Mengenali Faizul Rohban, seperti mengimbau kembali kenangan penulis saat bertemu kakaknya, Allahyarhamah Faziani Rohban. Kemesraan dan semangat pengasas kosmetik Dnars itu seakan mengalir semula, dari DNA yang sama, cuma melalui orang yang berbeza.
Tenang menyapa penulis, Faizul atau nama penuhnya Mohd Faizul Rohban Ahmad tidak kekok bercerita pengalaman hidup beliau sebelum bergelar ahli perniagaan Beauty Kaseh.
Sejak dilancarkan sekitar 2013, nama produk minuman kesihatan, Manja Kaseh dan Arjuna Kaseh mula hebat diperkatakan. Di sebalik kejayaan itu, inilah orangnya yang bertungkus-lumus memajukan bisnes yang diilhamkan oleh kakak sendiri, Hajah Faziani Rohban.
Faizul Rohban dan Norbaizura Ibrahim
Lelaki segak asal Kelantan dan berusia 38 tahun itu kini merupakan Pengarah Urusan FR Qaseh Marketing Sdn Bhd.
“Betul, bisnes Beauty Kaseh ditubuhkan hasil ilham dan kerja keras kakak saya yang pada waktu itu memerlukan seorang jurucakap untuk produk yang dilancarkan.
Arwah meminta isteri saya, Norbaizura Ibrahim untuk membantunya sebagai jurucakap kemudian mempelawa saya sekali untuk menjadi jurucakap bersama. Saya ingat lagi kata-katanya masa tu…
Allahyarhamah Faziani Rohban
Arwah pernah menjadi penghias cover Majalah Nona
‘Joe, aku nak mu dengan Zura jadi jurucakap bersama. Aku yakin mu ada kelebihan untuk bercakap.’
Bermula dari situlah penglibatan saya dan isteri menjadi jurucakap sepenuh masa. Namun pada tahun 2017, kira-kira dua tahun sebelum kematian arwah, dia membuat keputusan untuk melepaskan perniagaan Beauty Kaseh dan menyerahkan syarikat ini sepenuhnya kepada saya tanpa perlu membayar apa-apa.
Hanya ambil dan uruskan saja.” Faizul Rohban
Sebagai seorang adik, pemergian kakak tersayang pastinya meninggalkan banyak kenangan. Faizul tidak terkecuali.
“Saya tak pernah rasa ralat bila orang kaitkan saya dengan perniagaan arwah. Memang betul asalnya bisnes ini adalah hak arwah, dan setiap kali orang bertanya, saya juga akan mengaitkan arwah kerana mana mungkin saya mahu melupakan orang yang membawa saya ke tahap ini.
Arwah banyak berkorban tenaga, idea, wang ringgit dan doa untuk membawa kejayaan kepada saya. Setiap kali orang tengok saya dan tanya, ‘Adakah awak adik pengasas Dnars?’ maka jawapan saya adalah ‘Ya!’
Darah dan semangat arwah sentiasa mengalir dalam badan saya.” Faizul Rohban
Penerima Nona Best Men’s Halal Beauty Award
Faizul Rohban dan isteri
Ads
Pencapaian Beauty Kaseh yang membanggakan turut mengangkat nama Faizul Rohban sebagai penerima Best Men’s Halal Beauty Award di acara Nona Superhero Award 2021.
Meskipun maju dan menerima pengiktirafan yang tinggi, namun tak sedikit pun wujud rasa riak, sebaliknya Faizul semakin berazam mahu membawa nama Beauty Kaseh ke peringkat global.
“Sebenarnya saya mula berbisnes selepas tamat SPM 2002. Masa tu saya ambil alih bisnes kedai makan arwah abah iaitu sebuah kedai menjual roti tempayan (roti nan) yang tak dikenali. Dengan jualan kedai yang bagaikan hidup segan mati tak mahu, saya ubah landskap bisnes itu ke arah yang lebih baik.
