Kanser payudara sangat digeruni kerana ia merupakan penyebab utama kematian penyakit kanser dalam kalangan wanita. Tidak kira umur atau pekerjaan anda sekalipun, kanser boleh menyerang dan pada waktu ini, anda harus tabah menghadapi pelbagai ujian yang perlu dilalui dalam melawan penyakit yang menjadi musuh di kalangan wanita ini.
Walaupun memegang gelaran sebagai seorang doktor dan mengamalkan gaya hidup yang sihat, Dr Nor Aniza, tidak terkecuali menjadi salah seorang ‘mangsa’ kanser membunuh ini. Namun, dengan semangat yang cekal dan azam yang tinggi untuk menjalani kehidupan yang lebih positif, beliau berjaya menjadi salah seorang cancer survivor.
“Pada tahun 2006, ketika berumur 32 tahun saya mendapati terdapat satu ketulan kecil lebih kurang 2cm di payudara kiri melalui pemeriksaan sendiri payudara (PSP). Anehnya, ketulan itu tidak pernah ada di situ dan saya tidak langsung merasai sakit. Atas dasar kesedaran, saya berjumpa dengan pakar di PPUM dan selang beberapa hari, doktor mengesahkan ia sel kanser.
Saya menyusukan anak-anak dan mengamalkan gaya hidup sihat. Bahkan, tiada siapa di kalangan ahli keluarga menghidap kanser”, jelasnya ketika mula-mula disahkan menghidap kanser payudara.
“Sukar untuk saya percayai. Otak ligat memikirkan anak-anak yang masih kecil dan klinik saya yang baharu saja dibuka. Walaupun saya tahu apakah langkah rawatan terbaik, perasaan sedih dan air mata tidak dapat dibendung”, jelasnya lagi.
Sekali lagi, emosinya terusik dan dunia menjadi gelap tiba-tiba apabila beliau disahkan sekali lagi menghidap kanser payudara.
” Tidak tahu di mana silapnya, saya adalah peratusan kecil kanser berulang seperti disebut pakar dan saya terpaksa akur bahawa punca usia muda dan hormon yang masih aktif menyebabkan kanser berulang kembali.
Saya nekad menjalani pembedahan membuang payudara sekali gus Rekonstruksi Implan dan pembedahan mengambil masa selama 6 jam dan saya diberi suntikan di perut untuk menyekat hormon”, jelasnya lagi yang aktif dalam pelbagai kumpulan sokongan kanser seperti Cancer Survivors Malaysia.
Bukan mudah untuk kekal positif dalam keadaan sebegini namun semangat yang ada dalam diri doktor ini sewajarnya dijadikan inspirasi. Beliau juga sentiasa bersyukur kerana sekalipun menghidap kanser berulang, Allah masih murah hati mengurniakan banyak nikmat lain kepadanya dan tidak sedikit pun berasa kurang sifat kewanitaan.
Jangan mudah mengalah kerana setiap penyakit pasti ada penawarnya. Malah, kanser payudara boleh dirawat jika seseorang pesakit dapat mengesan dan menyedari antara tanda-tanda lebih awal lagi dengan melakukan pemeriksaan sendiri (PSP) ke atas payudara pada setiap bulan.
Kini, sudah hampir 14 tahun Dr Nor Aniza mengamalkan gaya hidup yang sihat walaupun pernah melalui saat getir sekali lagi apabila pada tahun 2013 dia mendapati dirinya mendapat kanser secara berulang melalui ujian saringan mamogram.
“Alhamdulillah, disebabkan pengesanan dilakukan pada peringkat awal, kanser tersebut masih kecil dan saya sembuh sepenuhnya selepas pembedahan dan rawatan hormonal. Saya menjalani pembedahan mastectomy membuang payudara kiri dan memasukkan silikon implan pada tahun 2013”.
Dr Aniza turut bergiat secara aktif dalam kumpulan pejuang kanser dan menubuhkan kumpulan sokongan dengan lebih 50 orang pesakit wanita di Bukit Beruntung. Kumpulan yang dinamakan BeBS atau Bukit Beruntung Survivors itu banyak melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan serta memberi sokongan terhadap pesakit kanser lain.
Medium online digunakan untuk menyampaikan info dan kata-kata dorongan untuk pejuang kanser.
“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, saya turut berkongsi mengenai penjagaan kesihatan melalui alam maya agar pejuang kanser terus bersemangat meneruskan kehidupan dalam apa jua keadaan sekalipun.
Malah, sebelum PKP dijalankan, saya sempat membawa dua rombongan peserta seramai 88 orang untuk kempen mamogram Etiqa di Pertubuhan Kanser Kebangsaan Kampung Baru,” ujar Dr Nor Aniza yang merupakan Pengarah Perubatan Pusat Rawatan AMC,selain aktif sebagai penaung BeBS, Penasihat Ikram Health daerah Hulu Selangor, panel penasihat Kanser Network (Kanwork) dan beberapa NGO lain.
Walaupun terdapat kekangan sepanjang bulan kesedaran kanser sepanjang Oktober apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakan, namun usaha murni untuk menyampaikan mesej mengenai kanser tetap diteruskan dengan cara tersendiri. Menidum secara maya menjadi perantaraan untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai.
Dr Aniza turut mengikuti Kumpulan Pink Fitness untuk aktiviti fizikal antaranya termasuklah menamatkan cabaran 5km di Port Dickson.
“Sedih sebab PKPB dilaksanakan kerana banyak program dan aktiviti sempena PinkOctober telah tertunda. Tetapi kami masih meneruskan kempen dengan cara digital untuk memberi kesedaran mengenai kanser.
Selain itu, agak sedih juga apabila terdapat pesakit yang terpaksa ditunda rawatan dan pembedahan di hospital akibat COVID19.
Sebelum mengakhiri perbualan, Dr Nor Aniza sempat berpesan untuk wanita lebih alert terhadap sebarang perubahan diri dari aspek kesihatan.
“Jangan terlalu memandang ringan dan ambil sikap tidak peduli lebih-lebih lagi untuk wanita yang berumur 20 tahun ke atas. Sekiranya berlaku sebarang perubahan di bahagian payudara segera dapatkan rujukan daripada pakar. Diharapkan, agar wanita di luar sana lebih peka dengan kesihatan diri sendiri dan keluarga,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ramai wanita tahu dan sedar tentang bahaya kanser payudara. Namun, tidak ramai wanita yang tahu tentang kewujudan Kanser Payudara Metastatik. Kanser Payudara Metastatik (mBC) merupakan kanser payudara tahap tertinggi diakibatkan oleh sel kanser yang merebak dari payudara ke organ dalam tubuh lain.
Kanser jenis ini masih tergolong sebagai penyakit yang tidak boleh sembuh dan merupakan punca kematian akibat kanser kedua tertinggi dalam kalangan wanita hari ini.
Pfizer Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), menyasarkan untuk meningkatkan kefahaman orang awam terhadap Kanser Payudara Metastatik, mengubah persepsi, mengatasi stigma dan meluaskan topik perbincangan meliputi perihal Kanser Payudara Metastatik.
Presiden, Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Ranjit Kaur
Presiden BCWA, Ranjit Kaur berkata, “Kami menjalankan bancian dengan responden dengan latar belakang yang berbeza bagi memahami dan mengurangkan jurang kefahaman Kanser Payudara Metastatik. Hasil bancian tersebut bukan sahaja membantu kami mengenalpasti punca kurang faham, malah menjadi panduan untuk tindakan seterusnya,” ujar Ranjit Kaur.
Berdasarkan keputusan bancian, 70 peratus responden kurang kesedaran terhadap pilihan rawatan antara punca utama mengekang pesakit Kanser Payudara Metastatik mendapatkan rawatan perubatan yang efektif. Tahap kemampuan pula mencatatkan peratusan tertinggi dalam bancian tersebut.
Sungguhpun Kanser Payudara Metastatik tidak boleh sembuh tapi tujuan utama rawatan Kanser Payudara Metastatik adalah bagi memperlahankan atau menghentikan tahap pertumbuhan kanser sekali gus mengekalkan kualiti hidup pesakit. Kebanyakan pesakit mampu meneruskan kehidupan untuk tempoh yang panjang dan produktif walaupun disahkan menghidap metastatik.
“Beban penyakit ini tidak seharusnya ditanggung pesakit sendirian. Berdasarkan pengalaman peribadi, saya memahami perasaan apabila disahkan menghidap kanser payudara. Ia situasi yang amat menakutkan terutama jika kita tidak pasti dengan apa yang akan berlaku selepas ini dan kepada siapa patut kita mengadu,” kongsi Ranjit lagi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nampaknya kejayaan siri Emily In Paris membuahkan hasil dan kini memasuki musim ketiga penerbitannya. Pasti anda seronok melihat watak Mindy Chen dalam drama siri popular Netflix, Emily In Paris yang dilakonkan oleh pelakon wanita berasal dari Glendale, California, Ashley Park.
Melihat raut wajahnya, pasti ramai meneka akstress tersebut berasal dari China. Tetapi telahan tersebut meleset sama sekali memandangkan pelakon berusia 29 tahun itu sebenarnya mempunyai darah keturunan China dan Korea!
Dalam sibuk menguruskan kerjaya sebagai pelakon, Ashley Park pernah berkongsi kisah penderitaan apabila terpaksa menjalani rawatan kemoterapi akibat menghidap penyakit kanser darah atau leukemia sejak berusia 15 tahun. Ashley menderita penyakit Acute Myeloid Leukimia dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selama 8 bulan.
Ashley juga merupakan salah seorang penerima hadiah istimewa dari Make-A -Wish Foundation ketika itu di mana dia dan keluarganya telah diterbangkan ke kotaraya New York untuk menonton persembahan Broadway A Chorus Line, The Lion King, Spring Awakening dan Wicked di sana.
Malah dalam salah satu temuramah dengan pihak media, Ahsley pernah berkata situasi berhadapan dengan kanser menjadi salah satu sebab dia melibatkan diri dalam bidang teater.
Malah selepas selesai menjalani beberapa rawatan kimoterapi dan kembali ke sekolah, Ashley menjadi salah seorang teraju utama di persembahan sekolah dan menjadi antara momen indah dalam hidupnya. Tidak hairanlah mengapa graduan University of Michigan pada tahun 2009 dalam bidang teater muzikal ini amat meminati bidang teater!
Ashley Park atau nama penuhnya Ashley Jini Park, 29 dipetik ,dia tidak kisah berkongsi cerita mengenai penyakitnya, Tetapi, sebagai pelakon, dia lebih selesa sekiranya para peminat lebih menghargai bakat yang dimilikinya berbanding bercerita soal pengalaman sewaktu dia melalui detik sukar tersebut.
Tidak dinafikan Ashley pernah cuba melupakan tentang bahaya dan kesan sampingan akibat rawatan kanser kerana tidak mahu perasaan negatif terus menguasai dirinya.
“Sering kali saya ditanya tentang penyakit saya, sejujurnya saya tidak kisah kerana saya tahu kepentingan dari perkongsian itu,memberi impak terhadap individu lain ” katanya.
Namun begitu, Ashley berkata dia tidak mahu dirinya diselubungi rasa takut memikirkan kesan penyakit yang berpanjangan itu kerana khuatir dirinya akan lebih lemah.
Pada 2019, Ashley pernah menerima penghargaan Cancer Support Community ‘Marin Mazzle Award for Empowerment’ di atas sumbangannya dalam menyampaikan mesej mengenai kanser. Lebih istimewa, dia merasakan penyakit itu menjadi pendorong dia untuk menjadi lebih yakin dan berani.
