Golongan wanita zaman kini memang luar biasa semangat mereka. Tidak terkecuali, Dato’ Nurul Hidayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang sangat komited dengan pekerjaan yang dilakukan. Selepas kejayaan mengusahakan Teedo Hotel di ibu negara kini anak kepada Timbalan Perdana Menteri ini rancak mengeluarkan produk minyak masak jenama sendiri!
Dalam temu bual bersama Dato’ Nurul Zahid menerusi podcast Inspirasi Nona, anak sulung Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dan Datin Seri Hamidah Khamis berkenaan teruja berkongsi perkembangan bisnes miliknya.
Difahamkan impian untuk mempunyai minyak masak jenama sendiri mula terbit sejak 10 tahun lalu. Ditanya mengapa memilih minyak masak, ini jawapan jujur Dato’ Nurul.
“Yang utamanya sebab memang saya sendiri suka masak. Saya nak lari dari mereka yang nak buat produk sambal atau produk-produk yang memang dah ada di pasaran – kosmetik dan sebagainya.
Ads
Saya nak tengok produk pengguna yang boleh digunakan oleh semua orang, semua lapisan, semua golongan termasuk lelaki perempuan. Jadi saya tengok mengeluarkan jenama minyak masak sendiri ni insyaAllah akan mendapat tempat di hati mereka.”
Katanya, dari segi logo, tagline dan pemasaran diurus sendiri. Malah Kak Long Cooking Oil dihasilkan di Malaysia daripada minyak sawit tulen dan mendapat pengesahan halal.
“Saya fikir selain buat minyak masak ni kalau ada rezeki, saya juga boleh berbakti kepada rakyat, berbakti kepada masyarakat dan memberi sumbangan minyak masak kepada mereka yang memerlukan.
Maksudnya bila ada mangsa banjir ke, kebakaran ke saya boleh hantar minyak masak saya. Kita akan launch di luar negara dulu.
Mahu Bukti Kemampuan Diri, Dato’ Nurul Zahid
Kalau di Malaysia ni, saya nak elakkan daripada orang kata easy access la. Orang kata persaingan yang senang sangat sebab saya anak kepada Zahid Hamidi.
Jadi saya bercadang untuk meniaga di luar negara dulu. Bawa minyak masak saya untuk cari buyer di luar negara bila establish insyaAllah dengan negara China, Pakistan mungkin di negara yang perlukan minyak masak seperti Afrika Selatan.
Kita akan start di luar dan kita akan bawa jenama Kak Long tu secara co currently di dalam negara juga.”
Selain ligat membina legasi perniagaan, isteri Dato’ Saiful Nizam Mohd Yusoff ini turut sibuk dengan urusan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Selangor.
Semoga urusan Dato’ Nurul Zahid berjalan lancar seterusnya memberi manfaat dan inspirasi kepada masyarakat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tekad yang tinggi, semangat berani dan sedikit tuah. Itulah Profesor Toh Chooi Gait, Profesor Pergigian Restoratif Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Kuala Lumpur, yang berhasil mencapai ikhtisar (resume) yang mengagumkan. Bagi beliau ia satu kebanggaan tidak ternilai yang menjadikannya orang yang tetap merendah diri. Pada Hari Wanita Sedunia kali ini, kami berbicara dengan beliau mengenai perjalanannya yang penuh inspirasi, yang dilakukan kerana beliau sukakannya.
Masa untuk keraian. Majlis separa rasmi yang dihadiri tetamu dari seluruh dunia penerima pelbagai anugerah. Antaranya, Profesor Toh Chooi Gait yang diraikan. Beliau bangga dan bersyukur atas pengiktirafan yang diberikan kepadanya iaitu Pingat Antarabangsa Fakulti Pembedahan Pergigian 2022 oleh Kolej DiRaja Pakar Bedah Edinburgh (RCSEd). Sebagai seorang felo pergigian luar negara, ia adalah satu pengiktirafan kepada sumbangan penting beliau kepada Fakulti Pergigian, kolej dan bidang pergigian secara keseluruhan.
