Kehamilan dan kelahiran merupakan keistimewaan yang hanya dimiliki oleh wanita. Namun begitu, tidak semua wanita dikurniakan anugerah untuk menikmati saat-saat ini.

IKLAN

Ada juga di kalangan wanita yang berhadapan dengan pelbagai komplikasi saat disahkan hamil. Bagi menjawab segala kemusykilan mengenai permasalahan Sakit Puan, Dr. Fairuz A’shikin Abd Kadir akan menjawab segala persoalan tentang masalah kewanitaan ini.

Darah Nifas Berwarna Hijau

Saya baru sahaja bergelar ibu dan berusia awal 20-an. Saya baru sahaja tiga bulan habis berpantang dan kini anak masih menyusu badan. Masalahnya, darah kotor sewaktu bersalin dulu masih ada dan berwarna kehijauan. Apakah ia satu keadaan normal untuk wanita selepas bersalin? Apakah tindakan yang harus saya ambil untuk mencegah masalah ini?

Ibu Muda, Kluang

Jawapan

IKLAN

Tahniah di atas kelahiran cahaya mata pertama Puan. Sememangnya, Puan telah melakukan yang terbaik untuk anak dengan menyusukannya. Saya berharap, susukanlah bayi sepenuh masa kerana sememangnya penyusuan ibu terbukti baik dari segi kesihatan dan keharmonian ibu dan anak.

Darah nifas kebiasaannya akan berhenti selewat-lewatnya 6 minggu selepas bersalin. Jika terdapat perubahan warna atau bauan selain daripada warna darah iaitu merah pekat, maka kemungkinan besar, Puan mengalami jangkitan.

IKLAN

Jangkitan ini kemungkinannya berpunca daripada bakteria, kulat atau virus. Untuk membuat kepastian, disyorkan Puan berjumpa dengan doktor untuk mendapat pemeriksaan rapi serta rawatan yang sewajarnya.

Selain itu juga, ketika membuat pemeriksaaan Puan juga akan diperiksa untuk Pap Smear, iaitu pemeriksaan pra-kanser untuk pangkal rahim. Pap Smear ini harus dilakukan ke atas semua wanita yang aktif seksual, sama ada berisiko tinggi atau tidak. Ada kala, jangkitan pada pangkal rahim dapat dikesan dengan pemeriksan Pap Smear tersebut.

Sememangnya apa yang dialami Puan bukanlah sesuatu yang normal. Puan harus mendapat pemeriksaan doktor, supaya Pap Smear dapat dilakukan. Jika terdapat jangkitan, ubatan yang tertentu dapat disyorkan oleh para doktor yang merawat Puan. KR

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI