Siapa yang tidak kenal dengan jurusolek tersohor Datin Saidatulnisa Aminuddin yang sering menjadi pilihan golongan ternama mahupun kerabat Diraja. Berpengalaman selama lebih 30 tahun dalam dunia solekan meletakkan wanita berusia 55 tahun ini pada kedudukannya yang tersendiri.
PANDANGAN TERHADAP TRANSFORMASI SOLEKAN TERKINI. ADAKAH IA MENGUBAH PRINSIP SOLEKAN DATIN SAIDATULNISA?
Saya masih berpegang teguh kepada solekan yang tidak keterlaluan, tidak makan dek zaman atau evergreen (malar segar). Lebih-lebih lagi solekan untuk perkahwinan yang akan terpahat pada gambar kenangan sampai bila-bila. Jadi, solekan yang viral ini selalunya bersifat unik dan hanyalah trend pada saat itu sahaja.
SEBAGAI SENIOR DALAM BIDANG SOLEKAN, APA PANDANGAN DATIN SAIDATULNISA TENTANG LAMBAKAN ‘JURUSOLEK SEGERA’ TERUTAMA DI MEDIA SOSIAL YANG RATA-RATA KURANG ILMU MAHUPUN KEPAKARAN DALAM BIDANG SOLEKAN?
Masing-masing mempunyai cara yang tersendiri. Mungkin kita perlu memberi ruang kepada semua orang untuk berkarya. Saya percaya masing-masing ada rezeki yang telah ditetapkan oleh-Nya, namun saya juga berpendapat pelanggan di luar sana tahu kelebihan solekan serta jurusolek yang mereka pilih.
Ads
BAGAIMANA DATIN SAIDATULNISA MENJAGA NILAI EKSKLUSIF SEBAGAI JURUSOLEK PROFESIONAL YANG SERING MENJADI PILIHAN GOLONGAN TERNAMA TERMASUK KERABAT, VVIP DAN SELEBRITI TERNAMA? ADAKAH DATIN SEORANG YANG MEMILIH?
Saya tidak memilih cuma mengekalkan polisi confidentiality sesama pelanggan lebih-lebih lagi selebriti, VVIP dan golongan ternama. Saya menghormati pelanggan dan tidak akan melangkaui batas antara saya dan pelanggan. Saya turut menghormati dan berpengalaman dalam protokol istana. Oleh itu, VVIP dan golongan ternama mudah berasa selesa dengan saya.
DARI MANAKAH BAKAT DAN ILMU SOLEKAN YANG DATIN SAIDATULNISA PEROLEHI?
Ads
Saya belajar sendiri tanpa sesiapa tunjuk ajar. Mungkin juga saya memperolehi bakat ini dari Nenda yang pakar dalam solekan pengantin dan golongan Diraja dahulu.
APAKAH RAHSIA ATAU TIP YANG DIAMALKAN OLEH DATIN SAIDATULNISA BAGI MENYERLAHKAN SOLEKAN?
Tiada sebarang rahsia mahupun pantang cuma saya masih mengekalkan tip daripada Nenda saya. Selalunya sebelum menyolek saya terlebih dahulu akan berselawat ke atas junjungan Nabi SAW sambil berpegang teguh kepada prinsip saya sendiri iaitu ‘Less is more’.
Ads
APA PANDANGAN DATIN SAIDATULNISA TENTANG REVOLUSI AKAN DATANG?
Dunia solekan akan sentiasa berevolusi tetapi bagi saya kita tetap perlukan solekan yang evergreen (malar segar) kerana sejauh mana transformasi itu berlaku saya percaya bahawa adat, budaya dan agama kita tidak sesuai untuk terikut-ikut solekan yang terlalu berlebihan dan bertentangan dengan adat, budaya dan agama kita.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Di permukaannya terlihat sangat indah. Namun mungkin tidak seindah apa yang ditanggung. Zareth Shahar John, 32 tahun berkongsi perjalanan hidupnya dalam usaha mencari sesuap rezeki. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Ya! Perjalanan hidup kita tidak sama. Masing-masing punya jalan cerita tersendiri dan ada yang lebih sukar dan sukar diterima. Namun, kebangkitan wanita dari segi fizikal dan mental itu adalah usaha yang paling besar kerana seringkali dikatakan insan yang lemah.
