Tidak ramai yang tahu bahawa nasi tergolong dalam zat karbohidrat yang boleh memudaratkan. Jika diambil tanpa kawalan, ia mampu menggemukkan malah menyebabkan penyakit kronik berbahaya seperti diabetes.
Umum tidak mengetahui diabetes atau kencing manis, dihidapi lebih 240 juta manusia di seluruh dunia dengan catatan 8.3% dari jumlah penduduk negara ini menghidapinya.
Berkenalan dengan punca diabetes, penyakit ini muncul apabila pankreas gagal mengeluarkan insulin secukupnya dengan berkesan. Insulin merupakan sejenis hormon yang bekerja untuk menukar gula, kanji dan makanan lain menjadi tenaga untuk keperluan harian tubuh.
Cuba bayangkan sesusuk tubuh lesu tanpa insulin, apakah yang bakal terjadi terhadap sistem badan, parah sekali kepada sistem saraf dan saluran darah?
Tiga Jenis Diabetes Utama
(1) Diabetes Jenis Pertama
Berat badan susut dengan ketara, walaupun tanpa diusahakan. Di tahap ini, dikhuatiri virus mudah menyerang sel-sel pankreas ataupun tindakbalas autoimun badan menyerang sel-sel yang mengeluarkan insulin. Ketika sel-sel gagal memperolehi bekalan glukosa, ia mula memecah-mecahkan tisu otot dan lemak untuk mendapatkan tenaga.
(2) Diabetes Jenis Kedua
Paling membahayakan kerana pesakit hidup dengan paras gula yang begitu tinggi tanpa disedari. Ini kerana insulin pesakit kadang-kadang tidak bekerja dengan konsisten dan efektif. Hampir 90-95% penderita diabetes tergolong dalam jenis ini. Tapi berbanding Jenis Pertama, Jenis Kedua ini boleh dikawal, dipantau dan diperlambatkan.
(3) Gestational Diabetes
Peningkatan insulin semasa mengandung namun biasanya kembali normal setelah melahirkan.
Tanda-Tanda
- Hiperglikemia atau peningkatan gula darah
- Kerap membuang air kecil
- Sering kehausan
- Pandangan kabur
- Luka lambat sembuh
- Keletihan
- Penurunan berat badan
Risiko Diabetes
(a) Umur
Semakin usia meningkat, semakin tinggi risiko penyakit diabetes berlaku. Segera dapatkan pemeriksaan diabetes apabila umur menginjak 45 tahun.
(b) Berat badan
Bertubuh gempal dan gemuk lebih membahayakan berbanding orang yang bertubuh kecil.
(c) Keluarga
Jika ada salasilah keluarga seperti ibu, bapa atau saudara kandung yang menghidap diabetes, ada kemungkinan anda juga mewarisinya.
(d) Bangsa
Diabetes Jenis Kedua lebih banyak berlaku di kalangan orang Asia/Pasifik, Hispanik dan Afrika berbanding orang berkulit putih (Caucasians).
(e) Tekanan darah
Berhati-hati jika tekanan darah anda tinggi melebihi 140/90mmHg untuk mengurangkan risikonya.
Rawatan Yang Diperlukan
Penghidap penyakit Diabetes Jenis Kedua perlu membuat modifikasi terhadap corak pemakanan hariannya, mengawal berat badan (atau mengurangkan bagi pesakit yang bertubuh besar) serta kerap bersenam sebagai terapi. Jika kaedah ini masih gagal mengawal paras glukosa dalam darah anda, beberapa jenis rawatan dijalankan seperti:
- Insulin Sensitizers untuk menjana insulin agar bekerja dengan lebih efisien menerusi Metformin (Glucophage) dan Rosiglitazone (Avandia)
- Sulphnylurea/Glinides untuk merangsang pankreas agar merembeskan lebih insulin terutamanya ketika waktu makan.
- Suntikan insulin dilakukan jika rawatan oral masih gagal dilakukan.
- Rawatan oral diperkenalkan dalam satu-satu masa dengan kawalan doktor mengikut dos yang dibenarkan. Rosmah Idayu Abu Samah