Menjadi ibu tunggal, secara tak langsung selebriti dan usahawan Laila Nasir perlu cekal besar 2 anak sendirian. Suami tercinta pergi mengadap Ilahi sejak tahun 2013 menjadikan wanita ini perlu gigih mencari rezeki demi anak-anaknya.
Imbau wanita yang meniti usia 52 tahun ini saat kehilangan suami tercinta, “Pada mulanya dulu agak sukar untuk membahagikan masa dalam menguruskan hal anak-anak sebab mereka masih sekolah waktu tu. Saya pula kena kerja (shooting).
Bila tiba-tiba mejadi balu, sekelip mata merubah segalanya. Saya bernasib baik waktu tu anak-anak dah masuk sekolah menengah. Jadi mereka dah tau bawa diri.
Cuma kami di saat itu kena kuat dan saya jadi kuat semangat untuk anak-anak kerana perjalanan mereka masih jauh. Saya bangkit dengan semangat ingin berjaya dalam bidang lakonan dan perniagaan.
Bukan senang sebagai ibu tunggal untuk mengharungi hari-hari mendatang. Sedia maklum dengan pandangan masyarakat yang selalu pandang serong tapi saya tak amik peduli benda tu sentiasa fikir positif.
Membesarkan anak-anak semestinya kita sebagai seorang ibu ingin buat yang terbaik untuk anak-anak tanpa rasa penat. Kalau kita tak buat, tak kan ada yang buatkan untuk kita.
Maka dengan itu kita belajar buat semua sendiri. Alhamdulillah, keluarga saya terutamanya mak banyak membantu dalam urusan menjaga anak dan bagi semangat beserta doa ibu,” tutur ibu kepada dua orang anak lelaki ini.
Ads
Laila Nasir bersama anak yang sulung berusia 26 tahun dan bongsu kini berusia 21 tahun. Foto: Koleksi Peribadi Laila NasirFoto: Koleksi Peribadi Laila Nasir
Wanita yang berasal dari Machang Kelantan ini mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sejak tahun 2014 lagi. Namun Pengasas kepada T’Lasabella Perfume by Laila Nasir dan T’Lasabella Kitchen ini lebih fokus dalam bidang perniagaan bermula tahun 2015.
Kini wanita yang cekal besar 2 anak sendirian ini mampu tersenyum bangga apabila jenama wangian miliknya ada lebih 100 jenis bauan untuk lelaki dan wanita. Manakala produk sambal bilis dan sambal tempe kacang bilis semakin menadapt perhatian.
Ads
Foto: Koleksi Peribadi Laila Nasir
Bangga melihat pencapaian pelakon drama rantaian Nur ini. Namun, menurutnya bukan senang nak senang. “Orang kata bukan senang nak senang. Sebagai wanita dan ibu tunggal saya bangga dapat bekongsi rezeki dengan ramai wanita di luar sana terutama ibu tunggal yang ingin menjana ekonomi keluarga dan menambah pendapatan.
Kita seronok dapat pegang duit hasil usaha sendiri. Sebagai wanita kita kena sentiasa bersemangat dan kita harus sentiasa bijak,” wanita yang tidak pernah terbuka hati untuk berkahwin lagi serta hanya mahu fokus kepada keluarga, kerjaya dan perniagaan.
Pemergian Mizz Nina ke Tanah Suci Mekah sekitar tahun 2013 benar-benar mengubah dirinya sampai ke hari ini. Dari seorang penghibur seni popular dan bertaraf antarabangsa, berkat kurniaan hidayah dari Allah dia berubah menjadi seorang muslim sejati. Malah, kisah penghijrahan Mizz Nina sering menjadi inspirasi.
Dalam temu bual bersama Mizz Nina ketika menjadi penghias muka depan Nona suatu ketika dulu, dia mengambil restu dan doa daripada suami serta keluarga untuk mempelajari Islam dengan lebih mendalam. Baginya, dia tak pernah penat belajar dan mendalami ilmu kerana percaya ia mampu menjadi kekuatan seseorang.
Dedah wanita ini, suaminya Mohd Noh Salleh beberapa kali pernah mengajaknya ke Tanah Suci sebelum mereka mengerjakan haji pada 2013 tetapi terpaksa ditolak kerana pada waktu itu dia merasakan masih banyak kekurangan dalam diri.
Sehinggalah dia sendiri yang mengajak Noh ke sana untuk mengerjakan umrah. “Sewaktu di sana, mula timbul dalam hati untuk mengerjakan haji pula. Bermula dari sana, saya belajar mendalami Islam sedikit demi sedikit. Saya belajar mengaji, banyak menghadiri ceramah dan beberapa kelas lain.”
Sejak bergelar Hajah, pemilik nama Shazrina Tan Sri Azman ini mengakui lebih selektif dan teliti dengan tawaran seni yang diterima. Ujarnya, “Saya lebih teliti dalam soal penyampaian kerana ada batasan yang perlu dijaga. Allah telah merencanakan kisah yang cukup cantik dalam kehidupan saya.
Mula-mula, diberikan rezeki untuk saya bersama dalam rancangan Chichi & Chacha, sebuah rancangan bersiri kanak-kanak. Kemudian dibukakan hati untuk terus dekat denganNya. Saya lupakan segalanya hanya kerana Allah Taala.”
Berbekal azam untuk berubah menjadi insan yang lebih baik, Mizz Nina pulang ke tanah air dengan imej baharu dan sopan. Namun penampilannya mendapat reaksi negatif daripada sesetengah pihak.
“Perkara pertama yang diulas peminat tatkala saya mula memuat naik gambar berhijab adalah ‘permanent ke tudung tu?’. Saya hanya mampu tersenyum kerana manusia ada banyak ragam dan cara. Kita banyak mengadili manusia lain sebelum kita melihat diri sendiri.
Saya cuba menjadi seorang Muslim yang baik dan menjaga hubungan baik dengan Allah. Dari segi kerjaya seni, saya cuba buat yang termampu dan paling penting, saya tetapkan dalam hati agar tidak kembali kepada Mizz Nina yang dulu, jauh sekali untuk membuka hijab semula.
Semua orang ada pengalaman sendiri dan penyampaian hidayah Allah kepada mereka berbeza. Begitu juga saya. Keputusan untuk mengerjakan haji adalah keputusan terbaik saya buat dalam kehidupan. Saya lakukan kerana Allah.”
Dalam temu bual eksklusif itu juga, Mizz Nina mendedahkan dia melihat figura bapa tersayang sebagai inspirasi ke arah kebaikan.
“Saya tahu dengan siapa saya perlu bertanya dan pada siapa saya perlu merujuk. Impak penghijrahan ini membawa makna yang cukup besar. Ayah menunaikan haji baru sekali tetapi perubahan yang dibawa dalam hidup cukup-cukup terkesan dan ini yang saya cuba teladani.
Begitu ramai yang menghantar permohonan untuk menunaikan haji tetapi saya pula yang dijemput Allah untuk menyahut seruanNya. Hanya syukur mampu dipanjatkan.
Untuk terus berada di landasan Allah, saya cuba mencari bahan untuk menyumbang kepada agama. Dalam bidang seni suara pula, penyampaian itu adalah daripada perkara yang baik-baik kerana saya mahu berkongsi bersama peminat terutamanya apa yang sedang berlaku dalam hidup saya kini.”
Mizz Nina sah bergelar isteri Mohd Noh Salleh pada 1 Julai 2011. Meniti usia 42 tahun, Mizz Nina merupakan anak bongsu daripada lima beradik buat pasangan Tan Sri Azman Hashim dan Tunku Arishah Tunku Maamor.
11 tahun mendirikan rumah tangga, Mizz Nina dan Noh sepakat mengambil anak angkat lelaki yang diberi nama Musa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Apa kata anda cuba amalkan diet telur rebus seperti yang disarankan wanita ini yang dikenali sebagai Emy Mellisa ini. Jangan lupa, cuba sekali Salmon Masak Cili Padi versi Emy Mellisa yang dikongsi di hujung arikel ini.
Seronok melihat perkongsian Emy Mellisa Mohd Kasim di Instagram miliknya. Penuh dengan gambar pelbagai jenis menu termasuklah olahan menu sihat untuk diet telur rebus yang diamalkan. Bagi memudahkan para pengikutnya, Emy Mellisa meletakkan #eggdietemymellisabdk sebagai rujukan.
