Wajahnya mula dikenali sejak drama sinetron Upik Abu dan Laura menghiasi kaca TV Malaysia sekitar tahun 2009. Cinta Laura Kiehl yang ketika itu baru berusia 15 tahun memegang watak utama sebagai Laura dan lakonan mantap serta rupa paras comel yang dimilikinya berjaya menambat hati sebilangan penonton di negara ini.
Kini, sedekad sudah berlalu… populariti Cinta Laura bukan hanya mekar di Indonesia bahkan di luar negara seperti Amerika Syarikat. Masih aktif bergelar anak seni terutama dalam bidang lakonan dan nyanyian, wanita berusia 25 tahun ini turut mencipta nama dalam arena peragaan.
Berbekalkan rupa paras menarik dan susuk tubuh ramping, pastinya ia pakej terbaik bagi Cinta Laura untuk berjaya dalam bidang tersebut.
Memiliki lebih 6 juta followers di Instagram, para peminat mula bercerita tentang bentuk badan wanita berketurunan Indonesia-Jerman ini yang disifatkan cukup menawan dan seksi. Lebih-lebih lagi bila dia kerap memuatnaik gambar yang memperlihatkan otot six pack di bahagian perutnya.
Ads
Memetik pengakuan Cinta Laura di Detik.Com, selebriti indonesia ini dengan tenang menjelaskan ia bukanlah satu perkara baru bagi dirinya. “Mungkin ada yang baru tahu sebab ternampak (six pack) bila saya mula post gambar dengan pakaian sukan dalam setahun kebelakangan ini.
Sebenarnya dari umur 10-11 tahun lagi saya sudah mempunyainya memandangkan waktu kecil dulu saya atlet dalam sukan renang, bola keranjang dan olahraga.
Ads
Ada yang mengatakan saya gemuk dan ada juga yang cakap saya kurus. Apa-apa pun yang mereka kata, saya enggan ambil peduli. Asalkan saya rasa sihat dan selesa, itu lebih penting.”
Mengintai media sosial Cinta Laura… memang jelas terpapar gaya hidup sihat yang diamalkannya selain gemar menghabiskan masa di gim dan mengikuti kelas tarian. Jadi, tak hairanlah dia mampu memiliki bentuk tubuh ideal. Kalau komited, tidak mustahil anda pun boleh mendapatkan tubuh idaman.
Ads
Dengan kecantikan dan bakat Cinta Laura, ramai rakyat Indonesia yang mahu selebriti ini menyertai pencarian Puteri Indonesia 2020 namun hasrat itu ditolak secara baik. “Macam tak adil kalau saya tak segera umumkan bahawa pada tahun 2020, saya tak akan mengikuti pemilihan Puteri Indonesia.
Saya sangat terharu kerana anda mempercayai bakat saya. Tapi saya yakin di luar sana masih banyak wanita Indonesia yang boleh mewakili saya di Miss Universe. Seperti yang pernah saya katakan dulu bahawa saya akan buat Indonesia bangga dengan caraku sendiri,” tegasnya yang membintangi filem seram terbaru Indonesia, Mati Anak.
Kredit: Instagram Cinta Laura
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kulit tumit yang kering dan pecah-pecah bukan sahaja tidak cantik dipandang, malah membuatkan kita rasa tidak selesa. Dahlah keras, kadang-kadang sakit pun ada kalau dibiarkan. Sebenarnya ia kerap berlaku kerana kebiasaan kita sendiri, antaranya sebab tidak memakai alas kaki dalam rumah, kaki kesejukan atau kering.
Nah, sudah masanya untuk beri tumpuan pada kulit tumit sepertimana anda membelai kulit wajah. Ayuh semak 8 kebiasaan harian ini yang mungkin pemicu masalah tumit merekah.
#1. Kehamilan
Bukan salah kehamilan, tapi mungkin pertambahan berat badan ketika fasa ini membuatkan tekanan pada kaki bertambah. Ibu hamil sepatutnya tidak berdiri terlalu lama bagi menjaga kesihatan, selain menjaga kulit tumit agar tidak pecah-pecah.
#2. Makanan kurang berkhasiat
Selain memberi impak negatif pada kesihatan, mengambil makanan yang kurang berzat atau kurang nutrisi seperti kalsium, zat besi, vitamin E dan Omega-3 boleh menjadi punca tumit pecah dan merekah. Jadi amalkan pemakanan seimbang.
