Kawasan kejiranan di sekitar Bangsar sememangnya dibanjiri dengan pelbagai restoran yang menyajikan pelbagai hidangan untuk dinikmati. Antara tarikan terbaharu lokasi menjamu selera di Kawasan yang popular itu ialah Adu Sugar, milik seorang chef yang pernah memenangi pengiktirafan di peringkat internasional. Namanya sememangnya popular bagi penggemar rancangan masakan realiti yang menampilkan peserta memasak dan diadili oleh chef yang berkelayakan.
Chef Adu Amran, membuka restoran terbaharunya bertempat di Jalan Ara Kiri, Bangsar sejak dua bulan yang lalu. Walaupun masih baharu, namun menu yang ditawarkan memikat selera masyarakat Malaysia yang sememangnya teliti dalam soal pemilihan makanan yang enak dan penuh citarasa.
Sudah menjadi trend kebanyakan kafe atau restoran kini terletak di tingkat atas bangunan rumah kedai. Sekaligus, ia memberi dimensi baharu terhadap persekitaran tatkala menjamu selera selain kepuasan menikmati hidangan yang enak dalam suasana yang berbeza. Restoran yang menyajikan hidangan klasik dari negeri Johor, negeri kelahiran Chef Adu Amran untuk hidangan makan tengahari manakala Chef Adu mengetengahkan konsep Creative Malaysia Cooking untuk hidangan makan malam.
Sebagai anak jati negeri Johor, para pengunjung usah lepaskan peluang untuk menikmati hidangan autentik Johor hasil air tangan chef terkemuka ini. Antara menu yang terdapat di sini termasuklah Laksa Johor, Asam Pedas dan penggunaan bahan masakan kegemarannya iaitu pisang salai di dalam kebanyakan menu yang disediakan.
Menurut Chef Adu, sebagai seorang chef yang mementingkan kualiti makanan yang disajikan kepada para pelanggan, dia lebih gemar mengambil inisiatif menyediakan sendiri bahan-bahan utama untuk setiap hidangan yang bakal disajikan.
Ads
“Saya amat mementingkan kualiti makanan yang dihasilkan di dapur Adu Sugar. Oleh itu, saya menitikberatkan soal penyediaan bahan rempah ratus yang bakal digunakan di dalam setiap sajian. Sebagai contoh, saya memasak sendiri kerisik untuk kegunaan dalam hidangan selain menyediakan sendiri cili kisar yang digunakan dalam hidangan. Saya amat cerewet dalam soal penyediaan makanan. Jadi, apabila menyediakan sendiri rempah ratus ini, saya tahu kualiti makanan dapat dikawal dan rasa yang enak,” ujar Chef Adu yang menyediakan sendiri menu yang bakal dinikmati oleh para pelanggan.
Seakan dapat mengagak pertanyaan penulis mengenai nama Adu Sugar, rupanya Chef Adu mempunyai cerita menarik di sebalik penggunaan nama Adu Sugar untuk restoran miliknya.
“Sugar atau gula merupakan nama timangan ayah saya selepas insiden di mana satu periuk gula yang sedang dimasak tumpah di atas badannya semasa dia masih kecil. Kesan parut inisiden tersebut masih ada sehingga kini. Sejak itu, penduduk kampung menggunakan nama tersebut sebagai nama timangannya,” ujar Chef Adu yang mengambil inisiatif mengekalkan nama tersebut sebagai simbolik untuk bapa tersayang.
Ads
Mungkin ramai yang belum tahu, Chef Adu sebelum ini pernah membuka sebuah restoran diberi nama Champor-champor yang dibuka di Langkawi pada tahun 1994 ketika usianya baharu mencecah 24 tahun. Namun, pada 1997, Chef Adu mengambil keputusan untuk berpindah ke London dengan harapan untuk mengetengahkan konsep makanan seperti Champor-champor di London. Berkat usaha selama tiga tahun, impian tersebut telah direalisasikan. Namun begitu, pada tahun 2011, Chef Adu mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air dan mula melibatkan diri dalam program reality Master Chef Malaysia pada tahun 2015.