“Saya sentiasa menyahut cabaran untuk melakukan apa jua kerja seperti jururawat, pramugari, instructor First Aid, modelling dan kini sebagai wealth planner. Setiap bidang pekerjaan saya laksanakan itu pastinya mempunyai dugaan yang berbeza.
Kerap kali juga berlaku keadaan yang tidak menyenangkan dan menyentuh hati saya dalam situasi kerja sebelum ini. Namun saya mengambil keputusan untuk tidak mengambil hati atau membalas dendam dan sentiasa menunjukkan kasih sayang kepada mereka atau pada situasi yang berlaku.
Semasa bekerja sebagai seorang jururawat, ada segelintir yang tidak menyenangi cara kerja saya. Pernah saya ditukar ke jabatan lain tanpa notis awal bagi menjadikan suasana kerja lebih sukar, sehingga mendorong saya untuk meletakkan jawatan.
Bayangkan walaupun kerja saya di nurseri tidak mudah, belum pernah saya membuat mana-mana bayi di bawah penjagaan saya menangis. Saya juga terpaksa menjaga 12 bayi pada satu-satu masa. Kadangkala apabila tiada pengganti, saya terpaksa bekerja dari jam 2 petang hingga 7 pagi keesokan harinya.
Keadaan itu menyebabkan saya tiada masa untuk makan, pergi ke tandas atau berehat. Kaki saya bengkak kerana terpaksa berdiri berjam-jam. Hampir setiap hari saya merendam kaki dalam air suam untuk melegakan kesakitan,” luahan hati Zareth bercerita tentang pengalamannya sebagai seorang jururawat.
Selain itu, ada juga kisah di sebalik keindahan berkhidmat di awan biru. “Semasa bekerja sebagai cabin crew, saya menghadapi situasi yang mencabar dengan ketua, terutama bila adanya persepsi peribadi mereka terhadap anda. Saya pernah dimalukan di hadapan kru dan penumpang sehingga menjadikan suasana dalam penerbangan itu tidak senang untuk bekerja.
Apabila saya mendapat peluang untuk menjadi Cabin Crew Leader, saya memastikan tiada sesiapa yang mengalami pengalaman itu dan saya menyantuni mereka semua dengan hormat.
Selain itu, semasa bekerja sebagai cabin crew, hari bekerja dan hari cuti tidak seimbang. Pada awal kerjaya, jadual kerja kita agak fleksibel dan senang untuk menukar syif antara kru yang lain seperti jika saya ada kecemasan dan perlu menukar syif dengan kru yang lain.
Tetapi menjelangnya tahun terakhir, kami kehilangan fleksibiliti ini. Ia agak menyukarkan kerana saya tidak dapat merancang aktiviti selain hanya dapat meluangkan masa dengan kru apabila dapat bercuti pada waktu ‘night stops’ di destinasi negara yang kita berhenti.
Memang menyeronokkan apabila mendapat peluang untuk berada di negara yang berbeza. Tetapi keseimbangan kehidupan sosial saya dan waktu bersama keluarga agak terjejas semasa menjadi cabin crew.
Selepas berkahwin, saya sukar meluangkan masa bersama suami disebabkan jadual penerbangan 6 hari berterusan dan hanya dapat bercuti sehari dalam seminggu.
Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk bertukar ke jabatan lain dan bekerja mengikut waktu pejabat. Itulah waktunya saya dapat kembali menikmati cara hidup yang lebih stabil dan meluangkan masa bersama keluarga.
Dua pengalaman ini, sebagai seorang jururawat dan cabin crew, adalah pengalaman paling mencabar pernah saya lalui dalam usaha mencari rezeki. Namun, saya berterima kasih kepada Tuhan kerana saya dapat mengatasi semua masalah dan ia menjadikan saya lebih kuat.
Terutama sekali sebagai cabin crew, kerjaya ini berjaya mengubah saya dan mengajar saya untuk menjadi seorang yang mampu menyelesaikan masalah, sabar, sopan dan yakin. Ia juga mengajar saya cara untuk bercakap, berjalan dan menggunakan bahasa tubuh dengan betul,” akur Zareth.
Hikmah di sebalik ketegangan dalam pekerjaan, “Segala puji pada Tuhan, sekarang saya berjaya mengatasi stres, masalah kesihatan dan kekecewaan sebelum ini.
