Sesungguhnya ujian dari Allah itu tanda sayang. Dalam kegembiraan Norazilah Musa dan suami menerima kehadiran cahaya mata keempat, mereka diuji dengan kelahiran anak istimewa. Dunia Norazilah yang selama ini cerah tiba-tiba bertukar malap saat doktor mengesahkan keadaan bayi miliknya. Akui ibu empat anak ini, lidahnya menjadi kelu dan perasaannya bercampur-baur menerima situasi mengejutkan tersebut.
Tenang berkongsi perjalanan hidup serba mencabar, Norazilah atau mesra disapa Iyla mengharapkan agar pendedahan ini menjadi suntikan semangat buat wanita khususnya kaum ibu yang turut dikurniakan anak syurga.
“Tahun lepas, saya selamat melahirkan seorang bayi lelaki dan kami sepakat menamakan anak ini sebagai Nuh. Nuh dilahirkan pada 18 April 2020. Waktu dia lahir wabak Covid-19 sedang menular. Dengan keadaan jangkitan virus maut ini di luar sana ditambah pula emosi yang masih terkejut dan tak stabil, saya mengaku kehidupan kami suami isteri ketika itu sangat mencabar.
Berbeza dengan tempoh berpantang lepas bersalin anak-anak sebelum ini, saya terpaksa berpantang di rumah bersama suami dan anak-anak yang lain. Memandangkan waktu itu tengah Covid-19. Allah saja tahu bagaimana saya bergelut dengan kehidupan sendiri tiap-tiap hari.
Nuh dilahirkan sindrom down dan sepanjang mengandungkan Nuh, doktor tak kesan sebarang perubahan tidak normal terhadap kandungan saya. Semuanya baik-baik saja sehinggalah Nuh lahir dan disahkan sindrom down.
Ads
Memang kami terkejut sebab tak ada dalam kalangan keluarga kami yang ada genetik ini. Sampai sekarang walau Nuh dah berusia setahun lebih kami masih follow up kes dia dan berulang-alik ke hospital setiap hari.”
Entah dari mana datangnya kekuatan, jiwa Iyla seolah-olah ‘dijentik’ seterusnya membuatkan dia segera bangkit demi anak syurga. “Iya, pada awalnya memang sukar untuk saya terima kenyataan yang kami ada anak istimewa. Tapi bila fikir secara rasional, dan percaya kepada ketentuan Allah Yang Maha Adil… perlahan-lahan saya terima takdir ini.
Saya juga percaya anak syurga kami adalah ‘rezeki besar’ yang tak semua orang ada. Fokus saya dan suami sekarang ialah untuk jaga Nuh sebaik mungkin dan merancang masa depan dia sebaik-baiknya.”
Ads
Jelas Iyla, dia yang mengusahakan bisnes solekan Amanda Touch turut terjejas dari segi pendapatan sejak pandemik Covid-19 melanda negara. “Kalau tanya di mana saya dapat kekuatan, mestilah anak-anak yang menjadi semangat untuk saya berjaya dan berusaha lebih kuat. Lagi-lagi sekarang, saya ada seorang anak syurga. Jadi itu membuatkan saya bersemangat dan yakin yang saya boleh lakukan apa saja serta berjaya seperti orang lain.
Tak dinafikan, sumber pendapatan saya tak menentu. Demi untuk tampung perbelanjaan keluarga dan bantu suami, saya ambil paid review di platform media sosial selain buat jualan kecil-kecilan secara online.
Musim Covid-19 memang saya tak ambil job mekap. Tambahan pula ada Nuh, saya risau kalau dia terjangkit. Sebab itu dari bulan Januari lepas, saya usaha jual Chocolate Almond untuk tambah pendapatan. Suami saya bekerja sendiri sebagai kontraktor.”
Bukan berasal dari keluarga berada, Iyla menjelaskan dia sudah terbiasa hidup susah sejak kecil bersama lapan adik-beradik yang dua daripadanya sudah meninggal dunia. “Saya dilahirkan di Kuantan, Pahang dan merupakan anak kelima daripada lapan beradik. Ayah dah lama pencen dan mak pula suri rumah sepenuh masa.
Sebelum ini saya pernah kerja sebagai penari artis budaya di Pahang dan Kuala Lumpur. Belajar hanya sampai SPM saja di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad. Saya mula aktif dalam bidang solekan selepas kahwin sekitar tahun 2014. Terdetik untuk ada bisnes make up sebab minat dan saya rasa bakat saya dalam bidang ini sangat luas. Selain ambil tempahan mekap, saya juga ada buat kelas solekan sendiri.
