Tiada apa yang mustahil untuk dicapai kalau rajin berusaha. Itulah yang sedang dinikmati usahawan wanita yang juga pengasas SoBella, Wan Nur Syuhada Wan Norzie hasil titik peluh dan kerja kerasnya selama ini. Pernah jatuh terduduk ditipu pihak tidak bertanggungjawab melibatkan sejumlah wang yang besar namun wanita berjiwa cekal ini komited mengejar impian hidup. Kembali bangkit membina empayar sendiri, kini Wan Nur Syuhada atau lebih mesra disapa Syu mampu tersenyum bangga apabila perniagaan yang hanya bermula dari rumah tersebut semakin mendapat permintaan dan meraih pulangan lumayan setiap bulan. Alhamdulillah!
Walau mampu memiliki apa sahaja yang diinginkan hasil keuntungan SoBella namun Syu selesa menjalani gaya hidup dengan caranya tersendiri. Malah, Syu menegaskan dia enggan menjadikan kemewahan sebagai kayu pengukur kepada setiap pencapaian. Sebaliknya mahu melihat 8000 squad Sobella di bawahnya menjana pendapatan sendiri dan berjaya mengubah nasib ke arah lebih baik adalah kejayaan sebenar yang paling bermakna buat dirinya.
Gemar berkongsi aura positif, Syu mendedahkan, “SoBella pun bermula dengan bisnes kecil-kecil je, bisnes dari rumah je. Waktu tu Syu duduk dengan mama. Baru settle pengajian di Shah Alam then balik duduk rumah mama. Mana ada duit nak stay di KL. Sampai di Kelantan sementara tengah submit resume untuk cari kerja, Syu start serious berbisnes. Bungkus parcel kat ruang tamu mama sampai mama marah-marah katanya ‘Bersepah ruang tamu mama’.
Kemudian bila bisnes laju sedikit, Syu sewa bilik kecil atas office mama. RM 80 je sebulan. Kecil je biliknya. Sewa bilik tau bukan sewa kedai lagi. Kalau kat rumah, kadang-kadang layan customer, tertidur la pula. No disiplin. Bila ada tempat kerja proper, disiplin diri tu ada.
Dari sewa bilik, Syu sewa kedai tapi di tingkat 2 sebab nak sewa murah. Tak mampu lagi pasang signboard ke apa. Terpaksa keluar dari bilik kecil tu sebab stok makin banyak dah. Syu dah mula hire staff. Ambil 2 orang secara berperingkat sebab waktu tu alhamdulillah jualan dah makin naik ke fasa seterusnya.”
Ujarnya lagi, “Dalam setahun menyewa office tingkat dua tu, Syu sewa bangunan office 2 tingkat. Atas bawah Syu ambil sebab masalah sama. Stok makin banyak dan staf makin ramai. Rasa happy gila dah waktu tu walaupun menyewa je. Office pun besar, Syu dah ada bilik sendiri, stor pun dah proper waktu tu.
Tapi duduk office baru tu pun dalam setahun lebih je sebab staf makin ramai lagi. Akhirnya Syu decide untuk beli bangunan 3 tingkat sebagai mercu tanda SoBella. Bangunan yang bernilai 7 angka ni Syu beli hasil dari bisnes kecil-kecil yang bermula dari rumah je.”
Ads
Selain mampu menggaji lebih tenaga kerja dan stok niaga yang makin meningkat, Syu mencatat satu lagi kejayaan baharu apabila mampu mempelopori sebahagian besar billboard di laluan utama seluruh negara. Bukan murah tu!
“Alhamdulillah, baru-baru ini SoBella dah naikkan billboard di beberapa tempat. Antaranya di Kelantan, Melaka, Shah Alam, Kuantan dan Johor. Akan ada 100 billboard Sobella di seluruh Malaysia. Selain perkembangan itu, kami juga akan keluarkan produk baru, edisi baru. Seperti biasa, kalau dah habis edisi baru ini… memang dah tak keluarkan lagi dah.”
