Laporan media tentang kes pembuangan bayi dengan kejam begitu mencengkam jiwa. Bagaimana sanggup seorang ibu membiarkan anaknya dibuang begitu sahaja?
Kebanyakan kes pembuangan bayi ini datangnya daripada hubungan yang tidak halal sehingga hilang punca untuk menimbangkan kewarasan tanggungjawab terhadap bayi yang tidak berdosa tersebut.
Rentetan daripada peristiwa ini menyedarkan betapa pendidikan seks di awal usia sangat penting diterapkan terutama kepada jiwa remaja yang sentiasa ingin mencuba sesuatu.
Namun, sebagai orang dewasa terutama ibu dan bapa sukar untuk membicarakan topik seks dengan anak-anak. Mungkin ibu bapa masih skeptikal atau kurang pengetahuan untuk membicarakan isu yang semakin membimbangkan ini.
Perkataan seks masih menjadi tabu kepada ramai orang di Malaysia terutama di kalangan pihak-pihak berwajib. Walaupun istilah sexual and reproductive health (SRH) sudah diterima pakai oleh komuniti antarabangsa namun, kita masih mempunyai stigma dengan penggunaannya.
Dasar Kesihatan Reproduktif dan Sosial Negara telah diluluskan oleh Kabinet pada November 2009, namun masih banyak lagi yang perlu dijalankan oleh semua pihak termasuklah para ibu bapa.
Tahukah anda?
Ads
Dasar Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan
Merupakan dasar mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial yang terpakai kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur. Pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial merupakan asas kukuh kepada perkembangan serta pembangunan insan yang sihat, berakhlak mulia dan saling hormat-menghormati.
Pelaksanaan dasar ini turut mengambil kira kepelbagaian agama, budaya serta nilai hidup masyarakat di Malaysia.
Dasar Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan bertujuan untuk melahirkan individu yang berpengetahuan dan mempunyai sikap positif dalam bidang kesihatan reproduktif dan sosial.
Ads
Pengetahuan dan tanggapan yang betul dalam bidang ini akan membawa kepada perlakuan yang bertanggungjawab oleh individu dan seterusnya menyumbang ke arah pembangunan sosial yang positif di Malaysia.
Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) atau Pendidikan Seks amat diperlukan di negara kita kerana:
Peningkatan golongan muda di kalangan penduduk negara (lebih kurang 30 peratus penduduk Malaysia berumur di antara 10 hingga 24 tahun) jadi semestinya kita memberi tumpuan yang lebih pada masalah kesihatan mereka.
Lebih kurang 40 peratus daripada pesakit HIV berumur bawah dari 29 tahun (Kementerian Kesihatan 2007).
Peningkatan kes-kes pembuangan bayi.
Peningkatan kes-kes Penyakit Kelamin (STD) dan kehamilan tidak dirancang yang disebabkan oleh kurangnya pengetahuan tentang pendidikan SRH (sexual and reproductive health).
Peningkatan kadar hubungan seks sebelum berkahwin (2.2 peratus – laporan Malaysian Population and Family Survey (MPFS) 2004).
Pornografi senang didapati di Internet, telefon bimbit dan cakera padat.
Pengetahuan SRH amat rendah. Daripada laporan MPFS 2004 ,di kalangan remaja berumur 13 hingga 24 tahun, hanya 50 peratus mengetahui mengenai anatomi badan mereka sendiri. Hanya 60 hingga 70 peratus mengetahui mengenai penyakit-penyakit kelamin dan kurang dari 50 peratus mengetahui mengenai perancangan keluarga.
Umur akil baligh yang bertambah awal dan umur perkahwinan yang kian bertambah lewat.
Pendidikan seks ini perlu dimulakan lebih awal daripada peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Pelajaran yang diberikan perlu mengikut umur dan perkembangan fizikal dan emosi kanak-kanak (according to age or development of the adolescent).
Sebenarnya Pendidikan Kesihatan Reproduktif telah pun diserapkan dalam kurikulum Kementerian Pelajaran (Family Health Education) semenjak tahun 1989 di sekolah-sekolah menengah dan seterus pada tahun 1994 di sekolah rendah. Ia telah ditambah baik pula beberapa tahun yang lalu. Namun itu berbagai-bagai masalah dalaman menyebabkan implementasinya terbantut.
Ads
Peranan ibu bapa
Ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam memberi nasihat kesihatan reproduktif anak-anak mereka. Anak-anak akan berasa lebih selamat dengan ibu bapa mereka sendiri berbanding dengan orang lain.
Namun, ramai ibu bapa yang kurang berpengetahuan tentang kesihatan reproduktif dan tidak kurang pula yang berasa malu untuk membincangkan isu ini.
