Bukan melakukan kerja amal untuk dihargai malah jauh sekali untuk dipuji sebaliknya Puan Sri Dato’ Azrene Abdullah turut diuji dengan kerakusan kanser yang menyerangnya 13 tahun lalu. Namun dugaan hidup yang ditempuhnya telah mendorong untuk memberi lebih kepada komuniti terutama pesakit kanser.
Wanita anggun yang memiliki semangat luar biasa ini bukan sahaja lambang wanita inspirasi bahkan seorang isteri, ibu dan anak yang serba membahagiakan. “Saya merupakan kanser survivor, sebab itu apabila saya melakukan kerja amal melalui Breast Cancer Foundation ia menjadi lebih bermakna dan saya faham serta kenal sangat masalah dan cabaran yang mereka hadapi.
Bercakap sahaja nampak mudah tetapi sukar untuk menyeimbangkan kehidupan sebagai pesakit, ibu, isteri, anak dan macam-macam peranan menjadi tanggungjawab pesakit kanser. Memang besar cabaran untuk menyeimbangkan kehidupan dan saya bersyukur kerana dengan ‘kurniaan’ ini saya benar-benar dapat mendalami hati dan perasaan pesakit kanser,” tutur Puan Sri Dato’ Azrene lembut memulakan bicara.
Ads
Jelas terpancar riak bahagia apabila bercerita tentang perjuangannya membantu pesakit kanser dapat menerima hakikat kehidupan dan meneruskan kehidupan seperti sedia kala. “Dahulu ketika di awal penglibatan saya, tidak ada sesiapa berani bercakap tentang kanser payudara kerana semua takut untuk bercakap. Sebagai seorang wanita, payudara merupakan simbol yang perlu dipelihara. Bila sudah tidak ada di tempatnya umpama bukan seorang wanita sejati.
Bukan mudah untuk menerima hakikat itu dan perasaan seumpamanya sukar untuk diceritakan kepada umum. Bagi saya Breast Cancer Foundation telah melakukan tugas mereka dengan sempurna untuk mewujudkan kesedaran terhadap wanita tentang bahaya kanser payudara ini. Kini wanita sudah tidak malu untuk bercerita tentang kanser lagi.
13 tahun dahulu hampir 80 peratus pesakit yang datang ke hospital telah didiagnosis kanser tahap tiga atau empat. Tetapi kini bilangan itu sudah semakin berkurangan sehingga 40 peratus. Pada saya ia merupakan suatu anugerah yang tidak terhingga apabila ramai wanita yang sudah sedar dan melakukan pemeriksaan awal. Jadi kanser payudara ini boleh dikesan di peringkat awal dan boleh dirawat dengan lebih cepat. I am so proud of the achievement,” jelas Puan Sri Dato’ Azrene dengan penuh semangat.
Ads
Apabila diminta untuk mengulas tentang ramai wanita lain yang menjadikan Puan Sri Dato’ Azrene sebagai inspirasi kehidupan mereka, balasnya dengan nada tenang, “Kerana saya merupakan seorang survivor, secara tidak langsung komuniti kanser payudara ini begitu rapat dengan saya. Apa sahaja yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memperkasa dan menyuntik inspirasi kepada wanita agar bahagia dalam kehidupan walaupun setelah didiagnosis sebagai pesakit kanser. Itu adalah objektif saya.
Ads
Apa yang saya lakukan ini umpama telah ditetapkan oleh Sang Pencipta dan meletakkan saya di dunia ini untuk melakukan kerja amal ini. I am happy to do it. Apabila melihat transformasi yang positif telah menguatkan semangat untuk terus berusaha memperkasakan pesakit kanser ini. Apabila saya ketahui ramai wanita yang menganggap saya sebagai sumber inspirasi mereka ini menggalakkan saya untuk beri yang lebih dalam kerja amal begini. I will do this until I die, insyaallah,” terang isteri kepada Datuk Kamaluddin yang merupakan anak sulung bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ini.
Foto: Instagram @breastcancerfoundationmalaysia
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rezeki Tuhan bagi, tak pernah salah alamat. Ketika nasib golongan artis dikatakan paling terjejas akibat pandemik COVID-19, penyanyi Min Yasmin berfikir sebaliknya.