Bercerita mengenai kesan pandemik Covid-19 terhadap perniagaan, Syu berkata, “Nak kata SoBella tak terkesan, tipulah. Alhamdulillah kami boleh maintain dan raih pencapaian sama. Paling penting bagi saya adalah untuk pastikan my team terus bersemangat sepanjang PKP ini. Mungkin ada yang fikir waktu PKP ni orang tak berbelanja. Hakikatnya Pos Laju hari-hari ‘jammed’ dengan barang yang nak kena hantar.
Ads
Semua tu mindset je yang cakap waktu PKP orang tak beli. Tambah lagi produk kecantikan yang memang sinonim dengan orang wanita. Ia macam keperluan bagi wanita. Jadi saya kena pastikan semua produk yang nak diedarkan dalam keadaan ready stock agar memudahkan team nanti.”
Ditanya apa rahsia bisnes SoBella mampu bertahan hingga sekarang, ibu berusia 31 tahun ini menjelaskan kreativiti amat penting dalam dunia perniagaan. “Untuk berjaya dan bertahan dalam industri, you need to be different. Tak boleh sama dengan orang lain. Bila buat sama seperti orang lain, kita akan jadi kurang menonjol. Jadi pesan saya kepada mereka yang mahu mendalami bidang bisnes, cari keunikan bisnes anda dan cari kelainan serta tonjolkan keistimewaan anda. InshaAllah bisnes cepat naik.”
Ads
Walau SoBella makin pesat berkembang dengan pertambahan ahli saban tahun, Syu tidak lupa membantu golongan yang memerlukan. Terutamanya ketika negara dilanda wabak Covid-19 sejak hampir setahun yang lalu.
“Sudah tentu saya perlu melibatkan diri dalam usaha seperti ini. Bahkan saya selalu tekankan kepada team bahawa kejayaan individu bukan Kejayaan milik kita semata, kena kongsi dengan orang ramai. Inshaallah apabila berjaya beri lebih kepada ramai orang, lebih banyak lagi ‘masuk (rezeki)’ kepada kita.Di SoBella memang kami ada buat beberapa sumbangan kepada frontliners.
In fact, waktu Covid-19 tahun lalu lagi kami dah agresif beri sumbangan di hospital, bantuan makanan kepada polis dan juga bantuan dari segi kewangan, PPE serta sebagainya. Mereka adalah hero negara di musim sekarang ini dan saya rasa sangat bersalah kalau tak menolong.”
Moga kejayaan Wan Nur Syuhada menjadi inspirasi lebih ramai wanita untuk berjaya kelak. Pastinya penerima Nona Top Beauty Entrepreneur ini seorang wanita yang berjiwa besar, kreatif dan berani mencuba pelbagai perkara baru demi memastikan perniagaan terus memenuhi cita rasa semua lapisan umur. Tahniah dan semoga terus maju jaya!
Kredit foto: Instagram Wan Nur Syuhada
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tiada apa yang lebih membahagiakan jika dapat berkongsi nikmat rezeki hasil daripada perniagaan dengan mereka yang memerlukan. Itulah antara matlamat pengasas Obsess Cosmetics, Hafizatul Atikah Mohd Fauzi atau Atikah yang tak pernah lupa untuk membantu golongan wanita terutama ibu tunggal bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
Selain berkongsi rezeki, satu lagi faktor kejayaan Atikah ialah pengorbanan dan restu suaminya, Muhamad Syahmi yang selama ini tak pernah berkira dari segi masa, kewangan, fizikal mahupun mental. Suaminya juga merupakan seorang usahawan berjaya.
SUAMI BANYAK BERKORBAN
“Kami sebenarnya dah lama kenal sejak zaman sekolah lagi. Waktu tu saya berumur 15 tahun dan suami pula 17 tahun. Sepanjang berkawan tu banyak kali jugalah hubungan kami terputus. Tapi mungkin sebab jodoh kuat, alhamdulillah akhirnya kami berkahwin ketika umur saya 24 tahun.