Dikenali sebagai seorang yang ikhlas dan baik budi, maka tidak hairanlah apabila para hadirin diminta oleh Profesor Toh untuk berdiri bersamanya, lalu beliau membalas tepuk sanjungan mereka ke arah kamera siaran langsung, semasa beliau menyampaikan ucapan penerimaan pingat. “Untuk pencapaian ini, kami berterima kasih kepada semua yang menyumbang kepada kemajuan peribadi dan profesional kami. Terima kasih juga kepada ahli keluarga atas kasih-sayang dan sokongan mereka.” Tepukan sanjung para hadirin bergema kuat dan berlarutan panjang di seluruh dewan, sama-sama berkongsi sentimen beliau.
Itulah saat yang tidak akan beliau lupakan, yang ternyata jauh berbeza daripada ketika perjalanan kerjaya beliau baru bermula.
Permulaan yang belum pasti
Sebagai seorang pelajar muda, Profesor Toh sentiasa cemerlang dalam pelajaran. Matlamatnya adalah menjadi seorang doktor. Walau bagaimanapun, pada tahun peperiksaan yang akan menentukan kemasukannya ke universiti, situasi peribadi menyebabkan prestasinya merosot. Namun, beliau tetap memohon tempat di Universiti Singapura (sekarang Universiti Nasional Singapura) dalam bidang perubatan. Beliau turut meletakkan jurusan pergigian, kejuruteraan dan perakaunan masing-masing sebagai pilihan kedua, ketiga dan keempat.
Tawaran pertama yang diterima beliau adalah jurusan perakaunan. Beliau melepaskan tawaran itu. Selepas itu, beliau ditawarkan tempat dalam jurusan kejuruteraan di Singapura. Sambil ketawa beliau berkata, “Saya mahu menolak tawaran itu juga!”, tetapi abang yang mendanai pengajian beliau menasihatinya untuk menerima tawaran tersebut. Profesor Toh menerima takdirnya dan hadir untuk memulakan pengajian kejuruteraan di Universiti Singapura.
Itulah titik perubahan dalam hidupnya. Beliau bertuah kerana ada pelajar yang berhenti daripada kursus pergigian pada saat-saat akhir dan itu membuka ruang untuknya. Walaupun bukan pilihan pertama iaitu perubatan, ia tetap lebih dekat dengan minatnya berbanding bidang kejuruteraan.
Tidaklah mudah baginya menerima jurusan itu, tetapi semakin beliau mempelajarinya, semakin terpesona beliau akannya. Beliau mendapat keputusan cemerlang setiap tahun dan menamatkan pengajian dengan kepujian. Profesor Toh merupakan seorang daripada 10 orang pelajar yang berjaya mencapainya sehinggakan dekan fakulti mengajak beliau menyertai universiti sebagai ahli fakulti, tetapi sekali lagi beliau menolak tawaran itu. “Nampak sangat saya memang pandai menolak tawaran,” dia bergurau.
Sebenarnya, Profesor Toh adalah seorang wanita yang tahu apa yang beliau mahukan. Pertamanya, beliau mahu bekerja di Kuala Lumpur kerana pasangannya yang kini adalah suaminya, akan berada di kotaraya itu. Kedua, beliau sedar bahawa dunia akademia adalah langkah seterusnya dalam perjalanan hidupnya kerana beliau memang mahu menjadi seorang pakar. Oleh itu beliau memerlukan latihan pasca-siswazah. “Saya tiada wang untuk meneruskan pengajian selepas mendapat ijazah tetapi saya tahu apabila berada dalam akademia, seseorang itu akan dihantar membuat latihan kepakaran,” ujar beliau jujur.
Kerana itulah Profesor Toh menyertai Fakulti Pergigian Universiti Malaya, yang merupakan fakulti pergigian pertama dalam negara. Pada tahun 1974 itu juga merupakan pertama kalinya kerajaan memansuhkan syarat perkhidmatan wajib kerajaan kepada graduan baru bidang pergigian. Beliau turut mencipta sejarah sebagai pembantu pensyarah termuda yang dilantik menyertai Universiti Malaya.
