Tumpang bangga melihat kesenangan hidup yang diraih wanita muda ini dalam bidang perniagaan. Mana tidaknya, baru berusia 30 tahun Siti Nabilah Dol Bahrin atau lebih mesra disapa Kak Nab semakin maju mendaki puncak kerjaya. Bahkan dalam usia yang masih muda juga dia sudah mampu memiliki rumah besar, kereta mewah dan perniagaan yang semakin berkembang maju. Alhamdulillah.
Tidak menyangka keputusan berhenti kerja kerana mahu mengusahakan perniagaan sendiri membuka pintu rezeki yang luas buat dirinya dan keluarga, Kak Nab bagaimana pun enggan mendabik dada. Sebaliknya, lebih selesa menjadikan pencapaian tersebut sebagai pencetus semangat buat kaum wanita lain untuk berjaya dalam bidang perniagaan.
Dalam masa sama, anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini tidak lupa berbagi rezeki dengan insan memerlukan. Baginya, tiada istilah tunggu duit banyak baru bersedekah kerana percaya rezeki lebih melimpah ruah apabila selalu ‘memberi’.
“Jujur saya katakan, saya bukanlah berasal dari keluarga kaya. Masuk dunia bisnes ini pun sebab minat. Minat dengan barang-barang yang cantik dan suka tengok orang nampak cantik dengan barang jualan saya. Terdetiknya mahu berniaga sekitar tahun 2014. Dengan modal RM500 dari kawan lelaki yang sekarang dah jadi suami, saya gigih jual tudung dekat Pasar Tani, Pasar Malam termasuk Car Boot Sale.
Sebelum ini saya pernah bekerja di sektor perbankan. Pagi kerja di bank, sebelah malam pula saya berniaga di pasar. Memang letih tapi puas. Alhamdulillah, saya sentiasa dapat support daripada keluarga dan kawan-kawan. Seronoknya berniaga sebab kita boleh rancang masa sendiri, tambahan pula bila dah ada anak. Sebab itu jugalah saya berhenti kerja dan serius berniaga.
Kira-kira dua tahun kumpul duit jualan tudung barulah saya mampu buka butik dengan kos RM15,000. Itulah detik awal pembukaan Nabella Butik! Dulu butik ini berkonsepkan vendor, tapi bila dah ada modal lebih.. barulah saya bawa masuk barang sendiri seperti baju, tudung, handbag, kasut dan macam-macam aksesori.
Ads
Bila dah dapat ramai customer dan orang mula kenal bisnes saya, saya cuba kembangkan perniagaan dalam bidang kosmetik pula. Produk pertama yang saya keluarkan di bawah jenama Averly Cosmetics ialah Beauty Oil,” telus content creator ‘Ohh Mudahnya Makeup By Kak Nab’ ini penuh semangat.
Kak Nab di samping suami ketika awal berniagaKenangan menjual car boot saleKenangan menjual car boot saleKenangan menjual car boot saleKetika bertugas sebagai eksekutif di sektor perbankan
Biarpun tidak sampai dua tahun di pasaran, Averly Cosmetics sudah pun memiliki empat produk iaitu Beauty Oil, Foundation, Krim Jerawat dan Magic Gloss. Difahamkan sebelum Hari Raya, Kak Nab akan mengeluarkan produk terbaharu iaitu supplemen yang sesuai diamalkan untuk menurunkan berat badan. Sementara produk bengkung dan losen panas pula bakal dikeluarkan selepas Syawal nanti.
“Setelah puas mencari dan berbincang dengan suami, kami akhirnya sepakat memilih nama ‘Averly’ untuk rangkaian produk kosmetik kami. Nama ini diambil daripada perkataan Latin yang membawa maksud terus maju dan kami berpendapat nama tersebut sesuai untuk dikomersialkan.
Istimewanya Averly Cosmetics sebab kualiti yang setanding produk jenama mewah lain. Ia juga dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan premium dan walau dijual murah tapi sangat berbaloi. Sambutan yang diterima cukup memberangsangkan dan produk terlaris ialah foundation.”
Ads
Tujuh tahun membina legasi nyata bukan tempoh singkat. Sepanjang bergelar usahawan, pelbagai dugaan dialami Kak Nab termasuk mengalami kerugian RM20,000 akibat ditipu.
