Masalah sukar mendapatkan zuriat boleh berlaku kerana pelbagai faktor, antaranya endometriosis. Organ pembiakan yang terjejas seperti tiub fallopian tersumbat atau ovari rosak disebabkan masalah ini berisiko tinggi untuk menipiskan peluang kehamilan anda secara semula jadi. Tanpa perhatian perubatan yang serius, tidak mustahil boleh berlakunya kemandulan serta beberapa komplikasi lain seperti sakit pelvis dan pembedahan berulang kali.
Mungkin ramai yang biasa dengan istilah ini namun berapa ramai yang sedar tentang kewujudannya? Keadaan ini berlaku apabila uterus atau rahim wanita dilitupi dengan lapisan tisu yang dipanggil endometrium. Tisu endometrium tumbuh hanya di bahagian dalam rahim seperti di organ-organ pembiakan (ovari, tiub fallopian) atau dalam sebilangan kecil kes, ia tumbuh di rongga abdomen seperti di sekitar pelvis, usus kecil, dubur atau pundi kencing. Kes inilah yang digelar endometriosis.
Sewaktu haid, lapisan endometrium di dalam uterus menipis dan keluar dari faraj sebagai darah haid. Tapi darah daripada tisu endometrium yang tumbuh di luar rahim tidak mempunyai tempat untuk keluar. Akibatnya, pendarahan melalui tisu ini akan mendorong pertumbuhan sista, calar dan tisu perut, selain menyebabkan kawasan di sekelilingnya menjadi tebal. Endometriosis juga boleh menyebabkan kesakitan, namun darjah kesakitannya berbeza-beza di antara individu.
PUNCA
Pakar percaya bahawa sel-sel tertentu daripada lapisan uterus mungkin boleh melimpah ke belakang di sepanjang tiub fallopio dan kemudian membesar di dalam abdomen. Satu lagi teori mengaitkan saki-baki tisu embrio itu sendiri yang terbentuk sejak di dalam rahim ibu, mungkin membesar menjadi endometriosis apabila dewasa. Keterukannya bergantung pada di mana ia melekat, berapa dalam dan tempoh mengalaminya; kerana semakin lama bermakna calar dan parut semakin banyak mendatangkan masalah. Tisu parut yang berkembang boleh mengikat organ tanpa disedari.
Ads
SIMPTOM-SIMPTOM
Senggugut yang teruk.
Sakit ketika melakukan seks.
Sukar untuk hamil.
Sakit sewaktu ovulasi.
Darah haid keluar terlalu banyak atau sedikit.
Sakit ketika membuang air besar, cirit-birit, sembelit.
Sakit ketika membuang air kecil atau terlalu kerap kencing.
Endometriosis boleh menyebabkan kemandulan apabila tiub fallopian tersumbat dan merosakkan sistem ovari. Walaupun tiada penawar yang tepat untuk mengubatinya, namun ada dua jenis rawatan utama bagi endometriosis iaitu penggunaan ubat-ubatan dan pembedahan. Keputusan terhadapnya bergantung pada:
Ads
Tahap keterukan simptom anda.
Lokasi dan saiz ketumbuhan endometrium.
Keinginan anda untuk mendapatkan anak.
Faktor usia.
Bolehkah pesakit endometriosis hamil? Menurut pakar, terdapat beberapa perawatan yang boleh diikhtiarkan antaranya membuang ketumbuhan atau tisu yang tidak normal ini melalui prosedur laparoskopi, pengepaman tiub (tubal flushing) untuk merawat tiub fallopian atau menjalani kaedah kehamilan seperti IUI atau IVF.
Sekiranya kondisi endometriosis terlalu serius, pembedahan histerektomi (pembedahan rahim) mungkin dicadangkan. Namun jika kedua-dua ovari dibuang, masalah endometriosis mungkin hilang bersama dengan kesakitan dan haid bulanan, termasuklah keupayaan seseorang untuk mendapatkan anak. Alternatif lain ialah dengan mengambil ubat bukan steroid untuk menahan kesakitan tapi mempunyai keupayaan antiradang dan mengurangkan simptom.