Tidak lama selepas itu, Profesor Toh terbaca iklan tawaran biasiswa Komanwel. Beliau memohon dan berjaya mendapatkan biasiswa berkenaan untuk melanjutkan pengajian pasca-siswazah di Institut Pergigian Eastman di Kolej Universiti London. “Sepanjang hidup saya ini perjalanannya bersahaja dan sudah tertulis. Saya memperolehi semua pengalaman indah yang tidak dapat dilupakan ini. Barangkali saya dilahirkan begitu bertuah atau sebenarnya ada penjaga pari-pari yang melindungi saya,” ujar beliau.
Tidak rugi apa-apa pun, malah mendapat lebih banyak lagi
Eastman adalah sebuah pusat rujukan bagi kes-kes rumit dan sukar. Peluang berada di situ adalah pendedahan tidak ternilai buat Profesor Toh. “Latihan pasca-siswazah sangat penting. Ia membuka minda. Ia mengajar kita untuk berfikir secara lateral dan mencari penyelesaian.” Selepas menamatkan program sarjana dan memperolehi kelayakan fellowship dari Kolej Pakar Perubatan dan Pakar Bedah DiRaja Glasgow dalam tempoh sembilan bulan sahaja, Profesor Toh mendapati beliau masih mempunyai masa di bawah program biasiswanya sebelum boleh pulang ke tanah air. Beliau ada terfikir untuk menduduki peperiksaan kelayakan fellowship dari Kolej DiRaja Pakar Bedah England, tetapi seorang rakan sekerja mencadangkan beliau untuk menduduki peperiksaan bagi mendapatkan Diploma Pergigian Restoratif yang baru sahaja dilancarkan Kolej DiRaja Pakar Bedah Edinburgh.
Dalam kumpulan pertama 11 pelajar, beliau mendapati hanya seorang sahaja yang lulus peperiksaan tersebut. Malah ketua jabatan pelajar itu sendiri agak skeptis dengan pencapaian tersebut. Namun, Profesor Toh nekad. “Ia satu kelayakan tambahan. Saya tak rugi apa-apa pun,” fikirnya pada waktu itu. Ternyata ia adalah peperiksaan yang paling susah pernah beliau duduki, tetapi akhirnya bersama lima orang lagi calon, beliau lulus peperiksaan itu! “Ada juga beberapa orang pensyarah kanan dari universiti lain. Salah seorang daripada mereka bahkan membawa alatan sendiri dengan segala peralatan terkini untuk digunakan semasa peperiksaan. Saya pula terpaksa menyewa peralatan!” katanya sambil tertawa.
Selepas menamatkan pengajian di UK, Profesor Toh kembali ke Universiti Malaya dan mendedikasikan 30 tahun seterusnya memperluaskan keupayaan jabatan sambil terus menjadi sosok proaktif dalam memperkembangkan bidang pergigian di Malaysia. Dalam tahun-tahun itu, beliau tidak pernah duduk diam dan sentiasa memacu ke hadapan. Antara pencapaian beliau termasuklah menjadi Presiden pengasas Persatuan Penyelidikan Pergigian Antarabangsa (IADR) Seksyen Malaysia; Presiden Persatuan Pendidikan Pergigian Asia Tenggara (SEAADE); Ahli Majlis pengasas Akademi Pergigian Estetik Malaysia; Pengerusi Jawatankuasa Peperiksaan Kelayakan Profesional Majlis Pergigian Malaysia (MDC); selain bertindak sebagai penyemak jurnal-jurnal tempatan dan antarabangsa.
Enggan Bersara
Pada tahun 2007, ketika orang lain memilih untuk bersara atau sekurang-kurangnya kekal dalam zon selesa masing-masing, Profesor Toh pula menerima panggilan dari IMU yang mempelawa beliau untuk menubuhkan fakulti pergigiannya. Fikirnya, “Ini sesuatu yang menarik. Saya boleh buat apa yang saya mahu buat selama ini tetapi dilihat terlalu pelik di universiti awam!”
Namun begitu, ia adalah satu cabaran. Beliau perlu meyakinkan ahli-ahli kanan dan rakan-rakan kongsi fakulti untuk menyokongnya dalam beberapa idea inovatif yang belum teruji dan dicuba sebelum ini. “Malahan ketika saya merangka kurikulum, rakan kongsi fakulti menyuarakan kesangsian mereka,” ujarnya. Mereka merasakan terlalu banyak perkara di dalam kurikulum tersebut yang boleh menghalang pembelajaran. Tetapi Profesor Toh meyakinkan mereka bahawa, “Ini tidaklah terlalu banyak. Inilah cara untuk membuat mereka belajar.”
“Saya beruntung kerana mempunyai kakitangan yang menghargai arah tujuan saya. Saya bawa mereka keluar dari zon selesa dengan idea-idea baharu, konsep baharu dan cara baharu melakukan kerja,” katanya. Kaedah beliau menyaksikan bilik-bilik kuliah berubah menjadi sebuah platform yang lebih berinteraktif di mana para pelajar meninggalkan tugasan poster dan menyampaikan maklumat dalam bentuk rancangan bual bicara televisyen dan dokumentari dengan mengambil kira audiens, platform media dan mesej yang mahu disampaikan.
“Kita perlu memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mahu belajar dan mengekalkan ilmu tersebut. Jika anda menjadikan maklumat itu kekal relevan dan menarik, orang akan mengingatinya sepanjang hidup mereka. Ia adalah tentang mengubah pengalaman pembelajaran anda,” katanya.
Perubahan adalah sesuatu yang dekat di hati Profesor Toh. Baginya, perubahan adalah kunci kepada kemajuan. “Tetapi ia perlulah dilakukan atas sebab-sebab yang betul, bukan kerana mengikut trend. Perubahan perlu membawa kepada kemajuan dan meningkatkan kualiti pendidikan, kehidupan atau penjagaan kesihatan,” tambah beliau.
Wanita yang Disegani
Profesor Toh sendiri merupakan seorang pemangkin perubahan dan wanita teladan yang memecahkan pelbagai jenis halangan. Tema Hari Wanita Sedunia tahun ini iaitu ‘Merangkul Kesamarataan’, begitu seiring dengan falsafah peribadi dan perjalanan kerjaya beliau.
Beliau teringat satu peristiwa pada tahun 90-an ketika dijemput untuk berucap di Korea Selatan sebagai bakal Presiden IADR Divisyen Asia Tenggara. “Mereka tidak menyangka saya seorang wanita!” katanya. Menurut Profesor Toh, kumpulan professor yang kebanyakannya lelaki itu tidak tahu bagaimana mahu berurusan dengannya dan terpaksa menghantar kakitangan lebih muda untuk berjumpa beliau. “Orang-orang muda pula datang berjumpa saya lalu memberitahu saya adalah inspirasi mereka iaitu seorang wanita boleh memegang jawatan yang berpangkat tinggi,” sambung beliau.
Peristiwa itu sudah lama berlalu tetapi Profesor Toh berkata masih belum ramai wanita yang menjadi pemimpin. “Ramai, bahkan orang perempuan pun, masih lebih suka berketuakan orang lelaki kerana mereka merasakan lebih mudah bekerja dengan bos lelaki dan kurang cerewet. Bagaimana wanita boleh bangkit jika wanita sendiri tidak menghargai dan membantu sesama sendiri?” tanya beliau.
Profesor Toh berkata pola pemikiran wanita perlu diubah, malah stereotaip dan stigma mengenai peranan wanita dan lelaki perlu dihentikan. “Kita perlu membebaskan minda. Saya sentiasa mahu menggalakkan wanita dan memberikan keyakinan kepada mereka. Wanita tahu mereka boleh bekerja keras, tetapi mereka lebih suka bekerja di belakang tabir dan tidak mahu tampil ke hadapan.”
Permata yang bersinar
Bagi Profesor Toh, beliau tidak gentar untuk melangkah maju. Walaupun senarai pencapaian cemerlang sudah berada dalam genggaman, beliau terus memikirkan bagaimana beliau boleh memberi sumbangan kepada masa hadapan pergigian.
Kini, beliau sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat luar untuk membina sebuah sistem sokongan keputusan klinikal berkomputer sepenuhnya, selain komitmen dengan IMU. Sistem tersebut akan memberi panduan kepada doktor gigi melalui soalan-soalan dan menghasilkan diagnosis beserta pilihan rawatan berdasarkan bukti dan pelan rawatan berurutan. Ia juga akan memberikan maklumat mengenai bagaimana hendak berkomunikasi dengan pesakit supaya pesakit boleh membuat keputusan bermaklumat. “Saya fikir ia sangat berguna kepada doktor gigi muda atau yang kurang pengalaman,” katanya.
