Pelakon yang juga usahawan selebriti dan bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-6, Ika Nabella telah berkongsi pengalamannya sepanjang berada di tanah suci Mekah kerana menunaikan umrah. Tanpa ditemani suami dan anak, Ika Nabella menunaikan ibadah tersebut bersama sahabatnya.
Seronok melihat pengalaman yang dikongsi oleh Ika Nabella sepanjang dirinya di sana. Sambil beribadah dapatlah mengabadikan momen-momen terindah di tempat-tempat bersejarah yang mungkin tak semua orang berpeluang untuk jejak. Rezeki masing-masing, lambat atau cepat saja.
Namun di sebalik kegembiraan itu, Ika Nabella telah diuji dengan satu pengalaman yang mungkin tak dapat dilupakan. “Salah satu pengalaman indah di Tanah Haram”. Tulisnya di ruangan kapsyen Instagram.
Menurut Ika Nabella, beg duitnya hilang ketika tawaf di Masjidil Haram namun redha dengan apa yang terjadi.
“Allah Sayang!”
Ahad lepas bag duit saya hilang ketika tawaf di Masjidil Haram. Saya tak risau pun, redha seredhanya faham bukan rezeki.
Tapi dalam senyum redha sempat bagitahu suami @zaidbowie”
Sayang.. kalaulah I jumpa balik cards I tu pun jadi la kan..? Heheheh
Ada hehehe sebab sedar diri ni jahil ada hati nak minta Allah tunaikan yang tak logik..I bagitahu juga dekat kawan I @mimieharis & para Ustazah teman sebilik sambil sengeh macam kerang busuk.
Ads
Ishhh kalau jumpa balik cards tu pun jadi laaaaa duit tu takpa redha bukan rezeki Ika, renyah betul nak buat-buat balik nanti hehehehe
Ustazah Fadzilah (teman sebilik) ada kata “Kalau ikut logik memang susah tapi tidak mustahil bagi Allah.
Dalam hati tetap rasa nothing is impossible when it comes to Allah.. Kun Faya Kun.. Allah Maha Adil, Adil buat tiap umatNya.
Waktu doa sungguh-sungguh buat solat taubat..
40x La Ila Ha Illa Anta Subhanaka Inni Kuntum Minadzolimin dalam sujud & 100x Astaghfirullah selepas bagi salam dengan harapan.
Ads
“Allah aku nak minta lagi ni.. aku tahu aku muka tak malu asyik minta ja ni tapi aku hambaMu yang hina tiada lain yang aku boleh minta hanya padaMu Ya Allah..”
Hari ini.. setelah tiba di Malaysia ratusan DM contact saya, suami saya, sahabat-sahabat saya, adik saya, staff saya maklumkan tentang cards2 saya yang telah dijumpai bersusun elok di pintu masuk King Abdul Aziz Masjdil Haram.
Jutaan terima kasih semua sudi cari Ika .. buat Aunt Anjar & anaknya Ain, moga Allah balas sebaik baik ganjaran. MashaAllah baiknya kalian.
Puan Sri Normala Samsudin, 58, yang terkenal dengan gelaran ‘Wanita Melayu Terakhir’ kini bahagia menjalani kehidupan peribadi membawa status isteri kepada bekas ahli politik, Tan Sri Azmi Khalid.
Siapa pun dirinya kini, Puan Sri Normala sentiasa menyantuni ibu yang kini berusia 85 tahun. Baginya doa dan restu ibu amat penting dalam kehidupan seorang anak. Seronok melihat keakraban Datin Sri Normala dan ibunya yang dipanggil ‘Mak’.
“Ketika kecil saya sudah merasa hidup susah. Hidup membantu keluarga, melihat bagaimana Mak yang bergelar ibu tunggal mencari wang demi keluarga.
“Saya melihat Mak seorang yang sangat kuat. Macam-macam usaha yang dilakukan Mak demi mencari sesuap nasi antaranya dengan menoreh getah, berkebun dan sebagainya.
“Semua kerja-kerja orang perempuan saya dah belajar sejak kecil. Dalam erti kata lain persediaan saya untuk menjadi seorang isteri seperti memasak dan melakukan kerja-kerja rumah sudah dididik oleh ibu sejak awal lagi.
“Saya kagum dengan Mak kerana semangatnya yang luar biasa telah menjadikan siapa saya sekarang ini.”