Percaya tak, saya pernah promosikan kedai saya tu dengan menyelit flyers di dalam akhbar-akhbar? Saya masih ingat saat tu, hanya ada sebuah motosikal saja. Itulah kenderaan saya untuk membawa segala bahan mentah.
Pernah saya bawa seguni gandum di atas motosikal dan tiba-tiba talinya putus lalu berteraburlah gandum di atas jalan. Tanpa rasa malu saya turun dan ambil balik gandum-gandum tu. Pernah juga guni bawang bocor, pun saya turun dan kutip bawang-bawang di atas jalan raya.
Dulu saya hanyalah seorang budak penebar roti canai. Arwah abah buat roti dan saya buat roti canai. Selepas abah meninggal dunia pada tahun 2010, tinggallah saya seorang menguruskan kedai sambil dibantu oleh adik perempuan dan adik lelaki saya yang masih bersekolah waktu tu.
Pada masa tersebut, saya tiada impian nak usahakan bisnes produk lagi, sekadar fokus mempertahankan bisnes arwah abah saja.
Sehinggalah pada tahun 2013, arwah kakak telah membawa saya ke pentas perniagaan Beauty Kaseh ini.” Faizul Rohban
Ads
ARWAH KAKAK
Tekad mahu berjaya dan mengubah nasib dirinya, Faizul kini sedang melanjutkan pengajian Ijazah Pengajian Perniagaan di sebuah IPT. Impiannya besar, mahu membawa jenama Beauty Kaseh ke tahap global!
“Segalanya memerlukan perancangan rapi termasuk dokumen yang lengkap. Kerana itu kami telah mula bergerak ke arah ini sejak dari tahun 2019 lagi. Selain itu, kami juga memiliki sebuah kilang kosmetik yang akan beroperasi tak lama lagi.”
Menyedari betapa kuatnya persaingan dan cabaran pandemik yang melanda dunia, Faizul bingkas memperkasakan dirinya agar lebih dinamik dan berdaya saing.
“Hari ini media sosial bergerak pantas dan wujud ramai founder yang mencari ejen untuk produk mereka. Bersandarkan kekayaan yang dimiliki, segalanya ditayang dengan alasan supaya ejen lebih terangsang.
Tapi saya yakin untuk merangsang minda manusia agar berjaya, cara sebenar ialah dengan memberi ilmu perniagaan yang betul. Bukan beri khayalan.
Di Beauty Kaseh, saya lebih suka menghasilkan produk yang berkualiti serta menjalani R&D yang mantap berbanding menghasilkan contents yang tidak bermanfaat.
Prinsip saya mudah. Biar lambat tetapi berkualiti. Sebagai ahli perniagaan, kita mesti bergerak seiring dengan realiti yang sebenar serta pengalaman yang mematangkan kita.” Faizul Rohban
Menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai idola, Faizul juga tidak menafikan bahawa banyak sifat-sifat arwah kakaknya yang dicontohi untuk berjaya.
Ads
“Arwah adalah seorang yang tidak sekali-kali akan kalah pada keadaan. Apabila dia kata ya, maka tidak ada apa yang boleh mengatakan tidak. Dia akan berusaha sungguh-sungguh untuk mencapainya.
Satu hari kami berjumpa di airport, saya bagi kad bisnes saya yang baru kepada arwah. Dengan spontan arwah jawab, ‘Satu masa nanti mu akan berjaya sebab mu kreatif. Tapi dengan syarat jangan putus asa.’
Memang arwah kakak selalu berfikir untuk memajukan bisnes saya. Dua minggu sebelum nahas yang menimpa arwah, dia telefon isteri saya untuk berpesan, jagakan kelapan-lapan anaknya dengan sebaik mungkin.
Arwah mahu saya uruskan kilang dia kerana dah penat. Jarang dalam hidup dia yang dia katakan dia penat. Waktu tu kami tak perasan ini pesanan terakhirnya…” Faizul Rohban
Kenangan paling manis buat Majalah Nona, ketika bertamu ke mahligai indah Allahyarhamah Faziani Rohban di Tumpat, Kelantan. Mesra dan amat menyenangkan, sebak pula tonton video ni…
IMPIAN
Tidak mahu terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kisah peribadi Faizul pula menjadi topik sembang kami. Agaknya bagaimanalah cara membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga di rumah?