Profesor Toh juga masih terus memperkenalkan falsafah pembelajaran baharu di IMU bersama-sama rakan sekerja beliau yang lain. Antaranya adalah pembelajaran berdasarkan cabaran di mana pelajar bekerja untuk menyelesaikan situasi kehidupan sebenar dalam masyarakat. Menjadi harapan beliau untuk melihat IMU menjadi sebuah universiti masyarakat di mana orang ramai dapat melihat institusi itu sebagai sebahagian daripada keseluruhan ekosistem. Berikut adalah kata-kata beliau: “Masyarakat menyumbang kepada universiti dan universiti menyumbang kepada mereka. Kita adalah rakan kongsi sebenar.”
Sesiapa pun yang mendengar kisah hidupnya sukar untuk tidak terpesona dengan sikap optimis dan proaktif Profesor Toh. Entah apa lagi yang akan beliau lakukan selepas ini, tetapi jika ditanya apakah rahsia kejayaan kerjayanya yang begitu bermakna dan produktif itu, beliau tidak akan katakan yang ia disebabkan kecekalan dan pandangan positifnya. Beliau juga tidak akan mengaitkannya dengan kecerdasan dan kemahirannya. Profesor Toh akan memberitahu anda: “Berkahwinlah dengan pasangan yang betul. Sokongan yang akan anda dapat dari orang sekeliling anda yang akan membawa anda pergi jauh ke hadapan,” ujar beliau.
Itulah Profesor Toh. Seorang wanita baik budi yang sentiasa merendah diri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bergelar seorang isteri dan ibu bukanlah halangan buat Staf Sarjan Saidatul Husna Kamarudin yang tular kerana keberanian dan kehebatannya melakukan aksi ‘stunt’ pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 baru-baru ini.
Sepanjang 13 tahun penglibatannya dalam pasukan akrobatik, wanita kelahiran Sungai Petani, Kedah ini melakar detik paling bersejarah apabila berjaya membuat aksi lompatan merentasi 66 buah motosikal Royal Enfield pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang diadakan di Dataran Putrajaya, Putrajaya.
Aksi tersebut turut disaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta pimpinan negara.
Lebih bermakna lagi apabila detik bersejarah itu terlakar pada hari kelahirannya yang ke-35 tahun. Rezeki ibu kepada seorang cahaya mata ini.
“Ia merupakan detik bersejarah apabila buat pertama kali sepanjang 13 tahun penglibatan dalam pasukan akrobatik, saya berpeluang membuat persembahan di hadapan pasangan diraja tersebut.
“Lebih bermakna, tarikh keramat ini turut merupakan hari kelahiran saya. Ia sesuatu yang tidak akan dilupakan selagi hayat dikandung badan,” ungkap Sarjan Saidatul Husna kepada Sinar Harian.
Menurut Sarjan Saidatul Husna, beliau sendiri tak menyangka mampu melakukan aksi tersebut di hadapan puluhan ribu penonton walaupun pada awalnya diselubungi perasaan gemuruh.
Namun begitu, Sarjan Saidatul Husna bersyukur kerana akhirnya beliau bersama pasukan berjaya melakukan aksi yang terbaik.
“Berbekalkan doa dan semangat, saya kuatkan hati dan meletakkan sepenuh pergantungan kepada ALLAH agar segalanya berjalan lancar.
PERNAH ALAMI KECEDERAAN SERIUS
Anggota tentera Kor Polis Tentera Diraja, Kem Genting Klang, Setapak ini turut berkongsi di mana sebelum ini beliau pernah hampir berputus asa akibat kecederaan lutut yang dihadapi ketika menjalani sesi latihan.
Ketika itu, Sarjan Saidatul Husna terpaksa membuat pembedahan kecil dan atas nasihat doktor beliau dimintaa berehat buat seketika.
“Semangat saya ketika itu hampir saja jatuh, namun berkat sokongan keluarga dan rakan-rakan, saya nekad bangun semula dan berazam untuk terus mencipta kejayaan,” katanya.
