Setiap butir bicaranya memberi inspirasi kepada telinga yang mendengar dan mata yang memandang. Kisah kejayaannya juga bagaikan sebuah lembaran aspirasi untuk wanita di luar sana melangkah maju mencipta kejayaan.
Ditubuhkan pada tahun 2020, Newsfeed Media merupakan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan pemasaran dan pengiklanan secara luar talian di Malaysia.
Ads
Bagi Norzira Syarini Mohammed Pauzi, 36, yang menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, ia bagaikan seperti mimpi jadi realiti.
Hanya berbekalkan pengalaman kerjanya selama 10 tahun dan bijak merancang strategi, kini Newsfeed Media berdiri megah dengan barisan lebih 500 jenama dan produk yang menggunakan perkhidmatan syarikatnya.
BERMULA KERANA DESAKAN
Menjadi noda hitam dalam lembaran diari hidupnya, anak kelahiran Tumpat, Kelantan yang memiliki segulung liazah Sarjana (Master) dalam jurusan Komunikasi ini pernah menemui jalan buntu saat diberhentikan kerja serta-merta pada tahun 2019.
Norzira atau lebih mesra dengan panggilan Ira, yang ketika itu menggalas tugas sebagai editor di sebuah akhbar kesihatan, terpaksa akur dan redha biarpun perit menerima realiti. Namun, dari situlah bermulanya langkah kejayaannya hingga ke hari ini.
“Apabila ketua saya memaklumkan saya menjadi salah seorang pekerja yang diberhentikan serta-merta, disebabkan faktor kewangan syarikat yang tidak begitu baik, minda saya hanya memikirkan tentang hari-hari yang mendatang.
Bagaimana untuk saya membayar segala komitmen hidup saya? Apakah caranya untuk saya mendapat wang yang cepat dengan jumlahnya sama dengan gaji saya ketika itu, RM7 ribu? Semuanya menjadi celaru. Sungguh, ketika itu dunia jadi gelap. Terkejut dan tergamam.” Norzira Syarini
Biarpun airmata mengalir memikirkan nasib dirinya, namun tangisannya hanya sementara. Ternyata, wanita ini punya hati yang kental. Tidak mudah melatah, tidak pula termangu lama. Mindanya ligat mencari solusi membuatkan jiwanya bersemangat untuk bangun dan berdiri kuat.
“Jujur saya katakan, jika saya masih berterusan menangis, saya pasti tidak akan memiliki apa yang saya ada hari ini. Desakan hidup pada saat itu seolah-oleh seperti membakar diri untuk menjadi versi yang lebih kuat.
Saya fikir, inilah masanya untuk saya mengubah kehidupan saya dan keluarga. Saya tidak mahu menoleh ke belakang. Lantas, saya mengambil pen dan kertas, lalu senaraikan kekuatan yang saya ada.
Diri lebih cenderung dalam bidang perhubungan awam (PR). Lantang bersuara, bijak berkata-kata dan yakin dihadapan orang ramai menjadi bonus untuk diri sendiri.
Malah, 10 tahun pengalaman dalam bidang media kewartawanan serta penerbitan turut membuatkan saya lebih yakin dengan keputusan yang dilakukan.”
Ads
USAH GENTAR MELAWAN ARUS
Benar kata orang. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Ketika Ira memulakan misi mencari klien pertamanya, pada saat itu dunia sedang menghadapi pandemik Covid-19.
Malaysia juga memulakan fasa Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan ramai usahawan-usahawan baru kecundang dan mempunyai krisis dalam perniagaan mereka. Pastinya, ia bukanlah sebuah keputusan bernas untuk memulakan langkahnya memulakan misinya mencari klien, namun Ira punya ideologi sendiri.