Kerjaya saya sekarang sebagai seorang Financial Advisor mempunyai jadual kerja yang tidak tetap, tetapi saya diberi peluang untuk mengatur jadual harian saya dengan bijak seperti masa bekerja, masa sosial dan masa untuk berluang bersama keluarga. Pada waktu lapang saya juga mengendalikan sesi kaunseling kepada remaja dan pasangan suami isteri, aktif dalam bidang seni seperti modelling, muzik seperti menyanyi, main piano dan drum,” ujar Zareth.
Sekarang saya punya masa untuk membuat aktiviti sosial, makan makanan berkhasiat dan bersenam bersama rakan sekerja dan keluarga. Saya juga kerap berinteraksi dengan kawan-kawan rapat untuk kestabilan fikiran.
Saya tinggalkan semua kenangan lalu yang banyak memberi kesan negatif dalam hidup saya. Saya bangkit menjadi seorang yang berpositif dan tidak terganggu dalam apa jua situasi lagi.
Pada awal kerjaya, bos saya pernah memberi nasihat, “Life is like a stage Zareth, it depends on how you act that will draw your audience or make them walk away.” Ini menyebabkan saya menukar cara pemikiran dan perbuatan saya. Pada hari ini, saya tetap memegang pada nasihat itu dan saya telah menerima kasih sayang, sama seperti layanan yang saya memberi kepada orang.
Ini cerita saya, pastinya setiap wanita punya kisah tersendiri dalam memilih kerjaya masing-masing. Situasi yang kita hadapi, sedikit sebanyak membantu dalam proses kematangan kita sebagai seorang wanita tabah.
Saya terus beristiqamah untuk menjadi orang yang beriman, menyayangi diri sendiri dahulu sebelum memberi kepada orang lain, selalu ketahui harga diri anda dan berfikiran positif apabila menghadapi cabaran, semuanya dengan kehendak Tuhan,” bicara Zareth dengan senyuman manis.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Selepas mengumumkan persaraannya dari dunia fesyen Februrari lalu, peminat Dato’ Rizalman Ibrahim masih tetap aktif memeriahkan laman akaun Instagramnya. Mereka masih berpusu-pusu membeli apa sahaja produk yang dihasilkan Dato’ Rizalman.
Baru-baru ini, beliau mengeluarkan rekaan hijab diberi nama RIHIJAB pula. Promosi dan cara pemasaran yang ditonjolkan saja sudah membuatkan ramai yang tidak sabar menanti. Banyak komen-komen yang sibuk mencari personal shopper kerana kali ini jualan tidak dilakukan secara online.
Rezeki Dato’ Rizalman tidak pernah putus-putus. Pada awalnya dia takut untuk berhenti mereka busana kerana tidak tahu bagaimana periuk nasinya dan kakitangannya nanti.
“Dulu saya takut untuk berhenti menjadi pereka fesyen. Macam mana saya nak bayar pekerja, apa yang saya nak makan nanti? Persoalan dan ketakutan itu bagai selimut dalam diri tetapi sedikit demi sedikit Allah buka jalan untuk saya pilih. Allah kurniakan ilmu seni pada saya tanpa saya minta. Saya pandai menjahit, menilai kain, mereka busana.
Itu semua bukan satu dosa tetapi ia menjadi berdosa apabila saya tidak menjuruskan ilmu itu kepada sesuatu kebaikan,”katanya dalam sesi temubual yang dipaparkan dalam majalah Nona edisi Mac baru-baru ini.
Dalam sesi temubual itu, sempat juga DRI berkongsi amalan yang dilakukan agar hidupnya sentiasa murah rezeki.
“Semua atas kehendakNya. Saya lalui hidup ini dengan percaturan yang telah ditulis secantik-cantiknya. Orang kata, nak murah rezeki kena banyak amalan. Tetapi untuk saya, memang abnyak doa yang diamalkan. Tak tahu yang mana satu berkesan. Tetapi saya sentiasa displinkan diri untuk menunaikan solat sunat Subuh setiap hari dan jadikan solat sunat Dhuha sebagai amalan wajib.
