Pandemik COVID-19 semakin meruncing di Amsterdam sehinggakan Menteri Kesihatan Belanda, Bruno Bruins telah meletakkan jawatan selepas pengsan akibat keletihan pada sesi perbahasan di Parlimen ketika membincangkan mengenai penularan COVID-19.

Dilaporkan, pihak berkuasa kesihatan Belanda telah mengesahkan 534 kes positif dengan 30 kes kematian COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kepada 4,204 kes dengan 179 kematian (laporan pada 24 Mac 2020).

IKLAN
Atira Ariffyn

Atira Ariffyn, seorang warganegera Malaysia yang menetap dan bekerja di Amsterdam turut mengesahkan senario yang berlaku di sana. “Ekoran pandemik COVID-19 ini, keadaan di Amsterdam semakin sukar dan buat masa sekarang kerajaan telah menutup operasi seperti restoran, kafe, muzium, pusat tarikan pelancong, gym dan sebagainya.

Banyak juga syarikat yang telah membenarkan pekerjanya untuk bekerja dari rumah termasuk saya,” tutur Atira yang bertugas sebagai arkitek di salah sebuah firma arkitek terkenal di Amsterdam.

Bercerita tentang aktiviti hariannya setelah bekerja dari rumah, “Saya jarang keluar rumah melainkan untuk keluar membeli barang keperluan sahaja. Di sini majoriti rakyat menggunakan basikal sebagai pengangkutan. Jadi sekurang-kurangnya dengan menaiki basikal boleh meminimumkan kontak di antara satu sama lain.

Kedai yang boleh dibuka pula hanya pasar raya dan kedai serbaneka. Makanan dekat pasar raya memang cepat habis tapi pihak pengurusan akan menambah stok setiap hari. Kalau nak beli barang memang kena keluar pagi-pagi masa kedai baru buka.

Saya dah empat hari tak dapat beli telur. Barang-barang yang sangat cepat habis adalah telur, pasta, beras, susu, air mineral dan roti,” tutur Atira yang berkahwin dengan lelaki warganegara Malaysia berketurunan cina ini.

Baru setahun mendirikan rumah tangga, pasangan ini terpaksa tinggal berasingan kerana suaminya bekerja di United Kingdom. “Kenapa kami tinggal berasingan? Sebenarnya kami kenal sejak dari zaman belajar lagi. Suami juga belajar di United Kingdom.

IKLAN

Namun sebaik tamat pengajian selama lima tahun di salah sebuah universiti London saya telah datang ke Amsterdam untuk bekerja. Saya bekerja di Amsterdam sebab masa tu baru diumumkan Brexit Referendum dan peluang pekerjaan sangat teruk iaitu sekitar tahun 2016,” kongsinya.

“Mujur saya sempat meraikan ulang tahun perkahwinan yang pertama beberapa minggu sebelum penularan pandemik COVID-19 ini,” tutur Atira yang berulang-alik setiap minggu Amsterdam-London untuk bertemu suami.

IKLAN

Bercerita tentang keadaan London semasa berjumpa suaminya, “Ketika saya berada di London tempoh hari saya dapati masyarakat di sana begitu selesa sehinggakan tidak ada seorang pun yang mengambil langkah berjaga-jaga. Suami saya beritahu sekarang di United Kingdom orang dah mula buat pembelian panik,” terang Atira.

Tambahnya lagi, “Dengan situasi sekarang saya terpaksa batalkan semua perjalanan untuk bertemu dengan suami. Dalam masa yang sama saya juga sedang buat persiapan menduduki Peperiksaan professional RIBA Part 3 di Architectural Association (juga merupakan tempat wanita ini memperoleh Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana).

Tapi jadual peperiksaan saya telah ditangguh kerana universiti telah ditutup buat sementara. Mungkin rezeki saya dapat lebih masa untuk mengulang kaji pelajaran! Namun, sehingga ke hari ini saya masih belum dapat lagi jadual baru untuk peperiksaan yang akan datang,” ujar Atira sambil berdoa agar pandemik COVID-19 ini berjaya diputuskan rantaiannya dan kita semua boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa.

Wanita ini juga berasa lega apabila pihak Kedutaan Malaysia di The Hague ada menghubunginya untuk bertanya khabar selepas mendaftar dengan pihak kedutaan. Ini kerana pihak kedutaan telah menyeru seluruh rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk mendaftar dengan pihak kedutaan.

“Lega rasa hati bila pihak kedutaan telefon bertanya khabar, tanya makanan cukup atau tidak dan lain-lain lagi,” bicara wanita tingi lampai ini.