Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Sifat penyayang, prihatin dan berjiwa rakyat pasangan diraja, KDYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan KDYMM Raja Permaisuri Agong kini diwarisi anakanda sulung mereka, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Terbaharu, Tengku Hassanal yang turut digelar ‘The Real Prince Charming’ oleh rakyat jelata itu berkenan mengurniakan Elaun Diraja selama empat bulan kepada Tabung COVID-19 Pahang bagi membantu mereka yang memerlukan.
Meskipun tidak menyatakan nilai elaun baginda secara spesifik, namun dijangka dengan kedudukannya sebagai Pemangku Raja berkemungkinan mencecah lima angka.
Sumber: Facebook Menteri Besar Pahang
Kurniaan kepada Tabung COVID-19 Pahang juga merupakan kurniaan kali kedua oleh Tengku Hassanal yang sebelum ini berkenan mengurniakan Elaun Diraja selama enam bulan ke tabung yang sama pada 1 April 2020.
Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di laman media sosial rasmi beliau hari ini, yang turut menjunjung kasih atas keprihatinan baginda terhadap rakyat Pahang.
Ads
Tengku Hassanal bersama ayahanda dan bonda tercinta
Tabung COVID-19 Pahang dilancarkan oleh kerajaan negeri pada awal pelaksanaan PKP 1.0 khusus untuk membantu rakyat negeri ini terkesan dengan pelaksanaan perintah tersebut yang perlu dilakukan bagi memutuskan penularan wabak itu.
Kurniaan tersebut dilakukan sehari selepas Tengku Hassanal berkenan mengurniakan Elaun Diraja selama tiga bulan ke Tabung Pahang4Palestine bagi membantu penduduk di sana.
Sumber: Facebook Menteri Besar Pahang
Ads
Berusia 25 tahun, Tengku Hassanal merupakan graduan dari Akademi Ketenteraan Diraja di Sandhurst, United Kingdom. Baginda juga memiliki Ijazah Perhubungan Antarabangsa dari Geneva School of Diplomacy and International Relations di Switzerland.
Baginda mewarisi sikap ayahanda dan bondanya yang mesra rakyat, kerap kali turun padang untuk aktiviti kemasyarakatan serta tangkas menurunkan bantuan setiap kali berlaku bencana di Pahang.
Ads
Berperwatakan segak dan tampan, pesona Tengku Hassanal yang mudah melemparkan senyuman amat disenangi oleh masyarakat. Baginda juga sering menyantuni golongan susah serta tidak canggung bertemu rakyat dari pelbagai lapisan usia.
Tanpa protokol yang ketat, sikap Tengku Hassanal yang humble sama seperti ayahanda dan almarhum nendanya, Sultan Ahmad Shah, yang terkenal dengan prinsip ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam usia 36 tahun usahawan produk kecantikan ORGGA, Zazarina Zainal Abidin atau Zaza bukan sahaja sukses dalam perniagaan bahkan memiliki aset serta kehidupan sempurna yang menjadi dambaan setiap wanita.
Memiliki darah campuran Melayu-China, Zaza merupakan ibu kepada dua orang anak berusia 5 dan 2 tahun. Sebelum bergelar usahawan, Zaza pernah bergelar pereka grafik dan web. Setelah memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perniagaan, Zaza mendapat sokongan serta turut dibantu sepenuhnya oleh suami tercinta.
IKUT PETUA IBU
“Ibu, Zaleha Ahmad adalah sumber inspirasi saya untuk kekal sihat dan cantik. Salah satu petuanya ialah ibu sering mengingatkan supaya jangan minum air semasa makan atau sejurus selepas makan. Maka, saya hanya minum air setengah jam selepas makan. Ibu juga mengingatkan kami untuk tidak membuat jus buah-buahan sebaliknya ia harus dimakan begitu sahaja kerana kebanyakan zat di dalam buah-buahan akan hilang jika dikisar dan dijadikan jus.
Ibu berkerja dalam bidang kesihatan selama 30 tahun lebih dan beliau juga merupakan penyokong utama ketika saya mahu memulakan perniagaan. Walaupun kini ibu sudah berusia 69 tahun tetapi masih kuat dan sihat. Bayangkan, ibu masih aktif mendaki Gunung Kinabalu, pergi ke luar negara termasuk zon perang untuk misi kemanusiaan dan sebagainya. Saya memang kagum dengan ibu.
Sebab itulah saya menganggapnya juga sebagai ‘hero wanita’ kerana ibulah sumber kekuatan saya. Dalam usianya sekarang ibu masih kelihatan bertenaga, kekal cergas dan aktif.
Selain ikut petua ibu, saya juga lebih suka berbelanja membeli rangkaian produk dari Eropah. Walaupun ia berasaskan bahan-bahan natural dan organik tetapi kesannya sangat efektif serta bahan-bahan yang digunakan sangat berkualiti tinggi dan selamat.
AKTIF MUAY THAI
Setiap hari saya akan sampai rumah (dari pejabat) sekitar pukul 6-7 malam. Setiap malam juga (pada minggu bekerja) saya dan suami akan ke kelas Muay Thai pada pukul 8.30 malam. Tetapi sebelum keluar kami akan meluangkan masa terlebih dahulu bersama anak-anak di rumah. Pulang dari kelas iaitu kira-kira pukul 11.30 malam saya akan menyemak segala perancangan untuk hari esok termasuk membaca buku atau melakukan light research. Sekitar pukul 2 pagi barulah dapat melelapkan mata.
Hujung minggu pula adalah waktu berkualiti saya bersama keluarga. Walaupun saya dan suami tidak banyak masa untuk bersama anak-anak tetapi kami cuba memberikan pendidikan yang terbaik buat mereka termasuk menyeimbangkan pelajaran dan hiburan.
Saya jarang keluar bersama rakan-rakan kerana kebanyakan mereka tinggal di Kuala Lumpur, saya pula di Senawang. Namun kalau ada masa, kami akan keluar untuk minum-minum dan membeli belah. Sebenarnya saya lebih selesa keluar bersama suami kerana beliau umpama teman rapat saya. Antara tempat kegemaran kami ketika keluar ialah kedai buku.
NASIHAT & TIP SUKSES
Saya banyak membaca termasuk mengalami sendiri detik susah senang dalam perniagaan. Untuk menjadi usahawan sukses haruslah fokus. Kedua, rajin membuat kajian. Allah SWT mengurniakan otak yang sama untuk berfikir tetapi bergantung kepada individu untuk memanfaatkannya dan sejauh mana kemampuan untuk berfikir.
Generasi sekarang sangat kurang membaca. Membaca artikel di internet tidak sama dengan membaca buku. Amalan membaca menjana tahap kemampuan otak dan cara kita berfikir sekaligus menambah nilai diri kita sebagai manusia dan usahawan.
Bergelar ibu dan usahawan bukan mudah untuk membahagikan masa. Satu perkara yang saya sentiasa amalkan ialah tidak tangguhkan kerja atau niat. Kerana jika kita ingin menunggu masa yang sesuai untuk melakukan sesuatu, masa itu tidak akan tiba dan kerja atau perancangan akan sentiasa tertangguh.
PERNIAGAAN
ORGGA merupakan singkatan perkataan ‘organik’ yang melambangkan konsep produk selain mudah disebut dan diingati. Produk kecantikan ORGGA berasaskan bahan-bahan natural dan organik yang juga memfokuskan kepada penggunaan bahan-bahan botanikal berkualiti. 90 peratus bahan-bahan natural yang digunakan diimport dari United Kingdom, United States, Timur Tengah, Eropah dan China.
Saya berpendapat kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai stigma bahawa produk natural dan organik tidak begitu berkesan dan menunjukkan hasil yang perlahan. Mereka lebih suka memilih produk kecantikan yang kesannya pantas tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang ke atas kulit.
Ia menjadi cabaran buat saya untuk menghasilkan produk natural dan organik yang berkualiti serta berkesan di Malaysia. Justeru, saya mengambil inisiatif dengan menghabiskan masa lebih kurang satu tahun setengah untuk proses RND termasuk mengambil kursus memformulasi produk kecantikan berasaskan natural dan organik dari UK. Semoga produk kecantikan berasaskan natural dan organik terus mendapat sambutan baik di negara kita.”
Zaza merupakan graduan dalam bidang pengurusan teknologi multimedia dari Universiti Multimedia serta jurusan teknologi informasi bisnes dari Universiti Limkokwing.