Ads
Rasa rindu untuk menguruskan restoran membawa Chef Adu membuka “The Canteen by Chef Adu’ di mana ia membuka ruang untuk dirinya dalam bidang masakan yang digemarinya. Tidak hairanlah mengapa Adu Sugar menjadi kesayangan dirinya yang mementingkan kualiti makanan bagi menjamin rasa yang enak untuk kepuasan pelanggan.
Menyentuh mengenai dekorasi yang diterapkan di Adu Sugar, dapat dilihat Chef Adu menggunakan sisi kreatif yang ada dalam dirinya untuk menata segenap ruang di Adu Sugar. Sebaik sahaja pelanggan melangkah menaiki deretan anak tangga menuju ke restoran, terdapat sebuah bingkai pintu dari Asia yang diletakkan di ruang masuk ke restoran.
Selain itu, beberapa lukisan termasuklah lukisan mural yang menggunakan elemen China dan Baba Nyonya hasil kerja tangan Chef Adu menjadi tarikan utama di dalam restoran. Selain itu, beberapa lagi barangan antic yang terdapat di segenap ruang restoran termasuklah sebuah kerusi lama untuk mencabut gigi yang digunakan pada abad ke 14. Selain itu, koleksi kipas antik yang masih elok digunakan juga menjadi pilihan sebagai dekorasi dalaman di sini. Mata pasti tertarik dengan pelbagai koleksi antik milik Chef Adu yang dikumpul sejak 20 tahun yang lalu. Malah setiap barangan antik ini mempunyai keistimewaan dan kesan estetika tersendiri buat Chef Adu Amran.
Bagi penggemar hidangan autentik Johor, jangan lupa singgah untuk menikmati hidangan makan tengah hari di sini. Bagi anda yang tertanya-tanya apakah menu yang dikategorikan sebagai Creative Malaysian Cooking, jangan lupa untuk mencuba sendiri hidangan yang istimewa ini!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mana mungkin penggemar hidangan piza mampu menolak keenakan Motorino yang didatangkan khas ke Resorts World Genting ini. Kepingan piza rangup dengan taburan aneka jenis keju dan adunan sos lazat serta ramuan berkualiti di dalamnya menyerlahkan cita rasa sebenar piza Itali. Bahkan, piza yang berasal dari Brooklyn dan East Village ini pernah diiktiraf sebagai restoran piza Itali Neapolitan terbaik di New York.
Mula beroperasi di pusat beli-belah SkyAvenue pada Disember tahun lalu, Motorino menjadi tarikan terbaru di Resorts World Genting kerana merupakan satu-satunya restoran piza ikonik pertama di Malaysia selepas berjaya menembusi pasaran New York, membuka dua cawangan di Hong Kong dan Manila serta satu di Singapura.
Uniknya, rangkaian restoran yang dimiliki dan dikendalikan lelaki kelahiran Belgium-Itali iaitu Cef Mathieu Palombino ini adalah penghasilan piza Neapolitan yang dimasak dalam ketuhar kayu yang diimport dari Itali.
Melangkah masuk ke Motorino di SkyAvenue, ruang makan seluas 4, 000 kaki persegi dengan bahagian hadapan bangunan memaparkan rekaan tingkap gaya Itali berbingkai emas membuatkan para pengunjung seolah-olah berada di restoran Itali sebenar.
Malah, restoran francais di Malaysiajuga merupakan yang terbesar setakat ini jika dibandingkan dengan beberapa cawangan lain seperti di Hong Kong dan Singapura!
Paling mencuri tumpuan tatkala menjamu selera di sini adalah kewujudan dua ketuhar piza yang dibawa masuk dari Naples, Itali semata-mata demi menerbitkan esensi The Motorino. Begitu juga penyodok piza berbentuk dayung yang diperbuat daripada sekeping kayu dan ditempah khas untuk menghasilkan piza ala Itali.