TERSENARAI DALAM MBOR
Kejayaan lain yang pernah diraih oleh Sarjan Saidatul Husna ialah berjaya menempa nama untuk Malaysia Books of Record (MBOR) sekitar Mac 2023.
Beliau mencatatkan rekod Lompatan Motosikal Terpanjang (Wanita) ketika persembahan TATU Tentera Darat (TDM) bersempena Hari Tentera Darat ke-90 di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Saya sering amalkan doa naik kenderaan sepanjang beraksi, dari situlah saya peroleh kekuatan.
“Selain itu, saya dan rakan sepasukan akan memberi semangat antara satu sama lain. Pada masa sama berserah kepada Allah SWT agar setiap aksi dipermudah,” kata Sarjan Saidatul Husna yang berkecimpung selama 15 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia.
Bagi beliau, segalanya tidak mustahil asalkan mempunyai tekad selain sokongan keluarga dan rakan.
“Wanita juga mampu melakukan pelbagai aksi sebagai mana lelaki. Ini yang mahu saya buktikan kepada semua wanita di luar sana.”
Semoga Sarjan Saidatul Husna terus sukses dan menjadi inspirasi buat seluruh wanita.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bersandarkan pengalaman bekerja di sektor perbankan, dua wanita ini bergabung menubuhkan The Artisans Haven. Jade Lee dan Rosalie Lin tekad mewujudkan platform membeli-belah online tersebut untuk membantu lebih ramai usahawan wanita menambah pendapatan mereka.
istilah Handmade is Heartmade membawa makna yang lebih mendalam pada bulan Mac ketika dunia meraikan Hari Wanita Sedunia. Ketika pandemik melanda, penggiat industri seni kreatif kebanyakannya mengeluh dengan hasil jualan yang tidak seberapa. Pasaran perniagaan yang majoritinya adalah golongan wanita ini juga berdepan saat-saat sukar.
Menyedari situasi ini, usaha Jade Lee yang merupakan pesara Pengarah Urusan Perbankan Runcit di Ambank untuk menubuhkan The Artisans Haven dilihat sangat membantu.
“Selepas tamat perkhidmatan di bank, saya mula menulis blog untuk berkongsi kisah dan tip kejayaan perniagaan.
Ketika itulah saya menemui ramai artisan dan peniaga-peniaga kecil yang bergelut dalam memasarkan karya mereka, apatah lagi ketika negara dilanda pandemik.
Inilah yang mendorong saya dan Rosalie Lin mewujudkan The Artisans Haven pada Mei 2020, iaitu ketika wabak COVID-19 melanda,” ujarnya.
TAPAK JUALAN
Ruang digital The Artisans Haven bermula dengan hanya 30 penyewa dalam talian dan kini ia dilihat semakin berkembang dengan menyaksikan 120 penyewa, di mana 70% majoriti adalah dari kalangan wanita.
Kesemua penyewa ini dibantu oleh The Artisans Haven dalam bidang pemasaran digital dan perundingan perniagaan.
“Di The Artisans Haven, kami dapat memperkasakan para pengkarya tempatan dalam menghasilkan produk kreatif dan unik agar mudah diakses oleh rakyat Malaysia, seterusnya menyokong kelangsungan perniagaan mereka agar terus maju,” tutur Rosalie Lin yang juga merupakan bekas banker.
Selain menyokong pengkarya tempatan, The Artisans Haven turut mempromosikan #ShopForGood di mana sebahagian dari hasil penjualan dari ruang maya beli belah digital disalurkan kepada lima NGO yang terpilih iaitu Beautiful Gate, Community Excel Services (CES), Latihan Autistik, Komuniti Pekak dan Penan Healing Hands.
Usaha kedua-dua wanita ini dilihat selari dengan tema Hari Wanita Sedunia 2021. Antaranya bertanggungjawab terhadap pemikiran dan tindakan diri sendiri, memilih untuk mencabar isu ketidakadilan dan ketidaksamaan gender serta membantu mewujudkan dunia yang inklusif.
Baik Jade mahupun Rosalie, mereka secara tidak langsung telah menerapkan tujuan murni dalam organisasi ini untuk mewujudkan persekitaran perniagaan inklusif untuk penyewa wanita di The Artisans Haven. Syabas!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!