Aktif, bijak dan sangat humble.. Itulah yang boleh diperkatakan tentang YM Engku Liyana Zafirah Engku Mohd Suhaimi, kerabat Diraja Pahang yang kini berusia 28 tahun. Mesra digelar sebagai Engku Liyana, antara contoh anak muda yang sangat komited dan cemerlang dalam kariernya.
Sebelum bergelar Pegawai Eksekutif di salah sebuah universiti tempatan, siapa sangka Engku Liyana pernah bekerja sebagai juruwang di sebuah farmasi kesihatan sekitar tahun 2007. Terbukti, sejak usianya belasan tahun Engku Liyana dah pun ada semangat juang yang tinggi untuk berdikari.
“Saya seorang yang komited dengan apa yang dilakukan dan sukakan cabaran. Prinsip saya sentiasa berusaha, ikhtiar, tawakal dan doa. Namun dalam masa sama saya perlu beringat juga, tak semua yang kita nak tu akan dapat.”
AKTIF BERSUKAN
“Selalunya selepas waktu kerja jadual saya penuh dengan aktiviti sukan. 1-2 kali dalam seminggu saya bersama rakan-rakan akan turun ke Kuala Lumpur untuk bermain badminton atau futsal.
Kadang-kadang lepas kerja saya akan berjoging saja di trek berhampiran tempat kerja. Kalau terlalu penat barulah saya akan berehat di rumah sambil meluangkan masa bersama anak-anak saudara. Walaupun aktif bersukan saya juga seorang yang family oriented. Saya juga tak akan membawa semua urusan kerja ke rumah kecuali kalau terlalu mustahak.”
AMAL MAKANAN SIHAT
“Saya hanya amalkan air kosong secukupnya setiap hari. Disebabkan aktif bersukan telah mendorong saya untuk minum air dengan banyak. Saya turut mengurangkan makanan berminyak dan bergoreng.
Sejak kecil keluarga saya memang tak galakkan kami ambil makanan ringan, minuman manis dan bergas. Alhamdulillah sampai sekarang kami masih pegang nasihat itu. Selain itu, saya sentiasa melalui hari-hari dengan positif demi kesihatan mental dan fizikal yang baik sekaligus dapat mengekalkan awet muda.”
MAHU MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA
“Sebagai anak saya sentiasa berusaha untuk membahagiakan dan menyenangkan kedua ibu bapa. Mungkin tak akan terbalas jasa mereka tapi saya akan merasa puas jika dapat melihat mereka bahagia dan gembira.
Merekalah sumber inspirasi saya sejak kecil. Kedua-duanya tegas dan berdisiplin dalam mendidik. Sejak kecil saya dan adik beradik dah diajar untuk melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh sampai jadi.
Seterusnya saya mahu fokus kepada kerjaya. Saya bersyukur kerana keluarga sentiasa menjadi tulang belakang untuk saya lakukan yang terbaik.”
GELARAN WANITA INSPIRASI MASIH JAUH
“Perjalanan untuk mencapai gelaran sebagai wanita inspirasi masih jauh. Setiap wanita ada potensi tersendiri untuk berjaya walaupun apa pun statusnya. Tuhan menjadikan wanita untuk memberi manfaat luar biasa buat keluarga, masyarakat dan negara.
Apa yang penting yakin untuk menjadi yang terbaik dalam bidang kerjaya masing-masing. Seorang wanita inspirasi mampu berdiri di kaki sendiri dan tak bergantung sepenuhnya terhadap lelaki walaupun bergelar isteri dan ibu.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bukan hanya satu atau dua tapi sudah tujuh aset mewah dimiliki penyanyi pop antarabangsa, Taylor Swift! Sepertimana dia meluaskan karya muziknya ke serata pelusuk Amerika, seperti itu jugalah Taylor mengembangkan portfolio asetnya ke segenap bandar di sana. Tujuh hartanah milik selebriti cantik ini terletak di Beverly Hills, tiga buah di New York, sebuah di Watch Hill dan dua di Nashville. Pandai Taylor kumpul harta, walau masih muda namun dia bijak mengurus kemewahan yang diraih dengan baik.