Hormon seperti pil perancang keluarga, GnRH, Progesteron atau Danazol juga digunakan bagi membantutkan pertumbuhan tisu-tisu endometrium serta mencegah perekatan antara tisu-tisu. Menyedari tidak ada satu pun individu yang serupa bermakna perawatan untuk merawatnya juga tidak sama. Dapatkan nasihat pakar perubatan anda dan amalkan gaya hidup sihat, makan makanan organik, kekalkan diet yang seimbang dan bersenam secara teratur.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perkahwinan adalah penyatuan dua jiwa menjadi satu. Dua jiwa menjadi satu matlamat. Apabila matlamat dicapai, kebahagiaan datang dan hidup di dalam kedua-dua jiwa. Ini akan menjadikan perkahwinan itu sentiasa segar, sihat dan kukuh. Maka itu, bagi pasangan yang berkahwin, perlulah ada matlamat-matlamat yang kecil dan besar untuk sama-sama direnangi dan diperolehi. Setiap pengalaman dan kejayaan matlamat yang diperolehi ini akan menjadikan perkahwinan itu semakin ‘bermakna’.
Antara matlamat-matlamat yang boleh membawa kebahagiaan adalah apabila kedua pasangan bersatu padu untuk menaikkan ekonomi rumah tangga. Mungkin ramai pasangan yang tidak bersatu dalam hal- hal kewangan. Masing-masing buat hal masing-masing dalam mencari nafkah, dalam berbelanja dan dalam menyimpan dan melaburkan wang. Ada yang mengagih-agihkan perbelanjaan bulanan dan selebihnya ikut suka masing-masing dalam membelanjakan wang gaji.
Bagi setiap pasangan, perlu ada semangat berpasukan. Apabila kita telah bersatu, kita mesti mempunyai tanggungjawab untuk membantu pasangan, salah satunya dari segi kewangan. Jika masing -masing kedekut, tidak bertanggung jawab dalam kewangan keluarga seperti membazir dan menggunakan wang untuk kepentingan diri, maka akan tercetuslah perbalahan dan ‘keretakan’ dalam dunia rumahtangga.
Sebenarnya, KEJAYAAN KEWANGAN bagi pasangan baru berkahwin amat mudah dikecapi. Anda hanya perlu ingat bahawa jika anda lebih AWAL mulakan MENYIMPAN WANG, anda akan dapat menjadi SENANG dengan mudah. Mari kita kaji dua pasangan baru berkahwin ini dan lihat apakah tabiat-tabiat yang berbeza antara mereka yang menyebabkan satu pasangan sangat SENANG dan MEWAH dan satu pasangan lagi jauh dari senang, bahkan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, sentiasa berhutang keliling pinggang.
Pasangan pertama hidup dalam bersatu-padu dan bahagia manakala pasangan kedua berpecah-belah dan menyalahkan pasangan masing-masing atas kesempitan hidup yang dialami. Dr. Niki Shuhada, seorang konsultan di dalam bidang pelaburan dan terikat dengan sebuah institusi perbankan terkemuka berkongsi kisah dan diharapkan ia dapat menjadi teladan dan panduan buat semua…
PASANGAN PERTAMA :
Farah dan Fadhil
Farah telah berkahwin dengan Fadhil, seorang jurutera. Farah dan Fadhil, mempunyai matlamat untuk menaikkan ekonomi keluarga supaya mereka dapat memberikan kesenangan kewangan kepada diri mereka dan anak-anak yang bakal mereka perolehi. Mereka percaya, bersusah-susah dahulu, bersenang senang di kemudian hari. Mereka memberi matlamat 5 tahun untuk mereka membina kekayaan untuk ‘keluarga baru’ mereka
Langkah Pertama : Farah dan Fadhil, telah menyimpan wang gaji hasil dari bekerja sewaktu mereka belajar. Sebelum berkahwin, mereka duduk berbincang tentang bajet perkahwinan dan mengambil persetujuan untuk tidak keterlaluan dan menyempurnakan perkahwinan tanpa berhutang; dengan mengambil kira BAJET dan KEBOROSAN. Maka itu, Farah dan Fadhil masih mempunyai wang simpanan dan menggunakan sedikit lagi peruntukan untuk berbulan madu.