Ibu bapa perlu meningkatkan pengetahuan dengan lebih banyak membaca atau mengikuti kursus-kursus terutamanya yang dianjurkan oleh NGO (Persekutuan Persatuan-persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia – FRHAM), Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Malaysia – LPPKN) dan lain-lain agensi.
Ibu bapa perlu lebih rapat dengan anak-anak mereka terutamanya semasa zaman pergolakan jiwa remaja mereka. Sebagai ibu bapa kita perlu berkorban masa bagi membimbing mereka pada saat-saat mereka memerlukan kita.
Ibu bapa jangan sentiasa menganggap bahawa anak-anak mereka itu begitu innocent kerana sekarang ini zaman dunia tanpa sempadan dan Internet membawa kebaikan dan juga keburukannya. Hamizatul Maizan Mohamed
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak kebelakangan ini, trend menyertai maraton atau acara larian di kalangan wanita semakin meningkat. Rasa teruja berlari, apatah lagi jika memenangi perlumbaan pasti membakar semangat kita untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
Nah, tiada yang negatif tentang hobi ini. Kecuali jika anda berlatih berlari atau berjoging seorang diri.
Tiga kes di bawah merupakan antara kejadian yang menakutkan dan mengancam keselamatan wanita yang gemar berjoging. Jadikan ia satu peringatan agar lebih berhati-hati jika berhasrat mahu bersukan seorang diri!
Kes 1
November lalu, pembunuhan Alexia Daval, 29, dari Timur Perancis meningkatkan ketakutan ramai wanita yang mempunyai hobi serupa. Pekerja bank ini hilang selepas berjoging seorang diri pada pagi Sabtu berdekatan rumahnya di Gray-la-Ville, Dijon. Mayat ditemui pada hari Isnin di sebuah hutan dalam keadaan separuh tubuhnya hangus terbakar.
Kes 2
Mayat seorang eksekutif Google bernama Vanessa Marcotte, 27, ditemui dibunuh dengan kejam berdekatan kediaman ibu bapanya di Princeton, pada Ogos 2016. Vanessa meninggalkan rumah untuk berjoging, sebelum dijumpai dalam keadaan telanjang dan dibakar. Pembunuh Vanessa berjaya diberkas April lalu, sekaligus meredakan ketakutan penduduk bandar itu.
Kes 3
Karina Vetrano, 30, dilaporkan berjoging seorang diri di Taman Spring Creek, New York. Kejadian pada Ogos 2016 itu menyaksikan mangsa dilihat kali terakhir pada jam 5 petang sebelum dia gagal dihubungi oleh keluarga. Selain serangan seksual, siasatan turut mendapati kepala mangsa dihentak dengan batu dan dicekik sampai mati. Mayat dijumpai sendiri oleh bapanya pada pukul 11 malam.
10 Panduan Keselamatan Untuk Pelari Wanita
(1) Tahu laluan joging anda dan maklumkan laluan ini pada seseorang. Nyatakan juga pukul berapa anda dijangka akan sampai.
(2) Jangan mengikut arus. Pastikan anda berjoging mengikut lawan arah trafik lalu lintas.
(3) Bawa sedikit wang tunai dan selitkan di dalam saku, kasut atau stoking.
(4) Bawa kad pengenalan diri atau lesen memandu jika berlaku kecemasan/kemalangan.
(5) Bawa telefon bimbit yang dicas penuh.
(6) Sentiasa alert dengan persekitaran. Elakkan kawasan sesak dan sentiasa buat eye contact dengan pemandu kereta atau orang yang lalu lalang.
(7) Berjoging di kawasan yang selamat atau menjadi tumpuan berjoging. Ini juga memudahkan anda mendapat bantuan jika kaki terseliuh atau berlaku kecederaan.
(8) Jangan berlari di laluan yang sama. Selalu tukar laluan supaya anda tidak menjadi sasaran penjenayah.
(9) Rendahkan bunyi muzik atau jangan dengar muzik langsung. Dengan cara ini anda dapat meneka sebarang kejadian tak diingini dengan lebih cepat.
(10) Pakai sesuatu yang tajam sebagai alat pertahanan diri. Contohnya ikat kunci pada gelang tangan, cincin besi atau sebagainya. Boleh juga bawa pepper spray. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bersandarkan status dan pangkat bapanya sebagai ahli politik terkenal, Najwa Mahiaddin boleh mengambil ‘jalan singkat’ untuk dikenali dan berjaya dengan mudah. Namun anak seni berusia 33 tahun ini memilih untuk bermula dari bawah dan jauh daripada ‘spotlight’ populariti bapa tersayang. Apatah lagi, kini bapanya merupakan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yasssin.
