Ratu skuasy, Datuk Dr Nicol Ann David genap usia 42 tahun, kini bahagia nikmati waktu bersara dan lahirkan pelapis negara.
Dilahirkan pada 26 Ogos 2025, permata negara kelahiran Pulau Pinang ini adalah cahaya mata Ann Marie David, seorang guru sekolah Cina berbangsa Hakka-Hokkien dengan Desmond David, seorang jurutera berbangsa Tamil, yang juga bekas atlet negeri dan pemain bola sepak kebangsaan.
Beliau adalah anak bongsu daripada tiga adik-beradik yang mana dua orang kakaknya, Lianne dan Cheryl, juga merupakan bekas pemain skuasy negeri dan kebangsaan. Kecintaan keluarga ini terhadap sukan skuasy berakar daripada bapa mereka.
Menurut Astro Awani, Nicol bersekolah di SK Convent Green Lane sebelum ke SMK Convent Green Lane. Cemerlang dalam subjek matematik, asalnya beliau bercita-cita untuk menjadi jurutera namun takdirnya untuk mengabdi diri dalam sukan yang mula dimainkan sejak berusia lima tahun.
Bakatnya dikesan ketika berusia lapan tahun oleh Ee Phoeh Hoon yang menyerap Nicol bersama dua kakaknya ke dalam skuad negeri. Nicol memenangi kejohanan pertamanya di usia 10 tahun dan diserap masuk ke skuad senior negara pada usia 13 tahun.
Ads
Pada usia 15 tahun, beliau menjadi pemain wanita termuda yang menjuarai Kejohanan Remaja Dunia pada 2000 (tahun sama beliau menjadi pemain pro), juga yang pertama memenanginya dua kali apabila mempertahankan gelaran pada tahun berikutnya.
Sebulan selepas menjadi pemain profesional, Nicol merangkul gelaran WISPA pertamanya apabila menjuarai Terbuka Finland pada Februari 2000. Bertitik tolak dari itu, Nicol mula melakar namanya sehingga menjadi pemain skuasy terulung dalam sejarah.
Beliau memecah rekod dengan menduduki ranking no.1 dunia untuk 108 bulan berturut-turut dari Ogos 2006 hingga September 2015. Beliau juga pemenang Kejohanan Dunia paling banyak (8 kali), Terbuka British (5 kali) & deretan lagi rekod dalam sukan skuasy.
Ads
Nicol bersara pada 2019. Pada 2021, World Games menobatkan beliau sebagai Atlet Teunggul Sepanjang Zaman di mana Nicol adalah satu-satunya wakil Malaysia & Asia daripada 24 calon yang disenaraikan.
Yang pasti, Datuk Nicol David merupakan antara atlet yang berpendidikan tinggi. Pada tahun 2019, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan dari Universiti
Sains Malaysia (USM).
Berkongsi momen istimewa itu, ujarnya, “I’m so honoured! Never thought I would get this. Thanks to USM for this Honorary Degree of Doctor of Sports Science.”
Biarpun meraih pelbagai kejayaan di pentas dunia tapi wanita lasak tersebut tetap setia menimba ilmu. Walau sudah bersara, beliau masih menjadikan ilmu sebagai keutamaan. Moga kejayaan bekas atlet kebanggaan negara ini terus menjadi sumber inspirasi ramai wanita!
Siti Noor Radiah Ismail… satu-satunya wakil atlet paralimpik wanita yang telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di mata dunia, tiga tahun lalu. Kejayaan empat atlet paralimpik negara iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Abdul Latif Romly dan Siti Noor Radiah pada Sukan Paralimpik Rio 2016 nyata telah membuka mata rakyat tentang kebolehan atlet istimewa ini.
Mengimbas kembali pencapaian membanggakan mereka khususnya Siti Noor Radiah, meskipun sekadar meraih pingat gangsa dalam acara lompat jauh wanita kategori T20 (masalah pembelajaran), dia mengakui menerima tempias populariti yang tak pernah disangkanya selama ini.
“Kalau bercerita tentang diri saya, sejak kanak-kanak lagi sudah terbiasa dengan aktiviti lasak. Apa saja budak lelaki buat saya pun turut sama. Tapi sekarang dah kurang sedikit. Jadi lebih feminin mungkin sebab peningkatan usia dan naluri kewanitaan itu makin kuat,” selorohnya.
Daripada penampilan wanita yang lasak, Radiah tampak sangat menawan dalam persalinan gaun kembang kuning cair, Izz Ibrahim yang tersarung indah pada tubuh langsingnya. Potongan rambut lurus paras bahu Radiah menyempurnakan lagi sisi elegan gadis 25 tahun ini.
“Galakan untuk berjaya dalam sukan datang daripada diri sendiri tapi saya bersyukur kerana dapat dorongan daripada mak dan ayah. Memang dari kecil saya sudah menyimpan cita-cita untuk jadi atlet. Tak kisah dalam acara apa sekalipun asalkan ahli sukan.
Semasa di sekolah rendah saya kerap menemani ayah ke beberapa kejohanan sukan anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebab ayah merupakan bekas 21 Komando Gerak Khas di Kem Sungai Udang, Melaka.
Waktu di sekolah rendah juga saya sudah aktif dalam Sukan Paralimpiad dan dilatih Cikgu Huda untuk jadi wakil Melaka. Bila ayah bersara, kami berpindah ke Johor. Tahun 2006 saya jadi wakil negeri Johor pula.
Pertama kali saya jadi wakil Malaysia adalah pada tahun 2009 di Tokyo, Jepun tapi dulu tidak sepenuh masa. Tahun 2014 baru saya ditawarkan masuk ke MSN,” telus Radiah atau lebih dikenali sebagai Yaya dalam kalangan keluarga.
Radiah yang berkongsi jurulatih, Mohd Syahrul Amri Suhaimi bersama Latif dan rakan seperjuangan lain memberitahu latihan yang dijalankan terhadap mereka adalah sama. Namun jika terdapat kecederaan, setiap atlet akan ditugaskan menjalani latihan mengikut keupayaan fizikal dan kecergasan masing-masing.
“Dalam seminggu kami akan training enam kali sehari. Satu sesi latihan sebelah pagi bermula pukul 8 sampai 11 dan satu lagi pada waktu petang dari pukul 4 sampai 6.30 setiap hari sehingga Jumaat. Hari Sabtu pula cuma ada satu sesi pagi manakala Ahad kami cuti rehat.
Memang tidak lama tapi penat sebab kena berlatih lari saja untuk memantapkan stamina. Kami bukan hari-hari berlatih lompat jauh. Dalam dua ke tiga bulan sebelum perlawanan baru akan buat.
Kami juga ada pakar nutrisi yang mengawal diet pemakanan atlet. Selalunya kami akan makan apa sahaja. Walau bagaimana pun kena kawal makan lagi-lagi bila dekat hari pertandingan. Selain buat latihan bersama jurulatih, kadang-kadang saya akan keluar joging. Cabaran untuk jadi atlet terletak pada kekuatan mental. Sekalipun tidak boleh ikut latihan yang jurulatih sarankan tapi harus cuba.
Kalau tidak boleh juga baru maklumkan kepada jurulatih. Sebenarnya sejak di Incheon saya sudah mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan belakang. Baru-baru ini saya menjalani rawatan tulang belakang dan prosedur memasukkan gel dekat lutut. Bila rasa sakit sangat terpaksa makan ubat tahan sakit daripada doktor ISN.”
Tatkala ditanya pandangan beliau tentang perkembangan sukan tanah air, Radiah melahirkan rasa bangga kerana lebih ramai anak muda masa kini melibatkan diri dalam sirkit kejohanan.
Katanya, ia merupakan satu permulaan yang baik buat negara untuk mewujudkan persaingan sukan. Dalam masa sama berpeluang mencari pelapis baru. Semoga apa yang direncanakan atlet Paralimpik ini mampu direalisasikan seterusnya menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ketika semua penduduk dunia mengalami fasa ekonomi tidak menentu akibat penularan pandemik COVID-19, ramai yang hilang pekerjaan dan cuba mencari alternatif demi kelangsungan hidup. Apabila sukar mencari kerja, berniaga secara kecil-kecilan adalah alternatif untuk mencari rezeki halal.
Kegigihan seorang penjual nasi lemak yang tidak mempunyai kedua-dua belah tangan mencari rezeki telah menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia termasuk selebriti terkenal, Anzalna Nasir. Pelakon cantik ini kagum melihat usaha lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Nor Abdullah itu yang tidak ‘meminta-minta’.
“Tolong kira jap berapa nasi lemak atas meja tu. I want to buy all sebab nak tolong abang ni. Respect! walaupun OKU but still rajin mencari rezeki. Please help me to past this message to him dan tolong bagi number dia kalau ada yang kenal. Thank you,” tulis wanita yang mempunyai darah kacukan Cina-Punjabi ini.
Mulia sungguh hati ibu kepada Mohamad Eidrees Mohd Hanif sehingga ramai yang terkesan temasuk selebriti Sherry AlHadad, Adelien Tsen dan kakaknya, Diana Nasir serta mahu turut sama membantu lelaki tersebut. Mungkin kerana Anzalna sendiri pernah bercerita tentang kejayaan yang dikecapnya ini adalah hasil usaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan keluarga.