Langkah Kedua : Pada waktu ini, Farah dan Fadhil mempunyai RM 100,000 wang terkumpul bersama hasil bekerja sambilan selama 5 tahun di luar negara. Tahun pertama perkahwinan, Farah dan Fadhil telah melaburkan wang dengan pulangan 10% setiap tahun. Mereka menerima ‘wang percuma’ iaitu keuntungan pelaburan sebanyak RM 10,000 setiap tahun. Wang ini mereka gunakan sebagai sebahagian duit muka untuk membeli sebuah kereta berharga RM 38,000. Wang baki dari ‘wang percuma’ mereka simpan sebagai bayaran bulanan tahun pertama kereta tersebut. Jadi, wang gaji mereka tidak digunakan bagi tujuan membayar kereta. Kereta tersebut telah dibayar oleh keuntungan pelaburan dari wang RM 100,000. Mereka meneruskan tabiat menyimpan dan berjimat.
Langkah Ketiga : Mereka bukanlah pasangan yang tidak pandai ‘having fun’. Tahun pertama mereka sangat berseronok, mereka keluar ke tasek setiap minggu untuk berjogging, tengok wayang tetapi mereka pulang ke rumah untuk makan di mana Farah akan memasak dan mencuba resepi-resepi baru untuk suaminya. Kadang-kadang jika menepati BAJET yang ada, mereka makan di luar. Setiap bulan, pasangan ini menyimpan 50% dari wang gaji mereka. Selama tahun yang pertama, mereka telah menyimpan sebanyak RM 30,000 kerana mereka menyimpan separuh dari pendapatan rm5,000 sebulan mereka.
Langkah Keempat : Setelah 5 tahun berlalu, Farah dan Fadhil, telah mengumpul RM 150,000 wang simpanan setelah berkahwin. Hasil keuntungan pelaburan sebanyak 10% setiap tahun mereka sekarang mempunyai ‘wang percuma’ RM 15,000 yang sekarang mereka gunakan untuk membeli sebuah rumah berharga RM 70,000.
Langkah Kelima : Mereka gunakan kaedah yang sama, iaitu menggunakan ‘wang percuma’ keuntungan pelaburan untuk membayar pinjaman bulanan. Jadi, rumah itu juga tidak perlu dibayar dengan wang gaji mereka. Rumah dibayar oleh keuntungan pelaburan. Mereka sekarang boleh menggunakan wang gaji untuk menyimpan lagi bagi lain lain keperluan.
Langkah Keenam : Mereka juga telah mempunyai cahaya mata. Duit susu dan keperluan anak sebanyak RM 1,000 sebulan juga telah awal awal disediakan oleh mereka dengan melaburkan wang RM 120,000, hasil wang bonus hujung tahun dan perniagaan sambilan mereka selama 5 tahun. Mereka juga melaburkan RM 12,000 lagi untuk mendapat ‘wang percuma’ rm1,000 melancong setiap tahun. Sekarang mereka mempunyai wang yang dilaburkan sebanyak RM 372,000 dan pulangan setahun keuntungan RM 37,200 setahun. Ini memberikan mereka ‘wang percuma’ RM 3,100 setiap bulan. Mereka senang dan mewah dan sangat bahagia.
PASANGAN KEDUA
Salina dan Salman.
Rakan karib Farah di universiti pula, Salina, pada tahun yang sama setelah pulang dari belajar, telah berkahwin dengan Salman, seorang peguam.
Kesilapan Pertama : Manakala, Salina dan Salman lebih mementingkan kehidupan yang penuh dengan kejutan! Salina dan Salman berpendapat, hidup hanya sekali, dan alam muda adalah untuk ‘dinikmati!’ Mereka rasa bahagia apabila dapat melancong, membeli-belah dan makan-makan diluar bersama kawan-kawan setiap hujung minggu.
Kesilapan Kedua : Salina dan Salman, juga telah berkerja secara sambilan sewaktu belajar. Tetapi mereka telah belanjakan kesemuanya untuk membeli-belah sewaktu di luar negara. Salman pula gemar menghabiskan masa beriadah dan mengumpul barangan sukan yang mahal-mahal.
Kesilapan Ketiga : Ketika majlis perkahwinan, Salina meminjam wang dari ibubapanya dan Salman pula mengambil pinjaman dari sebuah bank. Mereka tidak menyediakan BAJET dan hanya menambah apa yang patut setiap kali disarankan oleh kedua keluarga. Mereka berhutang RM 30,000 untuk majlis perkahwinan mereka. Akhirnya kewangan mereka menjadi sendat setelah berhabis untuk majlis dan kos berbulan madu.
