Figura ini sering kita lihat menggayakan hijab pada majlis-majlis tertentu dan juga sebagai penghormatan kepada bulan Ramadan yang mulia. Malah, ramai tetamu pastinya terpukau dan terpesona melihat kejelitaanya ketika menggayakan hijab.
Meski belum sempurna mengenakan hijab, Daphne Iking tetap memanjatkan rasa syukur kerana sentiasa diberi peluang untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Jadi sama-samalah kita doakan Daphne agar dikurniakan hidayah menutup aurat sepenuhnya kelak!
Daphne Iking Salah Seorang Penderma Rambut Untuk Pesakit Kanser
Pengayaan hijab bagi Daphne Iking adalah perkara biasa dan tidak nampak kekok sama sekali kerana apabila tibanya Ramadan bulan penuh barakah, ibu kepada tiga cahaya mata ini pasti akan mengenakan hijab.
Namun wujud satu perasaan yang tak dapat digambarkan apabila selepas Ramadan tahun lalu apabila dia kembali tidak berhijab. Menurut Daphne, ada satu perasaan lain yang terdetik di hatinya.
Ads
Menjadi sebahagian penderma rambut untuk pesakit kanser, Daphne Iking dinasihatkan tidak mewarnakan rambut dan harus menjagannya sihat selama 6 bulan, niat untuk mewarnakan rambut tertangguh dan ini adalah salah satu sebab dia mahu melakukan perubahan secara perlahan-lahan.
Mahu Berubah Secara Perlahan-Lahan
Daphne menegaskan bahawa dia mahu berubah memakai hijab secara perlahan-lahan, ini demukian kerana, tiada kekangan dan halangan biarpun dia menggayakan hijab. Tawaran kerja masih diterima seperti biasa.
Ads
Ditanya mengenai pengayaan yang menjadi pilihannya sehingga hari ini, wanita cantik ini berkata dia tidak pernah menetapkan terhad untuk satu gaya. Pengayaan tudung buat masa kini, lebih kepada mengikut kesesuaian aktiviti semasa yang pastinya buatkan dirinya berasa lebih selesa.
Daphne akui merasa terharu, apabila dia dihujani dengan pelbagai mesej peribadi di media sosial apabila ramai mendoakan supaya dia kekal istiqamah ketika dia mengenakan hijab.
Bagaimanapun, bukan mudah untuk kekal istiqamah, wanita ini berkongsi yang dia lebih menumpukan pada pengisian rohani terlebih dahulu.
Ads
Daphne turut menuntut orang ramai agar menerima keputusanya seadanya dan teruskan mendoakan serta memberikan sokongan moral, bukan sahaja kepada dirinya, malahan kepada mereka di luar sana yang masih berusaha untuk mendekatkan diri kepada tuhan.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum melihat semangat dalam diri aktres dan ahli perniagaan kelahiran Palembang, Indonesia berusia 26 tahun ini. Hampir dua tahun lalu Tya Arifin telah melancarkan perniagaan bersama suaminya, Asyraf Khalid.
Nampaknya usaha pasangan suami isteri ini tidak sia-sia dan kini boleh tersenyum bangga dengan hasil titik peluh mereka. Memiliki wisma sendiri adalah sesuatu di luar jangkaan Tya Arifin atau nama sebenarnya, Nurtria Wulandri ini.
Bercerita tentang Wisma Mutyara milik ibu kepada Arif Jiwa, 3 tahun dan Azzahra Jiwa, setahun ini, “Alhamdulillah pada hujung Julai lalu, memilik wisma sendiri jadi kenyataan. Saya awalnya seperti bermimpi. Tidak pernah menyangka semua ini menjadi realiti.
Soal lambat atau cepat tidak saya fikirkan dalam merealisasikan kewujudan wisma sendiri. Saya percaya ia sudah tersusun cantik dengan izin-Nya. Ia datang pada waktu yang tepat sudah buat saya optimis memastikan kelangsungan perniagaan diusahakan,” tutur wanita gigih ini.
Kagum melihat Tya Arifin mengusahakan perniagaan sekali gus ibu kepada sepasang anak ini. “Jujur jadi kunci segala serbi langkah dimulakan. Niat saya dan suami memulakan empayar perniagaan sendiri selain mahu mengubah kehidupan sendiri juga bertunjangkan paksi membantu mereka yang berdepan masalah kesihatan.
Tak ketinggalan mengajak orang lain menjana pendapatan bersama-sama. Begitu juga menjaga kebajikan staf tersayang.
Kita imbangi hal dunia dan syurgawi dalam masa sama. Kita tak pernah sempurna, namun sentiasa mahu berubah jadi lebih baik daripada sebelumnya. Kita nak keberkatan dunia dan akhirat. InsyaAllah,” kata Tya.
Seperti usahawan lain, Tya juga pernah merasai jatuh bangun dalam membina empayarnya. “Saya pernah melihat perniagaan diceburi suami sebelum ini ada antaranya turut kecundang di tengah jalan. Suami pernah gagal dan kami pernah sama sama susah. Kejayaan itu tidak datang bergolek. Tewas itu juga jadi ruang saya bermuhasabah diri.