Diet jenis ini sememangnya menjadi trend masakini untuk memiliki berat ideal. Ternyata, Emy Mellisa berjaya mencapai berat idealnya berkat amalan yang konsisten.
Antara menu-menu sihat yang diolah Datin Emy Mellisa.
“Saya memang jenis yang kurus sejak kanak-kanak sampailah ke zaman kampus. Namun semasa umur 25-26 tahun saya tak sedar berat badan naik mendadak. Lalu saya nekad untuk berhenti kerja dengan niat nak turunkan berat badan dan sambung belajar ke peringkat lebih tinggi.
Saya google macam-macam jenis diet. Akhirnya saya tertarik dengan diet Atkins lalu mencubanya. Dari berat 75kg, saya berjaya dapatkan berat 57kg. Tapi semasa dalam fasa maintain tu pernah jugalah tersasar sedikit. Berat saya naik ke 62kg!
Lepas berkahwin, saya ada melakukan minor surgery. Disebabkan itu berat saya kembali naik sampai 68kg. Saya cuba untuk diet semula. Saya terbaca kisah viral Amylia AF yang kembali kurus dengan hanya mengamalkan diet telur tanpa ke gim. Saya terus google berkaitan diet telur.
Walaupun saya bukanlah penggemar telur rebus tapi saya nekad juga demi kurus. Kini telur rebus menjadi signature food saya setiap hari. Saya berjaya mencapai berat ideal semasa zaman sekolah menengah. Dari 68kg saya berjaya mendapat 52kg dalam masa tiga bulan setengah.
Emy Mellisa sebelum capai berat badan ideal.Gambar terkini Emy Mellisa yang semakin langsing dan cantik!
Saya idamkan untuk capai berat 48-49kg walaupun sebenarnya dengan berat sekarang dah cukup ideal dengan ketinggian saya iaitu 160cm. Empat bahan yang mesti ada dalam diet ini ialah telur rebus, epal hijau, kacang kuda dan teh hijau. Bila berlaku penurunan berat yang banyak, saya mula mempelbagaikan makanan sihat lain dalam menu harian.”
PERNAH DIPANDANG SINIS
“Semasa bujang ada yang cakap badan saya macam perempuan yang dah kahwin anak lima. Bentuk badan saya dipertikaikan. Lepas berkahwin pula, ada yang menegur badan saya lebih berisi tak macam sebelum berkahwin.
Sokongan suami membuatkan saya lebih konsisten semasa berdiet. Suami tahu saya tak suka telur rebus tapi setiap pagi suami masakkan telur rebus. Rupa bentuknya sangat cantik sehinggakan saya tiba-tiba boleh sukakan telur rebus.
Ramai juga followers di Instagram yang turut mencuba cara diet saya. Kebanyakannya mengucapkan terima kasih kepada saya kerana berkongsi tentang diet telur.
Kebanyakan menu sihat yang saya sediakan adalah daripada imaginasi sendiri. Saya tak merujuk mana-mana buku walaupun di rumah ada banyak buku resipi. Kadang-kadang apa yang saya makan di luar, saya akan olah menjadi versi yang lebih sihat. Resipi rakan-rakan di Instagram juga menjadi rujukan saya.
Menu sihat kegemaran saya ialah salad yang ditambah protein. Saya amalkan sayuran hijau dan ulaman untuk awet muda. Saya juga gemar ke gim 4-5 hari dalam seminggu dan meluangkan masa sejam setengah ke dua jam untuk senaman kardio dan strength training.”
NASIHAT BUAT YANG SEDANG BERDIET
“Buat wanita-wanita yang sedang berdiet, untuk kawal nafsu makan anda haruslah bijak membezakan rasa lapar atau nafsu. Kawal stres kerana ia membuatkan kita sentiasa rasa nak makan. Kurangkan minuman manis, gantikan dengan air kosong.
Berhenti membandingkan makanan kita dengan orang lain, tak perlu fikir makanan yang terlalu fancy kerana makanan biasa pun mampu membuatkan kita kurus dan kekal sihat. Paling penting jangan jadikan makanan ringan sebagai stok di rumah sebab potensi untuk ‘termakan’ tu sangat tinggi.”
