
Wah, makin maju bisnes suri hati Mawi sekarang! Tahun 2025 sudah tentu melakar kejayaan baharu buat pasangan suami isteri popular ini. Mana tidaknya, mula jual manisan dari rumah kemudian meletakkan produk niaga di rangkaian kedai serbaneka stesen minyak terpilih di Lembah Klang sampai mampu buka kiosk pada tahun lepas. Kini Ekin atau pemilik nama Nora Ashikin Rahmat sudah pun mempunyai kafe sendiri.
Pastinya sepanjang lebih lima tahun mengusahakan produk berasaskan manisan dikenali sebagai Polka Pops itu pelbagai ujian telah dilalui Ekin bersama rakan niaga yang juga kembarnya, Aenn.
Kafe Polka Pops Milik Suri Hati Mawi, Ekin
Berkongsi pencapaian tersebut di media sosial, rata-rata peminat dan pelanggan setia Polka Pops mengucapkan tahniah kepada Ekin dan Mawi serta Aenn atas pembukaan kafe dan mart baharu mereka di Bangi, Selangor.
“Bismillahirrahmanirrahiim. Jemput singgah ke Polka Pops Kafe & Mart! Akan mula beroperasi 26 Februari 2025, Rabu. Lokasi, Masjid Al-Hasanah, Seksyen 9, Bangi.”
Menerusi foto yang dimuat naik kelihatan Mawi dan Ekin ceria berkongsi suasana di dalam Polka Pops Kafe dan Hasanah Mart. Ekin yang anggun dalam persalinan kurung merah turut ditemani kembarnya, Aenn.
Difahamkan sempena bulan Ramadan, waktu operasi Polka Pops Kafe dan Hasanah Mart bermula pada jam 5 petang sehingga 11 malam, setiap Hari Rabu hingga Ahad.
View this post on Instagram
Lokasi perniagaan Polka Pops juga cukup strategik kerana terletak berhadapan Masjid Al-Hasanah.
Idea Bisnes Polka Pops Ekin Mawi
Dalam temu bual Nona bersama suri hati Mawi itu sebelum ini, Ekin berkata dia mendapat ilham untuk berniaga Polka Pops kerana suka makan juadah pencuci mulut.
“Idea Polka Pops datang dari Ekin sendiri sebab Ekin terlalu suka makan dessert. Sampai kalau pergi melancong dalam dan luar negara pun Ekin suka cuba pelbagai dessert yang ada.”
Terdapat tiga pilihan dessert ditawarkan iaitu Polka Pops, Cha Cha Pops dan Black Sticky Rice. Termasuk satu lagi produk mereka iaitu Mochi Roll.
Ujar Ekin, dia mula menceburi bidang keusahawanan sejak sedekad lalu dalam pelbagai cabang bisnes seperti produk kecantikan Uniquein, tudung Hoodie dan sebagainya.
Ekin mendirikan rumah tangga bersama Mawi yang merupakan penyanyi dan pengarah pada 20 Disember 2008. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan diberi nama Cahaya Malaika berusia 13 tahun.