“Untuk berjaya kita harus berani melawan arus. Melawan arus menjadikan kita luar biasa. Jika kita hanya mengikut arus, maka kita menjadi orang yang biasa-biasa. Harus bijak mencari peluang, itu yang paling penting. Alhamdulillah, klien pertama saya pada waktu itu seramai 12 orang, antaranya Crown Diamond Manager (CDM) dari Sahajidah Hai O Marketing.
Hari berganti hari, jumlah keuntungan saya mencecah lima angka. Pada masa itu, saya berpuas hati dan berfikir untuk berhenti, Tetapi, persoalan muncul di minda, mengapa harus berhenti?
Bermula dari saat itu, saya meminta restu suami untuk meneruskan apa yang sudah dimulakan dan Newsfeed Media terus berkembang maju dan semakin dikenali ramai.” Norzira Syarini
Ads
Berbicara mengenai sudut persaingan dalam dunia pengiklanan di Malaysia, Ira akui dikelilingi ole barisan syarikat yang lebih senior dan berpengaruh.
Oleh sebab itu, dia harus bijak memasang strategi untuk pergi jauh dari mereka. Bagi Ira, untuk kekal relevan dan melangkah setapak kehadapan, dia perlu laju dan pantas. Itulah kunci kejayaan yang menjadi resepi rahsianya.
“Benar, dunia hari ini semakin maju berkembang. Sudut persaingan pula semakin sengit. Sebagai orang baru, saya akan memastikan kami bergerak lebih pantas untuk mendapat lebih ramai perhatian orang di luar sana.”
Melihat dari sudut kejayaan yang sudah dikecapi, pasti ada faktor istimewa dan menarik minat klien untuk terus kekal setia bersama syarikatnya. Mengulas berkaitan hal itu, Ira menyatakan bahawa dia tidak pernah culas memberi yang terbaik kepada setiap klien.
Sentiasa menjaga kebajikan kliennya dari awal hingga ke akhir proses. Itu antara magis yang menjadi punca utama mereka kekal setia bersama dengannya.
“Kami akan sentiasa menjaga mereka (klien) sehinggalah ke lambaian terakhir mereka meninggalkan kami dengan rasa puas dan gembira.
Maksudnya, andai kata mereka mempunyai sesi temu bual dalam program televisyen, Newsfeed Media akan hadir memberi sokongan serta tunjuk ajar cara untuk bercakap di hadapan kamera, posisi badan yang tepat serta pilihan maklumat bernas yang harus dibicarakan sewaktu sesi temu bual itu berlangsung. Jadi, barangkali inilah sebab mereka masih lagi setia bersama kami sehingga ke hari ini.”
Memasang impian untuk menjadi syarikat pengiklanan nombor satu di Malaysia, Ira percaya dengan keistimewaan yang ada pada syarikatnya ini mampu untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Most Outstanding Advertising & Public Relation Consultant Award, Norzira Syarini Mohammed Pauzi ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis & Penyelaras: Putra Mokhter
Konsep & Penata Gaya: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Norezz Idris
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Usianya baru mencecah 27 tahun tetapi kejayaan yang ditempa Fifa Rasol hari ini cukup membanggakan. Meskipun mempunyai kelulusan dalam bidang perubatan namun wanita berjiwa besar ini nekad menjadikan perniagaan busana muslimah sebagai kerjaya pilihan. Apatah lagi impian untuk membina jenama pakaian sendiri sudah mula terbit sejak di bangku sekolah lagi.
Optimis membawa jenama Fifa Rasol dalam pasaran negara, Fifa atau nama sebenarnya Nur Afifah Rasol ketika dihubungi Nona mendedahkan dia mula serius menceburi bidang perniagaan kira-kira tiga tahun lalu.
“Modal permulaan saya dapat dari ibu sebanyak RM2,000. Saya mula serius berniaga lepas graduate Jun 2019 dan produk pertama saya ialah baju kurung chiffon. Sebenarnya sejak Tingkatan 1 lagi saya dah pasang impian mahu ada brand sendiri. Lebih-lebih lagi sebab saya boleh jahit baju dan suka design pakaian.