PEREMPUAN KENA RAJIN KE DAPUR
“Bagi saya orang perempuan perlu ada usaha untuk belajar memasak. Sedap atau tidak itu bukan perkara utama. Apa yang penting adalah usaha dan sentiasa praktis walaupun tak pernah pegang senduk.
“Saya sendiri sejak usia 9 tahun sudah pandai memasak. Sebagai anak sulung pagi-pagi lagi saya sudah ke dapur untuk masak cekodok dan lempeng pisang.
“Saya dan adik perempuan memang diajar untuk tahu memasak sejak kecil. Bukan hanya belajar tanak nasi atas dapur kayu dan membuat kuih-kuih kampung bahkan kami juga belajar bagaimana cara nak kukur kelapa. Selain menoreh getah, ibu juga adalah penjual kuih-kuih kampung.
“Siang Mak menorah getah, malam pula sediakan bahan-bahan untuk buat kuih. Sebelum Subuh kuih dah siap untuk dihantar kepada penjual. Walaupun untung tak besar namun dapatlah juga beli baju sekolah dan pensil.
“Lagi pun niat saya bantu Mak buat kuih nak cari duit belanja sekolah. Lama-lama jadi seronok pula bila dapat upah bantu buat kuih. Hasilnya, kita menjadi anak-anak yang sentiasa ingat kesusahan orang tua yang membesarkan kita.”
NASIHAT
Doa ibu sangat penting kepada anak-anak. Saya sering mengingatkan anak-anak perempuan tentang tanggungjawab sebagai isteri. Dalam rumahtangga perlu banyak bersabar dan berkompromi.
“Walaupun adakalanya kita rasa kita betul tetapi cuba bercakap secara baik dengan suami. Kalau di tempat kerja kita seorang ketua, di rumah kita tetap seorang isteri dan ibu. Sentiasa berdoa agar suami mudah lembut hati.
“Sebagai wanita juga kita perlu bekerja. Jangan terlalu bergantung kepada duit suami terutama pada zaman sekarang. Harus ada prinsip ‘saya perlu bekerja’. Maka, setiap anak perlu dididik dengan pelajaran. Sekurang-kurangnya dengan adanya ilmu mereka tahu untuk handle kehidupan yang kian mencabar.
“Sekarang ini saya banyak menguruskan kerja-kerja di rumah termasuk berkebun seperti menanam ulam ulaman, pokok pisang, pokok rambutan dan sebagainya. Memandangkan anak-anak pun dah besar maka masa saya lebih banyak di Perlis. Selain itu, saya juga aktif dengan aktiviti hiking.”
Kredit Foto: Instagram @normalasamsudinofficial
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anakanda sulung Perdana Menteri ketujuh ini sempat berkongsi bingkisan indah bersama keluarga tercintanya buat pembaca NONA. Di usia 61 tahun, rupa paras isteri kepada Tara Sosrowardoyo dan ibu kepada tiga cahaya mata, Ineza Roussille, Haga Tara dan Shaista Mayada itu masih manis rupawan dengan karakter seorang feminis yang pintar.
Terus saja persoalan tentang watak ibu bapanya di rumah diajukan, lantas disambut dengan senyuman lebar oleh Datin Marina. “Secara jujur, saya melihat kedua orang tua saya sebagai pasangan yang paling ideal di dunia. Mereka seperti ditakdirkan bersama. Amat mesra dan saling melengkapkan antara satu sama lain. Meskipun kedua-duanya tidak ekspresif melahirkan rasa cinta, namun ia terserlah melalui perbuatan dan pandangan mata. Saya juga kenal perangai Ayah saya yang sangat bergantung pada Mak. Kalau ada sesuatu yang mengganggu fikirannya atau waktu dia menjalani rawatan di hospital dahulu, hanya isterinya yang dimahukan untuk berada di sisi.
Semasa kami semua membesar di Alor Setar, Ayah seorang yang garang dan tidak banyak bercakap. Kalau kami tak pergi ke sekolah, macam buat satu dosa besar bagi dia. Saya juga pernah teruk dicubit dan dimarahi apabila tukang kebun kami mengadu saya menjelir lidah kepadanya. Berkali-kali Ayah tekankan betapa pentingnya sikap tertib dan adab sopan terhadap orang lain. Itulah yang saya pegang dan menjadi prinsip hidup sampai sekarang,” cerita wanita yang mesra disapa sebagai Marina itu kepada penulis.
