dipelajari dari keluarga ayah Ruhil, Allahyarham Hussein Ali yang berasal dari Muar Johor. Ibunya yang berasal dari Singapura mempelajari semua masakan dari ibu mertua. Keluarga belah ayah Ruhil sememangnya dikenali sebagai pakar masakan kenduri dan majlis keraian di Johor. Nama bunga lawang pula dipilih kerana ia adalah rempah nama yang berkait rapat dan sering digunakan dalam resepi tradisi Melayu.
“Sebenarnya kami dulu bermula dengan masakan Johor, laksa Johor jadi sajian paling laris dan tarikan nombor satu pelanggan. Di antara signature dish kami masa mula berniaga adalah asam pedas pari, asam pedas sawi asin ikan jenahak,daging tetel goren jintan dan sotong masak hitam. Sehinggakan kami ada pelanggan setia yang sering datang ke sini membawa ayah mereka yang datang dari Johor untuk makan di sini.
Saya anggap pelanggan adalah tetamu. Kami bukan sekadar mahu pelanggan menikmati rasa enak tetapi juga mahu menjadikan tempat kami lokasi nyaman untuk melepak bersama keluarga sambil mengerat silaturrahim.Kami bakal membuka cawangan baru restoran dua tingkat yang lebih luas di Kota Damansara tidak lama lagi. Impian kami adalah untuk mengangkat martabat makanan Melayu ke peringkat antarabangsa, dan mahu membuka cawangan hingga ke luar negara, InsyaAllah,” terang Ruhil dengan penuh semangat.
Bunga Lawang Kafe ini dibuka setiap hari kecuali Isnin beroperasi dari jam 11 pagi hingga 11 malam. Pada hari Sabtu dan Ahad pula ia dibuka lebih awal iaitu bermula jam 9 pagi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nabila Razali, nama yang tak perlu diperkenalkan lagi. Si pelantun lagu Pematah Hati dan Peluang Kedua kini kian ligat dengan karier seninya. Namun begitu, sesibuk mana pun dirinya sepanjang bulan Ramadan ini, Nabila tetap memilih untuk berbuka puasa di rumah bersama keluarga.
Nabila Razali yang popular dengan lagu Pematah Hati dan Peluang Kedua.
“Detik ini bukan selalu ada memandangkan saya sentiasa sibuk dengan karier. Kesempatan itu saya manfaatkan pada bulan Ramadan. Semoga tahun ini kami sekeluarga berpeluang untuk berbuka puasa bersama. Antara juadah berbuka yang sentiasa saya nanti-nantikan setiap kali Ramadan ialah Murtabak Daging, Puding Karamel, Nasi Beriani Daging dan Kuih Lompang.
Kecur tengok Murtabak Daging ni!Kuih Lompang makanan tradisi Melayu yang tak ditelan zaman.
Selain Datuk Chef Wan saya juga menjadikan ibu sebagai idola. Ibu bukan saja pandai memasak malah kreatif dalam mencipta menu-menu baru tanpa perlu merujuk buku dan sebagainya. Salah satu menu kreatif ibu ialah Ikan Bilis Goreng Cili yang dicampur dengan anggur. Rasanya sangat sedap!
Menu air tangan ibu yang lain yang turut menjadi kegemaran saya ialah Kari Baba Nyonya, Rendang Ayam dan Ayam Goreng Cili. Bagi saya keenakan rasanya sangat unik.
Nabila menginspirasikan ibunya serta Datuk Chef Wan sebagai inspirasi dalam masakan.
Nona kongsikan resipi Puding Karamel yang menjadi juadah kegemaran Nabila setiap kali Ramadan.
PUDING KARAMEL
Enaknya Puding Karamel.
Bahan-bahan:
4 biji trelur saiz A
1 tin susu cair
4 sudu besar gula
170 ml air
Sedikit vanila esen
Cara Membuat:
Untuk karamel masak gula dan air di dalam kuali. Kacau sehingga keperangan lalu segera masukkan ke loyang. Ratakan karamel dan biar sejuk. Untuk puding, pukul telur sehingga rata jangan sampai berbuih. Masukkan susu cair, gula, air dan vanila esen. Kacau sehingga gula larut. Kemudian tapis adunan dan masukkan ke loyang yang telah dituangkan karamel tadi. Bungkus loyang dengan kertas aluminium lalu kukus selama 45 minit atau sehingga masak. Biarkan sejuk barulah diterbalikkan loyang. Simpan ke dalam peti sejuk sebelum dihidangkan.
Kredit Foto: Instagram Nabila Razali
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Di kalangan masyarakat Pahang dan Perak, pasti aroma tempoyak menjadi bahan utama dalam setiap menu masakan. Tapi berdasarkan penelitian, tempoyak dipercayai mengandungi jumlah kalori yang besar selain padat dengan protein, karbohidrat, kalsium dan zat besi.
Jika anda bingung untuk menyediakan juadah seisi keluarga, apa kata anda cuba dua sajian berasaskan tempoyak yang kami kongsikan ini. Selamat mencuba!
PAIS TEMPOYAK IKAN PATIN BAKAR
Bahan-bahan:
1 ekor ikan patin (saiz sederhana dipotong 2 & dikelar)
15 tangkai cili padi
2 cawan tempoyak
1 inci kunyit hidup
2 helai daun kunyit
5 tangkai daun kesum
4 helai daun kaduk
2 batang serai
Garam
Gula
Cara membuat:
Kisar cili padi dan kunyit hidup hingga halus. Masukkan tempoyak, garam dan gula secukup rasa. Kisar hingga sebati. Hiris halus daun kunyit, serai, daun kesum dan daun kaduk. Kemudian, masukkan ke dalam tempoyak tadi bersama daun kesum yang telah direlai. Gaul hingga sekata.
Seterusnya, lumurkan campuran tempoyak ke seluruh ikan patin. Letakkan di atas daun pisang dan balut kemas. Akhir sekali, bakar ikan hingga masak.
SAMBAL TEMPOYAK PUCUK UBI KAYU
Bahan-bahan A:
1 genggam pucuk ubi
½ genggam daun kaduk
5 helai daun kunyit
5 batang serai (dihiris halus)
1/3 cawan petai (dibuang kulit)
½ cawan terung pipit
1 liter santan
1 keping asam gelugur
1 genggam ikan bilis (dibersihkan & dicuci)
3 sudu besar tempoyak
Garam
Gula
Bahan-bahan untuk dikisar halus:
8 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
½ cawan cili padi kampung (dicampur hijau & merah)
1 inci kunyit hidup
Cara membuat:
Hiris halus pucuk ubi dan daun kunyit serta dimayang petai yang telah dibuang kulit. Bersihkan ikan bilis dan toskan sebelum ditumbuk kasar. Seterusnya, panaskan kuali dan masukkan bahan-bahan yang dikisar bersama tempoyak, ikan bilis dan santan. Kacau rata hingga mendidih dan kelihatan pekat dengan api sederhana.
Kemudian, masukkan petai dan biarkan ia masak sebentar. Masukkan pula pucuk ubi, daun kaduk, daun kunyit, terung pipit dan serai serta digaul sebati. Akhir sekali, masukkan asam gelugor dan perasakan garam serta gula secukup rasa. Masak dengan api sederhana. Apabila sudah pekat, tutup api dan sedia untuk dihidang.
Resipi: TERIMA KASIH MARINA KHAIRUDDIN, MM CATERING ENTERPRISE, KUANTAN, PAHANG
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.