Emy Mellisa berusia 38 tahun dan merupakan suri rumahtangga sepenuh masa. Dia berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap dari UTM Skudai.
SALMON MASAK LEMAK CILI PADI VERSI EMY MELLISA
Bahan-bahan:
Kepingan isi ikan salmon
1 kotak kecil santan
Cili padi (dikisar/ditumbuk kering)
Kunyit (dikisar/ditumbuk kering)
Garam secukup rasa
Asam keping
Sedikit air
Daun selasih
Hirisan daun kunyit
Cara Membuat:
Masukkan santan ke dalam periuk diikuti bahan yang dikisar atau ditumbuk kering. Tambahkan air dan hirisan daun kunyit. Biarkan mendidih seketika, masukkan kepingan isi salmon. Tambahkan garam, asam keping dan daun selasih. Kacau sebentar kemudian angkat.
Kredit Foto: Instagram Emy Mellisa
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hidup ini ibarat putaran roda. Selepas gelap ada terangnya. Selepas susah ada senangnya. Dan jika sekarang miskin, tak mustahil satu hari nanti kaya-raya. Itulah yang dipegang jururawat berhati waja, Zuraimi Ahmad atau Amy kepada Majalah Nona.
Beberapa hari juga menanti jawapan temu bual ini daripada Amy. Namun sebagai frontliners yang berbakti di hospital COVID, Amy cukup sibuk hingga membataskan masanya untuk menjawab. Terasa berat beban kerjaya seorang jururawat, berbakti untuk kesihatan dan kebahagiaan orang lain.
Berusia 38 tahun, anak Pulau Pinang ini juga sebenarnya seorang pengusaha kek dan roti Mama Omey Bakery. Ibu kepada lima cahaya mata itu tekad mempelajari kemahiran bakeri sejak pendapatan keluarganya terkesan akibat pandemik.
“Permulaannya apabila suami saya terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori kerana masalah kesihatan. Ketika dia masih bekerja, pendapatan keluarga kami dikira agak lumayan juga. Pendapatan saya pula sekadar cukup makan kerana menanggung banyak komitmen.
Jadi bila dia berhenti kerja, kami sangat-sangat terkesan. Banyak bayaran tertangguh sampaikan saya terpaksa berhutang dengan ibu bapa untuk belanja harian. Saya juga terpaksa hentikan bayaran perbelanjaan anak-anak seperti van sekolah dan tuisyen kerana tak mampu membayar.
Memang ketika itu hidup kami sekeluarga susah. Suami struggle cari kerja tapi rezeki masih tak menyebelahi kami.”
Cerita Amy lagi, pelbagai ikhtiar dilakukan demi menambah pendapatan mereka. Antaranya berniaga di pasar malam, bazar Ramadan dan carboot sale, jual sabun dan minyak wangi tapi sayangnya kurang sambutan.
Banyak modal lebur dan kami terpaksa berhenti sebab kehabisan sumber. Letihnya hanya Allah yang tahu. Saya dengan bekerja lagi, Ya Allah, besarnya dugaan masa tu.
“Berkat doa yang tak pernah putus, Tuhan bukakan jalan untuk saya belajar buat kek dan roti. Asalnya belajar melalui YouTube je. Kemudian saya ambil kelas kemahiran secara PJJ sebab bekerja sepenuh masa. Di situlah bermulanya kerjaya part time saya sebagai pengusaha kek dan roti, sementara suami bekerja sebagai pemandu GRAB.”
Tak dinafikan sejak pandemik melanda, banyak kehidupan yang terjejas. Amy sekeluarga tak terkecuali.
“Dulu boleh dikira mewah juga pendapatan GRAB. Tapi lama-kelamaan, pelanggan makin berkurang. Orang ramai takut nak keluar rumah, ditambah pula PKP dan kes COVID-19 yang saban hari meningkat tinggi. Bila pendapatan suami terjejas, semuanya terbeban di bahu saya.
Jadi saya tetapkan dalam hati nak belajar bersungguh-sungguh supaya dapat fokus bisnes roti dan kek, sekaligus menampung perbelanjaan keluarga kami.” Amy
DUNIA JURURAWAT
Ada sesuatu yang istimewa tentang Amy kala mendengar mengapa dia memilih kerjaya jururawat. Begitu besarnya hati seorang wanita yang mencintai profesion ini, melebihi rasa cintanya terhadap diri sendiri.