Tun Dr. Siti Hasmah pula, akui Marina turut bersikap tegas kerana beliaulah yang menguruskan semua hal berkaitan pendidikan anak-anak. “Dia memang lemah lembut dan mesra dengan semua orang. Tapi sewaktu kami kecil, dia seorang enforcer kerana mahu melihat kami semua berjaya. Sekarang tidak lagi. Mak merupakan individu paling rajin untuk mengatur percutian keluarga dan dialah yang sentiasa membuatkan kami sekeluarga berhubung antara satu sama lain.
Kami selalu dididik bahawa hajat tak akan tertunai tanpa usaha. Dalam dunia ni tak ada yang percuma. Semua orang mesti bekerja untuk mendapatkan hasilnya. Mereka juga selalu berpesan bahawa pendidikan itu sangat penting. Tak kisahlah kami mahu kerja apa nanti asalkan mesti habis belajar. Kerana tidak dipaksa, maka tak ada seorang pun di antara kami yang mengikut jejak langkah mereka dalam bidang perubatan. Mujurlah sekarang ada dua anak saudara yang menunjukkan minat sebagai doktor,” kata Datin Marina dengan mesra.
Kesibukan sentiasa menjadi halangan buat pemilik syarikat Mosaique Communication ini dan adik-beradik yang lain untuk selalu berjumpa ibu bapa di rumah. Sesekali tiba peluang berkumpul, itulah masanya untuk update hal keluarga masing-masing. “Percaya tak, kadang-kadang saya kena baca akhbar untuk tahu Mak dan Ayah berada di mana! Hakikatnya memang mereka berdua sibuk dengan pelbagai aktiviti di merata-rata tempat. Sebagai anak Perdana Menteri, kami dah biasa dengan situasi ini. Cuma kini agak risau kerana mereka sudah tua dan perlu banyak berehat.
Ayah sudah biasa bekerja. Sebenarnya kami sekeluarga sudah puas memujuk namun Ayah masih sayangkan perjuangannya. Sampai ke satu tahap, kami jadi putus asa. Selagi dia masih sihat, okaylah. Cuma jauh di sudut hati saya sangat kesian melihat Ayah kerana umurnya yang sudah meningkat,” kata Datin Marina dalam nada tertahan.
Tatkala Datin Marina atau ahli keluarganya yang lain dilemparkan pelbagai tohmahan, mereka sekeluarga mengambil inisiatif untuk saling menyokong satu sama lain. “Saya selalu menerima kritikan negatif tapi alhamdulilah semuanya diuruskan sendiri tanpa melibatkan Ayah atau sesiapa. Mungkin berkat pengalaman di bidang perhubungan awam dulu, saya jadi immune. Saya tak kisah apa orang nak kata. Mereka tak kenal saya tapi menilai dari media sosial saja. Di media sosial, golongan yang menghentam itu memang nampak hero tapi belum tentu mereka berani berdepan saya. Kita semua sama. Yang menghisab cuma Dia.”
Kini meskipun tidak lagi aktif dalam persatuan, kebanyakan masa Datin Marina masih lagi padat dengan pelbagai program seperti jemputan memberi ceramah di sektor korporat, universiti dan sekolah. Beliau juga masih memikul tugas ahli lembaga Yayasan Maybank dan ahli Asian University for Women (AUW) yang berpangkalan di Chittagong, Bangladesh.
Daripada pandangan mata penulis, sumbangan Datin Marina teramat besar dalam memperjuangkan hak asasi wanita. Beliau lantang menyuarakan pendapatnya walau ada kalanya disanggah beberapa pihak. Sebagai bekas Presiden Majlis AIDS Malaysia juga, Datin Marina giat membela nasib mangsa HIV/AIDS serta terkenal melalui Sisters In Islam kerana memperjuangkan keadilan serta menuntut kesaksamaan bagi wanita Islam
MERIAH
Ceritera Ramadan menyapa perbualan penulis yang seterusnya dengan Marina. Dibesarkan dengan gaya orang Kedah, Datin Marina sekeluarga biasanya akan mula berbuka dengan hidangan ringan seperti kuih-muih dahulu, sebelum bersolat Maghrib dan bersambung semula dengan menjamah nasi. “Amalan kami sama saja dengan keluarga lain. Saya sendiri berlatih berpuasa secara separuh hari. Sedikit demi sedikit, barulah pandai berpuasa sampai sehari dan alhamdulilah pada usia 8 tahun, sudah boleh berpuasa penuh di bulan Ramadan.