Jadi masa berada di tahun keempat perubatan, saya ambil peluang cuti semester 2 minggu untuk design baju dan jual. Tak sangka dapat sambutan. Sejak itu saya buat keputusan untuk teruskan bisnes ini dan anggap ia bukan sekadar untuk jualan isi masa lapang dan cuti semester saja.”
Ujarnya lagi, sejak kecil dia tertarik dengan kecekalan ibu tersayang menjana pendapatan melalui bisnes. “Sumber inspirasi saya ialah ibu saya sendiri sebab dari kecil ibu dah pernah jual macam-macam dan semua yang dia jual mesti laku. Hasil jualan itu jugalah ibu saya ada simpanan yang sangat kukuh sampai sekarang.
Dari situ saya nampak kesungguhan dan kerajinan ibu yang patut saya jadikan contoh. Saya mula minat dunia bisnes apabila melihat ibu seronok berniaga. Lagi buatkan saya mahu menceburi bidang ini sejak ibu hantar saya belajar menjahit ketika berusia 13 tahun.
Saya juga bersyukur ibu banyak bantu asah bakat saya menjahit dan mereka baju selain bagi duit untuk beli peralatan jahit kain dan mesin jahit. Ibu juga sanggup belikan dua mesin jahit baru untuk saya.
Berkat kerja keras dan sokongan orang sekeliling, Fifa kini mampu tersenyum bangga apabila dia bukan hanya berjaya membantu ramai wanita menjana pendapatan bahkan bakal berpindah ke kilang baru di Kajang, Selangor pada bulan Julai nanti. Tumpang bangga tengok bisnes FifaRasol makin berkembang maju!
“Alhamdulillah, sekarang saya dah ada 15 orang staf. Sepanjang buat bisnes ini, antara cabaran yang kakitangan saya hadapi ialah nak urus postage yang terlalu banyak setiap hari.
Lebih mencabar bila empayar FifaRasol dalam usaha mengubah hidup 6,000 wanita Malaysia daripada tak berduit kepada yang pandai menjana duit hasil bisnes bersama produk kami.
Sekarang kami dah ada hampir 6,000 agen FifaRasol. 14 orang pula dah berjaya buat sale capai 5 ke 6 angka sebulan. Sempena raya tahun ini, kami dah hasilkan 14 design baju raya dengan 42 pilihan warna yang diilhamkan dari fesyen negara China dan Korea serta ditambah baik menjadi design baju kurung,” jelas graduan MBBS of Jordan Science and Technology ini.
Sementara itu ditanya amalan yang dilakukan setiap hari agar perniagaan terus berkembang maju, ini jawapan jujur Fifa. “Setiap pagi saya amalkan bacaan Al-Waqiah dan doa dhuha bersama staf FifaRasol selain mengamalkan ayat tujuh untuk dipermudahkan segala urusan.
Sekiranya kita ada impian, kejarlah impian itu dengan berniaga sebab perniagaan ini antara jalan terpantas untuk kita capai impian lebih-lebih lagi apabila kita bersungguh-sungguh.
Kalau ragu-ragu dengan kebolehan diri, tolak tepi dan beri peluang kepada diri untuk mencuba. Zaman sekarang kita dapat kurangkan risiko kerugian dengan berbisnes sambil bermentor. Pastikan kita ada guru untuk mengajar.
Jika tak mampu untuk mengikuti kelas atau bayar khidmat mentor, jadi agen kepada produk sedia ada. Secara tak langsung, anda akan dapat belajar pengalaman berniaga daripada usahawan tersebut secara percuma,” pesan Fifa mengakhiri perbualan yang kini sedang hamil anak kedua.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Inilah yang dinamakan sahabat sejati, mahal nilai persahabatan mereka. Yang akhirnya membawa kepada ikatan yang berkekalan. Diharapkan sampai ke syurga hendaknya, Insha-Allah.