“Ala you berdua boleh lah sebab anak orang kaya,”. Tidak sebenarnya sebab kami berdua bekerja keras dan berusaha untuk mencapai apa yang diperoleh sekarang. Kami berdua ada bisnes sendiri and we don’t depend on our own family. We know our family can support us but for me, lagi bagus dan lagi bangga bila apa yang dikecap kini adalah hasil titik peluh sendiri,” bicara Anzalna.
Hanif yang setia di sisi Anzalna pula menambah, “Saya sebenarnya bukan lah anak orang kaya sangat, anak orang biasa-biasa saja. Kalau saya anak orang kaya, saya tak perlu bekerja pun. Memang betul we both start from zero, from nothing. Kerjaya kami tak ada kena mengena dengan famili. Famili kami hanya support, apa yang kami berdua nak, until where we got today.
Dan saya percaya lagi satu yang paling penting, semua orang kena fokus dekat strength atau kekuatan masing-masing. Setiap orang ada kekuatan dan kelebihan masing-masing jadi fokus pada kekuatan itu. Jangan fokus weakness atau kelemahan, insyallah kejayaan akan menyusuli,” tutur Hanif Zaki yang bekerja sebagai Pengurus di DRB-Hicom.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hidup adalah tentang menerima dan mencintai diri seadanya, dengan segala kekurangan dan ketidaksempurnaan kita. Itulah kekuatan pengasas aiskrim gula apong artisan, Mokti’s Ice Cream yakni Siti Fatimah Binti Adnan dalam mengembangkan bisnes yang diminati.
Di sebalik kemahiran dalam seni pembuatan aiskrim, Siti Fatimah yang juga Pengarah Urusan PMA Rich (M) Sdn Bhd bertuah kerana dibantu pasukan pengurusan yang hebat.
Antaranya suami tersayang, Pengiran Muhammad ‘Adil Bin Awang Iskanderndzulkarnein yang bertindak sebagai mastermind dalam meluaskan empayar Mokti’s Ice Cream sehingga mencapai 91 outlet dalam tempoh dua tahun.
Turut menguruskan enam buah kilang aiskrim di Perlis, rahsia kejayaan beliau hari ini sebenarnya terletak pada sifat tidak mudah menyerah. Nampak sahaja lembut, tapi tangkas dan lincah.
Paling penting wanita Utara berumur 31 tahun itu bijak menimbang pilihan dan tidak terburu memberi keputusan. She is such a vibe, aura Siti Fatimah sesungguhnya luar biasa.
Sebaik selesai penggambaran, kami duduk santai sambil menikmati aiskrim Apong Baby Bob. Memang sedap, bayangkan sebekas soft-served ice cream yang dilimpahi sirap gula apong asli, taburan cornflakes rangup dan boba kecil menyempurnakan hari yang panas terik. Patutlah Mokti’s Ice Cream tular, kesedapannya jadi fenomena!
Rezeki PKP, cerita Siti Fatimah bahawasanya Mokti’s Ice Cream mula meniti bibir ketika dunia dilanda pandemik tahun 2020.
“Betul, sebelum ni saya hanyalah seorang suri rumah dan ibu kepada tiga cahaya mata.
Dah tertulis jodoh saya kahwin muda umur 22 tahun, iaitu selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Perladangan Dan Agroteknologi dari UiTM Kota Samarahan, Sarawak.
Lepas dapat anak sulung, kami sekeluarga menetap di Bintulu kerana mengikut suami bertugas di sana. Masa tu dia masih terlibat dalam industri minyak dan gas.
Di situ jugalah saya mula kenal aiskrim gula apong yang betul-betul sedap, sampai teringin dan terbawa-bawa kesedapannya. Gula apong tu maksudnya gula cecair yang diambil daripada pokok apong (nipah) dalam bahasa Sarawak.
Tak lama kemudian, kami pindah ke Perlis selepas lahir anak ketiga. Kebetulan suami pula dihantar bertugas ke Algeria dan hanya dapat pulang tiga bulan sekali. Ketika itulah saya asyik teringat aiskrim gula apong.” Siti Fatimah
Biarpun mempunyai pasangan terbaik, adik-beradik yang selalu membantu dan staf-staf yang dipercayai, namun baginya tiada istilah bergantung pada manusia, kecuali Allah SWT.
Sambungnya lagi, minat dalam bidang pembuatan aiskrim bermula pada Disember 2019, selepas meminjam sejumlah wang daripada ibu tersayang.
