Dah masuk separuh abad tapi wanita 50 tahun ini disangka masih remaja, ini amalan Lure Hsu menolak tua, tak minum air manis!
Terpegun melihat wajah awet muda Lure Hsu ketika beliau menyambut ulang tahun kelahiran ke-50 baru-baru ini. Nampak personaliti Taiwan ini macam muda remaja, sedang hakikatnya pereka hiasan dalaman dan blogger fesyen ini sudah mencecah separuh abad.
Dilahirkan pada 15 Ogos 1975 di Taipei, personaliti Taiwan yang merupakan pereka hiasan dalaman dan blogger fesyen ini memiliki dua adik-beradik perempuan iaitu Fayfay dan Sharon Hsu.
Setiap pagi Lure Hsu minum satu liter air suam untuk rehidrasi dan melancarkan metabolisme badan. Beliau percaya bahawa hidrasi yang cukup adalah kunci pembakaran lemak, energi dan kesihatan tubuh badan.
Lure Hsu menghindari minuman manis kerana gula boleh bertukar lemak. Selain minum air kosong, beliau juga memulakan harinya dengan minum black coffee tanpa gula serta mengambil suplemen seperti Vitamin C dan kolagen.
Ads
Nak kulit matang tambah sihat, boleh guna produk penjagaan muka dengan formulasi retinol setiap pagi dan malam, ini pun rahsia awet muda yang Nona rasa berkesan >>>
Beliau fokus pada makanan sebenar dan tidak diproses. Lure Hsu menyukai makanan tinggi serat dan protein yang membuatkan rasa kenyang lebih lama. Kerana tubuh membakar lebih banyak kalori untuk memecah protein, ia juga membantu meningkatkan metabolisme.
Tidak makan selepas jam 7.00 petang. Malam adalah waktu untuk istirahat dan pemulihan. Baginya, makan terlalu lambat akan menjejaskan pencernaan dan mengubah makanan menjadi lemak. Jika lapar, beliau akan mengisi perut dengan buah rendah kalori.
Merawat kulit adalah prioriti Lure Hsu. Beliau menggunakan sabun dan penyental khas saat mandi bagi mengelakkan kulit berjerawat, sentiasa terhidrasi dan lembap. “Selagi kulit mendapat cukup air, kita tak perlu risau tentang kedutan.”
Olahraga wajib untuk menjaga bentuk badan dan wajahnya. Beliau setiap hari melakukan 50 sit-up dan 50 push-up untuk menguatkan otot kaki serta lengan. Senaman dilakukan sebelum makan malam serta memastikan tidur nyenyak untuk pembakaran lemak yang efektif.
Pertemuan dengan Datin Umi Kalsom Abdol Latif sekitar awal Mac tahun lalu sememangnya sukar dilupakan. Beliau merupakan seorang wanita yang cukup menyenangkan kerana sangat mesra, penyayang, berjiwa besar dan cantik dalam kelas tersendiri. Meskipun baru pertama kali bersua namun sepanjang berada bersama ibu Dato’ Fazley Yaakob ini bermacam-macam petua dan pengalaman hidup dikongsikan Datin Umi kepada penulis. Yang pasti, beliau tidak lokek berkongsi rahsia!
Melihat susuk tubuh dan raut wajah Datin Umi pasti ramai yang tidak menyangka ibu empat anak ini sebenarnya bakal meniti usia 68 tahun pada 13 April depan. Bersandarkan
rupa paras cantik dan pesona anggun yang dimiliki, Datin Umi kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenar. Apatah lagi beliau masih kekal cergas dan bijak bergaya. Sambil mengaku gemar berfesyen tetapi masih berpegang kepada penampilan sopan seorang muslimah, Datin Umi terbuka berkongsi rutin harian.
Saat ditanya petua cantik yang diamalkan hingga mampu kelihatan menarik pada usia lewat 60an, ini jawapan jujur beliau. “Mungkin sebab jiwa saya tak suka simpan apa-apa. Maksudnya, ada orang kalau ada sesuatu yang tidak kena… mereka suka simpan dan pendam tapi saya tak. Saya orangnya cukup terbuka tidak kira sama ada dengan arwah suami ke, anak-anak mahupun kawan-kawan. Kalau saya ada rasa kurang senang dengan sesuatu perkara, saya akan cakap dan tak simpan.