“Mula-mula memang tak minat tapi saya terima juga sebab mak dan abah mahu saya bekerja di sektor kerajaan. Alhamdulillah dan 13 tahun jadi jururawat. Memang saya jatuh cinta dengan kerjaya saya kerana dengan kerjaya inilah saya belajar segala-galanya.
Jururawat adalah satu kerjaya yang mulia dan tak kenal erti penat. Kami bekerja untuk kesihatan dan kebahagiaan orang lain. Di sebalik pengorbanan berbakti pada masyarakat, kerjaya ini mengajar saya erti perikemanusiaan, tanggungjawab dan kesabaran.
Tapi disebabkan pandemik dan faktor pendapatan suami yang terjejas, saya terpaksa bekerja lebih untuk membantu keluarga. Buat bisnes part time yang tak mengganggu kerja hakiki saya dan masa dengan anak-anak. Jadi bisnes yang paling tepat adalah buat kek dan roti. Balik kerja saya sambung dengan perusahaan bakeri sampai ke larut malam.”
Walau bagaimanapun, Amy turut berdepan cabaran persaingan dari rakan pengusaha yang lain. Lumrah pada waktu ini ramai yang kehilangan kerja atau bekerja dari rumah, maka banyaklah peniaga online yang turut meniaga kek dan roti seperti Amy.
“Sebab tu kita kena kerap promosi. Saya gunakan semua platform yang ada. Buang ketepi segala rasa segan dan malu. Saya cakap dalam hati… ‘Buat apa nak malu, aku susah bukan orang tahu. Biarlah.’ Dan saya beri kawan-kawan serta jiran-jiran rasa produk makanan Mama Omey Bakery.
Alhamdulillah. Saya bersyukur dapat feedback yang positif. Sambutan juga memberangsangkan bila ramai yang mula menempah. Cuma masa mula-mula dulu ada jugalah masalah penghantaran atau COD disebabkan saya bekerja.
Mujurlah suami membantu dalam urusan COD untuk hantar kepada pelanggan yang jauh. Kami juga ada gunakan servis runner bila tak cukup tangan. Tiada masalah yang tak mampu diatasi jika kita betul-betul nak berjaya.”
MULTITASKING
Sebagai jururawat yang bekerja tetap, Amy perlu fokus pada waktu bekerjanya iaitu dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Setiap hari Isnin hingga Jumaat, Amy sibuk dengan tugas-tugas di klinik dan menjaga pesakit.
“Boleh dikatakan hari-hari ada order. Kadang-kadang saya terpaksa buat senarai sebab tak mampu nak buat semua tempahan dalam satu masa. Biasanya saya balik kerja dalam pukul 6.00 petang, saya akan uruskan hal di rumah dan anak-anak dulu. Lepas Maghrib barulah saya mula membakar kek dan roti, sambil-sambil mengajar anak-anak buat kerja sekolah.
Bantuan anak-anak dan suami memang sangat penting. Merekalah yang menguruskan pembungkusan, jadi kerja saya jadi cepat sambil kami bergurau atau bersembang menyiapkan tempahan. Lewat malam baru selesai semua dan masuk tidur.” Amy
Begitulah rutin Amy setiap hari, tidak termasuk cuti hujung minggu yang dikhususkan untuk menyiapkan lebih banyak tempahan yang masuk tak berhenti-henti.
Rancangan untuk mengembangkan bisnes… “Kalau ada rezeki lebih, saya nk beli mixer dan oven industrial yang lebih besar supaya memudahkan, mempercepatkan serta boleh memperbanyakkan lagi order saya selepas ni. Sebab sekarang saya masih memggunakan breadmaker dan oven yang kecil, jadi order tu terhad kerana ia memakan masa yang lama.”
Mengakhiri temu bual kami, Amy sempat berkongsi impiannya dalam bisnes. “Saya bercita-cita mahu membuka sebuah kedai bakeri dan kalau boleh, produk Mama Omey Bakery menembusi pasaran Malaysia seperti Mamasab dan Azlina Ina. Harapan saya juga mahu memberi kehidupan yang selesa kepada keluarga saya, insyaAllah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.