#3. Memakai kasut yang salah
Memakai kasut yang tidak sesuai bukan hanya menjejaskan keselesaan dan kulit tumit, malah postur tubuh anda. Beberapa jenis kasut seperti sandal terbuka dan kasut tinggi amat tidak digalakkan untuk mereka yang telah mengalami masalah ini.
#4. Berdiri terlalu lama
Menurut The Health Site, berdiri terlalu lama akan meningkatkan risiko tumit pecah meskipun anda memakai kasut. Ini disebabkan tekanan di bahagian bawah badan yang memicu keretakan tumit.
#5. Masalah kesihatan
Apabila tubuh berpenyakit, kesihatan kulit pun akan terjejas. Antara masalah kesihatan yang mendorong tumit pecah adalah diabetes, radang sendi, psoriasis dan obesiti. Maka, rawat kesihatan agar kulit anda kembali sihat semula.
#6. Peningkatan usia
Seiring bertambahnya usia, kulit tumit orang dewasa juga dengan mudah mengalami keretakan. Oleh itu, tak hairanlah tumit kaki pecah lebih kerap dialami oleh golongan berusia. Postur tubuh yang salah juga boleh menjadi penyebab keretakan tumit kaki. Postur bongkok akan memberi tekanan berlebihan di bahagian bawah tubuh.
#7. Berkaki ayam
Kebiasaan berkaki ayam di dalam rumah boleh memburukkan keadaan tumit kaki. Ini kerana tumit rentan memijak lantai jubin, terkena debu atau air yang boleh menyebabkan kesihatan kulit kaki bertambah buruk.
#8. Bahan kimia
Kaki yang terdedah terlalu lama dalam air, sabun mahupun detergen akan menghilangkan lembapan semula jadi kulit. Bahan kimia yang terdapat dalam produk ini akan mengeringkan kulit, sekaligus menyebabkan tumit merekah.
PETUA ATASI
Memandangkan cuti Hari Wilayah pada 1 Februari ini menjelang tiba, boleh manfaatkan cuti dengan membuat perawatan mudah ini di rumah.
1. Sapukan losen atau krim pelembap khas untuk merawat kulit tumit. Sebaiknya sapu dengan kerap setiap hari dan pakai stokin sewaktu tidur.
2. Ambil beberapa biji buah belimbing buluh dan lenyek kasar. Kemudian, gosokkan pada tumit perlahan-lahan selama beberapa minit. Amalkan selalu untuk kesan yang terbaik.
3. Rendam kaki anda dalam air suam yang dicampur dengan perahan lemon dan garam. Boleh juga gantikan garam dengan serbuk penaik.
4. Sediakan beberapa keping asam keping. Campurkan dalam sebesen air suam dan rendam kaki selama 30 minit. Lakukan setiap malam. Boleh juga lumurkan kaki dengan asam jawa dan rendamkan kaki dalam air suam untuk membilasnya.
5. Selain losen dan pelembap, anda boleh menggunakan minyak yang sesuai seperti minyak zaitun, minyak kelapa atau minyak badam. Penggunaan minyak ini akan meresap jauh ke dalam kulit dan sekali gus membantu meningkatkan kelembapan serta merawat rekahan.
6. Minum air secukupnya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Cuaca panas yang dijangka berlarutan sehingga Mac ini pastinya merisaukan. Bukan saja kesihatan anak-anak perlu diperhatikan, paling penting kesihatan diri sendiri. Kita cuba solusi mudah agar anda tidak mudah jatuh sakit.
Buah-buahan dan sayur-sayuran
Kekurangan buah dan sayur-sayuran boleh mengakibatkan anda mudah letih, lesu, lemah, dan wajah menjadi pucat. Buah dan sayur-sayuran adalah sumber pelbagai mineral dan vitamin bagi tubuh. Tubuh memerlukan 45 zat gizi setiap hari.
Semakin banyak buah-buahan dan sayuran yang di ambil, semakin kuat tubuh anda melawan penyakit kerana ia mengandungi segala vitamin yang diperlukan tubuh:
Epal
Epal mengandungi vitamin A, B1, B2, B3, B5, B6, B9 dan vitamin C. ia juga mengandungi kalsium, magnesium, potassium dan zat besi. Serat yang terkandung pada epal juga sesuai untuk anda yang sedang diet!
Pisang
Pisang banyak mengandungi vitamin A. Pisang yang mudah dicerna menjadi sumber tenaga yang cepat dan baik, sesuai untuk anda yang berasa lesu di saat-saat cuaca panas ini. Malah pisang juga membantu menghilangkan rasa letih selepas seharian bekerja.