Lepas berkahwin kami lebih mengenali dan semakin sayang. Suami bukanlah seorang yang terlalu sweet dan romantik, kalau nak bagi apa-apa hadiah selalunya suami akan tanya saya dulu nak apa. Suami kata dia tak pandai nak surprise surprise ni…
Apa pun saya sendiri tak kisah sebab sikapnya sebagai suami dan ayah yang bertanggungjawab itulah yang paling menambat jiwa saya. Tak pernah berkira apabila perlu menguruskan kerja-kerja rumah dan menjaga anak-anak kalau saya ada urusan atau kelas berkaitan dengan bisnes. Anak-anak sememangnya manja dengan Daddy mereka berbanding dengan saya.
Kalau ada berselisih faham selalunya saya akan ambil masa yang sesuai untuk duduk berbincang dengan suami kemudian kami luahkan perasaan bersama-sama. Cara kami, kalau ada apa-apa yang tak puas hati masing-masing mesti berterus terang. Lepas itu barulah saling meminta maaf, InsyaAllah keadaan akan kembali pulih.
Suami lebih suka mendahulukan impian saya berbanding dirinya. Saya juga tak akan sampai ke tahap sekarang tanpa pertolongan suami yang banyak menyusun strategi untuk Obsess Cosmetics. Walaupun saya tidak suka bergantung sepenuhnya dengan suami tetapi saya tetap tak nafikan pengorbanannya.
IMPIAN
“Saya mengharapkan pasaran Obsess Cosmetics lebih meluas. Setakat ini Obsess Cosmetics bukan sahaja terkenal di Malaysia terutamanya Kuala Lumpur dan Selangor malah turut mendapat sambutan hebat di pasaran Brunei, Singapura dan Indonesia.
Tip untuk berjaya dalam bisnes, sentiasa ada perancangan yang bagus dan rekrut sebanyak mungkin agen agar menjadi lebih kuat. Saya juga dalam usaha mengukuhkan lagi jenama Obsess Cosmetics dan terus membantu wanita-wanita di luar sana untuk menjana pendapatan. Salah satu projeknya adalah mengadakan tour untuk kelas solekan secara percuma.
Kredit Foto: Instagram Hafizatul Atikah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kalau dulu-dulu orang selalu cakap wanita tak payah belajar tinggi-tinggi akhirnya akan ke ceruk dapur. Tapi bila sekarang wanita berjaya menempatkan diri ke menara gading kemudian memilih untuk berniaga dikatakan mensia-siakan masa dan ijazah yang diperoleh pula. Itu yang dirasakan oleh pemilik Flashmoon Jewellery ini.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Antropologi Alam Sekitar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), kejayaan Siti Nur Afifah Nazula memperoleh pendapatan 5 angka dalam tempoh 2 tahun berniaga sememangnya wajar dijadikan inspirasi. “Memang, ramai yang cakap saya belajar tinggi tapi jual emas tiruan atau emas Korea ni.
Foto: Koleksi Peribadi Fifah Nazula
Walaupun saya tidak bekerja dalam bidang mengikut kelulusan tapi, setiap ilmu yang diperoleh ada manfaatnya. Sehingga kini saya tak pernah berhenti belajar terutama untuk menaikkan jualan dengan mengikut kelas di atas talian dan membaca buku-buku untuk menjadi usahawan berjaya. Usahawan yang berjaya pun selalu menuntut ilmu walaupun jualan mereka sudah capai juta-juta nilainya,” tutur anak kelahiran Kelantan ini membuka bicara.
Kagum dengan anak muda ini mengemudi hala tujunya dalam perniagaan. Lebih istimewa apabila anak ketiga daripada tiga orang adik-beradik ini mampu menyempurnakan perbelanjaan membawa ibunya menunaikan umrah hanya setelah lima bulan mengusahakan perniagaannya.