Sepanjang bergelar pemuzik, Najwa yang kini dikenali sebagai Njwa Mahiaddin dilihat tidak gemar mencampuri urusan politik bapanya. Malah, ketika Tan Sri Muhyiddin masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) pun… dia seboleh-bolehnya mengelak status sebagai anak TPM diketahui umum. Mungkin kerana bimbang hal tersebut lebih menarik perhatian masyarakat berbanding bakatnya dalam karier muzik.
Nama Njwa mula meniti di bibir peminat sejak dendangan lagu duetnya bersama Malique iaitu Senyum berkumandang di corong stesen radio tanah air sekitar tahun 2010. Dari situ, Njwa semakin aktif mengubah lagu dan menyertai pertandingan nyanyian. Antara lagu popular Njwa termasuk Got To Go, Sweet October dan Sama Saja.
Tidak pernah selektif dalam membuat persembahan, Njwa dikhabarkan tetap menerima mana-mana pelawaan nyanyian tidak kira berskala kecil mahupun besar. Semuanya kerana rasa cintanya terhadap muzik. Lebih membanggakan, wanita berusia 33 tahun ini pernah menggondol anugerah Lagu Inggeris Tempatan Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-18.
Njwa di samping suami
Mengintai latar belakang penyanyi bersuara unik ini, Njwa merupakan anak ketiga daripada empat beradik bagi pasangan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. Njwa juga pernah mendedahkan dia tidak datang dari keluarga yang berlatar belakangkan muzik tetapi minat terhadap dunia seni hadir ketika dia mengikuti kelas piano dan muzik sejak kecil. Dia turut menjalin hubungan baik bersama penyanyi bertaraf antarabangsa, Yuna ketika kedua-duanya pernah berpadu suara dalam sebuah konsert.
Meniti tanggal 26 Mac ini genap lima tahun Njwa bergelar isteri kepada Idris Koh yang merupakan salah seorang ahli muzik yang sering mengiringi Njwa dalam setiap persembahannya.
Kredit foto: Instagram Njwa Mahiaddin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kecantikan dan wanita memang tidak boleh dipisahkan. Lumrah seorang wanita sukakan kepada benda-benda yang cantik. Lebih-lebih lagi dalam soal penampilan dan pakaian. Namun bagi golongan muslimah, mereka perlu didik diri dan hati agar kekal bersederhana dalam segala segi termasuk penampilan.
Mengulas bagaimana seorang wanita perlu menjaga penampilan dan istiqamah menuju kebaikan, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin memberitahu takrif bersederhana dalam berhias terbahagi kepada beberapa bahagian.
1. Secara fitrahnya wanita tidak lekang daripada perhiasan kecuali ketika berkabung selama tiga hari kerana kematian selain daripada suami.
2. Terdapat dalil dari Al-Quran tentang keharusan berhias secara sederhana pada muka, tangan, kaki dan pakaian.
3. Muslimah boleh beriltizam dengan kadar yang telah Islam gariskan daripada perhiasan zahir sepanjang hayatnya sama ada di dalam atau di luar rumah.
4. Antara perhiasan zahir ialah inai di tangan, celak di mata dan sedikit wangian di pipi (yang seimbang dan serasi).
Ujarnya lagi, “Keseimbangan adalah satu daripada ciri-ciri ajaran Islam. Justeru, Islam tidak menghalang fitrah wanita berhias cuma membimbing dengan sedikit batas agar ia nampak bersederhana dan tetap indah.
Patuh menjaga penampilan diri merupakan satu amal yang memerlukan imamnya iaitu ilmu. Menjaga penampilan diri sebagai muslimah bukanlah bermaksud muslimah perlu berniqab. Para fuqaha’ telah bersepakat bahawa berniqab bukanlah wajib.”
Dengan meningkatkan ilmu tentang ciri-ciri kesederhanan Islam dalam semua aspek kehidupan, kita akan dapat mengecapi kemanisan hidup beragama dan perlahan-lahan memetik buah-buah istiqamah dalam setiap amal kebaikan yang kita lakukan.
Pakaian yang dipakai dengan tujuan menarik perhatian dan pujian yang dilihat dalam masyarakat adalah keterlaluan. Dibimbangi termasuk dalam pakaian ‘syuhrah’. Ia mengundang hinaan pada hari kiamat seperti mana yang diingatkan dalam hadis Riwayat Abu Daud.
Ustazah Fatimah yang merupakan graduan Sarjana Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan ini turut berpesan, “Usah boros, membazir dan berbelanja secara berlebihan dalam soal pakaian dan perhiasan sedangkan hidup mempunyai banyak lagi keutamaan lain untuk memanfaatkan sumber kewangan terhad.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehilangan insan tersayang cukup memilukan. Apatah lagi ibu bapa yang telah banyak berkorban jiwa dan raga membesarkan anak-anak. Baru-baru ini, pelakon Adam Corrie berdepan detik duka apabila ibu tersayang ‘pergi’ untuk selama-lamanya.