“Sebenarnya dua perkara ini penting dalam hidup saya. Isteri dan anak-anak kerana itu saya akan pastikan setiap Jumaat kami berada di rumah bersama-sama. Kalau tidak outstation, saya sentiasa berada di rumah untuk makan, solat berjemaah dan beriadah sekeluarga.
Faizul seorang yang tekun memperbaiki diri
Selain itu, ada beberapa hari yang saya akan pastikan hadir ke majlis pengajian kitab dan tafsir Al-Quran di masjid. Itulah cara saya melepaskan stres dalam hidup saya.
Biasanya bila saya lemah dan down, saya akan pujuk diri saya bahawa ini semua adalah ujian dan cabaran yang Allah berikan agar kita lebih kuat. Tanpa ujian, manusia sering akan merasa selesa tetapi dengan ujian, kita akan rasa lebih diperhatikan.” Faizul Rohban
Sama seperti tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar yang menjadi idolanya, lelaki berkulit cerah ini berkongsi hasrat yang sama iaitu mahu membangunkan ekonomi ummah tanpa menonjolkan kekayaan.
“Satu lagi impian yang belum tercapai ialah ingin melihat produk-produk Beauty Kaseh berada di dalam rumah setiap Keluarga Malaysia seperti minuman, bedak, kosmetik dan lain-lain. Saya yakin semua ini pasti akan berhasil suatu hari nanti, insya-Allah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Umum mengetahui terdahulu pelawak dan pengacara, Jihan Muse, 41, pernah mengambil keputusan berehat sementara dari dunia seni tanahair, kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan putera keduanya yang dilahirkan pada 6 September 2022.
Usai melahirkan anak keduanya yang diberi nama Ungku Altamis Barr, Jihan mengambil keputusan untuk berehat sepenuhnya dan memberi tumpuan kepada keluarga serta anak-anak.
Sepanjang tempoh tersebut, Jihan terpaksa melupakan tugas untuk mengacarakan rancangan popular demi memastikan proses berpantang dan masa berkualiti bersama keluarga tersayang dapat dinikmati sepenuhnya.
Pengorbanan Seorang Ibu Tiada Galang Gantinya!
Benarlah kata bidalan, seorang ibu sanggup berkorban apa sahaja untuk memastikan anak-anaknya membesar di depan mata. Sudah tentu perasaan yang sama dikongsi oleh Jihan yang ingin meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga tersayang.
Malah, isteri kepada Ungku Hariz ini juga dilihat ada memuat naik posting di Instagram berkenaan keterujaannya untuk membawa anak keduanya, Ungku Altamis Barr melihat dunia kali pertama sebaik sahaja beliau dilahirkan.
Jihan menulis kapsyen ringkas tetapi penuh makna yang meluahkan rasa syukur buat anak keduanya. Pada masa yang sama, dia menitipkan doa semoga keluarganya itu dilimpahi rahmat. Secara tidak langsung, dapat digambarkan bahawa wanita ini meletakkan keluarga sebagai keutamaan utama buat dirinya kini.
Selain itu, sebagai isteri dan ibu, sudah pastinya keutamaan dirinya adalah untuk keluarga tersayang. Malah Jihan mengakui bahagia dikelilingi 3 “Ungku” dalam kehidupannya.
Jihan mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Ungku Hariz pada 20 Mac 2016. Mereka juga dikurniakan cahaya mata lelaki, Ungku Arsalan Haq yang kini berusia empat tahun.
Sekadar info artikel ini merupakan artikel olahan semula dari NONA.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Bukan calang-calang bakat, tuah aktres Anna Sawai pada usia 32 dinobatkan wanita Asia pertama genggam trofi Anugerah Emmy 2024.