“Saya daripada keluarga yang sederhana. Mak buka kedai makan dan ayah pula kerja kerajaan. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dapat menokok-tambah keperluan perbelanjaan bawa mak pergi menunaikan umrah.
Walaupun tiada perkataan yang keluar dari mulut mak ketika saya nyatakan nak bawa pergi umrah namun daripada air mukanya saya tahu mak terharu dan bangga. Kemudian mak tak habis-habis cakap nak pergi lagi bawa ayah dan semua adik-beradik yang lain.
Memang itu azam saya nak bawa mak dan abah menunaikan umrah bersama-sama dengan hasil titik-peluh sendiri di masa akan datang,” ujar wanita yang mesra disapa Fifah ini.
JATUH BANGUN
Kejayaan milik wanita yang berusia 29 tahun ini bukan datang bergolek dan semudah yang disangka. “Saya mula berniaga sejak bergelar siswa lagi. Masa tu saya memberanikan diri buat produk sendiri hasilkan scrub madu kunyit tapi kerana kurang ilmu dalam perniagaan saya gagal cuma dapat pulang modal saja.
Walaupun gagal, saya tak putus asa cuba jual baju pula. Saya laburkan duit scrub madu kunyit untuk buat baju. Sekali lagi saya gagal kerana tukang jahit salah buat baju-baju tersebut dan saya terpaksa menanggung kerugian lebih RM7000. Sampai sekarang baju-baju tu ada lagi dan setengahnya dah disedekahkan kepada orang.
Saya juga pernah jual baju bundle namun akhirnya, saya dipertemukan dengan emas tiruan atau nama gelarannya emas Korea ketika berkunjung ke Perlis. Melihat permintaan yang tinggi saya cuba menjualnya dengan bermodalkan RM1000. Saya ingat lagi pendapatan pertama saya jual emas tiruan ini RM200 saja dan berjaya pulang modal hanya dalam masa sebulan.
Sudah menjadi rezeki saya tiba-tiba emas menjadi viral dan orang ramai mula mencari alternatif memakai emas. Bukan semua orang mampu nak beli emas tulen dan ada juga yang mampu beli emas tulen tapi mahu mempelbagaikan koleksi mereka. Saya memang tak sangka dapat sambutan luar biasa dan tak menang tangan.
Koleksi emas tiruan ini sama seperti emas tulen cuma memang tidak tahan lama, paling awal dua tahun mengikut kelasakan pemakai. Emas tiruan mudah pudar dengan penggunaan sabun dan peluh. Reka bentuk tetap sama, ada lipan, koko, daun ketum dan sebagainya.
Tahun pertama saya berniaga hanya melalui online dan kini sudah mempunyai sebuah kedai di Kota Bharu. Sepatutnya kedai ni dah mula beroperasi 1 Jun lalu tapi tertangguh kerana PKP 3.0. Saya menghabiskan lebih RM10 ribu untuk buat ubah-suai kedai tersebut,” tutur Fifah turut mempunyai agen menjual barangan kemasnya.
PENGURUSAN KEWANGAN
Tertarik mendengar Fifah berkongsi tentang pengurusan kewangannya. “Saya memang tak akan campur duit peribadi dan perniagaan. Saya mempunyai sebuah akaun khas untuk bisnes emas ini. Setiap bulan, saya akan asingkan kepada dua iaitu duit modal dan juga untung.
Duit modal saya akan ambil untuk rolling dan duit untung saya akan simpan. 10 peratus daripada duit untung saya akan ambil untuk simpanan syarikat. Saya juga mengambil gaji daripada keuntungan syarikat. Biasanya saya akan ambil RM3000 gaji sebulan dan mungkin lebih mengikut keuntungan setiap bulan,” katanya sambil tersenyum.