Betik
Betik juga mempunyai vitamin A. Selain buah dan daunnya, biji betik juga membantu menyembuhkan masalah pencernaan. Kandungan antiseptiknya membantu menjaga system pencernaan dari bakteria.
Tomato
Tomato kaya dengan antioksidan dan vitamin C, dan ia mengandungi phytochemicals seperti lycopene.
Tembikai
Buah tembikai adalah hero untuk hidrasi. Cecair yang terkandung di dalam buah tembikai adalah sesuatu yang amat anda perlukan di saat terik matahari membakar kulit. Lycopene yang terkandung dalam buah tembikai melindungi sel kulit dari bahang matahari. Dan tembikai juga membuatkan anda berasa kenyang, berita baik untuk anda yang berdiet.
Oren
Oren kaya dengan potassium, nutrien yang penting ketika musim panas. Anda kehilangan potassium melalui peluh, sehingga merisikokan menderita kejang otot. Oren mengandungi 80% air, cukuplah untuk tubuh anda rasa terhidrat.
Saderi
Saderi bukan saja sesuai untuk dijadikan jus saat cuaca panas begini malah ia juga sesuai untuk anda yang ingin mengurunkan berat badan tanpa membiarkan anda rasa terhidrat.
Salad
Sayuran berdaun hijau sangat bagus untuk badan. Bayam mentah (pilihan organik) dan kale yang mana tubuh anda akan mengubahnya menjadi vitamin A, melindungi kulit dari pancaran matahari. Kulit anda akan kekal segar dan lembap.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wanita dikatakan sebagai perhiasan dan pelengkap dalam sesebuah kehidupan. Kerana itu kaum wanita disarankan agar sentiasa tampil cantik, kemas, bersih serta berbau wangi. Namun semuanya dilakukan mestilah semata-mata untuk suami.
Inilah kelebihan kepada kaum wanita. Memperkemaskan diri, bersih dengan harum-haruman dan ia dilakukan untuk suami, dianggap sebagai suatu ibadah. Melakukan ibadah dengan penuh keikhlasan, pahala ganjarannya. Begitu mudah untuk wanita memperoleh pahala. Dan sebaliknya jika ia dilakukan bukan untuk suami, dan suami tidak menghalang, suami pula yang akan menanggung dosa tersebut.
Tetapi apabila disebut tentang penampilan, sepatutnya ia bukan hanya ditujukan kepada kaum wanita. Bahkan, lelaki juga disarankan agar sentiasa kemas, bersih dan wangi ketika di rumah. Namun apa yang berlaku, ramai lelaki yang tidak mempedulikan penampilan diri ketika di rumah atau ketika bersama isteri.
Di luar rumah, merekalah lelaki paling kacak dan begitu berkarisma. Tapi ketika di rumah penampilannya tak ubah seperti ‘pakcik-pakcik’. Saban hari dengan baju-T Pagoda lusuh dan kain pelekat atau seluar pendek lusuh tanpa berbaju. Rambut kusut masai dan badan berbau tengik kerana malas hendak membersihkan diri.
Dalam hal ini mungkin ada yang akan berkata, isterilah yang bertanggungjawab dalam menonjolkan imej suami. Memang betul! Tetapi jika penampilan di rumah pun perlu ditentukan oleh isteri, alahai … .
Kenyataannya, seperti mana lelaki yang sentiasa ingin melihat wanita atau isterinya cantik, demikian jugalah halnya dengan wanita. Mereka juga mempunyai citarasa. Sentiasa ingin melihat suaminya kemas, bersih dan wangi.
Kebersihan
Soal penampilan dan kebersihan diri adalah tuntutan agama. Ia adalah ibadah jika dilakukan dengan ikhlas dan bukan menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Tidak kira kepada kaum wanita atau pun lelaki. Soal penampilan mungkin tidak menjadi masalah. Kerana ia mudah difahami kerana ia boleh dilihat dengan mata kasar. Tetapi dalam soal kebersihan, ia terbahagi kepada dua. Bersih zahir dan bersih batin.
Kebersihan batin boleh dilakukan dengan membersihkan hati dari akhlak-akhlak yang keji, seperti sombong, riak, hasad, cinta keduniaan dan lain-lain. Juga dapat dilakukan dengan mengisi jiwa kita dengan budi pekerti yang terpuji, seperti tawaduk, mempunyai rasa malu, ikhlas, dermawan dan sebagainya.