Kesilapan Keempat : Salina dan Salman, tiada wang simpanan terdahulu. Malah pada bulan pertama selepas berkahwin, mereka terpaksa membayar hutang bulanan rm1000 untuk menjelaskan hutang kenduri. Mereka juga membeli sebuah kereta RM 68,000 kerana merasakan gaji bulanan RM 5,000 antara mereka dapat menampung hutang bulanan tersebut. Salina pula gemar membeli belah pakaian terbaru dan Salman masih meneruskan aktiviti riadah yang mahal mahal. Setiap minggu mereka berjumpa kawan kawan ditempat yang mewah dan pastinya setiap bulan mereka tiada wang simpanan.
Kesilapan Kelima : Salina dan Salman, sentiasa tiada wang kerana hidup dalam berhutang dan menggunakan wang tanpa berfikir. Mereka tiada tabiat menyimpan dan tidak berfikir panjang sebelum berbelanja. Setelah 5 tahun, mereka habiskan setiap wang gaji untuk membayar hutang kereta, hutang rumah, perbelanjaan diri dan anak anak. Setiap hampir hujung bulan mereka bergaduh kerana merasa penat dengan hidup yang sentiasa tidak cukup, sedangkan kedua dua mereka berpendapatan mewah.
Kesilapan Keenam : Dari hari ke hari, mereka melihat Farah dan Fadhil makin mempunyai aset dan harta, juga yang dahulunya Farah dan Fadhil hanya berkereta kecil sekarang telah membeli kereta baru dan mula bercuti ke luar negara. Kehidupan Farah dan Fadhil makin mewah dan berubah. Mereka pula terpaksa bekerja keras dan dihujung bulan semua wang gaji habis dikerjakan. Mereka terperangkap dalam arus kewangan tidak dikawal. Mereka rasa kecewa.
Semoga cerita dan kisah dua pasangan ini menjadi penunjuk untuk kesemua pasangan menemui KEJAYAAN KEWANGAN dan kehidupan yang harmoni. KESEIMBANGAN dalam berbelanja dan MENYIMPAN amat penting. Buatlah ‘TEAMWORK’ bersama pasangan dan semoga menyimpan wang menjadikan anda bahagia sentiasa! KAWAL PERBELANJAAN DENGAN BIJAK dari hari pertama anda menjadi suami isteri.
Jenis Pelaburan Selepas Berkahwin :
1. Simpanan berkala.
2. Simpanan Sekali-Gus.Iaitu simpanan yang dibuat sekaligus dan dibiarkan untuk jangka sederhana seperti 305 tahun.
3. Dana Modal Terjamin. Pelaburan yang dijamin modal tidak akan hilang untuk tempoh lima tahun akan datang.
4. Pelaburan KWSPPelaburan saham amanah yang dibuat melalui Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mendapat gelaran sebagai Taj Mahal, Masjid Nabawi dan Masjid Kerajaan Uthmaniyah, Masjid Sri Sendayan yang terletak di Bandar Sri Sendayan, menjadi antara tarikan di Negeri Sembilan.
Masjid yang dibina pada tahun 2015 melalui konsep wakaf itu mampu memuatkan sehingga 5,000 jemaah pada satu-satu masa, sekali gus menjadi masjid terbesar di Negeri Sembilan.
Masjid yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Seremban itu baru-baru ini menerima kunjungan istimewa dari KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Turut berangkat, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah.
Untuk info, masjid tersebut diwakafkan oleh pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB, Tan Sri Abd Rashid Hussain dan isteri, Puan Sri Hani Yang Mohd. Yatim. Ini merupakan masjid kedua diwakafkan oleh Abd Rashid selepas Masjid Hussain atau lebih dikenali sebagai Masjid Putih di Seremban 2 yang dibina dengan kos RM22.6 juta pada tahun 2012.
Tarikan utama Masjid Sri Sendayan yang dibina dengan kos lebih RM100 juta itu adalah hasil seni dan arkitek yang dibawa hampir sepenuhnya dari luar negara seperti Mesir, Turki, Dubai, Maghribi dan China.
Kebanyakan seni bina itu ditempah khas termasuk ukiran kayu pada dinding di dewan solat, penggunaan saduran berwarna emas, tulisan khat serta penggunaan bongkah jubin sebagai dinding berhampiran mimbar.