Ads
Dengan lambakan make up artist sekarang, memang diakui sukar untuk mendapat tempat. Tapi saya percaya dengan bakat yang ada dan kelainan yang saya bawa. Maksudnya bukan sekadar solek orang tapi saya juga boleh mekap diri saya sendiri secara live dan buat video mekap sendiri serta bersaing secara sihat.
Tujuan saya berkongsi solekan secara live di media sosial juga adalah untuk beri semangat kepada followers saya yang semua wanita mampu buat apa yang mereka inginkan tanpa alasan,” ujar Iyla sambil mengagumi bakat solekan dan jiwa usahawan Dato’ Alha Alfa.
Meniti usia 34 tahun, isteri kepada Zulhelmi Sulaiman ini berkata walau ada perniagaan sendiri dan pernah menata rias beberapa selebriti tanah air namun Iyla tetap berdepan pelbagai cabaran. “Cabaran sepanjang bergelar makeup artist ini banyak. Tapi antara yang paling kerap saya lalui adalah apabila saya terpaksa bawa semua anak-anak untuk job mekap pelanggan.
Alhamdulillah, Allah permudahkan kerja saya dan dikurniakan anak-anak yang sangat menjaga tingkah-laku bila saya bawa mereka bersama pergi kerja. Anak-anak faham kerja ibu mereka dan suami pun banyak tolong uruskan anak-anak sebab kami tak ada pengasuh.
Begitu juga pelanggan yang faham keadaan saya. Tapi kalau ada event tertutup atau saya kena hadir jadi jurucakap atau mekap selebriti, saya tak bawa anak-anak. Jadi saya terpaksa minta tolong kakak ipar untuk jagakan mereka.”
Ditanya mengenai perancangan Iyla pada masa hadapan, dalam nada penuh semangat dia memberitahu mahu mempunyai satu studio solekan khas buat golongan wanita. “Sememangnya saya mahu jadi wanita berjaya dan memasang impian untuk buka satu studio khusus untuk wanita kurang berkemampuan mendapatkan ilmu berkaitan solekan. Saya mahu adakan ini untuk mereka supaya mereka yakin dan mampu mencuba sesuatu yang menguji kemampuan mereka serta berfikir di luar kotak.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tatkala kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus menunjukkan penguncupan sejak tersebarnya wabak COVID-19, ada satu perniagaan Bumiputera yang mencatatkan pertumbuhan luar biasa. Mamasab International milik Siti Noor Sabrina Soobri mencipta fenomena baru apabila syarikat itu merekodkan jualan tujuh ke lapan angka sebulan sepanjang PKP 2020 lepas.
Dalam pertemuan Nona dengan Mamasab yang merupakan penyandang Nona Best Networking Business Award di Nona Superwoman Award 2020 ini, beliau sudi berkongsi rahsia kejayaan bisnesnya.
“Alhamdulilah sejak penularan wabak dan perintah PKP berkuatkuasa, kami dapat beroperasi seperti biasa. Tempahan yang masuk juga terlalu banyak. Tak menang tangan kami melayan permintaan,” cerita Mamasab yang kini menguruskan dua perniagaan di bawah Mamasab International iaitu Mamasab Bakery dan Mamasab Cosmetics.
Berbicara lebih lanjut tentang strategi yang diatur Mamasab bagi menghadapi cabaran krisis ekonomi, tonton video SUPERWOMAN TALK ini.
“Dalam bisnes Mamasab, kami bina satu sistem online yang memudahkan para usahawan. Kami dah bersedia ‘mendigitalkan’ bisnes sebelum penularan wabak COVID-19 lagi. Modul Mamasab juga membantu mereka uruskan perakaunan dari skala kecil hingga skala besar.
Ada juga sistem runner atau posmen bagi melancarkan proses penghantaran. Semua sistem ini kami bangunkan tanpa meniru mana-mana tempat, ia dilahirkan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul secara efisien,” ujar beliau.
Wisma Mamasab Bakery
Prihatin terhadap nasib segelintir individu yang kehilangan pekerjaan atau penutupan bisnes sewaktu PKP, Mamasab tidak teragak-agak untuk membantu.