Bagi saya Ramadan adalah masa yang paling ideal untuk keluarga. Sambil itu juga, inilah masanya untuk merenung semula makna kebesaran bulan Ramadan dan to simplify our life. Kami sudah lama tak pergi berbuka puasa di hotel tapi cukuplah apa yang terhidang di atas meja saja. Inilah bulan yang paling quiet bagi saya, kurang bersosial, kurang marah-marah dan lebih masa untuk beribadah. Cukuplah menyibukkan diri pada bulan-bulan lain.
Sekarang bila keluarga dah bertambah besar dan ramai, kami sepakat adakan dua majlis wajib sewaktu bulan Ramadan. Semua ahli keluarga mesti berkumpul pada malam 1 Ramadan dan malam terakhir berpuasa. Masa inilah kami akan berbuka dan bertarawih sama-sama di rumah dengan keluarga,” imbau Datin Marina yang juga pernah menyambut Ramadan selama lima tahun di kota London.
Sewaktu negara di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir dulu, penulis teringat akan suasana meriah membuat persiapan raya sambil televisyen terpasang rancangan Perutusan Khas Aidilfitri daripada Perdana Menteri. Tatkala bercerita semula tentang kenangan itu kepada Datin Marina, beliau sebagai anak tentulah agaknya lebih teruja. Sambbil tertawa kecil. “Saya tidaklah sampai tertunggu-tunggu ucapan Ayah di depan TV. Bagi saya, itu biasa saja baginya yang sedang menjalankan tugas rasmi sebagai pemimpin.”
Mengakhiri perbualan ini, Datin Marina sempat berpesan kepada semua pembaca Nona agar jangan jemu menambah ilmu. “Pengetahuan adalah kuasa. Sebagai wanita, kita mesti tahu apa hak kita dan perkasakan diri dengan pengetahuan. Dengan itu kita lebih bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran atau kemungkinan yang mendatang,” katanya bersungguh-sungguh.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebutir bintang memancar sinar penuh pesona melimpahi alam semesta. Nama yang terus gah dalam industri hiburan tanahair dan semakin melakar nama melebarkan sayap perniagaannya. Saban tahun memberi impak luar biasa buat pelantun suara emas yang popular dengan lagu Kau Kekasihku ini.
Pengiktirafan dan penganuerahan yang diperoleh selayaknya menjadikan Dato’ Siti Nurhaliza Taruddin, 40 tahun, sebagai wanita inspirasi yang wajar diteladani buat wanita lain.
Hampir dua dekad memperjuangkan nasib sebagai anak seni nyata percaturan Dato’ Siti tidak pernah tersasar. Apa sahaja yang dirancang pasti berjalan dengan lancar.
Dedikasi dan kredibiliti Dato’ Siti dalam memartabatkan industri seni suara terus mendapat perhatian termasuk media luar negara sehingga mendapat pengiktirafan menerima anugerah Outstanding Singer of The Year McMillan Woods Global Awards 2016.
“Ini merupakan anugerah terbesar dan amat bermakna buat saya yang bergelar anak seni. Saya dimaklumkan belum ada artis Malaysia yang menerima anugerah untuk kategori ini.
Anugerah ini diberikan kepada saya atas pencapaian dalam bidang seni suara, selain berjaya menjadi penyanyi ikon yang diterima oleh semua lapisan masyarakat,” ungkap Dato’ Seri Siti.
Kewibawaan anak kelahiran Kuala Lipis ini dalam industri seni memang tidak perlu disangkal lagi. Namun, kini langkah yang diatur semakin deras melebarkan empayar perniagaan turut mendapat pengiktirafan.
Rangkaian kosmetik dan penjagaan diri SimplySiti miliknya telah diiktiraf sebagai Malaysia’s Strongest Brands Award 2016 untuk kategori produk kecantikan. “Bagi saya anugerah ini menjadi pemangkin dan pembakar semangat untuk terus membawa nama SimplySiti ke peringkat yang lebih jauh lagi,” katanya.
Perjuangan dalam dunia perniagaan tidak berhenti di situ sahaja malah terus melebarkan sayap perniagaan dalam dunia fesyen bersama Butik Creation By Siti Nurhaliza. Perkembangan globalisasi fesyen hijab turut menarik perhatian Dato’ Seri Siti untuk merancakkan lagi industri hijab ini.