“Untung hasil jualan di butik, saya labur RM20,000 beli kain untuk koleksi raya. Waktu itu saya ambil khidmat orang tengah. Bila dapat sample, kain memang cantik dan kualiti pun ok. Sebaik saja kain sampai, saya terus hantar jahit tanpa periksa keadaan kain.
Tailor pula tak maklumkan apa-apa. Hampir 30 percent dah siap dan dihantar kepada saya untuk cuba, material kain tersebut mudah koyak dan pecah. Sudahnya, saya terpaksa juga bayar kos jahit dan buang semua kain sebab dah tak boleh pakai.”
Ads
Menjadikan Neelofa dan Vivy Yusof sebagai inspirasi dalam dunia perniagaan, ibu kepada dua cahaya mata ini memasang impian untuk memiliki wisma sendiri suatu hari nanti. Ditanya kenangan yang paling tidak dapat dilupakan selama tujuh tahun berniaga, isteri kepada Mohammad Ikhwan ini meluah rasa syukur kerana melalui perniagaan dia belajar erti kesusahan hidup.
“Sejak zaman universiti lagi saya dah mula berniaga kecil-kecilan. Saya jual barang-barang terpakai kepunyaan sendiri secara Door to Door. Ketuk pintu rumah orang untuk menjual sebab kawasan tersebut jauh dari kedai dan supermarket. Jadi, mereka dapatlah beli keperluan dengan mudah dan saya pula dapat jualan.
Sebenarnya sejak awal berniaga, untung yang saya dapat tak adalah banyak mana. Lebih kepada kepuasan dan bantu tampung perbelanjaan yang kurang. Sepanjang berniaga, kenangan paling tak boleh lupa masa saya pergi ke sebuah perkampungan di Bedong, Kedah. Waktu itu saya study di sana.
Niat untuk berniaga terus terkubur bila tengok keadaan penduduk yang hidup susah. Disebabkan modal saya pun tak tinggi dan waktu itu belum ada komitmen, saya beri je barang jualan kepada mereka. Kira macam buat community service. Mungkin sebab dah terbiasa, sampai sekarang pun saya masih buat perkara sama cuma tidaklah selalu sebab dah ada komitmen dan staf.”
Bersempena ketibaan Aidilfitri, Nabella Butik turut menghasilkan 30 koleksi baju raya eksklusif buat para pelanggan. “Tahun lepas kami tak dapat keluarkan baju raya sebab Covid-19. Tapi tahun ini kami keluarkan baju raya based on customer preference. Daripada pemerhatian saya, orang-orang di Kedah suka rekaan yang simple dan nampak eksklusif. Jadi untuk tahun ini, kami hasilkan 30 koleksi baju raya semuanya dan boleh di dapati di Nabella Butik.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Berdasarkan pengalaman yang dimilikinya sebagai anak seni asal Malaysia yang berpeluang untuk mengembangkan karier seni di Amerika Syarikat, penyanyi dan komposer, Yuna, 38, menyifatkan perjalanan seninya selama hampir dua dekad telah membuka mata dan persepsi dirinya dengan lebih meluas!
Tambah Yuna, ini bukan sahaja pada ruang lingkup dunia muzik, tetapi juga terhadap perkembangan fesyen semasa dunia dan antarabangsa.
Yuna Pernah Berdepan Fasa, Apa Sahaja Dilakukan Berdepan Kritikan Hebat!
“Dulu apa sahaja yang saya pakai ketika menghadiri majlis anugerah misalnya, pasti akan kena kritik. Malah kalau pakai ‘biasa-biasa’ pun kena. Namun saya faham sebab kebanyakan warganet ada sahaja yang mahu dikomen.
“Bagaimanapun sekarang, situasi tersebut lebih terbuka. Ada sesetengahnya yang mahu mencuba fesyen terbaru dan melihat apa kesannya.
“Ambil contoh seperti penyanyi Aina Abdul. Setiap kali dia muncul membuat persembahan kita sudah boleh jangka apa yang dia bakal tampilkan. Sesuatu yang baru dan ‘crazy’.