Terkenal dengan imej turban, nama Min Yasmin sebenarnya jauh lebih popular di Filipina berbanding di negara sendiri. Kelantangan vokal dan gemersik alunan suara Min menjadi siulan di sana, lebih-lebih lagi sejak merakamkan lagu berbahasa Tagalog, Sa Iyo.
Coronavirus tidak menghentikan langkah Min. Walaupun kini pergerakan terbatas gara-gara COVID-19 termasuklah aktiviti seninya di Filipina, Min rupa-rupanya sibuk memantapkan bisnes kafe di Sabah.
Buah tangan terbaru Min Yasmin
Mesra dan menyenangkan seperti biasa, Min bercerita kepada Nona tentang perkembangan terbarunya. Tak sangka diam-diam ligat betul isteri komposer Julfekar Ahmad Shah ni, aktif uruskan sendiri kafe baru mereka!
Nona: Sejak PKP tempoh hari, bagaimana perjalanan kerjaya Min di Filipina?
Min Yasmin: Buat masa ni memang show di sana dah dibatalkan walau sepatutnya Min adakan mall tour di seluruh Filipina.
Memandangkan COVID-19 masih belum ada tanda redanya, kami tangguhkan dulu niat ni. Tak apalah, saya yakin pasti ada hikmah di sebalik musibah.
Nona: Aktiviti Min sekarang semenjak PKP bulan Mac lepas?
Min Yasmin: For the time being, saya dan Abang Jul ambil kesempatan ni untuk siapkan album studio solo Melayu saya, ‘World On A String’ yang melibatkan 18 buah lagu. Ia dinyanyikan secara live string.
Sambil tu, insyaAllah kami akan sambung proses renovasi ‘Min Yasmin Cafe’ yang tertangguh sebab PKP dulu. Sebenarnya kami baru je start renovation masa tu, jadi lepas ni nak sambung baliklah.
Sewaktu proses perbincangan renovasi kafe bulan Februari laluMin Yasmin dan Julfekar ketika mengikuti Kursus Pengendalian Makanan
Nona: Wow, jadi tauke kafe! Dari mana terhasilnya idea tu?
Min Yasmin: Kafe saya ni terletak di Kompleks Sinsuran, Kota Kinabalu (KK). Tempatnya betul-betul berdepan Pasar Filipina dan Pasar Kraftangan di sana. Perancangannya, since saya dan Abang Jul nak fokus untuk album di Malaysia jadi kami akan ada banyak masa di sini.
Jadi kami ambil kesempatan untuk buat kafe di Kota Kinabalu memandangkan sepatutnya pada Mac lepas akan ada penerbangan terus dari Selatan Filipina ke KK. Itu sebabnya kami nak buat di KK. Tapi dah berlaku COVID-19, flight tergendala, renovation tergendala…
Nona: Apa konsep ‘Min Yasmin Cafe’?
Min Yasmin: Lebih kepada santai dan Malaysian Authentic Food yang mana semuanya mendapat sentuhan air tangan dan stail masakan saya sendiri.
Antara menunya adalah Nasi Lemak Berlauk (rendang daging, kari ayam), Roti Jul (roti john), Ikan Bakar, Sate, Maggi Goreng, Chicken Chop, Meatballs dan banyak lagi. Juga ada desserts yang menarik!
Dari segi deko, kami tak menggunakan Interior Designer tapi semuanya idea saya dan Abang Julfekar. More into industrial style.
Kafe Min Yasmin dan suami bakal beroperasi tidak lama lagi
Nona: So mudahlah peminat jumpa Min Yasmin di kafe nanti?
Min Yasmin: InsyaAllah dengan faktor lokasi yang menjadi pusat tumpuan pelancong, sebaris dengan Le Meridien Hotel dan jalan utama di Pasar Filipina, bukan saja peminat malah para pengunjung semua boleh menjamu selera di sini.
Saya juga ada plan nak adakan sesi ‘Meet & Greet’ di kafe, sebulan atau dua bulan sekali. InsyaAllah kalau tiada halangan, kami akan terbang ke KK awal bulan Ogos ni untuk start dengan bisnes food delivery dulu sementara tunggu kafe siap renovate.
