Tak puas menatap keindahan rumah Surina Mohd Zain, jurutera wanita hebat yang ditampilkan secara eksklusif dalam ruangan Gaya Hidup, Majalah Nona terbaharu. Paling mencuri tumpuan, tentulah ruang dapurnya yang berwarna merah jambu dan hitam!
Meninjau gaya hidup High Voltage Lady ini segalanya kelihatan dirancang rapi. Puas mata menjelajah ke segenap ruang yang terbentang, dari ruang tamu ke ruang makan hinggalah ke sudut dry kitchen yang saling terbuka.
Surina bijak menyusun atur tiga ruangan penting ini agar bergaul mesra. Pemilihan dinding wainscoting rona putih bukan saja mencetus ambien Inggeris moden, malah menjadikan seluruh ruang tampak lebih lapang dan seimbang.
Biarpun tanpa sentuhan interior designer, namun beliau berjaya menterjemahkan cita rasa seni yang tinggi ke mahligai ini.
“Dari segi penataan dekorasi pula, saya selesa dengan konsep minimalis. Sengaja saya pilih dusty color untuk perabot utama. Itu melambangkan women touch, selain memberi efek tenang ketika beristirahat di rumah sendiri.” Surina Mohd Zain
IBU TUNGGAL
Ralit menatap koleksi barangan dapur Surina yang kebanyakannya berwarna pink. Dari perkakas memasak, sampailah himpunan periuk yang tersusun kemas di kabinet.
Sebagai pencinta SMEG dari Itali, Surina turut mengumpul koleksi barangan dapur jenama ini, juga dalam rona merah jambu. Pisau, papan pemotong, sudip dan segala perkakas memasak semuanya serba pink! Persis dapur mainan, bezanya dalam saiz dewasa!
“Saya sengaja pilih rona shocking black pink untuk dapur. Selain menonjolkan kelainan, ia juga mencipta aura atau vibrant vibes untuk anak-anak saya yang sukakan kumpulan BlackPink.
Secara tak langsung, mereka akan lebih kerap ke dapur dan membiasakan diri dengan tugas memasak.”
Meskipun berseorangan, tapi ibu tunggal kepada tiga cahaya mata itu senang menjadikan mahligai indah ini sebagai tempat ahli keluarga berkumpul.
Selain menjaga ibu tersayang, adik-beradiknya juga kerap bertandang sekaligus memberi nyawa kepada kediaman tersebut.
Gelak tawa dan pelbagai aktiviti keluarga menjadi peneman sunyi Surina, yang merupakan anak kedua dari tiga adik-beradik perempuan dikenali Zain’s Angels ini.
“Kebiasaannya anak-anak saya suka bermain di kolam renang. Berhampiran kolam juga ada sebuah gazebo yang saya jadikan ruang keluarga bersantai dan berkaraoke.
Malam-malam bila berkumpul, kami akan buat BBQ sambil berhibur, tengok anak-anak mandi kolam. Suasana beginilah yang mengeratkan ikatan silaturrahim kami.”
Nak tahu tip mahligai indah cara Surina Mohd Zain, jom tonton video ni…
LALUAN KERJAYA
Berkecimpung dalam kerjaya yang didominasi lelaki, sedikit pun tidak menjejaskan jiwa feminin Surina. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) ini berjaya membuktikan kemampuan wanita yang luar biasa serta skil kepimpinan yang tinggi untuk dicontohi oleh wanita lain.
Tatkala mendengar jawatannya, sudah terbayang kabel elektrik yang bergulung-gulung dan menara pencawang di lereng bukit.
Bukan calang-calang tanggungjawab Surina sebagai jurutera elektrik, apatah lagi beliau diberi kepercayaan sebagai Pengarah Projek di Grid Construction, Tenaga Nasional Berhad. Sebagai ketua, amanah yang dipikulnya cukup besar.
Lebih mengagumkan, wanita berusia 41 tahun ini bukan hanya Lady Boss di pejabat. Skop tugas Surina begitu dinamik, melangkaui dinding tadbir urus dan kaca bilik mesyuarat.
Beliau bangkit memecah tembok penghalang, sering turun padang meninjau projek yang berjalan malah tidak kekok membuat kerja-kerja lasak sebaik kaum Adam.
“Sebenarnya kerjaya saya sangat mencabar. Namun saya memang sukakan perkara yang mencabar dan memberi manfaat untuk semua orang.
Berkat ilmu dan minat yang mendalam, saya rasa amat bersyukur kerana dengan izin-Nya, terpilih untuk memberi perkhidmatan bersama salah satu pasukan yang menerangi alam semesta.
Saya terlibat dengan project management team dari awal bekerja sehingga sekarang. Banyak proses dan fasa yang ditempuhi sepanjang menyiapkan sesuatu projek, tapi kepuasannya amat besar bila ia berjaya disiapkan.
Setiap projek tu ada kenangan tersendiri dan pastinya ada peristiwa unik yang berbekas di fikiran. Tapi itulah pengalaman paling berharga. Bangga bila dapat tunjuk pada anak-anak tentang projek yang saya pernah kendalikan.”
Setelah selesai sesi fotografi dan rakaman video Inspirasi Nona, Surina terdahulu mempelawa kami makan tengah hari sebelum pulang.
Sambil bersembang-sembang menikmati juadah Nasi Arab, sempat penulis bertanya apakah rahsianya menjaga badan? Jawab Surina, mereka sekeluarga hanya amalkan pemakanan sihat.
“Bila usia makin meningkat, tukar gaya hidup agar lebih aktif dan pastikan social circle kita terdiri orang-orang yang positif,” ujar Surina menutup perbualan kami hari itu.
Baca artikel penuh dan pelbagai lagi kisah inspirasi di Majalah Nona, edisi khas Pencarian Nona Superwoman.