Dari situ, tiada lagi perasaan curiga dan mungkin salah satunya juga… saya tak kata yang saya alim tapi saya amal baca Al-Quran hari-hari. Tambahan lagi bila arwah suami dan emak dah tak ada. Bayangkan, lepas satu bulan suami meninggal dunia selang dua minggu kemudian emak pula pergi menghadap ilahi.
Kalau saya pergi luar negara pun, saya ada apps yang membolehkan saya sentiasa mengaji. Sejak arwah tak ada, saya mula catit berapa banyak kali saya dah khatam selama empat tahun ini. Dalam sehari saya akan peruntukan sekurang-kurangnya sejam untuk baca Al-Quran dan target berapa lama saya boleh habis baca satu Al-Quran.
Selain mengamalkan rutin itu sebenarnya tak ada pun petua lain sebab saya tak makan jamu. Saya ingat lagi arwah suami pernah pesan dulu. Katanya, “Ibu, biar ibu setua tu. Jangan ‘cucuk-cucuk’, bapak tak bagi. Kalau ibu buat facial, itu tak apa.”
Ujar Datin Umi lagi, “Masa muda-muda saya rajin juga buat jus. Paling saya suka ialah jus tomato dan carrot tapi saya minum berselang-selang. Tapi selepas arwah meninggal, saya kena asid refluks sebab trauma, murung dan depress kerana terkejut dengan pemergian suami. Saya tak boleh tengok makanan dan masuk dapur selama setahun. Padahal saya suka masak dan selalu masakkan untuk keluarga dan anak-anak. Saya tak boleh buat semua tu sebab teringat arwah sampaikan tak lalu makan dan masuk hospital.
Pada mulanya doktor ingat saya gastrik tapi lepas buat prosedur, asid refluks rupanya. Alhamdulillah, dah berkurang 10 peratus cuma saya tak boleh minum jus seperti tomato dan nanas macam dulu. Ikutkan masa muda, semua jus saya buat sendiri termasuk pucuk pegaga tapi sekarang kena kawal.
Memang saya teliti dan jaga pemakanan, tak ambil makanan manis, minuman kafein dan susu. Hanya jus tertentu je boleh dan banyak minum air kosong. Nasi pun makan sedikit. Apa-apa pun saya bersyukur sebab mewarisi gen cantik daripada arwah mak. Arwah dulu walaupun dah 82 tahun tapi kulit dia cantik.”
Bercerita mengenai rutin harian pula, Datin Umi menjelaskan beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pegawai kerajaan. Namun terpaksa berhenti kerja kerana mahu memenuhi permintaan anak sulungnya, Dato’ Fazley Yaakob.
“Saya pernah berkhidmat dengan kerajaan selama 30 tahun tapi berhenti kerja bila anak saya, Fazley balik dari belajar luar negara. Dia anak pertama saya dan waktu tu saya baru 40an. Fazley kata dia jemu tengok saya bekerja dan berkorban untuk anak-anak jadi dia mahu saya berehat.
Bila dah berhenti, saya isi masa dengan aktiviti yang saya suka seperti masuk kelas memasak, belajar mengait, buat flower arrangement dan decoration. Sekarang, hobi saya ialah tanam bunga orkid. Awal dulu memang saya tak pandai tanam tapi lepas beli buku dan belajar alhamdulillah pokok orkid saya kalau berbunga boleh bertahan sampai 3 hingga 4 bulan.
Bila anak-anak dah besar, saya sibukkan diri dengan benda yang saya minat macam mengait, menyulam dan tanam pokok. Waktu bekerja dulu, balik je rumah saya akan buat makanan seperti piza, kek, roti dan masak semuanya sendiri. Jarang beli di luar.”
Mengakui budaya wanita hari ini yang lebih berdikari dan memiliki kerjaya sendiri, Datin Umi bagaimana pun menitipkan pesan berikut kepada seluruh wanita demi mengimbangi
kehidupan berkeluarga. “Ibu saya ajar, macam mana tinggi pangkat kita sebagai seorang wanita tapi bila kita dah berkahwin dan ada di rumah… kita adalah isteri dan ibu.
Sebagai seorang wanita, macam mana sibuk kerjaya sekalipun menjaga suami dan anak-anak juga adalah tanggungjawab. Paling penting, pastikan anak-anak dapat didikan agama,” akhirinya.
