Takdir hidup salah seorang peserta Top 9 Fabulous MUA Nona X FCC iaitu Albin Hassan ini sememangnya sarat dengan onak duri. Sejak kecil dia sudah menyaksikan jerih perit kehidupan dan kesusahan kedua-dua ibu bapanya membesarkan mereka 17 beradik! Tinggal di sebuah rumah kecil di pedalaman Sabah… Albin bersama mak ayah dan adik-adik yang masih kecil ketika itu terpaksa menjalani hidup serba kekurangan. Pun begitu, anak kelahiran Negeri Di Bawah Bayu ini bersyukur kerana kasih sayang mak dan ayah kepada mereka tidak pernah kurang.
Disifatkan seorang yang rajin, dedikasi, positif dan berjiwa cekal, Albin atau nama sebenarnya Albion Hassan mengakui sudah lama memendam impian untuk bergelar makeup artist berjaya. Cukup berhati-hati berkongsi kisah hidup kerana tidak mahu pengakuannya disalah erti… jejaka berusia 33 tahun ini berkali-kali menjelaskan, perkongsian yang dibuat ini bukan untuk meraih simpati. Jauh sekali menyalahkan takdir ilahi.
“Sebelum ini saya memang dah ada kerja. Cuma minat saya terhadap mekap dah lama dan teringin hendak kerja dalam dunia makeup artist ini betul-betul. Jadi, saya ambil risiko berhenti kerja untuk fokus mekap secara full time. Bukan untuk raih simpati tapi apa yang ingin saya sampaikan ini adalah realiti sebenar yang tak semua orang dikurniakan kehidupan senang. Kalau kita rasa hidup kita susah, ada lagi yang lebih susah.
Pernah ada orang tanya, “Kenapa umur 33 tahun baru hendak jadi makeup artist? Tak rasa dah terlambat ke?” Jujur saya katakan, perjalanan hidup saya tak seperti orang lain. Saya dilahirkan dari keluarga yang sangat susah dan ada 17 adik-beradik. Saya ingat lagi masa sekolah rendah, mak hanya mampu bagi duit belanja saya 20 sen je. Saya pula kena berjalan kaki ke sekolah sejauh tiga kilometer. Masa tu memang rasa jauh sangat. Iyalah, budak-budak. Lagi-lagi bila hujan, habis kasut basah. Setiap hari, pukul 5 pagi lagi mak dah kejut bangun sebab sekolah jauh.”
Meskipun sedaya-upaya menyembunyikan kesedihan, namun jelas kelihatan air matanya bergenang. “Bukan tak bersyukur. Dah tertulis takdir hidup saya begitu. Saya hanya sempat bersekolah sampai darjah 3 sahaja. Mak terpaksa berhentikan kami empat beradik daripada sekolah sebab adik saya menghidap kanser mata. Masa tu kami di Sandakan dan mak kena bawa adik ke Kota Kinabalu untuk buat pembedahan. Memang mak ayah dah tak ada duit untuk bayar yuran sekolah, ditambah pula dengan perbelanjaan pembedahan adik.
Lepas dapat tahu adik ada kanser dan berhenti sekolah, saya cuba cari kerja. First kerja yang saya buat ialah cuci kereta di rumah seorang Datin. Masa tu umur saya 10 tahun dan saya dapat upah RM10. Duit yang saya dapat, saya bagi dekat mak. Waktu itulah saya nampak macam mana susahnya keluarga saya. Ayah pun kerja tak tentu. Disebabkan saya dah besar berbanding adik-adik yang lain, saya sanggup kerja untuk bantu keluarga. Lagipun, saya ada seorang adik yang autisme.
Albin di samping adik autismenya, Rangga @ Rizal yang kini berusia 18 tahunKeluarga besar Albin
Tak lama lepas tu, adik saya meninggal. Simpati dengan nasib keluarga kami, mak cik saya sendiri minta saya tinggal dengan dia dan jadi ‘budak suruhan’ atau pembantu rumah. Saya ditugaskan basuh pinggan dan kain, sapu sampah, kemas rumah… sama macam pembantu rumah lain buat. Setiap hari saya diberi gaji RM5. Tujuh tahun jugalah saya duduk di rumah mak cik selain pergi cari duit lebih di tempat lain.
Ads
Sebab teringin hendak belajar balik, saya kumpul duit untuk belajar di sebuah sekolah swasta di Sandakan. Tapi sayang, saya dapat belajar sekejap sahaja sebab tak cukup masa dan duit. Sudahnya, saya nekad pergi cari kerja di Kota Kinabalu atas pelawaan seorang kawan. Alhamdulillah, mak izinkan saya kerja di sana asalkan saya pandai jaga diri. Sebelum dapat kerja di sana pun macam-macam benda tak elok jadi,” ujar anak ketiga daripada 17 adik-beradik ini.
Dek kerana keadaan yang terdesak di Kota Kinabalu, Albin pernah merayu kepada majikan di sebuah restoran agar diberikan apa jua pekerjaan kerana tiada wang untuk pulang ke Sandakan. Mujur, majikan tersebut menerima Albin dan diberi gaji ribuan ringgit sebagai pelayan. “Bila sebut bab keluarga, saya cepat rasa sedih dan mudah menangis sebab saya tahu betapa susahnya hidup kami.
Umur 17 tahun saya dah kerja jadi waiter dan lama juga saya kerja di situ. Setahun lepas dapat kerja ni, saya ambil kelas Bahasa Inggeris sebab saya hendak buktikan kepada orang yang pernah caci saya yang saya juga boleh berjaya. Saya baru berhenti kerja tersebut tahun lepas dan mula serius ambil tempahan mekap dari customer.
Ads
Sebenarnya, niat masuk bidang mekap ini sebab hendak beri rezeki yang halal untuk mak dan keluarga di kampung. Tapi bukan mudah, ada saja ujian yang Allah bagi. Masa masih kerja jadi waiter, saya ada seorang klien tetap dan selalu panggil untuk mekapkan dia. Ada kalanya saya tak sempat buat sebab sibuk kerja dan saya beritahu dia, saya akan berhenti kerja waiter sebab hendak buat mekap. Tapi bila dia tahu saya berhenti kerja, terus dia tak panggil saya lagi dah.
Alhamdulillah, selama 10 tahun duduk di KL ni saya jumpa orang yang baik sangat iaitu housemate saya, Rizal. Dia yang banyak tolong saya dari waktu saya susah dan tak minta walau satu sen duit sewa sebab dia tahu keadaan saya dan pernah datang rumah saya di kampung.”
Ditanya apa yang dilakukannya sekarang, sambil tersenyum Albin memberitahu, “Sampai saat ini, saya tak ada kerja tetap lagi. Apa yang saya buat untuk sara hidup masa ini ialah dengan buat live tutorial mekap dan dalam masa sama saya cuba untuk branding nama saya sebagai makeup artist. Nak kata tak ada job mekap langsung, tak juga. Dalam sebulan, adalah dua ke tiga job orang panggil.”
Melihat potensi yang ada pada Albin, tidak mustahil satu hari nanti dia mampu kejar impian yang diidamkan selama ini. Bagi penulis, Albin bukan hanya makeup artist tapi dia juga pejuang yang ‘kalis’ cabaran kerana kecekalannya untuk menikmati kehidupan lebih selesa dan terjamin. Lagipun Albin seorang makeup artist yang versatil.
Antara selebriti yang pernah menggunakan khidmat Albin termasuk Norman Hakim, Altimet, Sissy Iman dan Ayu Damit. Selain menata rias wajah selebriti, Albin juga menerima tempahan solekan untuk pertunangan, perkahwinan, fashion show,photoshoot dan sebagainya. Jadi, bagi yang bakal bertunang atau bergelar raja sehari tidak lama lagi… bolehlah cari Albin!
Ads
Saksikan Albin dan lapan lagi peserta yang bertanding dalam Fabulous MUA Nona x FCC bagi merebut gelaran juara program realiti digital pencarian makeup artist pertama di Malaysia ini. Fabulous MUA Nona x FCC bakal bersiaran menerusi platform digital Majalah Nona. Antaranya di Youtube, Facebook dan laman web rasmi Majalah Nona bermula 1 November ini, jam 8 malam. Pertandingan ini dihoskan oleh Fiza Frizzy manakala Pengarah Urusan FCC, Ili Zawani Ismail dan Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak selaku juri tetap.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perubahan sering kali membawa kita pada kematangan. Dengan keadaan dunia yang terancam dengan wabak COVID-19 ini, menunjukkan betapa rapuhnya kita. Banyak yang berlaku di luar kawalan kita terutama dari segi kesihatan dan ekonomi.
Namun, insyaAllah ada ruang untuk mengendalikan ke arah mana perubahan itu dan kita akan bangkit lebih kencang. Saya percaya setiap daripada kita yang melalui segala kesukaran itu akan bangun dengan sebuah harapan, doa, tawakal dan berusaha untuk memperbaiki segala keadaan yang musnah itu.
Wanita yang disifatkan sebagai makhluk kejadian dengan kelembutan, tapi bisa menggoncang dunia. Mengorak langkah dengan segala usaha, kerajinan untuk berubah dan menjadi yang terbaik.
Inilah bicara POWER LOOK yang dimiliki oleh seorang wanita. Kagum dengan setiap wanita yang terus kuat, sabar dan memenuhi ruang dengan sifat positif dalam menempuh setiap dugaan.
Tidak semua wanita sehebat Indira Ghandi, Ibu Theresa, Margaret Thatcher atau Aung San Suu Kyi tetapi kecekalan anda menempuhi segala yang dibentangkan dalam kehidupan sudah cukup mengagumkan. Biarpun perkaranya mungkin dianggap remeh bagi kaum lelaki tetapi ditatang baik oleh wanita dengan ikhlas, sabar dan jujur.
Ini sudah cukup membuktikan anda adalah wanita hebat. Kerana itulah Tuhan jadikan wanita sebagai seorang ibu, bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat ke dunia.
Nyata, kita tidak boleh diperkecilkan kelebihan seorang wanita, biapun ketua keluarga adalah lelaki. Hargailah pengorbanan seorang wanita. Siapa lagi kalau bukan mereka yang menukar lampin, mencuci baju, memasak, menjahit, bekerja, melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan dan melayan suami. Jelas, daripada perkara kecil sehinggalah kepada isu dunia, wanita sentiasa bertindak dengan semangat superwoman!
Kalau dahulu, si ibu bangun seawal pagi untuk menyiapkan nasi lemak untuk dihantar ke kedai. Kemudia pergi ke kebun dan pulang tengah hari sibuk menjemur ikan. Ibu gigih mencari rezeki demi menampung pendapatan ayah yang tidak seberapa. Harapan ibu hanya untuk melihat anaknya belajar dan sukses.
Dan hari ini bila anak perempuannya berjaya dalam bidang perniagaan, pastinya dia telah membuktikan kepada semua bahawa dia dibesarkan dengan sempurna oleh seorang ibu dan berkat doa ibu itu telah membawa dirinya menggapai bintang.
Ya! Hari ini anak perempuannya akan berkata, “Yes money can’t buy happiness but its more comfortable to cry in a BMW than on a bicycle.” Generasi wanita yang membanggakan!
Itulah perubahan masa, keadaan dan pencapaian apabila wanita lebih bertindak agresif demi memenuhi kehendak hidupnya yang lebih selesa. Bukan materialistik tetapi ingin perubahan hidup yang lebih baik. Segala kesusahan ibu dahulunya, si anak bertekad dengan cita-cita dan usaha mengubah kehidupan lebih sempurna.
Maka, lahirlah wanita yang lebih berani dan tidak mudah rapuh dengan segala cabaran serta dugaan. Mereka menjadi lebih kental, peka berdikari dan gigih bersaing secara sihat. Kekuatan jiwa mereka itu tidak mudah dihancurkan lagi.
Kita bangga dengan wanita hari ini, bijak mengatur langkah dengan pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang. Seiring dengan penampilan yang lebih elegan. Nampak lebih berkeyakinan dan menonjolkan karisma tersendiri. Anda adalah wanita yang hebat dan perkasa, bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tahniah buat Dato’ Sri Salmah Ismail dan suami yang selamat menerima menantu pada 20 September lepas. Selain tetamu jemputan berstatus VIP yang hadir, kemewahan majlis perkahwinan dan wajah cantik anak perempuan Dato’ Sri Salmah turut menarik perhatian ramai. Terpegun melihat keayuan wajah pengantin perempuan, Emira Qistina.
Menzahirkan rasa teruja dan syukur atas pernikahan anak tersayang, usahawan berjaya ini berkongsi luahan hati seorang ibu. Ujar beliau, “Dari lahir dikurniakan wajah yang cute, comel dan kulit kemerahan. Bila dewasa bertukar menjadi putih gebu, halus dan menyenangkan mata yang melihat. Suara yang lembut dan manja menyenangkan hati mendengar sapaanya.
Jari yang cantik dan lembut, mendamaikan jiwa bila menyentuh. Pagi-pagi pasti mencari umi. Seorang yang kelakar pasti ada saja sesuatu yang menghiburkan hati. Umi rindu Qist. Puteri Intan Payung Meletop Umi, Emira Qistina kini sah menjadi milik Dr Mohamed Syamim. Semoga Qist dan Syamim kekal bahagia hingga ke Jannah.”
Difahamkan Emira Qistina atau lebih mesra disapa Qist selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihan, Dr Mohamed Syamim Dato’ Mazelan pada 20 September 2020. Majlis pernikahan serba indah mereka berlangsung di Mandarin Oriental Kuala Lumpur. Qist kelihatan cukup memukau dalam persalinan nikah putih gading yang sedondon dengan suami tercinta. Pelamin nikah eksklusif dan mewah mereka pula dihias penuh indah Adiputra Décor.
Pada 3 Oktober lalu, majlis resepsi pasangan mempelai diadakan di Dewan Perdana Felda yang turut dihadiri golongan VIP iaitu rakan kepada Dato’ Sri Salmah dan suami. Memandangkan majlis berlangsung ketika Covid-19 masih melanda, jumlah jemputan terpaksa dikurangkan demi mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.
Busana perkahwinan Qist dan suami kali ini direka istimewa oleh Yaya Rosly dan Syahrul Safuan. Malah, sentuhan magis jurusolek terkemuka Epie Temerloh menaikkan lagi seri pengantin Qist! Majlis resepsi gilang-gemilang ini cukup meriah apabila diacarakan pelakon, pelawak dan pengacara Shiera Ijoy.
Sebagai kejutan kepada pasangan raja sehari, khususnya anak tersayang… Dato’ Sri Salmah merealisasikan hasrat Qist untuk melihat penyanyi bersuara lunak, Misha Omar membuat persembahan di majlis persandingan. Bertuah Qist dapat kasih sayang yang tidak berpenghujung dari ibu tersayang.
“Dari majlis birthday, majlis merisik, bertunang, ada saja elemen surprise yang dirancang oleh saya. Setiap majlis ada saja acara kemuncaknya. Saya suka sangat buat kelainan majlis lain dari yang lain. Untuk majlis ni, Qist cadangkan Misha Omar sebagai salah seorang artis untuk menghiburkan majlis. Saya kata.. jika panggil Misha budget dah terlebih. RM30k untuk sekali panggil. Nampak muka kehampaan jelas di wajah Qist. Tetapi sebenarnya saya memang sudah ada perancangan untuk surprisekan dia.”
https://www.instagram.com/p/CFZmAiTA_td/
Moga perkahwinan yang dibina kekal diberkati Allah SWT hingga ke syurga. Buat Qist dan Dr Syamim, semoga tabah melayari alam rumah tangga dan dikurniakan zuriat soleh solehah kelak.
Kredit: Instagram Emira Qistina, Dato’ Sri Salmah Ismail
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Membuat perancangan kewwangan bukan perkara mudah. Ini bukan satu kebiasaan yang dilakukan setiap individu. Paling penting, anda tahu berapa hutang yang sedang ditanggung. Untuk hidup lebih selesa, kita perlu mengambil langkah bijak untuk mengendalikan sumber pendapatan yang ada.
Beberapa soalan di bawah pasti dapat membantu mengenal pasti kedudukan kewangan anda.
1) Adakah anda suka menangguh membuat pembayaran bil?
2) Pernahkah anda berselindung atau sembunyikan jumlah sesuatu bil daripada pengetahuan pasangan anda?
3) Pernahkah anda kekurangan wang untuk membaiki kereta anda yang rosak?
4) Pernahkah anda membeli sesuatu yang anda tidak perlu dan tidak mampu?
5) Adakah anda selalu berbelanja melebihi pendapatan?
6) Pernahkah anda memohon pinjaman bank dan permohonan anda ditolak?
7) Pernahkah anda mengeluarkan wang simpanan anda dalam keadaan kesempitan?
8) Adakah jumlah hutang anda (tidak termasuk hutang rumah) melebihi simpanan kecemasan anda?
9) Adakah anda membeli loteri dengan harapan ianya dapat menyelesaikan masalah kewangan anda?
10) Pernahkah anda terfikir untuk membuat pinjaman daripada peminjam wang tidak berlesen?
Jika jawapan kepada soalan di atas adalah TIDAK, anda boleh tersenyum gembira namun sekiranya jawapan YA melebihi segalanya, maka anda memerlukan bantuan untuk menguruskan kewangan.
TIP MENGHAPUSKAN HUTANG PERIBADI
Tip 1: Kad kredit dengan baki tertunggak.
• Potong atau gunting kesemua kredit kad anda, kecuali tinggalkan satu atau dua kad sahaja.
• Kira perbelanjaan wajib setiap bulan, contohnya: petrol, susu keperluan anak, belanja dapur dan sebagainya.
Contoh: Pendapatan anda RM800, pilih kredit kad yang mempunyai baki yang paling sedikit, bayar baki minimum kad tersebut sebelum due date dengan lebihan bayaran RM100 atau RM150 campur RM800 perbelanjaan wajib anda tadi. Selepas itu anda bolehlah mengunakan kad itu untuk membayar perbelanjaan wajib anda (RM800) tadi (pastikan anda gunakan kad tadi selepas tarikh penyata/statement date dan bayar semua perbelanjaan baru anda sepenuhnya sebelum due date dicampur baki minimum dan tambahan RM100 atau RM150). Dengan cara ini anda dapat mengurangkan finance charge kad kredit setiap bulan.
• Selesai baki tertunggak kad pertama, bayar jumlah sama dengan bayaran kad pertama tadi ditambah dengan bayaran minimun kad berikutnya sehingga semua baki tertunggak kad kredit anda selesai.
• Kini, hutang tertunggak anda sudah selesai. Gunakan dengan disiplin dan tidak boros.
Tip 2: Ubah tabiat berbelanja.
• Gunakan kad kredit bila keadaan terdesak sahaja. Biasakan membuat bayaran secara tunai.
• Fikir dulu sebelum berbelanja. Biasakan diri anda untuk berkata TIDAK.
• Berbelanja di pasaraya yang menawarkan harga rendah.
• Hormati bajet bulanan anda. Kurangkan membeli makanan ringan yang kurang berkhasiat.
• Cari kerja sambilan atau perniagaan sambilan bagi mendapatkan pendapatan tambahan untuk simpanan.
• Kurangkan bil bulanan anda dengan menjimatkan pengunaan elektrik, air dan telefon.
• Periksa semula polisi insuran anda. Mungkin anda boleh dapatkan perlindungan yang sama dengan bayaran yang lebih rendah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Terus bangkit memperkasakan masyarakat, kerjasama strategik yang termeterai di antara RichWorks dan Astro mampu mewujudkan peluang serta bimbingan terbaik untuk jadi wanita sukses.