Doakan ya…
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nama Sharifah Rose kini semakin menjadi sebutan ramai. Gadis cantik berusia 23 tahun berketurunan Melayu, Pakistan dan Jawa ini memulakan karier awalnya sebagai model dan selebriti media sosial sekitar tahun 2016. Tiga tahun kemudian, Sharifah Rose muncul dalam muzik video pertamanya berjudul “Vromm Vromm” nyanyian Nabila Razali.
Sharifah Rose atau nama sebenarnya Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira kini terus mengorak jejaknya dalam dunia lakonan. Antara drama yang telah menaikkan namanya sebagai pelakon muda berbakat ialah Kekasih Hati Mr Bodyguard.
USAHAWAN MUDA
Siapa sangka, dalam kesibukannya sebagai seorang model, influencer dan pelakon, Sharifah Rose turut memiliki koleksi tudung jenamanya sendiri iaitu Harirose.
Memang cantik-cantik koleksi tudungnya, fabrik pun berkualiti. Ada keistimewaan yang ada pada jenama Harirose ini. Jom baca!
Harirose melancarkan koleksi tudung terbaharunya iaitu Upstairs Farmers Market Volume 2. Terdahulu, siri Upstairs Farmers Market Volume 1 telah diperkenalkan pada Mac 2022. Melihat kepada respon serta sambutan yang sangat memberangsangkan ketika itu, Harirose memutuskan untuk mengembangkan siri ini bersama reka bentuk dan warna baharu.
RHT03144 (2)
Harirose mula berada di pasaran pada awal tahun 2022 sebagai urban modest scarf yang bukan sahaja mensasarkan golongan yang sudah lama berhijab malah mereka yang pertama kali mengenakan hijab.
Dari segi reka bentuk selendang dan penjenamaan, ia dipengaruhi oleh karakter serta falsafah estetika Sharifah Rose iaitu “Hari ini, I Choose Myself”. Ia umpama satu peringatan buat diri Sharifah Rose termasuk para pengikutnya agar menyayangi serta mengutamakan diri sendiri dahulu dalam menghadapi apa jua cabaran.
RHT03107 (1)
Diri sendiri adalah ‘rumah pertama’kita yang perlu dihargai, dibelai dan disayangi. Inilah nilai-nilai utama yang ada pada jenama Harirose. Konsep asal koleksi ini ialah untuk memberi penghormatan kepada para artisan dan petani tempatan yang mempamerkan barangan mereka di pasar tani pada setiap hujung minggu.
Selain itu, Sharifah Rose turut mempunyai kisah dan kenangan tersendiri ketika melawat pasar tani bersama ibunya di mana dia terpesona dengan warna warni kehidupan termasuklah semangat, kemesraan dan perpaduan dari semua lapisan masyarakat.
RHT01741
Lantas, elemen nostalgia itu ditransformasikan ke dalam motif bunga dan tumbuhan pada keseluruhan tudung.
“Saya mahu mencipta koleksi yang merakamkan perasaan saya ketika momen itu bersama ibu.
“Segalanya berlaku sangat pantas dalam hidup saya. Maka, saya ingin diingati dalam koleksi ini,”luah Sharifah Rose.
Siri Upstairs Farmers Market Volume 2 terdiri daripada dua rekaan istimewa. Pertama, rekaan terlaris yang diperkenalkan semula. Empat warna baharu diperkenalkan iaitu Heater in Blueberry, Guava, Kiwi, dan Olive. Koleksi Blair pula didatangkan dalam tiga warna iaitu Creamsicle, Bubblegum, dan Chocolate.
Kedua rekaan yang memperkenalkan semula rekaan ‘throwback’ dalam warna baharu iaitu Aster in Bluebell dan Lavender. Serta, dua rekaan baharu iaitu Cecilia in Honeysuckle dan Silver Berry.
Layari www.harirose.com danShopee rasmi Harirose.os untuk maklumat lanjut.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi. Agak lama Ustazah Nor Bahyah menyepikan diri daripada dunia media sosial. Walaupun begitu Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah masih terus ‘menyengat’ dalam dunia dakwah sama ada melalui dunia maya dan juga pentas ceramah. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah aktif di Facebook beliau yang mempunyai pengikut lebih daripada 2 juta.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah yang sering membahasakan dirinya dengan panggilan Ustazah mengakui bahawa beliau memang kurang melibatkan diri dalam program-program di layar kaca dan juga radio. Beliau kini lebih selesa bersama cucu-cucu berumur antara 1 hingga 9 tahun.