Itulah jodoh, tiada siapa yang dapat menjangkakannya. Hikmah dari persahabatan kedua ibu bapa yang akhirnya ‘mempertemukan’ jodoh anak gadis dan teruna.
Anak ketiga kepada pelakon, penerbit, pengacara dan usahawan Datuk Rosyam Nor iaitu Nurlisa Mohamed Noor, 25, memilih Khairul Azhar Fazli, 26, sebagai suami. Baginya ini merupakan keputusan terbaik apatah lagi mereka sudah lama berkenalan sejak menuntut di sebuah universiti di Perth, Australia.
“Kebetulan ibu bapa kami memang telah lama bersahabat iaitu sejak kami kecil cuma kami tidak pernah bertemu. Pertama kali bertentang mata di satu majlis “Club Day/Guild Day” di university. Ia membuatkan hubungan kami mula akrab. Ketika itu, Khai merupakan presiden Association of Malaysian Students di universiti itu,” kongsi Nurlisa mengenai detik perkenalannya dengan suami tercinta.
Melihat perwatakan Nurlisa yang disifatkan sebagai seorang gadis yang happy go lucky, Khai amat tertarik dengan keperibadiannya. Tambahan pula, ikatan kekeluargaan yang sangat akrab juga menjadi salah satu sebab Khai jatuh cinta kepada anak Datuk Rosyam Nor dan Datin Runika Yusof ini.
Sementara Nurlisa pula, amat menyenangi keperibadian Khai yang baik hati serta pemurah terhadap dirinya serta amat mengambil berat sepanjan pengajian di bumi Australia.
Nurlisa memilih tarikh 12 Februari 2022 untuk mengikat tali pertunangan. Pada majlis itu, pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran manakala pihak perempuan membalas dengan tujuh dulang hantaran. Adi Decor bertindak selaku penata rias dekorasi majlis yang menampilkan tema elegan namun masih mengekalkan kesederhanaan. Nurlisa anggun dalam persalinan Zaimi Zulkafli.
MAJLIS NIKAH
Berlangsung di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur dan dihadiri kaum keluarga serta kenalan terdekat. Bertemakan Enchanted Forrest, ia menampilkan elemen natural. Live orchestra dari OJ Kustik yang membawa 22 pieces instrument menjadi pilihan mempelai bagi menghiburkan para tetamu.
Majlis penuh emosi dan kesyukuran itu turut menyaksikan upacara khatam Quran oleh pihak lelaki sebagai tanda ianya dibaca/dikhatamkan serta menjadi mahar/hantaran yang diminta oleh pihak pengantin perempuan. Tiada wang hantaran diminta. Penyerahan mahar adalah berupa naskhah Al Quran oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan. Dalam majlis itu, Nurlisa anggun mengenakan busana serba putih rekaan Mimpikita manakala Khai menyarungkan persalinan Man Kajang.
Semoga Nurlisa dan suami kekal bahagia selamanya. Untuk info, Datuk Rosyam Nor dikurniakan lima orang anak perempuan di mana dua daripadanya telah pun berkahwin.
Kredit Foto: Instagram Nurlisa
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Suaranya bertenaga, padu dan mengalirkan energi luar biasa. Apatah lagi saat melantunkan lagu Waka Waka (This Time for Africa) yang pernah bergema ketika Piala Dunia 2010. Shakira, wanita Colombia yang mesra dengan gelaran Ratu Pop Latin kini berusia 45 tahun.
Memulakan kerjaya nyanyiannya sejak remaja, debut pertama Shakira Isabel Mebarak Ripoll bersama Sony Music Colombia bermula seawal usia 13 tahun. Album pertamanya berjudul Magia (1991), namun album yang benar-benar berjaya menjulang namanya adalah Pies Descalzos (1995).