Kredit foto: Instagram Datin Umi Kalsom
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pada usia memasuki 40 tahun tanda-tanda penuaan sebenarnya akan semakin jelas kelihatan. Perubahan ini lebih ketara pada bahagian kulit terutama wajah. Namun, ia tidak seharusnya menjadi satu bebanan, bukankah tanda-tanda ini mampu memberi kesedaran pada kita.
Lagi pun mengapa perlu risau kerana di pasaran terdapat pelbagai produk yang membantu melambatkan tanda-tanda penuaan seperti berikut:
Kedutan dan garis penuaan
Dengan terjadinya penuaan,kedutan adalah tanda pertama yang paling jelas kelihatan dan harus diperhatikan. Biasanya ia mudah dialami oleh mereka yang memiliki kulit jenis kering.
Selain itu, di sekitar bawah mata akan mengalami garis-garis halus. Penebalan yang tidak sekata pada lapisan kulit ditambah pula kekurangan air pada lapisan bawah kulit akan mempercepatkan lagi proses kedutan pada kulit anda.
Kulit kusam
Kolagen bertindak menjaga kulit namun ketika proses penuaan berlaku urat semakin kendur dan kadar kolagen semakin menurun sekali gus menyebabkan kulit menjadi longgar dan tipis. Selain itu kulit akan kehilangan lemak dan jaringan. Lantaran itu, kulit menjadi kusam dan tidak bermaya.
Kulit kering
Kulit menghasilkan sebum sendiri bagi melindungi dan mencegah kehilangan kelembapan kulit. Namun, seiring dengan bertambahnya usia, keupayaan kulit menghasilkan sebum semakin berkurangan sekali gus menyebabkan kulit mudah rapuh dan kering terutama di bawah sinaran matahari yang terik.
Ditambah pula dengan keadaan cuaca yang sejuk, iklim yang kering dan berangin mudah menjadikan kulit anda bersisik dan mudah menimbulkan rasa gatal.
Bintik hitam
Peningkatan usia sekali gus menyebabkan kulit seseorang turut mengalami perubahan. Antaranya, bintik-bintik coklat pada kulit kita pun akan mula timbul atau juga dikenali sebagai bintik-bintik hitam terutama di bahagian wajah.
Pada tahap awal bintik-bintik tersebut berwarna terang, namun pada akhirnya bintik-bintik tersebut akan berubah menjadi warna coklat sekali gus menjadi masalah pada kulit anda. Hal ini disebut dengan penuaan semula jadi.
Bintik-bintik ini juga boleh menyebabkan masalah ketika anda menyapu solekan pada wajah. Ia biasanya berlaku disebabkan pendedahan diri secara berterusan kepada sinaran ultra ungu atau terdedah pada sinaran matahari dalam tempoh yang lama tanpa menggunakan topi atau krim pelindung kulit wajah.
Liang-liang roma terbuka
Faktor genetik dan usia antara dua faktor utama yang membolehkan pori-pori atau liang-liang roma pada kulit membesar. Kebiasaannya, ia berlaku kepada mereka yang memiliki kulit tebal dan berminyak.
Terdedah lama pada sinaran matahari, kotoran, bakteria dan keanjalan kulit menurun juga antara faktor menyebabkan liang-liang roma membesar dan terbuka.
Tip untuk kekal muda
1. Lindungi kulit wajah daripada sinaran matahari antara langkah terbaik untuk mencegah kulit dari mengalami masalah penuaan lebih awal. Pakai krim pelindung cahaya matahari atau pelembap dengan SPF 28 atau lebih setiap kali anda berada di luar mahupun di dalam bilik berhawa dingin.
2. Merokok dapat menyempitkan pembuluh darah, yang mana dapat menurunkan aliran darah selain mengurangkan perjalanan oksigen dan nutrisi ke sel-sel kulit. Ia juga menyebabkan kulit anda menjadi kusam selain timbul bintik-bintik coklat.
Merokok juga menyebabkan proses penghasilan kolagen lambat pada kulit anda. Jadi, untuk mendapatkan kulit yang sihat dan bercahaya, berhenti merokok.
3. Gunakan pelembap anti-penuaan, ia membantu meningkatkan kapasiti air pada kulit. Selain itu, Vitamin A yang turut membantu dalam menjaga kulit yang terhidrasi. Pastikan anda mendapat vitamin A dari makanan seperti keju, ikan Kod dan telur.