Siri drama televisyen terbitan Disney, Shogun, berhasil melonjakkan nama para pelakonnya, termasuk bintang utama – Anna Sawai.
Anna Sawai mencipta sejarah di Anugerah Emmy ke-76 yang berlangsung di Peacock Theatre, Los Angeles pada 15 September 2024 apabila diumumkan sebagai wanita pertama berketurunan Asia yang merangkul anugerah Aktres Terbaik dalam siri drama.
Dengan penuh emosi, beliau meluahkan penghargaan kepada seluruh kru penerbitan Shogun, serta ibunya.
Terharu tengok reaksi Anna di atas pentas, saksikan rakaman video di bawah…
Bintang yang juga seorang penyanyi dan penari itu menerima anugerah tersebut bagi wataknya sebagai, Toda Mariko, dalam Shogun.
Shogun menjadi pemenang drama bukan berbahasa Inggeris pertama bagi anugerah yang sangat diidamkan iaitu siri drama terbaik.
Anna ialah pelakon wanita berketurunan Asia kedua yang bersaing dalam kategori tersebut setelah Sandra Oh, yang dicalonkan empat kali bagi Killing Eve, tetapi tidak pernah menang.
“Terima kasih kepada pasukan saya dan terima kasih kepada keluarga saya – ibu, saya sayang anda.
Anda sebab mengapa saya berada di sini,” kata pelakon yang dilahirkan di New Zealand sebelum berpindah ke Jepun pada usia 10 tahun itu.
Kemenangan Sawai menyusul beberapa minit setelah Hiroyuki Sanada, yang turut beraksi dalam drama tersebut, turut dinamakan pelakon lelaki terbaik.
Sanada turut mencatat sejarah dengan menjadi pelakon lelaki Jepun pertama memenangi anugerah tersebut.
Beliau juga individu berketurunan Asia kedua untuk menang dalam kategori pelakon drama utama setelah Lee Jung-jae, yang diiktiraf dengan anugerah pada 2022 bagi wataknya dalam Squid Game.
Instagram @annasawai
“Ia adalah projek impian Timur-bertemu-Barat, dengan segala hormat,” kata pelakon utama veteran itu.
Shogun yang merupakan siri daripada FX yang dimiliki Disney dan berdasarkan cereka sejarah, James Clavell, menerima 25 pencalonanan secara keseluruhan – iaitu yang terbanyak.
Dengan penggambaran diadakan di Canada, ia menampilkan sari kata dan barisan pelakon Jepun khususnya.
Sejak akhir-akhir ini, isu mencemuh atau mempersenda penampilan fizikal seseorang semakin menjadi-jadi diperkatakan di laman sosial. Perlakuan ejekan tubuh tidak hanya berlaku secara lisan, tetapi juga melalui gajet dan aplikasi. Contohnya, melalui komen di media sosial yang semakin meluas dilakukan hari ini, sejajar perkembangan teknologi masa kini.
Ejekan tubuh didefinisikan sebagai perbuatan memalukan seseorang atau diri sendiri melalui ejekan dan kritikan terhadap bentuk tubuh, warna kulit, penampilan, pekerjaan serta kekurangan dialami mereka.
Antara selebriti yang berhadapan dengan isu body shaming baru-baru ini ialah selebriti ternama Indonesia Bunga Citra Lestari atau BCL.
Tular di media sosial mengaitkan perubahan fizikal dan perutnya yang sedikit buncit sehingga isu ini menimbulkan fitnah dan diperbesar-besarkan sehingga mengheret dirinya mempunyai hubungan dengan rakan selebriti penyanyi Ariel Noah.
Mengakui terkilan dengan dakwaan tidak berasas tersebut, penyanyi berstatus ibu tunggal itu menjelaskan, isu ‘body shaming’ sebegitu memberi impak terhadapnya yang ternyata sedih dan tidak seharusnya tercetus. Bagi Bunga, andaian tersebut tidak adil terutama datangnya dari kalangan individu yang tidak mengenalinya secara peribadi.