Mak saya selalu pesan sentiasa ikut resmi padi. Semakin berisi, semakin menunduk. Namun untuk saya mahu memastikan legasi ini kebal dan konsisten sudah cukup baik. Semoga kemanisan ini akan terus berpanjangan. Saya beruntung kerana banyak belajar tentang cabaran dunia perniagaan dengan suami. Dia kekuatan saya,” katanya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tiada siapa dapat menyangkal kehebatan beliau dalam arena fesyen tempatan. Berjaya membina empayar yang besar dan memiliki jenama fesyen sendiri yang telah merentas horizon dunia, boleh dikatakan beliau ialah ratu fesyen negara. Dalam setiap gerak langkah beliau ada sahaja pembaharuan yang dilakukan dalam memastikan industri fesyen tempatan selalu disajikan dengan perkara baru.
“Melihat kembali 30 tahun yang lalu yang mana The Melium Group memulakan sebuah syarikat dan kini sepantas masa bergerak ia telah menjadi satu pemain utama dalam lanskap fesyen mewah di Malaysia. Seiring perkembangannya saya sedar yang sebahagian besar faktor yang memainkan peranan dalam menjadikan syarikat ini berada di dalam kelas tersendiri adalah orang-orang yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak.
Antara insan-insan ini adalah pelanggan yang setia sejak dahulu dan juga tenaga kerja yang begitu dedikasi. Untuk pengetahuan anda, masih ada pekerja yang berada di The Melium Group merupakan pekerja yang telah bekerja sejak hari pertama syarikat ini dibuka pada tahun 1989. Saya percaya bahawa ini adalah DNA yang menjadikan The Melium Group sebuah entiti yang berjaya. It’s the people with us every step of the way,” ujar beliau panjang lebar apabila ditanyakan soal bagaimana syarikatnya berjaya bertahan sehingga hari ini.
Di bawah lembayung The Melium Group terdapat lebih 100 jenama antarabangsa yang ditawarkan, antara jenama-jenama terkenal dengan butik fizikal yang bertapak di Malaysia khusus untuk pencinta fesyen tempatan adalah seperti Givenchy, Max Mara, Roger Vivier, Hacket London, Aigner, Lanvin serta banyak lagi menjadi pilihan terbaik. Selain itu Dato’ Seri Dr. Farah Khan turut mengilhamkan sebuah butik multi jenama yang dikenali sebagai M Pavilion yang menampilkan antara jenama seperti Alaia, Victoria Beckham, Jonathan Simkhai dan Roland Mouret.
Meluaskan lagi portfolio perniagaannya, wanita anggun ini turut terjun ke dunia makanan dengan pembukaan kafe Dome yang kini memiliki lebih 20 cawangan seluruh Malaysia, Aseana Cafe dan terbaru restoran Mama San inpirasi oleh Cef Will Meyrick. Ternyata, tiga dekad The Melium Group ia telah mencipta satu penanda aras sebagai sebuah syarikat yang berkembang pesat biarpun ditekan dengan ritma ekonomi yang tidak menentu. Bak kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, beliau terus maju ke hadapan dengan menawarkan produk serta servis yang terbaik.
Menawarkan segala yang terbaik, apakah rancangan masa hadapan yang akan dihamparkan kepada pelanggan? “Selepas ini Melium akan hadir dengan sistem e-perniagaan yang mana saya sendiri teruja dengan perancangan terbaru ini yang akan menjadi ‘pintu’ kepada para pelanggan dalam mendapatkan produk-produk yang ditawarkan. Perniagaan secara konvensional kami masih lagi menjadi tunjang utama, namun realiti masa kini yang mementingkan segala capaian di hujung jari tidak boleh diendahkan. Kini, pelanggan sudah boleh membeli secara atas talian di farahkhan.com dan ini merupakan langkah pertama kami sebelum melaksanakan sistem ini secara menyeluruh.”
Dalam membawa jenama-jenama hebat masuk ke dalam negara ini, Dato’ Seri Dr. Farah Khan tidak lupa dengan identitinya sebagai seorang pereka fesyen. Pada tahun 2007 beliau melancarkan jenama dengan namanya sendiri iaitu Farah Khan. Ketika persembahan fesyen jenama ini di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2017, ia telah menyambut ulang tahun kesepuluh.
Kongsi beliau mengenai jenamanya ini, “Membangunkan jenama Farah Khan bersama dengan pasukan pereka yang cukup berdedikasi merupkan satu perjalanan dan penemuan yang menakjubkan. Bermula sebagai jenama untuk wanita yang mahukan busana gaun berperincian mewah buat wanita jetsetter kini ia telah berkembang kepada koleksi resort dan juga couture nan eksklusif. Sebagai sebuah jenama Farah Khan telah berevolusi dengan cemerlang dari menggayakan selebriti bertaraf antarabangsa di karpet merah dan disukai oleh wanita kosmopolitan yang menghargai pendekat gaya glamor segera di dalam stail gaun petang.
Hari ini koleksi couture jenama ini telah dipersembahkan dalam pertunjukan dalam suasana yang privasi dan eksklusif di Versailles, Marrakech, London dan Jakarta. Untuk koleksi ini kami mengambil pendekatan eropah yang mana rekaan terhad ini boleh ditempah dengan pengubahan yang minimal. Sehelai busana couture mengambil masa tiga ke lima bulan untuk disiapkan dek perincian yang kompleks. Pelanggan-pelanggan koleksi ini juga biasanya merupakan pelanggan yang serius yang tahu apa yang mereka mahukan.”
Tumpang bahagia melihat kehidupan bahagia Fatin Afeefa sekeluarga. Sejak kembali bergelar isteri dan mendedahkan berita mengenai kelahiran anak lelaki pada tahun 2024, aktres ini jarang tampil di kaca televisyen. Bahkan Fatin kini lebih selesa menguruskan anak-anak dan suami tercinta.