4. Penggunaan kosmetik juga dapat membantu memperbaiki tekstur kulit. Garis-garis halus dan kulit kedut dapat ditingkatkan dengan memperbaiki permukaan kulit (resurfacing) melalui kaedah dermatologi, pengelupasan kimia (chemical peeling), laser atau mikro dermabrasi. Peeling juga dapat membantu untuk meratakan warna kulit dan memperbaiki tekstur kulit.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mata tak berkelip melihat tontonan video yang dilakukannya. Kepetahannya bercakap dalam loghat utara menambah keseronokan netizen untuk menonton video tutorial mekap yang dilakukannya.
Lagaknya seperti seorang selebriti. Jangan terkejut dia mempunyai pengikut di laman sosial melebihi 2 juta. Nur Nabila Zulyadaini, dahulunya hanyalah seorang suri rumah dan dari keluarga susah sebelum menjadi viral dek kerana video tutorial mekap mendapat tontonan di luar jangkaan.
Malah anak jati Tanjung Dawai ini mengakui pernah menitiskan air mata semata-mata kerana mendapat kecaman pelbagai netizen. Namun itu semua tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjaya dalam bidang yang diminatinya ini.
Menurut wanita kacukan Turki-Melayu ini berkata dalam Sinar Harian online, suaminya Anuar Ahmad, tidak pernah putus memberi semangat untuk meneruskan minat dalam bidang yang dipupuk sejak empat tahun lalu.
Bukan senang untuknya berjaya seperti hari ini. Dia yang hanya suri rumah sahaja sebelum ini mengakui dirinya pernah sedih sampai menangis kerana kecaman netizen hingga tidak berselera untuk makan. Lebih-lebih apabila dirinya difitnah solek tak cantik macam najis dan juga dikutuk disebabkan keadaan fizikal.
Namun Tuhan itu lebih mengetahui. Setelah disiasat rupanya fitnah itu datangnya dari individu yang sama bidang dengannya. Dia merasa terancam dengan kehadiran dia dalam industri solekan hingga sanggup melemparkan fitnah berkenaan.
Bella yang cukup terkenal di utara ini memberitahu minat terhadap bidan solekan muncul sejak mengandung anak pertama, Iris Alisya, 5 tahun. Tidak mahu terus berada di tahap sama, Bella turut merancang mengeluarkan jenama kecantikan sendiri 10 tahun lagi.
Dia yang belajar mekap di laman youtube sekadar suka-suka untuk menghilangkan rasa bosan di rumah. Maklumlah keluarganya orang susah dan tiada peluang belajar kelas solekan kerana kosnya yang mahal. Tetapi Bella memang meminati seni dan lukisan. Jadi dia tidak kisah untuk berkongsi ilmu dengan orang lain.
Kini, Bella menjadikan bidang solekan sebagai sumber pendapatan utama apabila menubuhkan studio di Alor Setar, Kedah.Pada masa sama, wanita berusia 26 tahun ini turut dijemput mengendalikan bengkel solekan wajah di seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura.
Ibu kepada dua cahaya mata ini membuat tutorial mekap sekurang-kurangnya empat kali seminggu. Dia mengakui mendapat kepuasan peribadi apabila ada pengikutnya memperoleh pendapatan sendiri dengan belajar teknik solekan selepas menonton video tutorial berkenaan.
Mengakui tiada asas dalam penggunaan alat kosmetik, namun ternyata jemarinya mempunyai sentuhan magis yang memukau. Bella juga lebih senang menggunakan produk kosmetik keluaran usahawan tempatan yang secara langsung membantu membangunkan ekonomi peniaga terbabit.
Bukan sahaja Bella yang pandai membuat tutorial, tetapi anaknya Iris Alisya yang berusia empat tahun juga mempunyai minat sama. Malah tutorial yang dimuat turun di facebook miliknya pernah mencecah 8,000 jumlah tontonan walaupun disiarkan waktu pagi.
Memang hebat sekali penangan mekap artis dari utara ini. Walaupun mencari rezeki bukan di kota besar seperti Kuala Lumpur, tetapi Bella tetap popular umpama selebriti. Setiap kali video dimuat turun personaliti media sosial itu berjaya mengumpul sejumlah besar penonton setiap kali bersiaran langsung.
Admin juga suka dan leka sekali menonton tutorial berkenaan. Nampak macam mudah solekan yang dihasilkan dan impaknya memang mengagumkan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!