Hebat Adira, diam-diam dah jual sambal! Bukan saja berbakat dalam bidang nyanyian, Adira Suhaimi juga rupa-rupanya mahir memasak dan ligat di dapur. Alahai, kecur tengok produk sambal keluaran Air Tangan Adira.
Daripada perkongsian Adira di media sosial miliknya, bisnes Air Tangan Adira berkenaan mula ada di pasaran sejak pertengahan Mac lalu. Setakat ini, terdapat dua jenis produk sambal yang dikeluarkan pelantun lagu ‘Ombak Rindu’ ini iaitu Sambal Bilis dan Sambal Bilis Petai.
View this post on Instagram
Kongsi penyanyi kelahiran Sabah ini, “Alhamdulillah sambal Air Tangan Adira dah ready stock, esok kita pos yang dah order awal tau. Adira masak dengan kasih sayang ok.”
Walau baru berada di pasaran tapi jualan sambal Adira dapat sambutan memberangsangkan. Buktinya, beberapa hari selepas dilancarkan Sambal Bilis dan Sambal Bilis Petai Air Tangan Adira berjaya dijual sebanyak 1,000 botol. Luar biasa!
Demi memastikan bisnes dikenali ramai, Adira turut menyertai Absolut Food Fest di MITEC dengan membuka gerai jualan di sana. Tidak cukup itu, Adira juga membuka gerai jualan di Star Vendors yang berlangsung meriah di WTC KL.
Pandai Adira susun strategi pemasaran!
Bagi membuktikan kepada umum dan peminat yang produk berkenaan adalah hasil air tangan sendiri, Adira kerap berkongsi rutin memasak sambal tersebut di platform media sosialnya. Menerusi video dan gambar yang dimuat naik, memang terserlah bakat memasak Adira.
Iyalah, sampai tiga kuali besar Adira guna untuk masak! Menariknya, Adira masak sambal-sambal tersebut dengan cara manual tanpa menggunakan mesin teknologi yang lebih memudahkan.
Apa-apa pun, kagum dengan semangat Adira menceburi bidang kulinari. Kalau selama ini ramai yang kenal Adira sebagai penyanyi, tapi kini dia cekal mencuba cabang kerjaya baharu sebagai usahawan produk makanan pula.
Semoga kerjaya seni dan perniagaan Adira terus sukses!