“Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.”
Tersentuh membaca luahan hati seorang ibu, merindui seorang anak yang sudah tiada. Di sebalik senyuman dan raut wajah tenang penyanyi era 80an yang tersohor dengan lagu Rumah Kecil Tiang Seribu, Azian Mazwan Sapuwan tersimpan perasaan rindu yang tak tertanggung terhadap arwah anaknya, Mohammad Aqil Zulkarnain. Arwah maut kemalangan jalan raya sekitar Disember tahun lalu. Semestinya, rasa kehilangan itu adalah yang paling ‘sakit’ kerana kasih sayang seorang ibu tiada penghujungnya.
Gambar kenangan Azian bersama arwah Mohammad Aqil Zulkarnain.
Arwah Mohammad Aqil anak keempat daripada tujuh beradik. Biarpun Allah SWT meminjamkan Mohammad Aqil selama 20 tahun sahaja namun setiap kenangan bersama arwah tersemat kemas di sanubari Azian lebih-lebih lagi detik mengandungkan, melahirkan dan membesarkannya. Azian sekeluarga redha dengan takdir Ilahi dan yakin dengan hikmahnya. Kini genap 7 bulan pemergian arwah.
Jelas terlihat kuatnya semangat seorang ibu menghadapi kehidupan selepas ketiadaan arwah. Setiap anak memiliki sikap serta keistimewaan yang berbeza. Salah satu sikap arwah ialah ringan tulang dan suka membantu orang yang dalam kesusahan. Itulah yang dirindui oleh Azian.
Arwah Mohammad Aqil menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang selepas mengalami kemalangan motorsikal pada 22 November 2019. Ekoran kemalangan itu, Mohammad Aqil mengalami kecederaan dalaman yang serius sehingga terpaksa dibius untuk direhatkan bagi memulihkan hati serta limpanya.
Namun, setelah hampir sebulan dirawat serta berada dalam keadaan koma akhirnya Mohammad Aqil menemui ajal kira-kira pukul 11.30 pagi. Arwah turut meninggalkan seorang balu dan anak. Ketika meninggal dunia, arwah baru sahaja bergelar seorang bapa dan anaknya, Aryan Zahfran ketika itu baru berusia 11 hari.
Azian turut berkongsi di laman Instagramnya “Anakanda saya, Mohammad Aqil Zulkarnain telah kembali ke rahmatullah lebih kurang jam 11.30 pagi ini. Semoga roh Allahyarham anakanda ditempatkan dalam kalangan yang beriman. Ya Allah..kuatkan aku..” Ternyata, ibu yang berusia 45 tahun ini sangat tabah.
KONGSI DETIK TERAKHIR
“Pada siang hari kejadian, arwah ada datang makan tengah hari bersama kami sekeluarga. Arwah ada tegur saya, lama tak makan ayam memandangkan isterinya ketika itu masih dalam pantang. Saya kata petang nanti saya masakkan untuknya nasi ayam. Petang tu memang keraplah arwah datang. Dua minggu sebelum meninggal, arwah kerap bawa adiknya berjalan-jalan naik motor.
Ads
Saya selalu pesan kepadanya bawa motor baik-baik walaupun arwah memang bawa motor tak laju. Kadangkala saya ada juga terdetik rasa tak sedap hati bila berkata begitu. Takut terjatuh dan sebagainya. Malam sebelum kejadian, anak bongsu tiba-tiba demam dan menggigil. Dalam pukul 2 pagi saya mendapat panggilan daripada rakan arwah menyatakan dia kemalangan di Kajang dan terjatuh dari motor.
Anak ketiga (abang arwah) bergegas ke tempat kejadian dan menemainya menaiki ambulan. Ketika itu arwah masih sedar namun dalam keadaan kesakitan. Saya tak dapat pergi kerana kebetulan anak bongsu demam mengejut. Suami ke hospital untuk melihat keadaannya. Memandangkan arwah masih sedar ketika itu dia sempat bercerita bagaimana kemalangan boleh berlaku.
