Tidak ramai ibu bapa dikurniakan peluang menyaksikan semua anak mereka menjejakkan kaki di menara gading, namun bagi pasangan Mohamed Omar dan Siti Rushana Awang Besar, mpian itu menjadi kenyataan apabila 11 cahaya mata mereka berjaya merealisasikannya.

Lebih membanggakan, anak-anak mereka memilih bidang pengajian berteraskan agama dengan empat daripadanya merupakan hafiz al-Quran manakala dua lagi pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Didikan agama menjadi asas kepada kejayaann keluarga ini.

Didikan Agama Keluarga Jadi Rahsia Kejayaan Luar Biasa 11 Beradik
Kredit Bernama

Kejayaan itu tidak terhenti di universiti apabila sebahagian daripada 11 beradik itu kini berkhidmat sebagai pensyarah, guru, pendakwah, penulis serta usahawan dalam meneruskan peranan mereka menyebarkan ilmu agama. Sementara dua adik bongsu keluarga ini masih lagi menuntut.

Didikan Agama Keluarga

Siti Nurhuzun, 25, anak ke-10 dalam keluarga ini sedang menyambung pengajian peringkat PhD Usuluddin sementara anak bongsu Siti Nurhusaini, 22, di semester akhir Ijazah Tahfiz dan Qiraat. Masing-masing di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) Kedah.

Pesara guru Bahasa Inggeris, Siti Rushana berkata asas pendidikan anak-anak tidak bermula di universiti sebaliknya dibentuk sejak kecil melalui rutin di rumah seperti solat berjemaah, hafazan al-Quran dan disiplin yang menjadi inti pati didikan agama keluarga sejak awal.

“Kami sentiasa utamakan pendidikan dan belajar berjimat demi memastikan semua anak dapat belajar sampai ke peringkat tinggi. Sejak kecil mereka dibiasakan dengan solat berjemaah, hafazan al-Quran dan bangun seawal 5 pagi untuk tahajud sebelum mengulang kaji pelajaran.”

Ads

Didikan Agama Keluarga Jadi Rahsia Kejayaan Luar Biasa 11 Beradik

Perjuangan Bertahun-Tahun

Ketika ditanya saat paling menyentuh hati, wanita ini berkata detik sangat diingatinya ialah semasa menyaksikan seorang demi seorang anaknya naik ke pentas konvokesyen, sekali gus mengimbau tahun-tahun yang penuh pengorbanan, usaha, cabaran dan doa dilalui mereka sekeluarga.

“Kami tidak minta apa-apa balasan, hanya harap anak-anak jadi orang berguna, pegang agama dan memberi manfaat kepada ummah. Kalau ilmu mereka dapat membantu masyarakat, itu sudah memadai,” ujarnya yang menetap di Kampung Seberang Pasir Mas, Salor, Kota Bharu Kelantan.

BACA JUGA: Berjaya Jadi Pemilik Hotel, Sambung PhD & Kini Keluarkan Minyak Masak Sendiri, Dato’ Nurul Zahid Bukti Kemampuan Diri!

Ads

Perintis Keluarga

Permulaan keluarga ini dalam bidang agama selain asuhan ibu bapa bermula setelah anak sulung, Siti Nursima melanjutkan pengajian di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kelantan pada 2003 sebelum mengikuti program 3+1 di Universiti Islam Negeri Sultan Thaha Saifuddin, Jambi, Indonesia.

Dia yang kemudiannya menamatkan Sarjana al-Quran dan Hadis di Universiti Malaya (UM) dan kini menjalankan perniagaan sendiri menjadi perintis menarik minat adik-beradik lain mengikut langkah sama dengan memilih UniSHAMS sebagai laluan pengajian, terutamanya dalam bidang Usuluddin, Syariah serta Tahfiz dan Qiraat. Semua ini lahir daripada kekuatan didikan agama keluarga yang konsisten.

Selain dua adik bongsu yang sedang menuntut di institusi itu, lapan daripada mereka ialah Mohd Rusydi, Dr Siti Nuroni, Dr Siti Nurwanis, Siti Nurkhusna, Mohd Arham, Siti Nurjannati, Mohd Hikam dan Mohd Abdul Hayyu.

Ads

Motivasi

Menurut Siti Nurwanis, anak keempat daripada 11 beradik itu yang juga pemegang PhD, antara faktor utama keluarganya memilih universiti sama ialah terdapat ramai pensyarah luar negara seperti Mesir, Jordan dan Sudan, sekali gus membantu pelajar menguasai Bahasa Arab dari sudut akademik dan komunikasi harian.

“Apabila kakak dan abang menunjukkan teladan serta memperoleh keputusan cemerlang, kami yang lain turut terdorong untuk mengikut jejak mereka. Satu demi satu masuk ke UniSHAMS, hinggalah hampir kesemuanya memulakan pengajian di sana, kecuali kakak sulung,” katanya.

Siti Nurwanis kini menumpukan perhatian dalam bidang penulisan buku serta bidang motivasi, sementara empat adiknya pula merupakan penghafaz al-Quran iaitu Mohd Hikam, Mohd Abdul Hayyu, Siti Nurhuzun dan Siti Nurhusaini.

Inspirasi

Semestinya, perjalanan dan kisah keluarga Mohamed dan Siti Rushana ini menjadi bukti dengan asas disiplin, kesungguhan dan keutamaan terhadap ilmu agama, setiap impian mampu diterjemahkan menjadi kejayaan. Didikan agama keluarga yang konsisten menjadi inspirasi kepada masyarakat.

Sumber Bernama

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads