Penyampaian dakwah melalui platform teknologi, terbukti menjadi magnet yang mampu menarik generasi masa kini agar lebih cintakan Islam. Inilah usaha wanita hebat yang bukan sahaja bergelar pendakwah dan penceramah bebas tetapi usahawan Muslimah yang disegani, Ustazah Asma’ Harun.
Ustazah Asma tiba ke lobi Concorde Hotel Shah Alam bersama suami, Ustaz Tengku Fazli Tengku Yahya. Wajah penerima Nona Motivator Award 2022 ini terlihat begitu bersih dan menenangkan, terasa betapa indah pertemuan ini diserikan dengan silaturrahim sambil kami berbalas khabar dan bertukar salam.
Meneliti senarai portfolio dan pengalaman kerjaya Ustazah Asma’ Harun pada usia 39 tahun, sesungguhnya cukup mengagumkan.
Anak jati Terengganu itu menetap di Seremban, dikurniakan 7 orang cahaya mata serta memiliki kelulusan Sarjana Pengajian Islam dari Open University Malaysia (OUM) dan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar di Mesir.
Dalam kesibukan berdakwah, Ustazah Asma’ sebenarnya banyak menulis buku. Antara karyanya adalah Sahabat Dunia Akhirat, Kembara Menuju Allah, Ada Syurga Di Rumahmu, Hijrahku Ini Sebenarnya Untuk Siapa dan Ensiklopedia Keluarga Bahagia.
Bakat mendidik itu barangkali diwarisi daripada ibu tercinta, Puan Fikriah Awang yang merupakan seorang guru fizik.
Ads
Tidak cukup dengan menulis, siapa sangka Ustazah Asma’ turut meneruskan minat bapanya, Ustaz Harun Ismail dalam bidang dakwah dan perniagaan.
Bahkan cucu kepada murabbi Ustaz Haji Awang Abu Bakar dan cicit Tok Guru Haji Abbas yang cukup disegani di Pantai Timur itu turut bergelar usahawan dengan menerajui pelbagai cabang perniagaan Muslim.
“Saya pernah digelar ‘Ustazah Ayam’ kerana pernah meniaga ayam masa awal berceramah dahulu. Setiap minggu suami akan berulang-alik ke Kedah untuk ambil stok ayam dan setiap kali ceramah, kami akan bawa ayam frozen untuk dijual.
Hanya suami dan keluarga sahaja yang tahu betapa mencabarnya keadaan kami waktu itu.
Ads
Niatnya adalah untuk membekalkan makanan yang diyakini halal kepada orang ramai, kebetulan ketika itu sedang hangat dengan isu haiwan yang disembelih tidak mengikut syariat.
Dari situ, alhamdulillah saya mula meningkat sedikit demi sedikit hingga kami berjaya tubuhkan sebuah NGO iaitu Sahabat Amal Care (SAC).” Ustazah Asma Harun
Bisnes ternakan lembu yang diusahakan
Di depan butiknya – Galeri Ustazah Asma’ Harun
KERJAYA
Sebelum meninggalkan jawatan tetap dalam kerajaan pada Ogos 2017, Ustazah Asma’ pernah dilantik sebagai Pegawai Hal Ehwal Agama Islam JAKIM, Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga Islam JHEAINS (Perunding Cara Rumah Tangga) dan Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS.
Ads
Dengan tekad dan nawaitu untuk terus memberi manfaat kepada ummah, Ustazah Asma’ kini merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hijrah Berhad, Pengasas Yayasan Al-Hijrah, Pengarah Urusan dan peneraju di syarikat-syarikat di bawah Kumpulan Hijrah Berhad serta Penaung NGO Sahabat Amal Care di Seremban, Negeri Sembilan.
“Sebelum meletak jawatan sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS pada tahun 2017, pada waktu itu saya telah pun mula terlibat dengan ceramah secara kecil-kecilan seperti usrah dan tazkirah di surau.