Di Motorino SkyAvenue, pelanggan tidak sekadar berpeluang menikmati hidangan piza terkenal ini malah disajikan dengan keseluruhan proses pembuatan piza Motorino. Terdapat lebih daripada 20 pilihan inti yang boleh ditambah ke dalam piza. Ini termasuk ramuan kubis Brussel, dua jenis ikan bilis, arugula segar, keju mozarela, keju fior de latte iaitu mozarela segar yang diperbuat dengan susu lembu, ayam belanda, pepperoni dan kepah.
Harga piza yang ditawarkan bermula dengan harga RM45 hingga RM67 sekeping. Selain itu, terdapat sajian pencuci mulut seperti tiramisu, kek coklat dan gelato.
Jika anda ke Genting Highlands usah lepaskan peluang ke Motorino yang terletak di aras 1, SkyAvenue yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari Ahad hingga Khamis dan 10 pagi hingga 12 tengah malam setiap Jumaat, Sabtu dan Cuti Umum.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Daging kambing sememangnya menjadi makanan kegemaran ramai kerana khasiat yang terkandung di dalamnya. Merupakan salah satu makanan sunah, daging kambing juga memiliki rasa menyelerakan jika dimasak sempurna bersama adunan atau perapan lengkap.
Terokai kelazatan dua sajian berasaskan daging kambing yang kami dikongsikan berikut. Mudah dan tidak memerlukan masa yang lama untuk menyediakannya. Selamat mencuba!
KAMBING BAKAR
JULY 11 2017 NONA SUZIE RESEPI RESTORAN ARAB TTDI
Bahan-bahan utama:
1 kg kambing biri-biri (diambil bahagian bahu & rusuk) *potong 1 cm tebal atau sebesar tapak tangan
Bahan-bahan perapan:
1 sudu teh serbuk jintan manis
½ sudu teh serbuk buah pelaga
1 sudu teh serbuk kayu manis
½ sudu teh serbuk kunyit
½ sudu teh serbuk lada hitam
½ sudu teh serbuk cili
1 sudu teh cuka kurma @ epal
2 sudu teh yogurt
2 sudu makan minyak zaitun
1 sudu teh garam halus
1 biji bawang Holland (dikisar)
5 ulas bawang putih (dikisar)
2 inci halia (dikisar)
1 inci lengkuas
(gaul rata semua bahan)
Cara membuat:
Perap daging dengan rempah perapan selama enam hingga lapan jam. Kemudian, bakar daging yang telah diperap di atas dapur gril menggunakan api perlahan selama 20 minit sambil dibalik-balikkan. Apabila sudah masak, angkat dan enak dinikmati bersama nasi.
Resipi: TERIMA KASIH HAJI AMINUDDIN RESAD, RESTORAN AROMA HIJRAH, TTDI SHAH ALAM, Selangor
ARABIAN LAMB BURGER
Bahan-bahan:
800 gram daging kambing segar tanpa lemak (dicencang)
1 biji bawang Holland (dihiris halus)
Hirisan bawang & tomato
¼ cawan daun parsli (dicencang)
4 keping keju
200 gram cendawan (ditumis – jika mahu)
Secubit parutan buah pala
100 gram jeruk timun
Secubit jintan putih
Secubit biji ketumbar
20 gram garam & lada hitam
Roti burger bijan
Mayonis
Jejari kentang
Cara membuat:
Satukan daging kambing, bawang, daun parsli, buah pala, jintan putih, biji ketumbar, garam dan lada hitam di dalam mangkuk. Gaul sekata dan uli bahan-bahan tersebut dengan menggunakan tangan. Ambil adunan yang telah sebati tadi dan bulat dan leperkan untuk menghasilkan inti burger. Kemudian, goreng inti burger dalam kuali selama beberapa minit dan teruskan memanggang ke dalam ketuhar hingga betul-betul masak. Keluarkan dan sejukkan seketika sebelum dihiaskan bersama hirisan tomato, bawang, jeruk timun dan salad. Akhir sekali, letakkan cendawan dan kepingan keju. Hidangkan burger dengan jejari kentang, sos cili dan mayonis.
