Saya ingin berkongsi dilema yang dihadapi bersama suami. Saya dan suami sebaya umurnya iaitu 54 tahun.
Tahun depan dia akan bersara. Apa yang mengecewakan, baru-baru ini saya dapat tahu dia mempunyai teman wanita yang 20 tahun lebih muda daripadanya.
Dari siasatan yang saya jalankan, rupa-rupanya mereka telah menjalinkan hubungan secara senyap selama lima tahun. Ketika mendapat tahu, pilu sungguh perasaan saya sebagai isteri yang patuh kepadanya dan melayaninya sebaik mungkin selama ini.
Hal ini berlaku kerana mungkin disebabkan kami tinggal berjauhan. Suami bertugas di Kuala Lumpur sementara saya di Terengganu.
Sebulan sekali suami akan balik ke sini untuk bersama keluarga. Apabila saya dapat tahu dia ada wanita lain, saya ambil keputusan untuk berpindah ke KL dan tinggal bersamanya sejak setahun lalu.
Suami pernah mengaku dan berjanji akan memutuskan hubungannya dengan wanita itu. Tapi saya kecewa kerana saya dapat tahu mereka masih berhubung apabila membaca mesej wanita tersebut kepada suami.
Yang menjadi persoalannya, wanita itu bukan mahukan suami saya tetapi ‘gilakan’ duitnya apabila pencen kelak. Maklumlah suami saya bakal mendapat pampasan ratusan ribu daripada syarikat insurannya. Saya buntu Dr, apakah tindakan yang seharusnya diambil?
Penyelesaian Oleh Dr. Robiah K. Hamzah
Pertama sekali, semua para isteri di luar sana harus faham dan dapat menerima hakikat bahawa sesuatu perhubungan yang terjalin tidak dapat diputuskan secara tiba-tiba apabila tempoh perhubungan itu sudah lama.
Jika insan tersebut telah lama mengisi kekosongan perasaan suami semasa Puan masih jauh daripadanya, maka sulit untuk dilepaskan secara mendadak.
Adalah lebih baik Puan bersabar dahulu hingga suami benar-benar mampu melupakannya. Malah, Puan mesti bersedia untuk membenarkan suami berkahwin lagi andai kata mahu menyelamatkan suami dari terjebak dengan kancah perzinaan.
Anda suami mampu melepaskan kekasihnya secara cakap mulut, maka berilah dia masa dan bantulah dia untuk berubah.
Jangan paksa dia. Jangan kutuk kekasihnya. Puan harus mampu merasai apa yang mereka rasai. Jika tidak, hubungan Puan akan menjadi seperti api dalam sekam, muka jadi masam kerana menahan hati.
Faktor usia tidak menghalang seseorang itu untuk jatuh cinta lagi kerana cinta tumbuh dalam setiap jiwa yang mahu menghidupkannya. Ingat, cinta adalah anugerah Allah SWT tetapi jika tidak dijaga dan melanggar larangan-Nya, maka ia akan menjadi racun kehidupan.
Oleh itu, sekali lagi saya ingin sedarkan agar Puan menerima situasi secara positif.
Jika suami lebih menyayangi Puan berbanding kekasihnya itu, maka Puan bernasib baik. Tapi jika sebaliknya, Puan juga bernasib baik kerana dapat belajar berkongsi kasih di atas kesalahan kerana tidak mahu ikut berpindah bersamanya dalam tempoh yang agak panjang.
Itu mungkin cara Allah SWT membayar balik pada kita yang sanggup membiarkan suami bersendirian terlalu lama.
Natijahnya, Puan harus menerima kehidupan ini seadanya dan terus berdoa agar dianugerahkan ketenangan dan kesihatan yang baik agar dapat terus menjadi isteri yang solehah, sabar dan setia.
Jangan cari pasal untuk bergaduh hanya disebabkan SMS yang dibaca. Langkah paling selamat ialah jangan baca apa-apa lagi mesej atau Whatsapp di telefon bimbitnya.
Berdoalah agar Puan tabah dan dipanjangkan umur dalam keadaan beriman dengan cara memaafkan kesilapan suami agar mendapat redanya bila kita meninggal nanti.
Ingat, reda suami adalah salah satu daripada sebab kita dimasukkan ke syurga kelak. Norzalina Mohd Alias
Sumber: Naskhah ‘Rawatlah Hati Bersama Pakar Motivasi & Kaunseling Keluarga, Dr. Robiah K. Hamzah’