Menurut cerita, arwah keluar sebentar untuk berjumpa rakan memandangkan sudah lama dia tak keluar bertemu mereka sejak menjaga isterinya berpantang. Semasa dalam perjalanan tiba-tiba ada dua kereta dipandu laju sehingga arwah hilang kawalan. Arwah terpaksa brek mengejut lalu terjatuh.
Mulanya saya kurang percaya sebab setahu saya, sejak isterinya sarat mengandung arwah kerap memandu kereta dan sudah lama tak menunggang motor terutama luar dari Putrajaya. Apabila anak sulung berkongsi gambar kejadian barulah saya percaya. Keesokannya baru saya berpeluang ke hospital. Dari luaran kecederaannya sedikit sahaja. Cuma kecederaan dalamannya sahaja agak serius. Selepas dibedah arwah ‘ditidurkan’.
Ads
Arwah dipindahkan ke Hospital Selayang untuk tindakan susulan doktor pakar hati. Setiap hari saya akan ke sana walaupun arwah masih dalam ICU. Empat hari sebelum arwah pergi dia ada membuka mata. Fizikalnya juga semakin susut. Walaupun sedar tetapi arwah tidak mampu bercakap kerana masih lagi sakit dan terdapat banyak wayar di dalam mulut.
Hanya matanya sahaja mampu merenung ke arah saya. Dan setiap hari saya akan menyebut ‘Aqil, ini Mama..’ Terdetik juga, adakah dia buka mata hanya untuk seketika atau sebaliknya. Namun saya tetap positif dan yakin dia boleh sembuh. Anak sulung sentiasa berpesan agar kami terus berdoa kepada arwah. Setiap hari kami juga tidak lupa untuk mengaji di sisinya mohon kesembuhan.
“Setiap kali raya arwah mesti nak saya sediakan baju Melayu. Saya pernah mengusiknya, dah kahwin belilah sendiri. Dia kata baju Melayu nak Mama yang sediakan. Sebelum pemergiannya kami hanya berkesempatan bercakap tentang baju raya sahaja. Itulah permintaan terakhir arwah yang paling saya terkesan kerana tidak dapat sediakan tahun ini. Menurut isterinya juga arwah sudah belikan siap-siap baju dan barangan bayi yang bersaiz besar. Mungkin dia pun dah tahu yang dia akan ‘pergi’ buat selamanya.
Sejak berkahwin arwah juga menjadi seorang yang lebih mengambil berat dan bertanggungjawab. Tahun ini pertama kali kami menyambut Syawal tanpa arwah. Selalunya arwahlah yang banyak cakap dan suka buat ‘bising’ di rumah. Jadi, ketiadaannya tahun ini memang cukup terasa. Kebetulan juga ibu saya tak sihat sejak tahun lalu. Memang dugaan buat saya.
Ads
Kalau diikutkan pemergian arwah masih lagi baru. Selepas pemergian arwah, apa yang saya lakukan ialah motivasikan diri dengan bercakap kepada diri sendiri agar sentiasa positif dan menjadi lebih kuat. Sebagai seorang Islam juga saya tidak pernah putus berdoa dalam solat lima waktu. Saya juga sentiasa memastikan mendekatkan diri kepadaNya. Itulah penawar paling mujarab buat saya, jiwa akan lebih tenang.
Bohonglah kalau saya kata tidak merasa sedih dan menangis terutama ketika merasa rindu. Ada juga situasi yang mengingatkan saya terhadap arwah. Contohnya, ketika memasak atau buat sesuatu perkara saya akan terasa ada sesuatu yang kurang. Selalunya saya akan hantar pesanan Whatsapp kepada arwah untuk bertanya khabar. Sekurang-kurangnya sekali sehari.
Selepas berkahwin arwah tinggal bersama keluarga mertuanya. Anak-anak yang lain masih tinggal bersama kami kerana masih belajar. Sejak arwah tiada saya rasa sesuatu yang kosong terutama pada setiap hujung minggu di mana arwah akan datang ke rumah menjenguk kami sekeluarga. Untuk tidak terlalu memikirkan rasa sedih saya akan sibukkan diri di tempat kerja dan keluar bersama rakan-rakan.
