Puteri Emilia Norfarahin Mohd Hanif mewarisi darah keturunan diraja Perak daripada ibundanya, Yang Mulia Raja Nor Salema. Meskipun dia adalah kerabat diraja namun status bapanya, Mohd Hanif yang merupakan orang biasa lebih banyak mempengaruhi gaya hidup model sambilan ini
Darah keturunan diraja yang dimilikinya cukup kuat. Pun begitu, gadis manis ini enggan berbangga sebaliknya memilih untuk menjalani hidup seperti biasa. “Terus terang saya katakan kehidupan kami sekeluarga sederhana saja sejak kemangkatan tok bak. Nenek saya masih raja bergelar tetapi tidak menetap di Istana Raja Di Hilir seperti dulu. Hidup kami sama seperti orang lain.
Mungkin disebabkan itu juga kami mudah didekati dan saya sendiri lalui liku hidup macam orang biasa sejak zaman sekolah, universiti sampailah hari ini. Kalau hendak cerita tentang layanan istimewa, ada juga dapat kadang-kadang. Cuma nenek saya jenis yang tak pentingkan semua itu. Bagi nenek, kita sama saja. Dibesarkan dalam keluarga yang biasa, tidak memilih kawan dan tidak bermewah. Nenek selalu pesan ‘Keluarga adalah harta kami’ dan kata-kata nenek menjadi pegangan hidup saya,” ujarnya.
Setiap kali melangkah keluar rumah penampilan diri tetap menjadi keutamaan bagi graduan Diploma Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini. Enggan melabelkan diri sebagai seorang wanita yang taksub kepada kecantikan, Puteri Emilia atau lebih selesa dengan panggilan Emelie hanya akan memastikan wajah tampak bermaya dengan asas solekan ringan.
Gemar bergaya santai dan ringkas dengan sepasang sneakers, figura ini juga mendedahkan tidak mempunyai banyak koleksi sepatu tumit tinggi kerana perwatakan dirinya yang lasak. Pernah mewakili sekolah dalam pertandingan Cheerleader di peringkat antarabangsa, Emelie yang terpikat dengan cetakan floral tidak menjadikan jenama sebagai satu keperluan dalam menjaga penampilan diri.
“Saya tak ada masalah hendak pakai barang tidak berjenama asalkan cantik, selesa dan kena dengan kehendak. Kadang-kadang baju RM10 pun saya beli. Tipulah kalau wanita tak suka barangan berjenama. Bagi saya dapat miliki satu barang berjenama pun dah cukup. Orang kata biar merasa. Tak perlu sampai setiap collection kena ada.
Penjagaan kesihatan dan kecantikan saya simple saja. Tak banyak keluarkan wang. Selain pergi ke gim atau ikut kelas zumba untuk keluarkan peluh, saya akan pastikan dapat rehat dan tidur yang cukup di samping ambil makanan berkhasiat serta jadikan ketawa sebagai terapi setiap hari,” telusnya sambil tersenyum.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Rokam dan Methodist’s Girl School, Ipoh, Perak, Emelie seterusnya melanjutkan pengajian di UiTM Puncak Perdana Shah Alam dalam jurusan Seni Persembahan Teater pada tahun 2007. Dek terlalu meminati bidang lakonan, pelakon drama Dawai Asmara ini mula berjinak-jinak untuk bergelar penggiat seni setahun kemudian.
“Sejak di bangku sekolah minat saya terhadap lakonan sangat mendalam sehinggalah saya mencuba nasib menyertai uji bakat program realiti TV, Pilih Kasih oleh Dato’ Rosyam Nor pada tahun 2008 dan terpilih sebagai Top 20. Alhamdulillah sehingga kini saya masih jadikan lakonan sebagai pekerjaan tetap dan menerima banyak tawaran daripada syarikat produksi tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.”
Muncul dalam drama Samudera Rindu, kredibiliti Emelie sebagai pelakon tercabar apabila melakonkan watak drama Dawai Asmara terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd. “Dalam drama itu saya diberi peranan untuk wujudkan tiga karakter berbeza iaitu seorang yang jahat, pura-pura baik dan telah benar-benar insaf. Sepanjang berada di set penggambaran, pengarah iaitu Azma Aizal Yusoof dan Aidilfitri Mohamed Yunos banyak beri saya tunjuk ajar terutama dari segi penghayatan.
Oleh kerana watak tersebut juga saya pernah diherdik seorang makcik yang terbawa-bawa dengan drama ini ketika sedang membeli makanan di sebuah restoran. Mula-mula malu juga dibuatnya tapi bila diingat balik rasa kelakar pula. Bergelar anak seni buat saya rasa puas. Tidak kisah walau pukul berapa pun habis shooting tapi saya gembira dapat bekerja bersama tenaga produksi dan para pelakon sebab dari situlah saya boleh tambah ilmu lakonan.” SUZIANAABUDAUD