Jika dulu 2.5 juta jemaah haji dapat berhimpun mengerjakan rukun Islam kelima di Tanah Suci, tapi sekarang hanya 10,000 jemaah dibenarkan menunaikannya.
Itupun dengan SOP yang ketat. Tubuh badan disanitasi, suhu diambil, perlu membawa kelengkapan solat sendiri serta menjaga jarak ketika beribadah.
Dalam satu dokumentari Masjid Nabawi yang tular baru-baru ini, suasana yang dulunya padat, kini kosong sekosong-kosongnya. Sebak tengok ruang masjid yang luas dan ditinggalkan, berlinang air mata!
Dokumentari ini mengisahkan pembukaan Masjid Nabawi kepada awam pada 8 Syawal 1441H lalu
EKONOMI PERLAHAN
Keputusan Arab Saudi mengehadkan jemaah haji berikutan pandemik Coronavirus (COVID-19) yang dijadualkan Julai ini, mengakibatkan kebimbangan terhadap ekonomi di Tanah Suci.
Sehingga 2019, ibadat haji dan umrah menjana pendapatan AS$12 bilion (RM51.42 billion) sekali gus merancakkan ekonomi di Mekah iaitu kawasan paling suci untuk umat Islam.
Kemuncak pembinaan pelbagai pusat membeli-belah, apartmen dan hotel mewah di sekitar Kaabah sejak beberapa tahun lalu menyasarkan keuntungan lumayan meskipun ramai yang sangsi terhadap tujuan asal beribadah di sana.
Runtuhan bangunan, banjir kilat dan kemalangan jiwa terlalu banyak berlaku membabitkan para pekerja pembinaan serta jemaah di sana. Debu-debu juga berterbangan ketika projek pencakar langit giat dilakukan.
“Kami tidak pernah melihat Tanah Suci kosong…”
Bayangkan Tanah Suci kosong.
Ekonominya lumpuh.
Hotel-hotel dan shopping mall mewah kini hanya sekadar… papan tanda.
Coronavirus yang melanda Mekah menjejaskan perniagaan yang bergantung dengan jemaah haji dan umrah, selain meranapkan ratusan ribu pekerjaan serta kedai-kedai cenderamata kecil.
Kebanyakannya diberhentikan kerja, gaji dipotong atau ditangguhkan.
Ia diikuti dengan penurunan harga minyak yang menyebabkan tercetusnya langkah berjimat-cermat termasuk menaikkan cukai tambah nilai dan pengurangan elaun kakitangan awam.
Dalam skala lebih besar, pembatalan operasi pengendali haji yang menguruskan hal-hal logistik para jemaah melibatkan ibadat haji selama lima hari menambah kesan buruk.
KEMBALI DIBUKA
Langit tidak selamanya mendung. Pihak berkuasa kemudian mengumumkan ia hanya boleh menerima kurang 10,000 umat Islam untuk mengerjakan ibadat haji di negara itu.
Jumlah itu adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan 2.5 juta jemaah haji pada tahun lalu.
Arab Saudi juga menegaskan ibadat haji kali ini juga dibuka kepada umat Islam pelbagai negara tetapi dengan syarat SUDAH BERADA di negara tersebut.
Proses pemilihan untuk jemaah haji itu dijangka SENGIT kerana sebahagian penduduk Mekah akan diberikan keutamaan.
DEMI MASA DEPAN
Walau bagaimanapun, masih ramai yang khuatir jika ibadat haji yang mengumpulkan ribuan umat Islam di kawasan keagamaan yang kecil itu akan menjadi sumber jangkitan penyakit terbesar.
Pandemik COVID-19 telah melanda negara beraja ini dengan jumlah kes tertinggi di rantau Teluk dengan lebih 178,000 kes jangkitan.
Pada Rabu lalu, Tabung Kewangan Antarabangsa memberi amaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Arab Saudi akan berkurangan sehingga 6.8 peratus pada tahun ini.
Ia merupakan prestasi terburuk sejak krisis harga minyak pada tahun 1980-an.
Sementara itu, syarikat pembinaan The Saudi Binladen yang terkenal kerana membina projek-projek mega gagal membayar gaji ribuan pekerjanya sejak beberapa bulan lalu, menurut satu sumber rapat kepada syarikat tersebut dan pekerja yang membuat aduan tentang perkara berkenaan di media sosial.
Keadaan itu berlaku ketika terdapat kesan yang dialami syarikat tersebut di belakang beberapa buah projek yang kritikal termasuk pembinaan sebuah bangunan pencakar langit bernilai AS$15 bilion (RM64.28 bilion) berhampiran Masjidil Haram.
Syarikat itu menyewa sejumlah jet peribadi untuk membawa ramai pekerja Asia Selatannya yang diberhentikan kerja untuk pulang, menurut sumber.
Yang pasti, kemerosotan ekonomi telah menjejaskan cita-cita Riyadh untuk membina industri pelancongan melalui program pembaharuan tahun 2030 sebagai cara untuk mengurangkan penggantungan kepada hasil minyak.