Setiap petang saya sering ke kubur arwah. Saya memang mahu arwah dikebumikan di Putrajaya kerana saya mahu dekat dengannya dan hendak berjumpa dengannya setiap hari. Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.
HIKMAH
Sejak pemergian arwah sebenarnya banyak hikmah dan kebaikan yang datang. Banyak pengajaran yang kami dapat selain banyakkan bersedekah untuk arwah dan orang lain. Sumber kekuatan saya semestinya suami walaupun selepas kejadian dialah insan yang paling lemah walaupun luarannya nampak tenang.
Kami banyak berkongsi rasa kerana saya sendiri memerlukan sokongan yang kuat ketika meluahkan apa yang dirasa. Saya juga semakin rapat dengan anak perempuan kedua kerana saya sering berkongsi perasaan dengannya dan dia cukup faham dan matang dengan apa yang berlaku. Harapan saya agar kami sekeluarga tabah menghadapi kehidupan dan semakin akrab bersama,” akhiri Azian sebak. Al Fatihah (mohon dibacakan buat Allahyarham Mohammad Aqil Zulkarnain).
Kredit Foto: Instagram @azianmazwann
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wah, mewahnya pemberian Afzalizah Nizam Azizan sempena sambutan Hari Guru! Ternyata hadiah yang diberikan usahawan kosmetik Cubre Mi ini bukan calang-calang. Kalau kebiasaannya, kaum ibu menyediakan hadiah seperti alat tulis, tudung, makanan dan sebagainya untuk golongan guru anak-anak mereka. Lain pula bagi ibu jelita ini.
Bersandarkan status sebagai ahli perniagaan yang mencatat jualan cecah tujuh angka, tidak hairanlah Afzalizah mampu berkongsi rezeki dan menghadiahkan barangan Habib dan produk jenama Bawal Exclusive kepada guru-guru yang mendidik anak kesayangan.
Ada rezeki lebih, apa salahnya! Lagipun ia sebagai tanda penghargaan Afzalizah atau mesra disapa Liza ini kepada para pendidik yang telah mencurahkan bakti dan ilmu tanpa lelah kepada anak bangsa.
Usahawan Afzalizah Beri Hadiah Habib & Bawal Exclusive Sempena Hari Guru!
Menerusi perkongsian di Instagram, kelihatan Liza tekun menyiapkan set hadiah berkenaan.
Ujarnya, “Bila anak-anak tanya, ibu ‘Hari Guru nak bagi apa?’ So, I prepare for them. Selamat Hari Guru buat semua yang bergelar guru.”
Rata-rata followers setia memuji tindakan Liza yang memuliakan kerjaya seorang guru. Tidak kurang juga yang berseloroh mahu menjadi guru kepada anak-anaknya supaya turut berpeluang dapat hadiah mewah tersebut.
Mengimbas kembali perjalanan awal Liza menceburi bidang perniagaan, ibu tiga anak berkenaan pernah mendedahkan kepada Nona dia menggunakan modal RM10,000 hasil wang pencen arwah bapa sebagai pesara polis yang dipinjam daripada ibu tersayang untuk mengusahakan produk kosmetik Cubre Mi.
“Sebelum mengusahakan Cubre Mi saya tidak bekerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Tapi demi mahu membantu suami dan jana duit sendiri, saya berusaha mempelajari cara pengurusan perniagaan dan kewangan.”
Tambahnya lagi, “Untuk Cubre Mi dikenali dalam industri, saya boleh katakan ia tak terlalu cepat dan juga tak terlalu lambat. Namun dalam masa setahun kami berjaya raih pulangan tujuh angka.
Afzalizah merupakan isteri kepada Rahman Anong dan dikurniakan tiga orang cahaya mata lelaki. Moga kejayaan wanita cekal dan kebaikan yang dilakukan Liza menjadi inspirasi kepada khalayak untuk berjaya dalam hidup.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pengalaman membesarkan anak istimewa menguji kesabaran ibu bapa. Ibu bapa yang tidak sabar mungkin boleh ‘panas hati’ dengan kerenah anak-anak istimewa ini terutama ketika mereka sedang tantrum. Namun, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, hanya mereka yang membesarkan anak-anak istimewa ini sahaja yang faham jerih perih membesarkan anak istimewa.