“Masa saya banyak dengan cucu-cucu lebih-lebih lagi cucu saya yang kembar. Jadi biarlah saya beri peluang kepada generasi muda pula untuk berdakwah melalui medium media sosial agar mereka dapat bersama-sama menyumbangkan ilmu anugerah Allah dan mendidik ummah.
“Seperti biasa saya menerima undangan ceramah di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta Singapura. Selain itu saya juga akan mengadakan seminar atau kem motivasi pada musim cuti sekolah November dan Disember ini. Jika tiada jemputan atau undangan untuk menyampaikan ceramah, saya akan meluangkan masa bersama keluarga memandangkan sekarang ini saya mempunyai lima orang cucu yang tinggal bersama,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah membuka bicara kata.
Tidak dapat dinafikan kelibat Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah dan imamnya, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid dalam rancangan Semanis Kurma amat dirindui. Rancangan yang berlangsung selama lapan tahun berturut-turut sejak 2008 itu benar-benar meninggalkan impak yang berkesan dan berpanjangan kepada penonton.
“Terima kasih kepada pihak TV9 kerana memberi kepercayaan kepada saya dan Ustaz untuk mengacarakan rancangan Semanis Kurma. Rancangan semanis kurma di TV9 habis kontraknya pada 2016. Memang menjadi cita-cita saya dan Ustaz untuk menghidupkan kembali rancangan Semanis Kurma kerana rancangan ini menjadi sumber inspirasi dan juga menjadi pedoman dalam membina keluarga bahagia. Alhamdulillah ke mana-mana saya pergi, orang akan memanggil saya dan Ustaz dengan panggilan Semanis Kurma. Semoga ada penaja untuk rancangan ini diteruskan,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Jadual beliau agak padat dengan undangan ceramah-ceramah agama. Kebiasaannya dalam seminggu tiga hingga empat kali. Ada ceramah pada waktu siang hari dan ada juga pada malam hari.
“Kebanyakan ceramah di luar kawasan terutamanya di Terengganu. Setiap bulan saya akan ke sana bagi menyampaikan ceramah atas undangan dari Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu sejak tahun 2000. Saya juga kerap pergi ke Singapura, Sabah dan Sarawak serta Brunei. Ada juga undangan daripada pelajar dari luar negara seperti Jepun, Korea, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Saya juga banyak turun padang ke kawasan pendalaman seperti kampung-kampung dan Felda-Felda,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
CABARAN BERDAKWAH
Dicungkil tentang cabaran sepanjang berkecimpung dalam dunia kerjaya sebagai seorang penceramah, jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, cabaran datang dalam dua bentuk iaitu luaran dan dalaman.
“Antara cabaran biasa ialah tempat ceramah yang agak jauh sehingga terpaksa memandu antara dua hingga empat jam. Begitu juga cabaran yang agak berat bagi saya iaitu apabila terpaksa meninggalkan anak-anak serta cucu-cucu tiga hingga empat hari dalam sebulan.
“Namun begitu cabaran paling utama ialah Iblis dan syaitan serta manusia yang bersifat mazmumah. Ia merupakan penghalang utama seorang pendakwah selain cabaran daripada fahaman sekularisme yang telah tersebar. Fahaman ini yang dibawa oleh barat sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitmen kepada nilai-nilai agama,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Fitrah seorang wanita bergelar isteri dan ibu, amat penting mengagihkan masa antara kerjaya dan juga keluarga. Bagi diri Ustazah Nor Bahyah jika sekiranya tiada aktiviti di luar, waktu pagi sehingga tengahari beliau akan memperuntukkan masa menguruskan rumah seperti menyediakan sarapan untuk keluarga, mengemas rumah dan memasak.
“Di sebelah petang saya akan memberi tumpuan dalam kerjaya seperti menjawab persoalan daripada facebook dan e-mel, persediaan untuk ceramah dan juga menulis untuk majalah dan buku. Pada sebelah malam akan bersama keluarga tercinta.