“Dengan modal RM5,000, saya masuk kursus, beli mesin manual dan sebuah stall. Awalnya ilmu yang ditimba tu tersangatlah basic. Saya tetap kena balik buat R&D, buat aiskrim dan bagi pada mak serta jiran-jiran rasa.
Ingat lagi kata mereka, aiskrim masa tu manis sangatlah, tak sedaplah. Sampai banyak kali saya buang dan hampir-hampir putus asa. Tapi bila fikir semula, rugilah kalau berusaha sekadar melepas batuk di tangga.”
BISNES PANDEMIK
Menjelang Februari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan COVID-19 sebagai darurat kesihatan dunia. Ramai warga Malaysia dibawa pulang termasuklah suami Siti Fatimah yang bertugas di Algeria. Serentak itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga berkuatkuasa di seluruh negara.
“Dipendekkan cerita, suatu hari saya dapat formula aiskrim gula apong yang tepat. Rasanya sedap dan berlemak. Kebetulan negeri Perlis masa tu terkecuali daripada PKP, jadi rakyat bebas membuat aktiviti luar termasuk membawa keluarga beriadah di taman rekreasi.
Maka dengan bantuan adik-beradik, kami pun start meniaga aiskrim secara kecil-kecilan dari bonet kereta.
Tanpa rasa segan, saya pun bunyikan loceng untuk tarik perhatian pengunjung yang lalu-lalang. Makin hari makin ramai yang datang beli aiskrim scoop gula apong kami. Dari sekadar menjual di taman, kami dapat undangan waktu kenduri dan dari situ ramai yang minta kami buka kedai sendiri.
Jadi saya buka sebuah kedai kecil, cukup ada sebuah meja dan mesin saja, tapi dari situ pembeli yang datang tak berhenti-henti.” Siti Fatimah
Berkat kerjasama suami sebagai rakan kongsi, perniagaan aiskrim Siti Fatimah mula berkembang pesat. Asal-usul nama Mokti’s Ice Cream juga diambil daripada nama panggilan beliau – Mok Timah – dalam kalangan ahli keluarga mentua di Sarawak.
Rezeki pandemik, perniagaan suami isteri ini pantas tular di media sosial dan mengangkat kesedapan aiskrim gula apong asli di tanah air.
Meskipun tanpa kelulusan profesional dalam bidang perniagaan, namun minat berniaga yang kental serta bantuan suami, ibu dan adik-beradik Siti Fatimah menjadi tunggak kejayaannya.
Berkat sikap positif dan keinginan belajar dari pengalaman, usaha gigih pasukan Mokti’s Ice Cream serta beliau sendiri sebagai Pengarah Urusan terbukti membanggakan.
Hasil kepimpinan yang jitu, strategi dan kekuatan jenama Mokti’s Ice Cream itu sendiri, kini mereka berjaya membangunkan enam buah kilang aiskrim di sekitar Perlis.
Malah tirai 2022 berlabuh cemerlang dengan rekod 91 outlet Mokti’s Ice Cream di seluruh Malaysia termasuk pembukaan outlet terbaharu, Mokti’s Signature di Kuching.
Apakah resipi kejayaan Mokti’ s Ice Cream dalam tempoh dua tahun? Tonton temu bual eksklusif bersama Siti Fatimah ini…
Ditanya tentang impian bisnes Siti Fatimah, tanpa disangka beliau rupa-rupanya mahu terus menjadi pioneer dan membuka sebuah kilang kon milik Muslim pertama di negara ini. Cita-cita yang tidak mustahil jika disertai doa dan usaha!
“Alhamdulillah, sebenarnya setiap kali pembukaan outlet baru, pasti akan ada pelbagai permintaan dan pendapat yang berbeza. Kami hargai setiap pandangan dan berusaha menyelesaikan permasalahan dengan sebaik-baiknya.
Ini termasuklah isu-isu berbangkit di kilang atau staf, dan seumpamanya. Saya kira ia rutin biasa yang dialami setiap usahawan.
Hal yang paling menyeronokkan bagi saya adalah apabila staf-staf semua gembira bekerja di Mokti’s. Keluarga kecil kami ada lebih kurang 104 orang, segelintirnya adik-beradik dan majoriti staf penduduk Perlis. Saya bahagia dapat membantu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Saya ada plan nak menembusi pasaran Mekah. Mungkin suatu hari nanti kalau kami berjaya bawa Mokti’s Ice Cream sampai ke sana, barulah secara peribadinya saya anggap kami sudah berjaya.”
Menjadikan kecekalan arwah bapa dan semangat suaminya sebagai pembakar semangat, baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Best Halal Ice Cream, Siti Fatimah Adnan ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Penata gaya: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Mimie Romyza
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!