Setelah penat lelah mencari rezeki Fifah rewards diri dengan melancong. “Saya memang suka melancong dan kalau boleh nak pusing satu dunia. Sebelum dunia dilanda pandemik COVID-19 saya sempat melancong ke Guangzhou, China dan juga menjalani ibadah umrah hasil daripada pendapatan berniaga emas tiruan,” tutur Fifah yang merancang mempunyai runner sendiri untuk penghantaran barangan kemasnya tak lama lagi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Baru berusia 12 tahun, Qadejah El Zahra anak kedua kepada jutawan kosmetik Dato’ Seri Aliff Syukri ini dipuji memiliki raut wajah yang cantik dan manis persis ibunya, Datin Seri Nur Shahida. Ke mana tumpahnya kuah, kan?
Qadejah yang membahasakan dirinya sebagai ‘Cess’ dilahirkan pada 25 November 2010.
Meninjau satu video pendek di Instagram Sugeh Eco Resort, baru-baru ini Qadejah ada berkongsi tentang kehidupannya sebagai anak Dato’ Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Nur Shahida.
Berdasarkan perkongsian itu, ibu dan bapanya itu memiliki karakter yang berbeza. Malah, apa yang kita lihat di media sosial tidak sama dengan karakter sebenar mereka.
“Sejak saya kecil, Abah seorang yang tegas dan garang dengan saya.
“Bila dah meningkat dewasa saya mula faham kenapa Abah memarahi saya. Abah ingin saya menjadi seorang manusia yang baik.
“Abah tidak mahu saya menjadi manusia yang biasa sebaliknya luar biasa dan hebat.”
Qadejah turut mendedahkan, ibu dan bapanya itu mempunyai karakter yang berbeza.
“Mama dan Abah agak berbeza.
“Mama seorang yang ceria berbanding Abah.
“Mama benarkan kami buat apa sahaja yang kami inginkan.
“Karakter Mama lebih membawa kepada keceriaan. Mama juga tidak mengongkong tetapi masih mementingkan pembelajaran.
“Sama seperti Abah, Mama menginginkan saya menjadi manusia yang hebat dan luar biasa.”
Qadejah turut berpesan kepada ibu bapa di luar sana agar sentiasa meluangkan masa bersama anak-anak dan mencipta kenangan bersama mereka melalui aktiviti-aktiviti bermanfaat contohnya beriadah.
QADEJAH ANAK DISLEKSIA Qadejah mewarisi genetik bapanya yang mengalami disleksia. Ia hanya disedari ketika Qadejah berusia enam tahun.
Namun setelah menjalani rawatan khusus dan pernah belajar di Pusat Disleksia Ampang, Qadejah kini membesar sebagai seorang anak yang bijak, kreatif dalam seni lukisan serta petah berkata-kata.
Merujuk kepada portal Kementerian Kesihatan Malaysia, disleksia merupakan sejenis masalah atau gangguan pembelajaran khusus. Masalah asasnya ialah perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi. Kesukaran yang dialami adalah dari segi membaca, menulis, memahami, mengeja dan mengira.
Menurut Datin Seri Nur Shahida, Qadejah seorang anak yang mudah dijaga. Kelebihan yang dimiliki Qadejah adalah lebih kepada seni. Antaranya, dia gemar melukis apa yang orang lain tidak pernah terfikir untuk lukis. Punya daya pemikiran di luar kotak!
Semoga Qadejah menjadi anak yang solehah di dunia mahupun akhirat seterusnya bergelar wanita hebat di sisi Allah SWT.
Untuk info, Dato’ Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Nur Shahida dikurniakan lima cahaya mata hasil perkongsian hidup yang dibina sejak Ogos 2007. Anak-anak mereka ialah Ammar Ahyan (14 tahun), Qadejah El Zahra (12 tahun), Ibraheem Adham (10 tahun), Yusoff Al Qardawi (4 tahun) dan Raudhah Arshiyah (3 tahun).
Selain turut menjaga seorang anak angkat, pasangan ini juga bakal menimang cahaya mata keenam tak lama lagi.
Kredit Foto: Instagram Datin Seri Nur Shahida
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!