“Bagi saya, kita perlukan perkara sedemikian dalam industri. Sebelum ini siapa yang berani buat begitu, tiada siapa. Jadi pada saya, ia sesuatu yang bagus bila Aina buat begitu sekaligus buat peminat maklum itu dia punya identiti,” katanya.
Mengulas sikap warganet yang sering menyerang fesyen pelik dan di luar kotak yang sering digayakan penyanyi lagu Sepi itu, Yuna berharap, Aina tidak patah semangat.
Melihat Aina Abdul, Dia Mencipta ‘Art’ Dalam Kerjayanya – Yuna
“Dia mencipta ‘art’ dalam kerjayanya dan dia seorang yang berani. Saya juga ada dengar orang bercakap dan beri komen negatif terhadap penampilannya yang lain daripada lain.
“Bagi saya, Aina perlu teruskan sahaja dan jadi diri sendiri. Just have fun, itu sahaja. Kita seorang yang sukakan seni dan fesyen,” katanya lagi.
Untuk recap, Yuna berkata demikian ketika ditemui pada sesi fotografi Kempen Yuna For Abu KLFW24 di Glenmarie, Shah Alam, yang lalu.
Dalam pada itu, Yuna juga memilih untuk menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana jenama pro-Israel dan percaya kepada rezeki dalam seni.
“Alhamdulillah, setakat ini, rezeki saya masih ada dan semakin sibuk dengan pelbagai aktiviti seni. Saya dan suami percaya rezekiNya. Hanya mereka yang terkesan dengan apa yang berlaku di Palestin sahaja akan lebih memahami.
“Saya sendiri setiap hari melihat video kekejaman yang berlaku di Palestin. Saya perlu bertegas kerana memiliki ramai peminat dan semestinya perlu menunjukkan teladan yang baik.
“Itu cara saya dan kalau ada selebriti lain yang masih ingin bekerjasama, itu terpulang kepada mereka. Setiap orang ada jalan hidup mereka sendiri.
“Malah sebelum ini, saya ada menolak bekerjasama dengan jenama yang saya rasakan tak selari dengan imej seperti syarikat rokok dan alkohol,” katanya.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Genap mencecah usia 50 tahun 9 Mac lalu, nampaknya Rozita Che Wan menyambutnya dengan melangkah masuk ke kediaman baharu yang dimilikinya! Akhirnya kediaman milik selebriti ini yang bernilai hampir RM10 juta di Kota Damansara, Petaling Jaya siap sepenuhnya!
Penantian selama empat tahun menghuni rumah jenis banglo mewah itu akhirnya termakbul selepas menghadapi beberapa masalah termasuk kontraktor pembinaan menghilangkan diri selepas Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta melabur jutaan ringgit akhirnya ternoktah.
“Tak dapat saya gambarkan perasaan menyambut ulang tahun kali ini. Tambah pula dapat masuk rumah baharu. Bukan sekecil anak jumlah saya laburkan untuk rumah ini.
“Kena tipu dengan beberapa kontraktor pembinaan lagi. Kemudian kita diuji dengan pandemik COVID-19, jadi proses pengubahsuaian rumah itu pun tertangguh.
“Tapi kini, saya bersyukur semuanya berakhir. Nak pula, Ramadan dan Syawal bakal disambut umat Islam tak lama lagi. Dapat masuk rumah baharu ini, kira hadiah paling terindah buat saya,” katanya.
Dekorasi bilik anak-anak di kediaman mewah Rozita Che Wan bertemakan klasik Inggeris
Menurut sumber, banglo mewah Che Ta mengambil tema klasik Inggeris sebagai dekorasi utama kediaman keluarga tersebut. Malah elemen tersebut digarap sempurna bagi sebuah kediaman yang selesa dan sempurna buat selebriti yang sememangnya mementingkan kesempurnaan dalam setiap perkara yang dilakukannya.
Rumah banglo berkenaan tidak hanya didiami Che Ta bersama suami, Zain Saidin dan tiga anaknya. Malah seperti dilaporkan sebelum ini, pelakon drama Kiah Pekasam itu turut dipuji ramai kerana memuliakan orang tua apabila mengajak ibu dan ibu mentuanya tinggal bersama.