“Untuk terus ke depan, hidup ini perlu fikir tentang diri sendiri, bagaimana nak menjadi lebih baik, perwatakan yang digemari, penampilan yang ditonjolkan dan jika ada sesuatu yang tidak diingini berlaku dalam diri, kita perlu cari jalan bagaimana untuk mengatasinya bukannya terus jatuh,” katanya.
SUMBER: Daily Mail
Foto:@ashleyparklady
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pemergian Nortafsiah Sulaiman atau Mak Lang iaitu ibu saudara kepada Naib Juara Hero Remaja 2017, Farhan Asri akibat barah payudara sememangnya meninggalkan kesan mendalam terhadap kehidupan jejaka berusia 20 tahun ini. Meskipun sudah lima tahun berlalu namun kenangan bersama arwah Mak Lang masih segar di ingatan. Masakan tidak, insan berjiwa murni itu jugalah yang pernah menjaga dan mendidiknya sejak kecil.
Mengakui sejarah keluarga yang mempunyai genetik kanser, Farhan berkata arwah neneknya juga merupakan penghidap kanser usus. “Paling menyedihkan bila aunty Farhan disahkan menghidap barah payudara. Dia dapat tahu tentang baran ini sebenarnya di peringkat awal lagi. Masa itu baru stage satu tapi dia pandang ringan penyakit ini. Pendek kata, dia memang buat tak tahu saja dan kata boleh sihat dan semua semula. Tak perlu risau.
Seingat saya, pada tahun keenam atau ketujuh dia ada datang ke hospital untuk buat pemeriksaan. Sayangnya, sel kanser dah merebak ke stage four dan menjangkiti ke jantung serta organ dalaman sampai Mak Lang terpaksa buat operation untuk buang kedua-dua payudaranya.
Sejak pembedahan membuang payudara, dia dah mula duduk di rumah dan tak boleh bergerak. Doktor pun dah nasihatkan kami sekeluarga yang Mak Lang boleh hidup tak sampai setahun. Kalau tak silap saya, dia meninggal ketika usia 42 tahun dan meninggalkan empat orang anak. Anak bongsu pun masa itu baru darjah satu.”
Tatkala ditanya tentang usaha keluarganya pada detik sukar itu, Farhan berkata, “Mak Lang bukan jenis orang yang suka pergi ke hospital. Dia tak suka environment di sana dan kalau ada saudara-mara yang masuk hospital memang dia tak suka pergi. Disebabkan sudah lali dengan perangai ibu mereka, anak Mak Lang siap bawa balik ubat dari hospital untuk lihat dia sihat semula. Tapi sayang, bila anak-anak bawa balik ubat, Mak Lang akan pura-pura ambil dan makan. Walhal dia akan buang ubat itu ke sinki.”
Jelas anak kelahiran Negeri Sembilan ini lagi, pemergian Mak Lang benar-benar mengusik perasaannya. Bahkan dia sendiri pernah melihat penderitaan yang ditanggung ibu saudaranya itu. “Bila dah besar, saya memang tanamkan sifat dalam diri agar jangan pandang ringan sesuatu perkara. Para wanita di luar sana tak kisah dalam lingkungan umur berapa pun kena jaga kesihatan.
Kena ambil tahu tentang pemakanan walaupun ada yang cakap boleh makan apa saja tapi harus beringat. Sebab kita tak tahu apa akan jadi pada diri kita kelak. Tidak kira muda atau tua, amalkan diet sihat, selalu buat aktiviti sihat. Inshaallah, moga kita semua akan diberi kesihatan yang sebaik-baiknya.”
Dalam pada itu Farhan turut menasihati kaum wanita khususnya untuk peka terhadap perubahan diri dan sentiasa lakukan pemeriksaan agar kejadian yang menimpa ibu saudaranya tidak berulang dalam kalangan wanita lain.SUZIANA ABU DAUD
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!