Kredit Foto: Instagram @zaza_alzahra & @hanzaking
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap pengusaha produk kecantikan sememangnya mempunyai cara tersendiri untuk memperkenalkan jenama mereka kepada khalayak umum. Ada yang memilih menggunakan strategi pemasaran secara agresif di media sosial, manakala ada juga yang lebih selesa menggunakan teknik pemasaran yang lain.
Namun buat Sharmila Johan atau lebih popular dikenali sebagai Kak Ell, dia mempunyai cara tersendiri untuk memastikan perniagaan kosmetik yang diusahakan mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia.
“Saya bangga menggunakan nama sendiri sebagai jenama produk”, itu jawapan Kak Ell yang terkenal dengan tagline “Memang Cantik” apabila ditanya tentang produk kosmetik keluarannya yang menggunakan namanya sendiri.
Berbekalkan pengalaman hidup yang pernah melalui kesukaran sebagai anak kepada seorang penoreh getah, Sharmila menganggap nama yang diberikan oleh kedua ibu dan bapanya sebagai salah satu hadiah terbesar yang membolehkan dia mencapai kejayaan seperti hari ini.
“Saya menganggap nama yang baik adalah suatu doa. Saya rasakan ia sebagai bonus untuk mak dengan ayah sebab memilih nama yang baik untuk saya,” tambahnya lagi.
Kak Ell turut menitipkan pesanan bermakna yang boleh dijadikan panduan sebagai asbab sesebuah perniagaan itu untuk berjaya.
“Walau berjaya macam mana pun, jangan sesekali abaikan tanggungjawab sebagai seorang anak. Syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Cikgu saya pesan, orang yang jaga ibu bapanya adalah orang yang berjaya. Cuma dalam setiap sudut dan gerak langkah, saya kena lebih berhati-hati dan disiplin.
“Saya tak boleh main cakap lepas sahaja. Saya ada keluarga dan anak yang perlu dijaga. Malah, saya beruntung kerana pengguna tegar jenama saya sendiri mempertahankan kualiti produk yang dihasilkan hingga ia terus relevan dan dipercayai,” katanya yang meletakkan kejayaan kini adalah atas doa kedua ibubapa tersayang.
Ketika ditanya mengenai gaya hidupnya, Kak Ell tidak menafikan memiliki beberapa jenama kereta mewah di rumah, namun bagi Kak Ell itu semua adalah sekadar pinjaman daripada-Nya, bukan satu simbol kekayaan yang perlu dimegahkan.
“Sebagai wanita, mustahillah saya tak bernafsu nak memiliki barang-barang mewah, kan? Tapi, saya selalu ingatkan diri sendiri supaya tak ‘over’.”
“Saya lebih suka menghabiskan duit yang diperolehi untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang baik, membantu kawan-kawan dan ahli keluarga, menyumbang semula kepada sekolah yang pernah diduduki dan berkongsi dengan ibu bapa,” ujar Kak Ell yang memiliki wisma sendiri yang terletak di Shah Alam, Selangor.
Pelbagai siri kejayaan telah dirangkul oleh syarikat yang ditubuhkan oleh ibu kepada tiga orang cahaya mata. Tahun lalu, syarikatnya telah mendapat pengiktirafan Global Best Consumer Brands for Skincare, SME100 Awards 2021 dan Affin BMI Women Entrepreneur Awards 2021.
Malah, antara kejayaan yang menjadi kebanggan buat dirinya di mana jualan tahunan produk pernah mencecah sehingga angka RM 34 juta!
“Saya sentiasa percaya apa-apa yang kita buat, usaha memang daripada kita, tapi rezeki semua daripada Allah,” katanya lagi.
Menyambut ulang tahun penubuhan Kak Ell yang ke-4 baru-baru ini, wanita bertudung itu turut memasang impian untuk membimbing lebih ramai orang terutamanya suri rumah dan golongan pelajar untuk berjaya dengan menyertai Team #KakEllStars.
“Saya baru menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Management and Science Universiti (MSU) untuk memberi pengalaman pendidikan yang berbeza kepada pelajar berkenaan,” katanya.