“Memang sejak dari dahulu lagi saya bercita-cita mahu mempunyai koleksi label baju sendiri. Syukur kerana doa saya dimakbulkan apabila ditawar oleh pihak Jakel untuk memiliki jenama pakaian yang dikenali sebagai Creacion by Siti Nurhaliza. Creacion by Siti Nurhaliza ini mempertaruhkan baju berkonsep ready-to-wear yang trendy namun patuh syariah,” kongsinya.
Dato’ Seri Siti memang sentiasa bersederhana dalam pemilihan fesyen lebih-lebih lagi ketika bersantai. Koleksi ini turut menterjemah pesona dan perwatakannya pemilihan warna dan design.
Menampilkan koleksi polos dan bercorak dengan suntikan flora dan etnik. Kesemuanya direka ringkas namun masih tetap kelihatan menawan dan cantik digayakan tidak kira ke pejabat, majlis formal mahupun santai.
Apabila diajukan pertanyaan tentang bagaimana dia mengerti selok-belok mengatur perniagaan yang semakin berkembang itu, lantas jawabnya, “Memang sejak dari zaman sekolah saya sudah berniaga.
Membantu ibu menjual kuih suatu masa dahulu telah memberi pendidikan awal kepada saya tentang dunia perniagaan. Di syarikat, saya mempunyai tenaga kerja yang pakar dalam bidang masing-masing dan mereka banyak membantu saya meningkatkan produktiviti syarikat.
Saya juga mempunyai seorang guru dalam perniagaan ini iaitu suami sendiri. Selain itu, rakan-rakan seperti Datin Farah daripada Ariani turut sama membantu dan berbincang tentang selok-belok menguruskan perniagaan. Memang saya ada menyimpan hasrat untuk meningkatkan lagi ilmu dalam perniagaan tetapi menghadapi keterbatasan masa untuk melakukannya,” tutur Dato’ Seri Siti.
Peranan wanita sangat perlu untuk turut sama meningkatkan kemajuan negara. Dato’ Seri Siti juga tidak mahu ketinggalan untuk membantu wanita yang kurang berkemampuan. “Menerusi SimplySiti dan Creacion by Siti Nurhaliza boleh dijadikan platform dan membuka peluang pekerjaan kepada wanita. Mungkin dengan menyertai saya boleh mengubah taraf hidup kepada yang lebih baik.
Selain itu, saya turut melakukan CSR melalui Yayasan Nurjiwa dengan memberi bantuan kepada mereka yang terpilih terutamanya dalam bidang pendidikan. Pihak kami akan cuba membantu seadanya.
Saya lebih banyak menyertai kempen seperti Cegah Kanser Payu Dara dan AIDS. Pihak pengurusan SimplySiti juga pernah membantu 10 orang kanak-kanak yang mempunyai masalah jantung,” ungkap Dato’ Seri Siti penuh prihatin.
Menjadi seorang selebriti terkenal Dato’ Siti sejak dari awal lagi sudah bersedia apabila hak peribadinya menjadi bualan. “Apa yang dilalui saya tidak mahu letakkan diri atas apa andaian orang lain. Kehidupan saya sama seperti orang lain dan lebih memilih kesederhanaan. Apabila berada di atas pentas perlu mempersiapkan diri sebagai seorang penghibur. Apabila berada di rumah saya adalah seorang isteri dan ibu.
Selama hampir 20 tahun berdiri teguh di persada hiburan nyata kejayaan tidak akan datang bergolek. Menurut Dato’ Siti, apa yang dinikmati sekarang semua dilakukan melalui perancangan. Melalui Siti Nurhaliza Production (SNP) segala kerja seni dirangka oleh Kak Rozie. Dia merupakan tulang belakang selama ini. Biasanya jadual saya telah dirancang dua tahun lebih awal,” ujarnya.
Walaupun kehidupan Dato’ Siti boleh dikatakan sempurna namun sebagai insan biasa pasti terselit impian yang masih belum tercapai. Bersyukur dengan segala rencana yang telah ditentukan merupakan kunci bahagia. “Saya sentiasa positif dalam meneruskan kehidupan dan berusaha seterusnya memberi yang terbaik bukan sahaja untuk diri saya bahkan juga buat orang lain juga,” ungkapnya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!