Nama Shakira mula menembusi pasaran lagu-lagu Inggeris pada tahun 2001 melalui albumnya, Laundry Service. Siapa sangka, sejak itu suara gemersik Shakira mula mendunia dan terjual lebih 13 juta salinan di seluruh dunia.
Wanita kelahiran Barranquilla, Colombia dan mempunyai warisan darah Lebanon itu juga kerap menerima pelbagai anugerah penghargaan menerusi Grammy dan Billboard.
Bermula daripada kejayaan itu, kerjaya Shakira terus melonjak melalui album-album terkenal seperti La Tortura (2005), Hips Don’t Lie (2006), Beautiful Liar (2007), Waka Waka (This Time for Africa) (2010), Loca (2010), dan Chantaje (2016). Beliau juga sering menduduki carta tertinggi dalam barisan lagu-lagu hit global.
Pun begitu, kemasyhuran dan populariti yang meniti hidup Shakira sama sekali tidak menjadikan ibu anak dua itu alpa. Sebagai ibu tunggal, kehidupan Shakira sering berputar di sekeliling anak-anaknya, Sasha dan Milan yang merupakan hasil perkongsian hidup dengan pemain bola sepak, Gerard Pique.
Pasangan tersebut dikatakan berpisah selepas Pique menjalin hubungan sulit dengan wanita lain. Walau bagaimanapun, kini Shakira terus cekal menjalani kehidupan bersama anak-anak sambil menjaga bapanya yang sakit.
Malahan, Shakira tekad bergelar aktivis kemanusiaan melalui yayasan miliknya, Pies Descalzos Foundation atau Barefoot Foundation yang didirikan pada tahun 1997.
AKTIVIS
Yayasan ini merupakan sebuah badan amal yang bertujuan menyalurkan bantuan pendidikan bagi kanak-kanak kurang kemampuan di Colombia dan Amerika Latin. Barefoot Foundation memiliki lima buah sekolah yang menyediakan pendidikan dan makanan untuk lebih 4,000 kanak-kanak.
IShakira merupakan seorang individu yang sangat mementingkan pendidikan. Lebih-lebih lagi melihatkan situasi negara Colombia yang mencatatkan kadar kemiskinan tegar yang tinggi. Keadaan hidup yang sukar turut mendesak banyak kanak-kanak ketinggalan dalam pelajaran.
“Percayalah, dapat melihat seorang anak diberi peluang untuk terus belajar dan melanjutkan pendidikannya adalah satu perasaan yang sukar digambarkan. Lebih hebat dari mendapatkan anugerah Grammy.” Shakira
Shakira juga sering melakukan advokasi pendidikan kerana baginya, ia merupakan kekuatan transformasi yang dapat mengubah bukan hanya pada orang yang belajar, tetapi juga orang di sekelilingnya.
“Dengan memberikan pendidikan kepada kanak-kanak, banyak kesan positif yang akan dilahirkan. Antaranya pertumbuhan ekonomi, pembangunan dan kestabilan hidup.
Jika kita mahukan sebuah dunia yang damai, kita harus meningkatkan pelaburan dalam bidang pendidikan.” Shakira
Selain itu, Shakira juga merupakan seorang Goodwill Ambassador dari UNICEF sejak tahun 2003. Beliau membantu meningkatkan kesedaran dunia terhadap kanak-kanak yang rentan.
Pada tahun 2017, Shakira mendapat penghargaan kehormat dari World Economic Forum, yakni Crystal Award atas kerja-kerja kemanusiaannya.
Penghargaan tersebut lazimnya diberikan kepada tokoh-tokoh terkemuka yang memberi inspirasi dalam bidang kepimpinan atau membawa perubahan yang inklusif dan berkelanjutan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Cikgu Samm ada kisah sedih sebelum berjaya, "hari pertama ambil SPM ayah meninggal, kesannya cikgu gagal. Sebut sahaja nama Ho Pooi San, pasti ramai...