Kemudian saya ambil keputusan untuk berhenti kerja kerana ingin fokus pada dunia dakwah dan ceramah. Keputusan tersebut mendapat sokongan suami dan keluarga.
Namun, ujian dakwah tidak ringan dan memerlukan sokongan yang kuat daripada orang terdekat. Saya lalui ujian demi ujian, sehingga pernah mengalami masalah kewangan yang teruk dan ayah saya meninggal dunia sewaktu saya menyampaikan ceramah.” Ustazah Asma Harun
Baca artikel perjuangan dakwah bersama penerima Nona Motivator Award, Ustazah Asma’ Harun ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Konsep & Penata Gaya: Azniza Aziz
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Mimie Romyza
Lokasi: Concorde Hotel Shah Alam
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memang terinspirasi dengan gaya hidup bilionair termuda dunia kelahiran Norway, Alexandra Andresen ini. Menjangkau usia 26 tahun pada 23 Julai ini, anak bongsu daripada dua beradik ini seorang yang cukup sederhana. Kalau tengok kehidupan Alexandra dan tidak tahu status dirinya, pasti ramai yang anggap dia seperti orang kebanyakan.
Hakikatnya, Alexandra Gamlemshaug Andersen merupakan pewaris empayar syarikat pelaburan Ferd iaitu salah sebuah syarikat swasta terbesar di Norway yang menyediakan dana lindung nilai dan pelabur aktif di bursa saham negara-negara Nordik.
Nama Alexandra mula menarik tumpuan dunia apabila dia merangkul gelaran bilionair termuda dunia ketika berusia 19 tahun pada 2016. Malah, Alexandra mengungguli kedudukan bilionair termuda dalam senarai Forbes selama tiga tahun berturut-turut.
Alexandra mempunyai seorang kakak iaitu Katharina yang berbeza umur setahun dan mereka mewarisi 42 peratus saham di Ferd. Ketika ini, kekayaan yang dimiliki Alexandra mencecah sehingga 1.3 bilion Dolar Amerika atau bersamaan RM5.74 bilion. Sekaligus menduduki tangga ke-2295 senarai bilionair dunia.
Meskipun mempunyai wang yang banyak untuk membeli barangan fesyen, aksesori perhiasan diri dan kereta mewah, Alexandra memilih untuk hidup secara sederhana. Meninjau media sosial wanita ini, tidak kelihatan beg tangan atau pakaian label mewah yang digayakan.
Sebaliknya dia lebih gemar berkongsi aktiviti riadah dan meluangkan masa bersama insan tersayang.
Sebelum ini, Alexandra merupakan atlet ekuestrian dan pernah menjuarai Junior Norway sebanyak tiga kali dalam acara dressage.
Pasangan Johan Andersen Jr dan Kristin ternyata bijak membentuk peribadi kedua-dua anak mereka. Kongsi kakak Alexandra dalam satu temu bual, ibu bapa mereka mendidik anak-anak agar tidak terlalu menonjolkan kemewahan dan boros terutama dalam soal pembelian kenderaan.
“Ayah mempunyai peraturan di mana kami boleh membeli kereta yang diidamkan tetapi ia mestilah yanbg terpakai.”
Sementara itu, Alexandra yang ditemu bual pada tahun 2014 pula memberitahu, “Saya sebenarnya berjimat sepanjang masa dan menyimpan wang yang saya peroleh sama ada elaun mingguan daripada ibu bapa, wang tunai kemenangan pertandingan ekuestrian atau wang hadiah pada hari lahir.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kejayaan usahawan kosmetik terkenal tanah air atau lebih dikenali sebagai Kak Ton ini nyata bukan calang-calang. Pasti ada keunikan dan tarikan tersendiri yang dimiliki wanita hebat ini hingga berjaya membuatkan perniagaannya kekal bertahan dalam industri selama hampir dua dekad. Bukan tempoh yang singkat tu!