Memetik laporan media antarabangsa, daripada seorang gadis desa… kompas hidup Taylor Swift berubah sepenuhnya selepas dia bergelar penyanyi pop bertaraf dunia. Bersandarkan kerjaya muzik yang kian meningkat naik hingga ke hari ini dengan nilai kekayaan mencecah USD360 juta, tidak hairanlah dia mampu memiliki sejumlah besar hartanah di beberapa bandar besar yang dianggarkan bernilai sekitar USD 81 juta atau lebih RM346 juta sepanjang bergelar penyanyi.
Taylor menjalani zaman kanak-kanak di Wyomissing, Pennsylvania sebelum keluarganya berpindah ke pekan Reading. Minat Taylor dalam bidang muzik mula disedari sejak berusia 9 tahun dan ketika menginjak 12 tahun, Taylor sudah mahir bermain gitar dan aktif membuat persembahan di majlis dan pesta hiburan. Pada usia 14 tahun, keluarga Taylor sekali lagi berpindah dan menetap di Hendersonville, Tennessee iaitu kira-kira sejam perjalanan dari Nashville bagi memudahkan gadis ini mendalami minatnya dalam seni muzik.
Yang pasti, usaha dan sokongan keluarganya tidak sia-sia kerana bakat Taylor mula bersinar di sana selepas kejayaan album pertamanya pada tahun 2006. Tiga tahun kemudian, album keduanya iaitu Fearless turut mendapat sambutan dan menduduki carta hiburan. Taylor dilaporkan membeli rumah pertamanya di Nashville pada tahun 2009 ketika baru berusia 20 tahun. Kondominium mewah berkeluasan 3,240 kaki persegi yang terletak di Nashville’s Music Row dibeli dengan nilai sekitar USD2 juta yang dilengkapi tiga bilik tidur dan empat bilik air.
Pada tahun 2010, kerjaya muzik Taylor terus memuncak selepas dia melancarkan album Speak Now. Enam kali berturut-turut menerima pengiktirafan album platinum sudah membuktikan dia berada di landasan yang tepat untuk mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik di sana. Ia sekaligus membolehkan Taylor memiliki kediaman menarik di kawasan popular dalam kalangan selebriti terkenal Hollywood, Beverly Hills. Rumah yang mempunyai keluasan 2,800 kaki persegi ini dibeli pada tahun 2011 dengan harga USD3.6 juta. Tujuh tahun kemudian, Taylor menjual rumah ini dengan nilai USD4 juta untuk membeli kediaman yang lebih besar dan mewah.
Tahun 2011 menjadi detik paling sibuk bagi Taylor yang rancak mengintai peluang hartanah. Dia dilaporkan turut membeli rumah di kawasan persendirian Nashville yang dianggarkan seluas 5,000 kaki persegi untuk kedua-dua ibu bapanya, Andrea dan Scott. Dibina seluas 6 ekar tanah, kediaman agam ini menawarkan pemandangan semula jadi yang indah dikenali sebagai Northumberland Estate. Berjiran dengan selebriti glamor seperti Nicole Kidman dan Keith Urban, ia dianggarkan bernilai USD2.5 juta yang dilengkapi empat bilik tidur dan empat bilik air. Rumah ini juga mempunyai kamar tetamu yang luas sehingga 2,000 kaki persegi dan kolam renang.
Pada tahun 2012, apabila Taylor melancarkan album keempatnya iaitu Red dengan mencatatkan 1.2 juta kutipan pada minggu pertama ia dilancarkan, dia telah membeli sebuah rumah lama di Los Angeles dengan harga USD1.8 juta. Daripada rumah berkonsepkan retro, ia diubah menjadi kediaman lebih menarik bercirikan moden dan kontemporari. Menurut LA Times, kediaman ini dijadikan tempat untuk Taylor melayan tetamu sementara dia menetap di kediaman Beverly Hills yang lain. Bagaimana pun, selebriti ini menjual rumah tersebut pada tahun 2018 dengan harga USD2.7 juta.