“Zain sendiri terkejut dan tak sangka saya nekad mengajak ibunya tinggal bersama. Tak ketinggalan teman rapat saya pun ada yang berperasaan sama.
“Lagipun mak mentua saya tinggal seorang diri selepas cucunya yang juga anak Sasha Saidin berpindah ke luar negara. Jadi saya fikir tak salah ajaknya duduk sekali di rumah baharu.
“Keadaan kesihatannya kebelakangan ini pun tak bagus selepas menjalani pembedahan. Setidak-tidaknya ada yang melihat dan membantunya apabila tinggal sekali,” katanya.
Pengasas bersama empayar perniagaan Inai Che Ta itu berkata Zain pada awal bimbang ibunya menjadi beban.
“Saya tak pernah berfikir begitu terhadap sesiapapun yang berada di bawah tanggungan ini. Saya percaya kadang-kadang Allah beri rezeki kita melalui orang lain.
“Dia pun tak cerewet dan mudah diurus. Di usianya 76 tahun, dia makan apa saja yang dihidangkan. Orang tua makan banyak mana sangat pun. Malah dia enggan menyusahkan saya termasuk pembantu rumah.
“Selama ini, masa tinggal dengan cucunya (anak Sasha Saidin), dia memang sangat kuat dan kental. Dialah yang memandu kereta menghantar cucu ke sekolah, kelas taekwondo dan membeli barangan harian. Tapi sejak kesihatannya terganggu
selepas terjatuh dan pinggulnya retak hingga terpaksa jalani pembedahan, dia seakan lemah,” katanya.
Che Ta juga mengakui ibunya terbuka dan menyambut baik usaha mengajak ibu mentua tinggal bersama.
“Cuma lucunya, apabila ibu dan ibu mentua bersembang masing-masing macam ayam dan itik. Seorang cakap Melayu, seorang lagi berbahasa Inggeris. Saya pun terhibur melihat gelagat mereka,” katanya.
Anas Zahrin memberikan kejutan berupa pakej umrah untuk Rozita Che Wan baru-baru ini
Mengenai kejutan hadiah hari lahir mengerjakan umrah tajaan teman niaganya, Anas Zahrin, Che Ta belum dapat memberikan kata putus bila nak ke Tanah Suci Makkah.
“Awalnya, saya bercadang nak menunaikan umrah sewaktu sambutan ulang tahun kelahiran tahun ini. Tapi tak menjadi kenyataan atas beberapa sebab.
“Mungkin masa terbaik kalau diizinkan, saya nak ajak suami bersama ke sana pada 10 terakhir Ramadan. Harap niat itu dipermudahkan,” katanya yang turut terbabit mengacarakan program masakan, Rasa tak lama lagi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kemampuan wanita pada hari ini tidak hanya terbatas dengan tugas-tugas hakiki saja. Segalanya out of box! Seperti Dr Juita ini yang berjaya buktikan kemampuannya di mata umum. Dr Juita menjadi wanita Malaysia pertama yang memiliki lesen Juruterbang Kawalan Dron Profesional atau Remote Pilot License (RePL) yang diiktiraf oleh Lembaga Keselamatan Penerbangan Awam (CASA), Australia. Lesen tersebut diperoleh pada tahun 2019.
Dr Juita, graduan Cranfield University, United Kingdom.Sewaktu latihan bagi mendapatkan lesen pengiktirafan Juruterbang Kawalan Dron Profesional CASA di Australia.
Mari kita kenali siapa Dr Juita yang berusia 39 tahun ini.
Dr Juita atau nama sebenarnya, Dr Siti Juita Mastura Mohd Saleh merupakan anak bongsu daripada 3 beradik. Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini sudah pun berkahwin namun belum dikurniakan zuriat. Bapanya seorang Pengurus Ladang yang kini telah bersara, manakala ibunya suri rumah sepenuh masa.
“Walaupun ibu seorang suri rumah tapi beliau sangat mementingkan akademik. Dulu ibu selalu teman saya belajar dan duduk di sebelah sambil baca suratkhabar. Kalau saya belajar sampai pagi, ibu akan temankan saya sampai ke pagi juga,” kongsi Dr Juita tentang pengorbanan ibunya.