“Hobi saya sejak dari kecil sampai sekarang ialah membaca. Masa kecil-kecil dahulu saya sanggup berada berjam-jam di perpustakaan awam semata-mata untuk membaca. Alhamdulillah setakat ini tidak ada hari yang berlalu tanpa saya membaca. Saya tidak dapat tidur tanpa membaca terlebih dahulu. Pada masa lapang saya akan menggubah bunga, bercuti, memasak dan membawa keluarga membeli belah,”jelas Ustazah Nor Bahyah yang gemar memasak tomyam, nasi daging, daging masak kicap, kari ikan merah dan sambal belacan kegemaran keluarganya.
RAHSIA KELUARGA BAHAGIA
Keakraban dan kemesraan beliau bersama keluarga agak dicemburui. Sebenarnya banyak aktiviti yang dilakukan oleh Datuk Ustazah Nor Bahyah bersama keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Sekiranya saya tidak berceramah di luar kawasan, kami akan solat berjemaah setiap hari terutama sekali waktu maghrib. Selain itu aktiviti membaca Al-Quran terutama membaca surah Yaasin pada hari Khamis malam Jumaat turut diamalkan. Ia dilanjutkan dengan mengadakan usrah keluarga yang mana saya dan Ustaz akan memberikan nasihat dan panduan kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
“Kami juga akan luangkan masa untuk bercuti bersama. Dalam setahun antara dua hingga empat kali. Di samping itu juga sentiasa makan bersama lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Resipi keluarga bahagia bagi saya ialah suami isteri dan anak anak mestilah menjadi seorang yang beriman dan bertakwa dan mempunyai sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.
“Sifat kasih sayang itu terbentuk melalui lima perkara iaitu sentiasa mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan positif, sentiasa memberi hadiah terutama pada tarikh hari kelahiran, melalui sentuhan seperti bersalam salaman, ciuman dan pelukan, sentiasa mengadakan aktiviti bersama seperti solat berjemaah, makan berjemaah dan bercuti berjemaah dan sedia berkhidmat seperti tolong-menolong antara suami isteri, ibu bapa dan anak anak,”kongsi Datuk Ustazah Nor Bahyah yang amat menekankan solat lima waktu dalam mendidik anak-anak dan cucu-cucunya.
Melihatkan kesibukan jadual harian beliau nescaya pasti terdetik dibenak fikiran, bagaimana pendakwah wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan senyuman ini mengekalkan stamina. Tidak lokek berkongsi rahsia, antara elemen penting ialah mendapatkan tidur yang mencukupi enam hingga lapan jam sehari.
“Saya juga menjaga makan dan minum supaya berat badan tidak bertambah. Di samping itu juga saya sentiasa melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh seperti menyapu sampah, berjalan-jalan dan bersenam,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Sebelum menutup kalam, sempat ditanya pendapat beliau tentang peranan wanita sebagai nadi pembangunan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, wanita perlu sentiasa menjadikan dirinya teladan yang boleh dicontohi anak-anak dalam segala hal yang dilakukan di dalam urusan rumah tangga.
“Wanita juga berperanan sebagai penolong dan teman hidup pasangannya di kala suka dan duka. Melayani suami merupakan kewajipan sebagai seorang isteri. Isteri juga adalah teman untuk berbincang sebelum sesuatu keputusan diambil oleh suami sebagai ketua rumahtangga. Sebagai isteri mungkin pendapat kadang-kala berbeza tetapi apabila keputusan sudah dibuat oleh suami, isteri harus menyokong keputusan tersebut. Ini kerana di dalam sebuah kapal hanya ada seorang nakhoda dan begitu juga di dalam sebuah rumahtangga hanya ada satu ketua keluarga.
“Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah. Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah mengakhiri bicara.
TIP KEKALKAN KEMESRAAN DENGAN SUAMI AGAR RUMAH TANGGA BAHAGIA
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Masha-Allah, sweet sangat Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki buat kejutan kepada isteri tercintanya, Datin Nurdianawati Irwani Abdullah sempena ulang tahun perkahwinan mereka.Terkenal dengan keperibadian...