Catriona Ross tidak segan silu berkongsi dengan umum bahawa anaknya adalah seorang kanak-kanak autisme. Walaupun pada mulanya sukar menerima hakikat tersebut namun kini perjuangan Catriona wajar dijadikan contoh. Bersempena kehadiran bulan April iaitu Bulan Kesedaran Austisme, Catriona telah mendedikasikan ucapan buat anak tersayangnya.
“My son Jammal Raess has Autism and he is currently non verbal. I was down and depressed untuk setahun yang pertama tetapi setelah bangkit, I realized I rasa lega sebab I selalu share tentang Jammal Raess secara terbuka dan keterbukaan itu somehow mengubati perit I.
Sebab Cat tidak berahsia atau menyembunyikan serta mengambil langkah untuk berkongsi as well as trying to inspire ibu bapa lain yang masih sangsi tentang keadaan anak mereka.
Autism bukanlah satu penyakit. It’s a spectrum. I am hoping to see more people know tentang Autism and harapnya parents tidak lagi rasa malu atau segan untuk berbincang tentang keadaan anak yang menghidapnya. Talk about it so you wil heal, talk about it so we could learn more. You are not alone, ok?
Happy World Autism Awareness Day everyone!!” kongsi Catriona.
“Sebagai selebriti yang dikenali dan mempunyai anak autisme, timbul rasa tanggungjawab untuk sama-sama tingkatkan kefahaman tentang anak autisme ini. Sebab itu daripada awal saya jujur dan beritahu kepada famili serta kongsi di laman sosial. Ini penting agar masyarakat sama-sama faham fasal autisme.
Saya berharap perkongsian ibu bapa lain yang tampil berani dan jujur untuk mendidik masyarakat tentang autisme. Ramai ibu bapa masih malu dan tak berani untuk berkongsi sebab malu pada anggapan masyarakat tapi, itu merugikan kita. Alangkah bagus jika kita kongsi dan berani bercerita dan sama-sama memberi inspirasi.
Masyarakat akan menuding dan menghakimi selagi mereka tidak faham. Itu tanggungjawab kita. Jadi mereka akan faham sekiranya berlaku meltdown di tempat awam, mereka juga akan dapat membantu kita jika perlu,” tutur Cat sambil mengusap lembut rambut anaknya.
Saya akan pastikan Raess boleh berdikari dan menguruskan dirinya sendiri. Itu objektif saya buat masa ini. Supaya dia dapat berdiri atas kaki sendiri. Anak-anak autisme ini kebiasaannya delay 3 tahun ke belakang berbanding anak tipikal. Jadi saya nak pastikan Raess boleh pakai baju, mandi dan memasak makanan diri sendiri. Jika semua ini teratur, lega sikit hati ini.
Saya akan study minat dia dan akan hantar ke sekolah vokasional atau ke pusat latihan buat anak-anak istimewa. Di sana ada berbagai latihan seperti housekeeping, mekanikal dan sebagainya. Tapi buat masa sekarang saya akan fokus kepada toilet training dan perkara-perkara asas saja dulu ini memandang dia baru berusia 6 tahun.
Alhamdulillah sekarang pun dia akan buka pakaian sendiri untuk bilik air. Apa pun segalanya kita tempuhi dengan sabar dan yang penting, jangan soal kenapa Allah SWT beri nasib sebegini. Tetapi kita lalui dengan yakin, apa cara terbaik untuk kita layari hidup kita. Tak perlu kita soal kenapa tapi, kita soal apa yang boleh kita lakukan,” ujar Cat yang wajar diangkat menjadi salah seorang wanita inspirasi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cantik manis, gemar tersenyum serta mudah terhibur itu antara pesona yang dimiliki oleh sumandak Sabah berusia 26 tahun ini. Jiejie atau nama sebenarnya Fauziah Abu Samat merupakan seorang usahawan yang sedang rancak membina nama dalam perniagaan produk kecantikan. Biarpun hanya berkelulusan SPM tetapi Jiejie seorang gadis yang berjiwa besar.