Pada 2013, Taylor mencipta kejayaan luar biasa apabila memenangi pelbagai anugerah seperti Grammys, People’s Choice, Billboard and Entertainer of the Year Awards. Sepanjang tempoh itu, pembelian aset hartanah Taylor terus berkembang termasuk pembelian rumah tepi pantai di Rhode Island. Taylor membeli mahligai indah tersebut yang berkeluasan 11,000 kaki persegi di Rhode Island’s Watch Hill dengan nilai mencecah USD17.8 juta dilengkapi dengan tujuh bilik tidur dan sembilan bilik mandi. Paling mengejutkan, ia dibeli secara tunai!
Pada Februari 2014 pula Taylor meninjau kejiranan menarik Tribeca di Manhattan, New York. Dia kemudian memutuskan bukan hanya membeli satu unit penthouse di sana bahkan menjadi pemilik kepada dua unit penthouse tersebut dengan kos belian mencecah USD 20 juta! Difahamkan rumah ini dibeli dari pengarah Lord of the Rings, Peter Jackson yang berkeluasan 8,300 kaki persegi dengan sembilan kamar tidur dan sembilan bilik mandi.
Bakal berusia 30 tahun pada Disember ini, Taylor membeli satu lagi rumah berinspirasikan Cape Cod pada tahun 2015 di Los Angeles yang sebelum ini dimiliki penerbit terkemuka Hollywood, Samuel Goldwyn dengan harga USD 25 juta. Kediaman yang berkeluasan 10, 982 kaki persegi ini memiliki tujuh bilik tidur. Terpikat dengan suasana di sini, pada tahun 2018 permohonan Taylor untuk menjadikan ia kawasan historic landmark diluluskan. Dengan kelulusan tersebut, sebarang pengubahsuaian atau pemansuhan estet ini adalah dilarang.
Kediaman ini dilengkapi dengan fasiliti mewah seperti bilik pawagam, perpustakaan, gimnasium, kolam renang, gelanggang tenis dan apartment privasi yang disediakan khas untuk penginapan tetamu.
Sebelum melancarkan album Reputation, Taylor menambah aset hartanah ketiganya di New York pada tahun 2017 dengan membeli townhouse. Ia dibeli dengan harga USD18 juta dan berada berdekatan dengan penthouse yang telah dibeli. Pada Februari 2018, Taylor membeli satu lagi kondominum di bangunan sama penthouse miliknya dengan harga USD9.8 juta. Ia mencatatkan jumlah pembelian aset hartanah Taylor di New York sahaja bernilai USD48 juta!
10 tahun rancak mengumpul aset, ia sedikit pun tidak memperlihatkan Taylor akan berhenti daripada mencari aset baru. Dengan khabar angin tentang percintaannya bersama aktor Joe Alwyn, ramai mejangkakan Taylor bakal mengintai hartanah di London dengan bajet sekitar USD30 juta kelak.
Melihat penampilan dirinya yang sentiasa ceria dan penuh senyuman, ia sekaligus memberikan aura positif untuk individu yang berada di sekelilingnya. Positif dan penuh bertenaga terutamanya ketika bercerita soal kerjaya dan perniagaan yang diusahakan menjadikan nama Ili Sulaiman sebaris dengan cef selebriti yang lain.
Faktor tubuh gempal tidak sesekali menjadi penghalang untuk Ili memajukan dirinya baik dalam bidang perniagaan mahupun bidang masakan yang amat dicintainya itu. Mula dikenali di kaca televisyen melalui rancangan memasak dikenali sebagai Diari Mangkuk Tingkat, populariti Khalisah Sulaiman semakin dikenali.
Namun sebelum muncul sebagai cef selebriti, Ili terlebih dahulu menceburkan diri dalam dunia perniagaan makanan iaitu servis penghantaran makanan ke rumah menggunakan mangkuk tingkat klasik, Ili meneruskan momentum dengan menghoskan rancangan sendiri antaranya termasuklah By The Sea menerusi saluran Asia Food Channel atau AFC, Home Cooked dan sebagainya. Menambahkan resume dalam kejayaan peribadinya, Ili memenangi program Food Hero terbitan Asian Food Channel dan Food Network .Lebih manis, walaupun masih baru dalam lapangan masakan, Ili berjaya menjuarai pertandingan itu.
