Di sebalik jenama terkenal Leeyanarahman, siapa yang tidak kenal dengan usahawan muda berusia 31 tahun, Nur Liyana Abdul Rahman atau lebih mesra dengan panggilan Yaana Lee ini. Tidak berseorangan menggemudi empayar perniagaan, Yaana Lee turut dibantu oleh suaminya, Muhammad Hafiz Abdul Hamid yang merupakan tulang belakang utama di sebalik jenama Leeyanarahman.
Bukan mudah menjadi seorang public figure apatah lagi dikenali dalam dunia perniagaan. Ada saja dugaan yang menerpa. Pantang silap sedikit pasti menjadi ‘buah mulut’ khususnya di kalangan warga maya (netizen). Antaranya isu fashion show dan rentas negeri. Pun begitu, bagi Yaan Lee dia punya alasan tersendiri pada setiap perkara yang dilakukan. Apa yang penting dia dan suami menyelesaikan setiap isu yang berbangkit secara profesional.
“Bercakap tentang dugaan memang tidak pernah habis. Saya sendiri tidak nafikan setiap tahun kami pasti akan berdepan dengan dugaan lebih-lebih lagi setiap kali menjelang musim perayaan. Seperti mana isu yang tular baru-baru ini tentang fashion show Leeyanarahman sehingga dikecam teruk oleh warganet. Majlis tersebut dikatakan gagal mengikut SOP seperti mana ditetapkan.
“Sejujurnya perkara ini berlaku di luar jangkaan. Sebagai manusia biasa adakalanya kita akan terlepas pandang dan di luar kawalan kami. Namun saya sendiri tidak ambil mudah dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Bohonglah kalau tidak rasa tertekan. Saya ambil masa dalam beberapa hari untuk bertenang dan berfikir. Kemudian saya da suami sepakat untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana itulah yang terbaik demi menjernihkan keadaan. Alhamdulillah isu tersebut beransur reda.
Saya ambil pengajaran dan sedar bahawa dalam berniaga kita perlu bersikap profesional. Di samping itu, kita juga perlu ada sikap realistik iaitu jujur dengan setiap keputusan yang bakal dibuat. Sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan memandang kepada keadaan semasa.
BISNES
Mula menerajui dunia perniagaan pada usia 23 tahun bukan satu perkara yang mudah. Apatah lagi ketika itu masing-masing mempunyai komitmen sebagai pelajar di salah sebuah universiti tempatan. Pun begitu, kerana minat dalam dunia perniagaan kedua-duanya dapat menyeimbangkan komitmen sebagai pelajar dan usahawan dengan baik. Impian bergelar graduan ijazah sarjana muda dalam bidang kewangan serta usahawan sukses berjalan seiring.
“Kami memulakan perniagaan sekitar tahun 2012 secara online. Ketika itu kami sedang menuntut di universiti yang sama dan belum bergelar suami isteri. Permulaannya agak mencabar juga kerana perlu seimbangkan antara belajar dan berniaga. Namun kami anggap cabaran itu sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya.
Segalanya bermula apabila saya mereka busana hari raya yang saya reka dan jahit sendiri, kemudian memuat naik gambar busana tersebut di laman sosial. Tidak sangka pula ramai yang bertanya dari mana saya membelinya. Dari situlah terdetik untuk mengeluarkan modal bagi menghasilkan busana untuk dijual. Modal yang kami keluarkan berjumlah RM1500 dan kami berjaya menghasilkan 14 helai busana.
Ads
Alhamdulillah semuanya laris dijual dalam masa sejam sahaja. Dari keuntungan tersebut kami menggandakan jumlah busana yang dihasilkan sedikit demi sedikit bermula dari 14 kepada 28. Kemudian menjadi 36 helai sehinggalah kami mampu menjual dalam skala yang besar. Selepas itu kami menghentikan rekaan tersebut dan bermula lebih serius dalam menghasilkan rekaan busana yang lain,” kongsi ibu kepada Tyara Luthfia yang kini berusia dua tahun.
Menurutnya, dia dan suami menggunakan duit pinjaman PTPTN sebagai modal permulaan. Berkat kesungguhan mereka akhirnya jenama Leeyanarahman semakin terkenal.
Pada tahun 2014 pasangan ini mendirikan rumahtangga sekaligus memudahkan lagi urusan mereka dalam perniagaan. Langkah menjadi lebih jauh terutama atas urusan kerja. Dua bulan berkahwin mereka membuka sebuah butik fizikal di Bangi Sental. Bermula hanya berada di tingkat satu, setahun kemudiannya mereka berjaya memiliki bangunan sendiri setinggi lima tingkat atas nama Leeyanarahman.
Ads
KESAN PANDEMIK COVID-19
Langit tidak selalunya cerah. Begitulah juga dunia perniagaan, tidak selamanya indah belaka. Ada onak dan duri yang harus ditempuh. Pandemik COVID-19 telah menjadi cabaran utama ketika ini khususnya terhadap ekonomi dunia. Segalanya berubah secara total sehinggalah tercetusnya norma baharu.
Jenama Leeyanarahman turut merasai impaknya sehingga Yaana Lee terpaksa menutup butik fizikalnya dan hanya memberi tumpuan terhadap perniagaan online. Pun begitu, di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
“Tidak dinafikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dahulu ia benar-benar memberi tamparan hebat terhadap jenama Leeyanarahman. Impaknya sangat besar sehinggalah kami terpaksa menutup butik fizikal. Kini kami hanya memfokuskan kepada perniagaan online sahaja. Insha-Allah, andai pandemik ini berakhir kelak kami mungkin akan membuka semula butik tersebut.
Kesan lain ialah impian kami untuk membuka butik di Jakarta pada tahun lalu terpaksa ditangguhkan gara-gara COVID-19. Permintaan sangat tinggi di Indonesia, itulah salah satu punca kami berhasrat untuk membuka butik di sana. Namun belum ada rezeki lagi buat masa ini. Semoga pandemik ini segera berakhir dan dapatlah kami meneruskan impian yang masih belum tercapai ini.
Ads
Apa pun kami tetap bersyukur kerana sejak memperkukuhkan perniagaan online, kami dapat membantu ramai orang terutama yang hilang pekerjaan. Antaranya dengan menawarkan untuk menjadi reseller dan personal shopper Leeyanarahman. Kami turut membuka peluang kepada mereka untuk menyertai program Usahawanita Leeyanarahman. Untuk program ini mereka hanya perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM50 dan dapat menjana pendapatan sampingan serta diberikan komisyen.
NASIHAT BUAT USAHAWAN
Prinsip saya, semua orang boleh berniaga pakaian tetapi pentingnya ada minat. Kalau ada kemahiran menjahit itu satu bonus. Selain itu, kalau berniaga pakaian perlu ada identiti sendiri contohnya menghasilkan rekaan yang unik dan tersendiri. Saya sendiri ada kemahiran menjahit maka saya akan buat semuanya sendiri bermula dari melukis, menghasilkan embroidery dan sebagainya. Idea baru, ada identiti sendiri. Orang boleh ceduk rekaan kami tetapi mereka tidak boleh tahu idea-idea baru yang bakal menyusul.
\
Semua koleksi Leeyanarahman adalah ready-made dan custom made. Walaupun ketika ini keadaan ekonomi sangat mencabar namun alhamdulillah sambutan yang kami terima sangat bagus lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.
Bagi mereka yang berhasrat untuk memulakan perniagaan, perkara paling utama ialah minat atau fokus. Ini kerana ianya akan memudahkan perjalanan perniagaan kita di kemudian hari. Jangan sekadar mengikut trend atau terpengaruh dengan yang indah-indah sahaja kerana bimbang perniagaan anda itu tidak kekal lama. Bila ada minat, walau sebesar mana pun cabaran yang datang kita pasti kuat menghadapinya kerana kita ada matlamat yang jelas.
Sebab itulah minat saya terhadap fesyen tidak pernah pudar walau apa pun cabaran datang termasuk kecaman-kecaman dari luar. Sejujurnya, apabila kita berada di atas tidak semua senang melihat kita berjaya. Namun, itulah sebenarnya yang menjadikan saya dan suami lebih kuat dan bersemangat,” akhiri Yaana Lee yang sentiasa turun padang bersama team Leeyanarahman dalam setiap urusan perniagaan. Jelas membuktikan bahawa dia seorang ketua yang sentiasa ambil tahu akan kebajikan staf.
Selain fesyen, Yaana Lee turut mengusahakan 2 lagi jenama miliknya yang masih baharu iaitu Ynalee Beaute dan Tepung Pengaseh.
Kredit Foto: Instagram @yaana.lee
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Amboi, seronoknya tengok percutian ibu dan anak ni… Manja sungguh Atilia Haron, setiap masa kalau boleh nak genggam erat tangan ibunya Salamiah Hassan!
Terharu pun ada, teringat kenangan begini memang susah dicipta, apatah lagi dapat bawa mak ayah berjalan macam kita kanak-kanak. Kalau dapat pun, mereka dah tak sekuat dulu!
“This is a very special trip with Mama.” Atilia Haron
Memilih penginapan ala kampung, setepatnya Rumah Negeri Sembilan di Temple Tree Resort, Langkawi, keindahan pulau peranginan ini jelas tergambar dari video yang dikongsikan oleh Atilia.
“Magical evening carved in my mind forever. Thank u so much Temple Tree Resort for partnering up with The Charity Club Langkawi n giving me a chance to do good for our beloved island.
I have many friends in Langkawi, and MCO really affected the tourism industry there and a lot of families suffered. All funds we collected last night (so happy to annouce that we made RM5000 thru ticket sales, donations and that 2 encore bids) will go towards funding food and family support for those in need. My heart is full.
My mother sang in public last in July last year and she was worried she couldn’t. Ohhh how beautiful it was for me to hear her again. She sang like an angel. I love listening and watching her. She sings from her heart. She sang Autumn Leaves and i know it must’ve been hard especially after what she went thru but she shone like a diamond. Oh how i love you mama.” Atilia Haron
Bakal meniti usia emas atau melangkah masuk ke alam 50-an, pastinya menjemput satu perasaan luar biasa di kalangan wanita. Bukan dari aspek perubahan fizikal semata tapi corak fikir dan kematangan terhadap hidup yang dijalani. Inilah yang dikongsi selebriti Raja Putri Atilia Raja Haron atau Atilia, tahun 2023 merupakan tahun terakhirnya dalam lingkungan 40-an.
Selain bergiat aktif sebagai penyanyi, Atilia juga membina kerjaya hebat sebagai instruktor yoga. Berusia 49 tahun, anak kepada biduanita Salamiah Hassan itu dilahirkan pada 15 September 1974 serta mempunyai seorang adik bernama Raja Ahmad Shah.
Hantaran Instagram @atiliaharon
Tampil awet muda dengan potongan rambut pendek, hala tuju wanita genit bersuara merdu ini jelas begitu menginspirasikan.
“Saya berada dalam fasa dimana saya cukup pasti apa yang baik atau buruk untuk saya (masih belajar).
Kini fokus saya lebih jelas, begitu juga perkara-perkara atau orang yang ‘mengganggu’ juga berkurangan. Saya tahu saya tidak perlu memiliki segala-galanya untuk bahagia.
Now i let go and just let god.
Dulu saya pernah memaksa diri hingga terlalu penat. Tapi sekarang saya pilih untuk ‘melepaskan’ dan berserah pada Tuhan. Itulah yang sepatutnya saya lakukan dari mula lagi.
Saya rasa tenang apabila hidup ini dijalani tanpa memenuhi jangkaan sesiapa tapi cukup sekadar hidup untuk kebahagiaan sendiri.” Atilia Haron
Kata-kata yang matang dan peringatan yang baik untuk semua wanita tanpa mengira usia! Terima kasih Atilia.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (klik sini).
***
Keakraban ibu dan anak ini, meskipun jarang berjumpa namun tetap terlihat erat. Jemput tonton video eksklusif Majalah Nona bersama penyanyi Salamiah Hassan dan Atilia Haron di bawah…
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mudah dan sarat penghayatan, ini 7 cara ringkas wanita boleh sambut Maulidur Rasul dengan penuh makna.
Tarikh 12 Rabiulawal 1447H bersamaan 5 September 2025, umat Islam seluruh dunia menyambut Maulidur Rasul yakni hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, insan agung yang membawa rahmat buat sekalian alam.
Bagi wanita, sambutan ini bukan sekadar mengenang tarikh sejarah, tetapi ruang untuk menyulam cinta, meneguhkan iman, dan menyalakan kembali semangat meneladani Baginda dalam kehidupan seharian.
Dalam kesibukan dunia moden, sambutan yang paling indah bukanlah yang gemerlap dengan perarakan atau laungan semata, tetapi lahir dari hati yang ikhlas mencintai Rasulullah ﷺ.
Inilah 7 cara ringkas, tetapi penuh makna yang boleh dilakukan setiap wanita sebagai tanda kasih dan rindu kepada Baginda.
1. Perbanyakkan selawat
Setiap kali bibir menyebut nama Rasulullah ﷺ, ada ketenangan yang menyapa hati, seolah-olah kita sedang mendekatkan diri dengan Baginda. Hari istimewa ini, perbanyakkan selawat dengan sepenuh jiwa.
2. Hidupkan sunnah dalam kehidupan seharian
Sama ada sekecil memberi salam, senyum dengan tulus, atau menjaga adab dalam keluarga, semua itu adalah warisan cinta daripada Rasulullah ﷺ.
3. Membaca sirah dan hadis
Setiap lembaran sirah adalah cermin yang mengajar kita erti kesabaran, kasih sayang dan pengorbanan. Isi waktu anda dengan menghayati kisah hidup dan perjuangan Baginda Rasulullah.
4. Hulurkan sedekah walau sedikit
Senyuman yang ikhlas, perkongsian makanan atau bantuan kecil kepada jiran adalah bukti nyata cinta yang diterjemahkan dalam perbuatan. Hulurkanlah sedikit wang atau bantuan berupa makanan pada hari Maulidur Rasul ini.
5. Luangkan masa untuk zikir dan muhasabah
Dalam keheningan doa, kita menilai diri dan memohon agar diberi kekuatan untuk mencontohi akhlak Baginda.
6. Hadiri atau adakan majlis ilmu sederhana
Sama ada bacaan surah bersama anak-anak atau mendengar ceramah ringkas, ia menyalakan cahaya ilmu dalam keluarga.
7. Sambut dengan sederhana, berlandaskan syariat
Elakkan pembaziran dan berlebih-lebihan. Rasulullah ﷺ sendiri mengajar bahawa keindahan itu lahir daripada kesederhanaan dan keikhlasan hati. Tak semestinya keluar perarakan baru hidup semangat cintakan Baginda!
Wanita adalah nadi lembut yang mampu menyemai kasih Rasulullah ﷺ dalam keluarga dan masyarakat. Maulidur Rasul kali ini, biarlah bukan sekadar tarikh yang kita raikan, tetapi momentum untuk menghidupkan sunnah, menguatkan cinta, dan membawa kedamaian dalam kehidupan seharian.
Kerana sebaik-baik sambutan, adalah bila Rasulullah ﷺ hadir dalam hati, akhlak, dan amal kita setiap hari. Salam Maulidur Rasul buat semua pembaca Nona yang dikasihi, semoga kita semua mendapat syafaat Nabi Muhammad di akhirat kelak.
Wajah Nur Syakirin Husnal Az’hari sememangnya cukup sinonim dengan saluran televisyen membeli-belah Go Shop selama beberapa tahun lamanya. Keletahnya yang bersahaja mempromosikan pelbagai barangan menjadikan dirinya menjadi sebutan sehingga sering digelar kakak Go Shop!
Pada usia 33 tahun, ibu kepada dua cahaya mata ini boleh berbangga dengan pencapaian akademik yang dimilikinya kerana baru-baru ini, dia telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana.
Menjengah laman Instagram miliknya, Syarikin Husnal merupakan graduan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dalam jurusan Sarjana Pengurusan Perniagaan (Pemasaran). Lebih membanggakan, Syakirin menamatkan pengajiannya dengan memperolehi purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.98 dan sekaligus dinobatkan sebagai pelajar terbaik Sekolah Perniagaan UNIRAZAK.
Berkongsi perjalanan sebelum menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang, graduan dalam bidang kejuruteraan biokimia dari Donyang Mirae University dan Yonsei University Korea Selatan ini mengakui bukan mudah memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu ketika menyambung pelajaran.
Tambah syakirin lagi, ketika menyambung pengajian dia hamil dan banyak melakukan kerja luar serta terlibat menyertai kegiatan ko-korikulum dan menguruskan kempen pilihan raya. Wanita yang fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Korea sememangnya bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga serta pelajaran agar apa yang diimpikan dapat tercapai.
“Alhamdulillah saya mempunyai sistem sokongan yang kuat. Dan sudah tentu, saya banyak berkorban untuk berada di tahap ini, terutamanya berkorban masa lapang. Sesungguhnya tiada yang lebih menggembirakan selain dapat melihat hasil jerih payah ,” kongsinya apabila pengikut Instagramnya mengajukan pertanyaan bagaimana dia berjaya menamatkan pengajiannya walaupun sibuk.
Pasti ramai yang merindui kelibatnya di rangkaian Go Shop, bukan? Syakirin sudah menamatkan perkhidmatannya bersama Astro selepas 11 tahun berkidmat di syarikat penyiaran terbesar negara itu. Baru-baru ini, Syakirin dilihat memulakan tugas rasminya dalam sektor kerajaan.
Untuk rekod, Syakirin mendirikan rumah tangga pada 23 November 2013. Hasil perkongsian hidup dengan Muhammad Faris Arriffin, mereka dikurniakan dua orang cahayamata.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seperti yang dinanti-nantikan, majlis pernikahan Erra Fazira dan Mohamad Ezwan Mohamad Zain atau Mr E berlangsung penuh indah pada tanggal 12 Disember 2025. Mengambil keberkatan Hari Jumaat, pasangan ini selamat disatukan sebagai suami isteri sekitar jam 9.19 pagi tadi.