Bagi menggalakkan lebih ramai usahawan baru memulakan perniagaan, Mamasab menyediakan modul dan trainers bagi melatih mereka. Inilah antara usaha bekas graduan Universiti Malaya itu memberi semula kepada masyarakat pada waktu-waktu sukar ini iaitu dengan memberi peluang untuk menjana pendapatan tanpa melibatkan modal langsung.
RAHSIA JADI JUTAWAN
Pada tahun 2020, Mamasab berjaya melahirkan lebih daripada 61 orang usahawan yang membuat jualan lebih daripada RM1 juta.
“Sebenarnya semua orang pun boleh jadi jutawan PKP. Caranya, pastikan bisnes anda telah di-online-kan. Jika sebelum ni customer beli secara offline dan terpaksa ke kedai untuk beli barang kita, sekarang tiba masanya untuk ada sistem online sendiri supaya barang boleh terus sampai ke rumah mereka,” dedah Mamasab.
Antara kek Mamasab yang menjadi kegemaran pelangganBisnes kosmetik menjadi taruhan terbaru Mamasab
Mengulas isu rasuah testimoni yang sengaja dibuat bagi ‘memancing’ prospek pelanggan baru, Mamasab dengan tegas menyelar perbuatan tersebut.
“Apa guna kalau jualan kita banyak tapi kita tak dapat keberkatan rezeki. Keberkatan tu datang apabila kita tulus, tunjukkan testimoni dan result yang sebenar bukan yang dipalsukan demi menarik perhatian customer. Kejujuran itu penting,” akhiri ibu kepada tiga cahaya mata tersebut.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bella Hadid bukan calang-calang model. Namanya dikenali sebagai salah seorang supermodel paling terkenal bersama kakaknya, Gigi Hadid. Di usia 20 tahun Bella sudah pun bergelar model jenama terkemuka iaitu Chanel, Oscar de la Renta dan Balmain. Bella juga merupakan wajah rasmi bagi iklan-iklan Christian Dior.
Sebagai public figure dan tuntutan karier, Bella ‘wajib’ menjaga kecantikannya dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. NONA dedahkan rahsia cantik supermodel yang nama sebenarnya Isabella Khair Hadid.
SERUM ATAU FACIAL OIL Bella mengakui, dia mula belajar menjaga kulit dengan baik daripada ibunya yang merupakan supermodel senior serta sosialit, Yolanda Hadid. Menurut Bella, ibunya tidak banyak mengajar tentang solekan sebaliknya sering mengingatkan Bella agar menjaga kulit terlebih dulu kemudian barulah solekan. Maka, Bella memegang pesanan ibunya itu sehingga kini dan konsisten dengan rutin penjagaan kulit.
Bella memastikan wajahnya sentiasa disapu dengan serum atau facial oil sebelum mengenakan solekan. Cara ini membantu kulit sentiasa lembap, sihat dan terlindung daripada kerosakan.
CUCI MUKA & SAPU PELEMBAP SEBELUM TIDUR Menurut Bella, sebelum ini dia hanya mencuci muka pada waktu malam dan tidak memakai sebarang produk kecantikan selepas itu. Tetapi kini jika dia tidur tanpa pelembap, mukanya akan terasa kering dan ketat. Mencuci muka sebelum tidur adalah rutin kecantikan yang betul kerana ia perlu dibersihkan dari kotoran, minyak, dan sisa solekan agar pori-pori tidak tersumbat.
Manakala fungsi pelembap untuk menyuburkan kulit pada waktu terbaik iaitu ketika tidur. Untuk tujuan ini, sleeping mask atau krim malam amat penting.
MINUM AIR Cecair badan yang mencukupi adalah penting dalam penjagaan kecantikan.
Jika kulit dan badan terhidrat dengan betul, maka nutrien dalam produk penjagaan kecantikan dapat diserap dengan baik oleh kulit.
FACIAL MASK
Kata Bella dia tidak melakukan sebarang rawatan muka. Pun begitu, Bella suka memanjakan dirinya dengan masker.
Rawatan ini dilakukan pada masa lapang termasuk di dalam kapal terbang, atau sebelum pertunjukan fesyen. Cara ini akan menjadikan kulit terasa tegang, lebih lembap dan serasi dengan solekan.
CONCEALER & BRONZER
Selalunya Bella menggunakan concealer di bawah mata, dagu dan sekitar hidung, diikuti dengan bronzer. Info menarik tentang Bella, dia sebenarnya sangat sukakan jeragat semulajadi di wajahnya dan tidak akan menutup ciri-ciri tersebut dengan solekan.