Selalulah bersedekah dan membayar zakat. Kedua-dua ini memberi kesan yang sangat hebat. Pastikan sedekah itu konsisten, kalau tidak rezeki pun tak datang dengan konsisten. Mungkin saya tidak mampu bersedekah kudrat tetapi saya gunakan kelebihan yang saya ada untuk mencari idea-idea dan peluang rezeki yang lumayan. Bila ada duit, lebih mudah untuk kita bersedekah. Itu pemikiran saya.
Cuma, apa yang boleh saya kongsikan adalah sedekah yang orang tidak tahu. Rezeki Allah beri ini saya gunakan untuk membawa orang yang susah mengerjakan umrah. Pada saya, untuk apa kita sibuk menjejak kaki ke Mekah untuk mengerjakan umrah berkali-kali sedangkan ramai lagi umat Islam yang teringin untuk melihat Kaabah di hadapan mata. Teringin bersujud di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi namun tidak mampu.
“Satu kebahagiaan untuk saya apabila saya diberi rezeki untuk membayar pakej umrah buat seorang tukang sapu yang begitu pandai mengaji Al-Quran. Bayangkan bagaimana dia berdoa untuk kita dihadapan Kaabah dan itulah doa yang paling mulia sekali. Istiqamahlah saat bersedekah,”pesan Dato Rizalman.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lama juga tempok PKP yang dilaksanakan kerajaan. Ada syarikat mulai ambil langkah kurangkan pekerja, ada perniagaan terpaksa gulung tikar dan ada individu yang hilang mata pencarian. Namun, tekad yang tinggi untuk menyara keluarga membuatkan kita fikir dari sudut positif.
Pasangan suami isteri, Puan Syaliza Shapiansuri dan suami, Chef Rashid Hashim mula berniaga sejak Mac lalu, sebelum tempoh PKP lagi. Suaminya Chef Rashid yang kebetulan menghabiskan baki cuti sebelum meninggalkan dunia F&B buat selama-lamanya tekad memulakan perniagaan.
“Kami mula berniaga sejak minggu kedua Mac lalu. Ketika itu suami mengambil keputusan untuk berhenti menjadi chef eksekutif di hotel dan mula berniaga di bazaar Ramadan. Menu nasi Bukhara akan jadi main dish kami. kawan-kawan dan jiran-jiran pun dah mula menempah dan ramai juga yang nak mencuba. Masa tu dapatlah jual 15 pek.
Nak jadi cerita, beberapa hari sebelum PKP, kami dan cuba menjual nasi beriani dan baked chicken. Ramai yang membuat pesanan termasuk kawan atas kawan yang ambil pesanan dari pejabat mereka. Dan sejak bermulanya PKP, kami tetap teruskan. Saya sendiri keluar untuk buat delivery. Satu hari kami boleh buat sales dalam RM200 hingga RM400. Harga jualan kami bermua dari RM6 ke RM12,”kata Syaliza.
Semakin lama tempoh PKP, semakin rancak pula Chef Rashid dan isteri membuat penghantaran dek kerana permintaan semakin bertambah. Hadirnya peniaga yang membuat penghantaran ini banyak memberi kesenangan kepada isi rumah biarpun mereka sendiri menghadapi banyak rintangan.
“Awal PKP, masih banyak jalanraya dibuka. Sekarang banyak laluan masuk ke highway ditutup. Memang lama kalau sangkut di roadblock. Tapi ada masanya sekejap saja. Biasanya polis tak tahan sebab nampak ada banyak bungkusan makanan dan saya sendiri sudah bersedia dengan face mask dan hand sanitizer.
Puan Syaliza dan suami memandang situasi yang sedang berlaku kini dari sudut positif. Iyalah, dia boleh mencari rezeki melalui penjualan makanan dan membuat penghantaran terus ke pintu rumah. Siapa yang tak nak kan?
“Kami jangka lebih ramai yang akan membeli dan menjadi pelanggan kami di masa hadapan terutamanya ketika bulan Ramadan nanti. Mungkin kami berbeza dari peniaga lain kerana setiap hari hanya ada satu menu setiap hari.
Kami juga bercadang untuk membuat penghantaran ke rumah anak-anak Yatim atau asnaf kerana sekarang pun ada pelanggan membeli makanan dari kami untuk dihadiahkan kepada abang-abang polis dan askar yang bertugas menjaga checkpoint,”katanya.
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.