Masjid itu terletak di kawasan berkeluasan 4.5 hektar dan mempunyai tiga dewan solat iaitu dewan solat utama yang mampu memuatkan seramai 3,000 jemaah, dewan solat kedua (800 jemaah) dan dewan solat wanita (800 jemaah).
Selain itu , masjid itu turut dilengkapi dengan bilik kuliah, perpustakaan, dewan serba guna, bilik pengurusan jenazah, bangunan pentadbiran, dewan makan, enam unit rumah sebagai kediaman petugas masjid.
KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Masjid Sri Sendayan, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan, semalam. Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 6.30 petang disambut oleh pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB, Tan Sri Abd. Rashid Hussain.
Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa melihat keindahan seni bina masjid sebelum menunaikan solat maghrib, diimamkan oleh Imam Besar Masjid Sri Sendayan Ustaz Mohd. Nazri Abu Zarim.
Seri Paduka Baginda turut berkenan menunaikan solat isyak, diimamkan oleh Imam 3 Masjid Sri Sendayan Sheikh Mohamed Abdelnaby.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tidak berkelip mata setiap kali melihat kelibat figura yang cantik menawan ini. Nora Danish sentiasa tampil menawan dan bijak mengadun gaya yang sesuai dengannya. Berkesempatan bertemu dengan ibu kepada tiga orang anak ini, Nona tidak melepaskan peluang untuk bertanya khabar.
Nora khabarnya baharu sahaja selesai penggambaran filem terbaharunya. “Saya baharu sahaja shooting filem Polis Evo 3 dan selepas ini saya akan masuk set semula untuk sebuah telemovie dengan Osman Ali (ketika temu bual ini berlangsung),” tutur Nora Danish lembut.
Menurut Nora Danish selain berlakon pelakon berkulit putih ini sibuk menguruskan dua perniagaan iaitu Salun Karva dan jenama pakaian OwlbyNd. “OwlbyNd kini sedang sibuk dengan Raya Collection dan sekarang saya juga ada keluarkan produk terbaharu iaitu Tara V-mist. Jadi sekarang saya sedang tumpukan perhatian pada produk tersebut,” kata Nora Danish.
Bila ditanya tentang keinginan Nora Danish untuk tambah anak, sambil tersenyum jawab Nora Danish, “Itu lah seperti mana kata orang, seorang ibu selalu lupa kesakitan masa melahirkan sebab bila tengok anak dah besar rasa rindu nak ada baby balik.
Macam sekarang, anak saya dah berusia dua tahun, rasa macam cepat masa berlalu. Daripada baby kemudian dah boleh berjalan. Rindu nak ada baby especially baby girl sebab saya dah ada 3 anak lelaki. Kalau diberikan rezeki Nora nak anak perempuan. Insyaallah sebelum berumur 40 tahun ni,” ucap pelakon yang berusia 37 tahun ini.
Menyingkap kisah kelahiran Nora Danish terdahulu, “Kalau ikutkan saya ada rasa takut nak mengandung lagi sebab lastest baby lahir di usia 8 bulan sebab ada komplikasi fibroid. Saya ada pendarahan yang sangat teruk, so memang takut. Takut tapi macam nak juga, macam mana?” tutur Nora Danish berseloroh.
Nora Danish sempat menitipkan nasihat kepada semua wanita agar sentiasa menjaga kesihatan, “Nasihat saya kepada semua wanita agar selalu buat medical check up, pap smear dan sebagainya.
Ini penting supaya kita tahu tahap kesihatan dalaman. Kalau ada benda-benda (ketumbuhan) macam tu elok kita buang sebab takut boleh mendorong kepada kanser. Sentiasa buat check up sekurang-kurangnya setahun sekali.
Saya sendiri tak buat check up sebab tu tak tahu ada fibroid. Jangan amalkan sikap selalu ambil sambil lewa tahap kesihatan kita. Ingatan ini penting terutama wanita yang lepas melahirkan anak wajib buat check up,” ungkap Nora Danish yang sudah membuang fibroidnya.
Nora Danish sentiasa berpenampilan cantik, ketika diajukan sukarkah untuk kelihatan cantik, ujarnya, “Susah, memang susah. Paling susah untuk saya nak jaga berat badan. Sebab lepas melahirkan anak makan sikit saja tapi berat badan cepat naik,” bicara Nora Danish mengakhiri perbualan kami.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.