Kak Ell turut mensasarkan untuk meraih anggaran jualan produk sebulan sebanyak RM 5 juta pula pada tahun ini. Kak Ell baharu sahaja melancarkan produk ke 48 syarikatnya yang diberi nama Fairy Glow Oil sempena acara Kak Ell Fantasy Night yang berlangsung baru-baru ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bertuah rakyat Iran memiliki pemimpin berkaliber dan tegas mempertahankan maruah negara seperti Masoud Pezeshkian. Situasi meruncing yang sedang melanda negara tersebut rentetan serangan ketenteraan Amerika Syarikat dan sekutunya iaitu negara haram Israel sejak 28 Februari lalu meraih perhatian meluas di seluruh dunia.
Tindakan ganas Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran jelas membuktikan kedua-duanya melanggar hak asasi antarabangsa dan kedaulatan sesebuah negara. Seterusnya mencetus eskalasi lebih besar.
Meskipun Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei dilaporkan terkorban akibat serangan itu namun Presidennya iaitu Masoud Pezeshkian tidak gentar dan berdiri teguh menjaga keselamatan negara tercinta bersama rakyat.
Apatah lagi, dia merupakan veteran tentera yang terlibat dengan perang Iran-Iraq sekitar tahun 1980 hingga 1988.
Memetik laporan United Against Nuclear Iran, Masoud bertanggungjawab menghantar pasukan perubatan ke barisan hadapan dan pada masa sama memegang kedua-dua jawatan tempur dan perubatan.
Kerjaya politik Masoud Pezeshkian bermula semasa dia menyertai pentadbiran Presiden Mohammad Khatami sebagai Timbalan Menteri Kesihatan pada 1997. Dia kemudian dilantik memegang jawatan Menteri Kesihatan selama empat tahun dari 2001 hingga 2005.
Beliau seterusnya menjadi Ahli Parlimen Iran sebanyak lima kali mewakili Tabriz. Masoud menyertai Pilihan Raya Presiden pada tahun 2012, 2021 dan buat kali ketiga pada 2024 dan akhirnya menjadi Presiden. Beliau juga fasih bertutur dalam Bahasa Arab dan Inggeris.
Sebelum menceburi arena politik Iran, Masoud merupakan pakar kardiologi. Pengalaman berada dalam bidang ketenteraan menarik minat pemimpin berusia 71 tahun ini untuk menjadi doktor.
Dia dilapor mengikuti jurusan perubatan di Tabriz University of Medical Sciences dan berjaya tamat pengajian pada 1985. Beberapa tahun menuntut ilmu perubatan, Masoud Pezeshkian memperoleh kelulusan dalam pembedahan kardiovaskular.
Laporan portal The Guardian mendedahkan Presiden Iran ini mengalami tragedi menyayat hati apabila isteri tercinta yang dilaporkan seorang Pakar Sakit Puan meninggal dunia bersama anak bongsu lelaki mereka akibat nahas jalan raya pada tahun 1994.
Sejak itu, Masoud Pezeshkian tabah menempuh kehidupan bersama tiga lagi anak. Dia juga memutuskan untuk tidak lagi berkahwin. Sebaliknya belajar untuk memasak dan membesarkan anak-anak iaitu seorang perempuan dan dua anak lelaki.
Dia berusaha menjadi bapa dan ‘ibu’ terbaik untuk anak-anak dengan menyediakan masakan, beri kasih sayang sepenuhnya dan berkhidmat sebagai doktor dengan sebaik mungkin.
Ketika meneraju Tabriz University of Medical Sciences, Masoud Pezeshkian dikenali kerana usahanya memperketat pemakaian tudung di universiti. Bahkan sejak mentadbir Iran, beliau turut lantang menyuarakan isu berkaitan wanita termasuk syarat pemakaian tudung.
Pengorbanannya terbalas apabila melihat kejayaan tiga anak tersayang. Zahra Pezeshkian misalnya menjadi pengikut setia bapa dan sentiasa menemani Masoud ke mana sahaja. Termasuk ketika bertemu pemimpin dunia mahupun rakyat jelata.
Anak lelaki, Youssef Pezeshkian pula graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Fizik. Begitu juga Mehdi Pezeshkian.
Semoga Masoud Pezeshkian terus berani dan lantang mempertahankan tanah air tercinta serta memelihara kedaulatan negara Iran daripada cengkaman musuh.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.