“Sejujurnya saya sedih dan sakit hati apabila menjadi mangsa ‘body shaming’ hanya kerana perut kelihatan buncit daripada biasa.
“Sama seperti orang lain, saya juga makan. Semua ini normal terutama untuk orang yang suka makan tengah malam,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar penganjuran Konsert BCL Blossom Intimate di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) semalam.
Meskipun dirinya sering menjadi mangsa kecaman apatah setelah kehilangan suami tercinta, penyanyi yang popular menerusi lagu Wanita Terbahagia itu tetap sedar bahawa bukan semua pihak memahami ‘masalah tubuh badan’ yang sering dialami oleh kaum wanita.
“Tidak dinafikan setiap wanita akan berhadapan dengan masalah perut buncit apabila datang bulan dan saya juga tidak terkecuali dari berhadapan dengan situasi yang sama. Jadi, bila isu ini timbul, saya tidak boleh hendak salahkan sesiapa kerana mungkin sudut gambar itu diambil juga mempengaruhi keadaan postur tubuh.
Saya lebih selesa untuk berdiam diri dari menjawab pertanyaan yang tidak masuk akal,” ujar Bunga yang turut berkongsi dengan rakan media perasaannya tatkala dikaitkan dengan isu yang boleh menjatuhkan fitnah itu.
“Namun, saya kecewa apabila masalah perut buncit ini dikaitkan dengan hal tidak enak terutama bersama rakan baik iaitu Ariel.
Tambah Bunga yang gembira dapat pulang ke ‘rumah keduanya’ setelah hampir 2 tahun tidak kembali ke Kuala Lumpur, dia juga belajar untuk menerima bentuk tubuhnya seadanya dan enggan membiarkan perkara negatif membelenggu dirinya.
“Jika tiga tahun kebelakangan ini saya sangat kurus padahal makan banyak tetapi bila nampak berisi, orang lemparkan pula tuduhan lain pula. Saya belajar untuk menerima kelebihan dan kekurangan diri sendiri dan tidak mahu rasa murung kerana tekanan daripada pihak luar. Semua ini juga boleh terjadi kerana faktor umur yang semakin meningkat,” jelas Bunga yang menginjak usia 39 tahun.
“Harapnya isu ‘body shaming’ ini terhapus dan masyarakat akan menjadi lebih terbuka dan membuang sikap suka mencipta spekulasi sendiri berdasarkan perubahan bentuk fizikal seseorang,” katanya lagi.
BCL bakal mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 27 Januari 2023 bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Konsert Blossom-Bunga Citra Lestari merupakan konsert sulung Bunga selepas pandemik COVID-19 melanda dunia.
Bunga ternyata teruja untuk menghiburkan para peminat di Malaysia dan menganggap konsert ini sebagai hadiah dan apresiasi buat semua yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk dirinya sekeluarga terutamanya selepas suami tercinta, Ashraf Daniel Mohamad Sinclair kembali ke Rahmatullah pada Februari 2020.
Buat semua penggemar BCL, jangan lupa saksikan Konsert Blossom-Bunga Citra Lestari pada 27 Januari 2023 akan datang. Tiket boleh didapati di www.ticket2u.com.my mulai 11.11.22.
Untuk rekod, BCL mendirikan rumah tangga bersama Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohamed Sinclair pada 8 November 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Noah Aidan Sinclair, 11.
Namun bahtera rumah tangga mereka dikejutkan dengan pemergian Ashraf secara mengejut pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung sekitar pukul 4 pagi di rumahnya di Pejaten Barat, Jakarta Selatan, Indonesia. Sejak kematian suami, BCL kerap digosipkan menjalin hubungan istimewa dengan beberapa selebriti lelaki antaranya termasuklah Ariel, Afgan dan Reza Rahadian.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak imigran dan tak selesai pengajian, kini Lucy Guo tersenarai sebagai antara wanita termuda dalam senarai America's Richest Self-Made Women pada usia 30 tahun!