Untuk penampilan yang lebih elegan, Bella biasanya mengenakan solekan ‘cat eyes’ menggunakan celak hitam, coklat atau biru tua.
Kredit Foto: Instagram Bella Hadid
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berkesempatan bertemu pelakon Catriona Ross di majlis pelancaran koleksi tudung Sugarscarf baru-baru ini, dia sempat berkongsi cerita bakal menempuhi perjalanan jarak jauh bersama keluarga tersayang.
Memilih untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarganya di Scotland sejak 19 April lalu, Catriona Ross bersyukur Ramadan dan Aidilfitri tahun ini dia sekeluarga berkesempatan menyambutnya bersama bapa tersayang, Bahrin Ross Abdullah Ross.
Catriona atau Norhayati Ross Baharin Ross, 43, berkata, percutian itu turut disertai oleh anak lelakinya iaitu Jammal Al Raess, 11, yang juga penghidap autisme. Menurut Catriona, dia sememangnya teruja dengan percutian dan Aidilfitri tahun ini kerana ia merupakan kali pertama Jammal mengharungi perjalanan panjang menggunakan pesawat dan berbangga dengan pencapaian anak kesayangannya itu.
“Perjalanan kali ini terutamanya pulang kampung di Scotland dan London sambil membawa anak autisme adalah satu perjalanan paling bermakna buat kami. Selama bertahun-tahun saya membayangkan bagaimana agaknya anak istimewa saya sekiranya berada di luar negara bersama kami.
Menurut Catriona, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Doha mengambil masa selama 8 jam. Sepanjang perjalanan, dia sudah menyediakan segala keperluan buat anak lelakinya, Jammal Raess. Namun begitu, Catriona menzahirkan rasa syukur anaknya mampu melalui perjalanan yang jauh tanpa sebarang masalah. Malah penerbangan sambungan dari Doha ke Scotland selama enam jam juga berjalan dengan lancar.
“Akhirnya, anak lelaki kami dapat menjejakkan kaki di London dan kami sempat merakamkan foto kenangan bersama di hadapan mercu tanda The Great Bell,” katanya.
Catriona berkongsi mengenai momen tersebut menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya. Selain meraikan Aidilfitri di Scotland, Catriona bersama keluarga turut mengambil kesempatan berkunjung ke beberapa tempat termasuk London.
Menceritakan mengenai Jammal, Catriona berkata, percutian itu bukan sekadar melancong tetapi membuktikan anak istimewanya itu berjaya melawan ketakutannya sebelum ini.
Kongsinya, Jammal dahulunya seorang penakut dan akan menangis sekiranya mendengar bunyi-bunyian yang kuat. Momen tersebut merupakan sesuatu yang amat disyukuri oleh mereka sekeluarga di mana anak istimewa ini dapat mengatasi ketakutannya.
“Kalau dulu dia akan menangis dan melarikan diri apabila mendengar bunyi pembersih vakum.Hari ini anda boleh lihat bagaimana dia gembira dalam gambar yang saya kongsikan ini,” ujarnya.
Untuk rekod, Jammal disahkan menghidap autisme tanpa komunikasi iaitu ketidakupayaan bertutur dan hanya boleh bercakap beberapa patah perkataan.
Sebelum ini, Catriona pernah berkongsi hatinya remuk apabila mendapat tahu keadaan anaknya itu namun bersyukur Jammal kini boleh menguruskan diri sendiri meskipun tidak boleh berkomunikasi.
Catriona mendirikan rumah tangga dengan Shaharuddin Mokhtaruddin pada 26 Jun 2009 dan selain Jammal, pasangan itu turut dikurniakan dua lagi cahaya mata iaitu Sephina Rania, 13 dan Edruce Riyadh, 8 tahun.
Bercerita mengenai sambutan Raya di Leith, Edunburgh, Catriona tetap menyediakan persalinan baju raya buat keluarga tersayang sebagai simbolik meraikan kedatangan Aidilfitri meskipun berada di luar negara.
“Saya sempat menyediakan hidangan istimewa seperti masak lodeh dan nasi impit jam 6 pagi waktu Scotland untuk dinikmati seisi keluarga. Pendek kata, raya kali ini sememangnya istimewa dapat meraikan bersama bapa dan keluarga yang lain,” ujar Catriona seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.