Soal tubuh besar bukanlah perkara yang boleh menjatuhkan keyakinan diri anak jati dari Kuala Lumpur ini memandangkan dirinya mewarisi genetik keluarga yang sememangnya mempunyai saiz tubuh yang besar baik dari ibu serta bapanya. Namun begitu, pemegang Ijazah Perniagaan dari Queen Mary University of London, England, ini menganggap ia sebagai kelebihan untuk dirinya dan bangga dengan bentuk tubuh dimilikinya.
“Pada pandangan saya, curvy girls mempunyai keistimewaan mereka yang tersendiri. Apa yang penting, mereka perlu bijak memilih pakaian yang bersesuaian dengan bentuk tubuh supaya tidak nampak tidak selesa dan penampilan yang kurang menarik,” ujar Ili yang memandang positif dalam soal penampilan diri.
Tambah Ili lagi, ketika berada di zaman persekolahan, dia pernah digelar Big Friendly Giant (BFG) lantaran saiz tubuhnya yang berbeza dari rakan-rakan sebaya. Namun bagi Ili, didikan keluarga yang memberi dorongan untuk dirinya sentiasa berfikiran positif menjadikan ‘gelaran’ tersebut sesuatu yang terpencil dan tidak berkudis di hatinya.
“Ketika di zaman persekolahan, gelaran BFG diberikan kepada saya memandangkan saiz tubuh yang berbeza dengan rakan sebaya. Jika beratur di dalam barisan juga, saya akan berdiri di belakang sekali kerana lebih besar dari rakan sebaya. Tetapi gelaran tersebut tidak sedikitpun terkesan di hati kerana ibu bapa saya menerapkan nilai positif dalam diri sejak kecil lagi.
Ibu adalah contoh terbaik buat Ili yang dibesarkan di dalam keluarga multi rational. Jadi, kami lebih berfikiran terbuka dan berbincang antara satu sama lain,” sambung Ili yang gemarkan gaya yang ringkas dalam berfesyen.
Ili turut berkongsi beberapa tips fesyen yang sesuai untuk wanita yang mempunyai susuk tubuh sepertinya. Menurut Ili, antara tips fesyen yang diamalkannya termasuklah memilih aksesori yang minimalis dan tidak sarat kerana ia bakal menyebabkan seseorang nampak lebih besar dari saiz badan sebenar.
“Ili sarankan setiap individu ketahui bentuk tubuh masing-masing kerana tubuh manusia akan mengalami perubahan dan pengetahuan mengenai tahap kesihatan amat penting untuk memastikan tubuh yang gempal mahupun kurus berada pada kesihatan yang baik.”
MEMASAK BUKTI KEJAYAAN
Menurut anak tunggal ini lagi, stigma wanita bertubuh gempal sering dikaitkan dengan faktor pemakanan yang tidak seimbang perlu ditepis kerana ia merupakan persepsi yang bukan sahaja menjatuhkan reputasi wanita bertubuh gempal, malah ia boleh memberi gambaran negatif terhadap fizikal seseorang yang berbeza di antara satu sama lain.
“Pada pandangan saya, stigma tersebut perlu diubah kerana tidak guna mempunyai aura negatif yang hanya akan merosakkan diri sendiri. Bagi diri saya sendiri, dunia masakan bukan perkara yang asing kerana sejak kecil lagi, saya sudah didedahkan dengan aktiviti di dapur seperti memotong sayur, memasak, membuat kek dan menyediakan masakan oleh ibu, Khalilah Mitchell, Walaupun saya anak tunggal, ibu dan ayah memiliki keluarga yang besar. Kami selalu mengadakan aktiviti rewang jika terdapat majlis kesyukuran atau sambutan hari jadi.
Tambahan pula, ibu dan nenek memang handal bab memasak. Jadi, sedikit sebanyak bakat itu turun kepada saya,” ujar Ili sambil memberitahu, dia menggemari masakan tulang rusuk lembu bersama mangga yang disediakan oleh ibu tersayang.
Mengimbas kembali bagaimana dirinya melibatkan diri dalam dunia masakan, menurut Ili, sebaik menamatkan pengajian peluang bekerja di sebuah restoran mewah di London iaitu Restoran Mosimann merupakan pembuka jalan untuk dirinya menceburkan diri dalam bidang yang digemarinya itu. sebelum membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia.
“Sepanjang tiga tahun bekerja di restoran itu, saya berpeluang menjadi sebahagian daripada kru majlis makan malam untuk pasangan diraja Britain iaitu Putera William dan isterinya, Kate Middleton di Istana Buckingham. Pengalaman bekerja itu menambah keyakinan saya untuk menceburi bidang masakan setelah pulang ke tanah air,” ujar Ili yang bersyukur keputusannya itu mendapat sokongan penuh dari bapa tersayang, Sulaiman Abu Bakar.
Sejurus pulang ke Malaysia pada tahun 2014, Ili mengusahakan perniagaan menjual makanan siap dimasak menerusi Instagram, Dish by Ili pada Julai tahun yang sama. Lebih istimewa, makanan itu dijual di dalam mangkuk tingkat yang boleh dikongsi lebih dari seorang.
“Mangkuk tingkat adalah bekas aluminium bulat berisi makanan yang diletakkan secara bertingkat-tingkat. Ia lazimnya digunakan oleh masyarakat pada zaman dahulu untuk membawa bekal makanan ke tempat kerja atau sekolah. Ili gembira kerana usaha ini sekaligus dapat memartabatkan penggunaan mangkuk tingkat yang diwarisi dari zaman ke zaman dan menggalakkan setiap individu membawa bekalan ke sekolah mahupun ke tempat kerja”
Tambah Ili lagi, melalui pengenalan hidangan di dalam mangkuk tingkat juga membuka ruang rezeki untuk dirinya bergelar cef selebriti apabila dilamar Astro Ria menerusi program Diari Mangkuk Tingkat Ili pada Februari 2015 yang lalu.
“Ili rasa puas dapat menyumbang sesuatu untuk masyarakat melalui makanan. Jelas ia mendekatkan antara satu sama lain dan meletakkan soal saiz tubuh jauh dari persepsi negatif. Apa yang penting, kesihatan tetap diberi keutamaan,” ujar Ili seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Azrinaz Mazhar Hakim merupakan antara personaliti televisyen yang ada aura tersendiri dan mampu tambat hati penonton. Mendengar intonasi suaranya saja boleh membuatkan orang leka dengan penyampaian ibu kepada empat cahaya mata ini.
Memuat naik video ketika menghadiri dialog pada tahun 2016 dan berpeluang mengutarakan pertanyaan kepada bekas pemimpin waktu itu, ternyata perkongsian berkenaan meraih perhatian ramai khususnya followers Azrinaz di media sosial.
Daripada video itu, jelas kedengaran suara Azrinaz yang terang dan tegas tatkala bertanya. Malah wanita berusia 43 tahun ini juga disifatkan seorang yang bijak dan berpengetahuan luas serta berjaya melaksanakan tugas sebagai wartawan penyiaran dengan baik.
“In 2016 I attended a dialogue and given a chance to have a direct question and answer with our prominent leader Tun Daim Zainuddin, our ex finance minister organized by Malaysian Reserve.
When you were a journalist mostly involved with current issues and political assignments, you must be able to know how to feed brilliant answer to the press if you were happen to be approached by the media.”
Meskipun sudah meninggalkan dunia penyiaran dan kewartawanan namun jiwa Azrinaz untuk menyampaikan infomasi kepada umum masih menebal hingga ke hari ini.
Buktinya, menerusi salah satu hantaran yang dibuat sekitar tahun 2018 ketika berkunjung ke Jerusalem. Butiran kisah para anbia dan tempat bersejarah di sana yang disampaikan Azrinaz dalam beberapa video pendek cukup memberi kesan kepada yang menonton.
Tak hairanlah, ramai yang merindui pesona dan intonasi suara Azrinaz menyampaikan berita. Rata-rata peminat turut senada mahu melihat personaliti ini kembali di kaca TV dan mengagumi bakat yang dimiliki.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!