“sejak sekolah rendah lagi saya sudah terdedah dengan bisnes. saya selalu tolong Mak jual kuih, pusing satu kampung. Saya juga selalu ikut Mak menjual di pesta-pesta kaamatan atau pesta menuai di Sabah.
“Habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya pernah buka kedai tudung tapi laku. Selepas itu, saya bekerja di Kidzania dan sering ikut car booth sale, preloved sale di The School Jaya One serta menjual baju tidur di Live Facebook. Kiranya saya bekerja sambil berniaga.
Kebanyakan dalam keluarga besar kami termasuklah Ayah dan Mak adalah orang-orang bisnes. Ayah ada syarikatnya sendiri tapi segalanya bermula dari bawah. Mak pula pernah ada butik kain dan restoran tapi terpaksa ditutup.
Itulah salah satu sebab saya pilih berniaga kerana latar belakang family business serta minat. Paling penting saya sukakan cabaran dalam perniagaan kerana dari situlah kita dapat belajar banyak perkara baru. Secara tak langsung, ia boleh dikongsi dengan orang lain yang memerlukan.
Pendorong terkuat semestinya diri sendiri. Niat kena betul, mental kena kuat. Bila keyakinan dah ada barulah saya akan beritahu keluarga serta rakan-rakan. Mereka adalah semangat dan salah satu tulang belakang yang mendorong saya untuk bangkit bila ‘jatuh’. Mereka selalu ada untuk saya bila memerlukan.
BISNES
Saya sebenarnya masih baru dalam dunia bisnes. November tahun ini genaplah 2 tahun bisnes saya yang diberi nama Fofaskinn yang merupakan produk penjagaan wajah. Salah satunya ialah bubble mask 2 dalam 1. Pengguna boleh menjadikannya sebagai pencuci muka atau masker yang boleh dipakai 3 kali seminggu.
Saya bermula dari ‘zero’. Antara pengalaman berniaga paling perit pernah saya lalui ialah semasa saya berniaga di booth. 2 hari tiada sale tetapi sewa tapak dah habis bayar. Waktu itu menangis juga sebab kekangan duit. Barang tak laku tetapi terpaksa bayar sewa tapak.
Kini terpaksa pula berhadapan dengan cabaran pendemik. Disebabkan produk saya masih baru dan belum dikenali ramai, saya memanfaatkan sosial media untuk menarik pelanggan.a Saya juga ada membuat beberapa paid review dengan beberapa instafamous di Instagram dan Facebook agar lebih ramai mengenali produk saya. Alhamdulilah setakat ini Fofaskinn ada pengguna setia.
Sebagai peniaga, masa untuk diri sendiri memang agak sukar untuk diperolehi tetapi kena pandai bahagi masa. Bagi saya me-time amat penting. Jadi, saya manfaatkan hujung minggu untuk me-time kerana ia masa yang sesuai.
Nasihat saya, jangan pernah putus asa. Gagal sekali bukan bererti gagal selamanya. Ingat, rezeki tak pernah salah alamat. Yakin dengan kebolehan diri adalah kunci utama untuk maju. Jangan peduli kalau orang pandang rendah terhadap kita. Bukan mereka yang menentukan masa depan kita. Percaya dan yakin wanita itu kuat.
Misi saya ialah membantu usahawan wanita menjana income bersama Fofaskinn sekaligus membantu menaikkan taraf hidup mereka. Wanita yang kuat adalah yang berjaya menukar kegagalan kepadan kejayaan.”
Jiejie berhasrat agar kisahnya ini dapat dijadikan inspirasi seterusnya bergelar ikon buat golongan muda untuk berjaya. Dia juga berhasrat untuk menubuhkan badan amal serta melakukan lebih banyak aktiviti kebajikan pada masa akan datang. Semoga urusan Jiejie dipermudahkan dan segala impian terlaksana.
Kredit Foto: Instagram @jiejie_as
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.