PENSYARAH & PENYELIDIK
Dr Juita dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merupakan pensyarah dan penyelidik di Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP). Dalam industri yang dimonopoli kaum lelaki, beliau pakar dalam bidang Struktur dan Reka Bentuk Pesawat, khususnya berkaitan Composite Aerostructures.
Graduan Doktor Falsafah Kejuruteraan Aeroangkasa dari Cranfield University, United Kingdom ini bukan saja aktif dalam bidang penyelidikan malah menjadi penggerak kepada pembangunan pensijilan aeroangkasa khususnya berkaitan teknologi dron yang kini ditawarkan di UTHM.
Dr Juita sebelum ini pernah terlibat dengan pembangunan Dron Penghantaran bagi mengikuti pertandingan Parcel Dron Malaysia anjuran Pos Malaysia 2019. Kini beliau bersama-sama penyelidik lain telah menghasilkan satu produk komersial dron pertanian PINEXRI-20 menerusi projek kolaborasi antara UTHM dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB).
Produk sulung Avitex, PINEXRI-20 yang menjadi inspirasi pembangunan & penyelidikan teknologi dron bersama pihak industri.
Bagi projek pembangunan Dron Gergasi Malaysia atau C-Drone di UTHM, beliau merupakan Ketua Unit Analisa Struktur. Menerusi projek khas negara ini beliau dapat menimba pengalaman dan menggunakan kepakaran dimiliki dalam aplikasi sebenar.
Hasil kerjasama dengan industri, satu geran penyelidikan diberikan oleh UTHM kepada beliau bagi membangunkan prototaip pesawat terbang rendah atau wing-in-ground effect craft. Terdahulu, Dr Juita pernah dilantik sebagai Ketua Kumpulan Penyelidikan Berfokus Struktur dan Reka Bentuk Pesawat.
Berada di salah satu institusi pengajian tinggi yang terkenal dengan aktiviti melibatkan bidang pengangkutan aeroangkasa, keretapi dan automotif, Dr Juita komited untuk meneruskan aktiviti penyelidikan dan pembangunan produk aeroangkasa selari dengan hasrat negara memperkasa industri aeroangkasa menjelang 2030.
Dr Juita bersama para pelajar Aeronautik UTHM.
Peningkatan kepada pengetahuan integrasi sistem terutama berkaitan dron banyak dipupuk melalui projek-projek dron yang dibangun bersama-sama pelajar di bawah seliaannya.
“Saya bersyukur kerana diberi peluang berbakti kepada universiti yang menggalakkan staf terlibat dalam aktiviti komuniti. Menerusi pelbagai program yang diatur UTHM, saya dapat menyumbang khidmat bakti dan ilmu berkaitan dron kepada komuniti setempat serta masyarakat orang asli.
Dr Juita juga mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai badan bukan kerajaan seperti Yayasan Amal Malaysia dan Pertubuhan Masyarakat Orang Asli Kuala (D’Duanu) dalam usaha menganjurkan aktiviti bersama masyarakat kurang berkemampuan.
Berbekalkan semangat dan sokongan rakan-rakan berpengalaman dalam pembangunan Sekolah Penerbangan Profesional milik UTHM yang dikenali sebagai Asia Aeronautical Training Academy (AATA), Dr Juita diberi kepercayaan untuk membangunkan akademi dron milik UTHM yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat.
Dr Juita juga merupakan salah seorang lembaga pengarah di syarikat terbitan UTHM, Avitex Solution yang menjalankan aktiviti komersial produk berasaskan dron serta kursus asas pengendalian dron.
“Saya berharap, syarikat ini dapat memberi peluang kepada UTHM untuk terlibat dengan lebih aktif bukan saja dalam penyelidikan dan pembangunan produk malah aktiviti konsultasi melibatkan aplikasi dron dalam pelbagai industri,” ungkap Dr Juita yang gemar mengembara ke seluruh dunia. Beliau juga meminati sukan lasak seperti motorsport.
Kredit: Suriayati Baharom, Unit Perhubungan Awam & Media, Pejabat Pemasaran Pemasaran & Komunikasi Korporat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!