Apatah lagi dengan persaingan bermacam-macam produk kosmetik yang dijual di pasaran ketika ini. Nona percaya, kalau barangan tersebut berkualiti… sudah tentu ia akan terus mendapat permintaan ramai.
Sejak kemunculan Kak Ton sekitar tahun 2002, tagline popularnya ‘Comel Tak Kak Ton’ masih diingati hingga sekarang. Hampir 18 tahun mengemudi perniagaan dan mencipta legasinya sendiri, Kak Ton atau nama sebenarnya Dr Zaiton Hassan merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Pravenus Beauty Sdn Bhd.
Beberapa tahun menyepi dari industri, figura hebat berkenaan kini kembali aktif mengembangkan legasi. Tanggal 1 Disember lepas merupakan ulang tahun kelahiran Kak Ton yang ke-62! Tak sangka, Kak Ton masih tampil awet muda meskipun sudah meniti usia awal 60an.
Baik secara dalam talian mahupun jualan terus, Kak Ton tidak menang tangan menguruskan tempahan pelanggan setia. Mengimbas kembali pembabitan Kak Ton sebagai usahawan kosmetik, dia mengakui antara jenama kosmetik yang berada pada era sepertinya kira-kira 18 tahun lalu termasuklah Sendayu Tinggi yang diasaskan Bonda Rozita dan Nouvelle Visage milik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya.
“Tahun 2002 saya buat White Pearl dan tahun 2010 pula saya fokus buat Umar dan Beauty Umaira. Nak berniaga ni bukan tengok orang lain buat 10 jenis, kita nak buat juga. Kualiti kena jaga begitu juga keikhlasan berniaga sebab saya tak nak esok-esok mati benda ni ‘berat’. Seperti mana saya selalu pesan dekat anak saya, Nadia Annuar… mimpi biar tinggi yang penting kita kena capai. Mimpilah setinggi mana pun tapi jangan duduk sahaja. Kena pegang mimpi tu.
Kak Ton & anaknya, Nadia Annuar ketika fotografi bersama Nona
Bila kita berniaga, ikhlas dan jujur sangat penting. Keselamatan orang awam juga sangat penting. Biar kalau makan selamat dan jangan ambil mudah. Selain itu, kita kena jaga diri dan kesihatan untuk terus beramal ibadah kepada Allah SWT. Memang ujian itu datang dalam macam-macam cara. Saya sendiri pun ada ujian yang tak boleh cerita dengan orang. Cuma apa yang boleh saya cakap, kita terima ujian tersebut dan reda.
Dalam merancang pemasaran dan memastikan produk keluarannya dijamin selamat, Kak Ton turut tidak alpa terhadap tanggungjawab sebagai seorang hamba Yang Maha Esa. Semakin banyak rezeki dan kejayaan yang diperoleh, semakin banyak amal ibadah yang dilakukan. Enggan riak dalam menjaga hubungan dengan Allah SWT, Kak Ton sebaliknya menjelaskan amalan tersebut telah lama dilakukan sejak berpuluh-puluh tahun lepas.
“Dah berpuluh tahun saya buat solat sunat. Bila dah berjaya dan sampai peringkat yang kita mahu, saya akan pastikan saya buat solat Tahajud 4 pagi. Diikuti solat Subuh, solat Tasbih, sampai ke solat Dhuha. Baru saya tidur balik dan bangun pukul 11 pagi,” ujarnya.
Mendengar pengakuan ibu tersayang, Nadia Annuar yang berada di sisi turut menyusun bicara. “Saya sebagai saksi semua perubahan yang mummy alami dalam hidup dia. Sebelum ini, iya… memang mummy mengamalkan. Tapi selepas berjaya, semakin banyak mummy amalkan sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT.
Kredit foto: Instagram Kak Ton & Nadia Annuar
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Datin Adzliana atau mesra dengan panggilan Datin Nana merupakan seorang wanita berdedikasi dan memiliki misi yang jelas untuk memartabatkan kaum wanita dalam arena keusahawanan. Lahir dalam keluarga yang mempunyai empayar niaga sendiri nyata bukan tiket mudah bagi figura ini untuk hidup bersenang-lenang.
Sebaliknya, beliau dididik mempelajari selok-belok ilmu perniagaan bermula dari bawah. Ini dibuktikan apabila Datin Nana pernah menjadi salah seorang pekerja di syarikat ayahnya sejurus tamat pengajian pada tahun 2006.
“Saya didedahkan kepada bidang keusahawanan oleh arwah ayah saya sebaik tamat pengajian. Minat itu memang ada dan peluang yang diberikan oleh ayah untuk meneruskan perniagaan keluarga, secara tidak langsung menguatkan lagi semangat saya di dalam perniagaan.
Pun begitu, langkah saya bukan mudah kerana ayah mahu saya bermula dari bawah.
Percaya atau tidak, saya bermula sebagai kerani walaupun syarikat itu ayah punya. Semua kerja ayah beri kepada saya untuk saya mahir dan tahu selok-belok pengurusan di peringkat bawahan. Ketika menjadi kerani pada masa itu, saya juga tak terlepas dalam duty roster membersihkan pejabat dan tea lady.
Ayah saya mengusahakan sebuah syarikat keselamatan. Habis belajar, saya ingat saya akan bekerja sebagai pekerja human resource (HR) atau bahagian akaun sebaliknya ayah letak saya sebagai kerani. Saya dibayar gaji kerani dan duduk bekerja dengan dua ke tiga orang lagi staf di bahagian itu.
Sebagai kerani, saya kena isi segala maklumat berkaitan klien dan uruskan all the documents. Di samping banyak berurusan dengan pihak kerajaan dan korporat. Ayah kata saya perlu belajar dan memahami perniagaan yang dilakukan. Dari situ saya mula belajar dari bawah dan alhamdulillah sekarang saya mampu kelolakan syarikat sendiri.
Saya sangat berterima kasih kepada ayah yang meletakkan saya belajar dari bawah kerana kejayaan itu hendaklah bermula dengan kesusahan dan usaha yang tinggi untuk berjaya. Terima kasih Abah untuk segalanya,” telus graduan Ijazah Perniagaan Antarabangsa dari Multimedia University ini.
Mengulas lanjut pembabitannya dalam dunia keusahawanan, Datin Nana tanpa berselindung mengakui kagum dengan kepimpinan ayah tersayang dan menjadi sumber inspirasi buat beliau selama ini.
“Mentor saya semestinya arwah ayah, Prof Dato’ Sri Dr Hasan Yusoff yang membawa dan mengajar saya tentang dunia perniagaan. Saya kagum dengan beliau yang asalnya merupakan bekas Ketua Polis tetapi mampu menjalankan perniagaan.
Malah perniagaan ini berjaya sehingga menjadi empayar buat keluarga kami. Semangat dan hala tuju arwah ayah yang agak lewat memulakan perniagaan menjadi inspirasi dan saya benar-benar kagum kerana beliau berjaya mengharungi cabaran dalam perniagaan di bidang keselamatan dan beberapa bidang yang lain.
Sebab ini jugalah yang membuatkan saya rasa bertanggungjawab untuk menjadi usahawan. Seterusnya mentadbir dan menguruskan perniagaan keluarga serta berusaha mengembangkan perniagaan hingga ke hari ini,” telus Ketua Pegawai Eksekutif USANITA Sdn Bhd ini yang nekad membantu usahawan B40 dan M40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seperti yang dinanti-nantikan, majlis pernikahan Erra Fazira dan Mohamad Ezwan Mohamad Zain atau Mr E berlangsung penuh indah pada tanggal 12 Disember 2025. Mengambil keberkatan Hari Jumaat, pasangan ini selamat disatukan sebagai suami isteri sekitar jam 9.19 pagi tadi.