Salah satu jalan untuk menyelamatkan diri kita dari akhlak-akhlak yang buruk agar memperoleh akhlak mulia telah disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin Juzuk yang ke 11.
Mungkin ada yang berkata, kebersihan batin saja yang boleh dilihat dengan mata kasar atau pun melalui deria bau. Sebenarnya kebersihan batin juga boleh dilihat dengan semua pancaindera. Ini kerana mereka yang bersih batinnya, di wajahnya akan terpancar ketulusan dan ketenangan. Kehadiran mereka sentiasa disenangi.
Kebersihan Zahir
Kebersihan zahir pula dapat diperoleh dengan meninggalkan segala yang bertentangan dengan agama dan menjalankan segala sesuatu yang sesuai dengan tuntutan syariat Islam. Barang siapa menghiasi anggota lahiriahnya dengan beramal soleh serta memperbaiki jiwanya dengan akhlak mulia, maka sempurnalah kebersihannya. Jika masih tidak mencapai kesempurnaan itu, tetapi masih berusaha menjalankan kebersihan itu, ia pun masih mendapatkan bahagian kesempurnaan. Sesuai dengan berapa banyak akhlak keji yang ia hindari dan berapa banyak amal soleh yang ia dilaksanakan .
Termasuk dalam kategori kebersihan zahir iaitu menghilangkan segala kotoran di dalam tubuh, bersuci dari hadas dan najis, menghilangkan bulu yang ada di ketiak, mencukur kumis serta memotong kuku. Makruh melambatkan membersihkan hal-hal yang tersebut hingga empat puluh hari. Kebersihan zahir yang lain iaitu menghilangkan kotoran yang ada di celah-celah dan lubang yang ada pada tubuh kita, membersihkan kotoran di mata, membuang kotoran yang ada di dalam hidung serta membersihkan gigi terutama ketika hendak menunaikan ibadah .
Selalu membersihkan pakaian yang kotor dan jangan menggunakan air secara berlebihan. Beberapa hal yang berhubung dengan kebersihan adalah meminyak janggut dan menyisirnya, juga sunat merapikan setiap rambut yang dipelihara. Disunatkan bercelak sebagaimana yang telah dilakukan Rasulullah SAW.
Wangi-Wangian
Gunakan pula wangi-wangian khususnya ketika hendak mendirikan solat Jumaat dan ketika menghadiri suatu majlis. Sesungguhnya Rasulullah SAW sangat suka menggunakan wangi-wangian, sampai kilauan minyak yang ada di kepala beliau terlihat dengan jelas. Hal itu ia lakukan agar umatnya dapat memakai wangi-wangian, tubuh beliau sudah harum bahkan ada sebahagian sahabat mengumpulkan keringat beliau untuk dijadikan wangi-wangian.
Aisyah berkata yang bermaksud,
“sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila meminyaki badannya, baginda akan memulai daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isterinya baginda meminyaki bagian lain tubuh Rasulullah s.a.w. ( Hadis Riwayat Ibnu Majah ).
Disunatkan bagi kaum lelaki menggunakan wangi-wangian, tetapi sebaliknya kaum wanita dilarang menggunakan kecuali ketika bersama dengan suaminya.
Berusaha
Kita dituntut memperbaharui wuduk setiap kali mengerjakan solat fardu. Berusaha untuk sentiasa suci dan berwuduk ketika berhadas, kerana wuduk adalah senjata mukmin. Apabila senjata sudah ada di tangan, musuh pun tidak akan berani mendekati kita.
Kekerapan mengambil wuduk akan membersihkan beberapa anggota badan. Di mana setiap mukmin pasti akan terhindar daripada kekotoran. Selain daripada itu, air wuduk yang membasahi wajah mampu menjadikan seseorang itu sentiasa berseri. Sehingga ada yang berkata, walau pun wajahnya tidak cantik, tetapi manisnya tetap ada.
Kita dituntut menunaikan solat dua rakaat setelah berwuduk. Jika tidak mampu, hendaklah bersuci dari hadas ketika memasuki masjid, membaca Al-Quran, berzikir dan lain-lain. Semasa berwuduk atau mandi, janganlah hanya melaksanakan yang fardu saja, sebaiknya tunaikan pula sunnah-sunnah dan adab-adabnya, sesuai dengan ajaran Rasulullah SAW.
Sesungguhnya, cantik, bersih dan wangi bukan hanya sebagai memenuhi sunnah Rasulullah SAW, tetapi juga akan menambahkan lagi kasih sayang dan keakraban pasangan suami isteri.ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!