Resipi: TERIMA KASIH SUNWAY RESORT HOTEL & SPA, CHANDRIKA BHASKARAN & CEF ALA’A ALI
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Walaupun ramai yang menjadikan ruang dapur sebagai salah satu spot kegemaran dalam rumah, namun apabila timbul situasi seperti bekas gula dihurung semut atau nasi termasak mentah dan sebagainya, sudah pasti ketenangan berada di dapur boleh terjejas dan mengubah mood anda.
Terutama sekali di kalangan wanita berkerjaya yang sudah pasti tak menang tangan hendak selesaikan masalah di dapur. Ikutkan hati semua benda mahu diselesaikan dengan pantas tapi terhalang pula dengan kekangan masa.
Tak perlu gusar dan serahkan saja masalah tersebut dengan menggunakan barang yang ada di sekeliling anda. Berikut petua dapur yang cukup berguna untuk dipraktikkan.
(a) Nasi mentah
Jangan sesekali membuang nasi yang dimasak mentah kerana anda boleh mendapatkan kembali rasa nasi seperti biasa dengan hanya membuat langkah ini. Salah satu cara untuk mengatasi nasi mentah adalah dengan mencampurkan air dan sedikit garam kemudian direnjis ke atas nasi mentah. Kacau sekata dan tutup kembali periuk serta dipanaskan sekali lagi.
(b) Bekas gula bersemut
Melihat tempat simpanan gula dihurung semut memang menjengkelkan. Jalan penyelesaiannya adalah dengan meletakkan tiga ke empat biji bunga cengkih ke dalam bekas tersebut. Di samping itu, pastikan bekas simpanan tadi ditutup rapat. Aroma kuat yang terhasil daripada bunga cengkih tersebut akan meghalang kehadiran semut.
(c) Kesan kopi atau teh melekat di cawan dan teko
Minuman kopi atau teh yang dibiarkan dalam cawan atau teko dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan kesan minuman tersebut sukar untuk ditanggalkan. Petua yang boleh diamalkan untuk menyingkirkan kotoran ini dengan merendam bekas ke dalam air suam bercampur garam dan limau nipis selama lebih kurang lima belas minit. Sesudah itu, basuh seperti biasa menggunakan sabun pencuci pinggan mangkuk.
(d) Peti sejuk berbau
Paling mudah untuk menyingkirkan bau kurang enak dalam peti sejuk adalah dengan mengambil dua hingga tiga potong kulit nanas. Masukkan ia ke dalam peti sejuk sehingga hilang bau tersebut. Selain itu, ada juga yang mengelak bau peti sejuk dengan mengelap atau menyapu permukaan menggunakan kain yang dititiskan esen vanila.
(e) Kehadiran serangga seperti lipas
Selain bentuk lipas yang menggelikan, ia juga menjadi pembawa penyakit kepada penghuni rumah. Oleh itu, apabila mendapati kehadiran serangga ini segera ambil beberapa helai daun pandan untuk diletakkan di tempat yang dipercayai menjadi tempat tumpuan lipas. Antaranya seperti di almari dan ceruk dapur. Daun pandan yang telah layu perlu digantikan dengan daun baru untuk membangkitkan aroma yang tidak digemari lipas.
(f) Kuah terlebih garam
Terdapat beberapa cara untuk meneutralkan kembali masakan yang telah terlebih garam. Antaranya dengan mengambil segenggam kelapa parut bersama kain jarang untuk dibunjutkan. Masukkan ia ke dalam masakan sehingga 15 ke 20 minit. Sesudah itu, keluarkan. Selain itu, boleh juga memasukkan kentang dibelah empat ke dalam masakan bagi menyerap rasa masin. Jika tiada kentang, gantikan dengan timun yang dipotong memanjang. Suziana Abu Daud
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.